Pages

Friday 19 April 2013

Perihal Kirigami

Sambungan origami... 

   
   Tahukah anda, keterujaan saya dengan seni lipatan origami membuatkan saya mencuba beberapa jenis lipatan asas dalam teknik ini. 

    Antaranya, rumah, sampan, arnab, stokin dan kucing. Tiba-tiba sahaja objek-objek ini bergerak-gerak lalu menimbulkan sebuah ilham cerita kanak-kanak dalam kepala saya. Mungkin sesuai bagi kumpulan yang berusia antara dua hingga empat tahun. Anda juga boleh berkongsi cerita ini dengan anak-anak, anak saudara, adik-adik atau sesiapa jua kumpulan sasaran anda kelak. Mari, penuhkan cangkir anda dan duduk bersembang bersama saya di kafe ini.

Cerita Tiga Ekor Anak Kucing dan Ibu Arnab
    
    Di tepi sebuah padang, tinggal tiga ekor anak kucing yang sangat comel. Mereka diberi nama Lala, Lili dan Lolo. Lala mempunyai bulu berwarna oren. Lili pula berwajah ceria selalu. Sementara Lolo ialah seekor anak kucing yang suka menangis.

    Suatu hari, awan mendung menurunkan hujan yang lebat. Berhari-hari lamanya mereka menunggu ibu mereka pulang. Mujurlah rumah mereka terletak di atas bukit. Seluruh padang itu telah tenggelam akibat banjir. Lolo sangat sedih kerana mereka tidak boleh bermain di luar lagi. Dia pun mulai menangis. 

    "Mari kita membuat sampan," cadang Lili. Ibu mereka pernah mengajar bagaimana hendak melipat sampan menggunakan kertas origami. Lala dan Lolo bersetuju lalu menolong Lili melipat sebuah sampan besar berwarna biru. 

   Setelah siap, mereka mendayung sampan bersama-sama untuk mencari ibu mereka. Tiba-tiba mereka ternampak sesuatu di dalam air. 

   "Tolong... tolong," kata seekor Ibu Arnab. Suaranya terketar-ketar. Lala, Lili dan Lolo merasa kasihan melihat Ibu Arnab. Mereka pun menariknya masuk ke dalam sampan.

   "Terima kasih!" Ucap Ibu Arnab gembira. "Bolehkah saya menumpang teduh di rumah kamu? Apabila banjir surut nanti, saya harus pulang kerana anak-anak saya sedang menunggu. Tentu mereka kesejukkan dan kelaparan. Saya mahu pulang memasak dan memeluk mereka." kata Ibu Arnab.

   "Tentu saja boleh, Ibu Arnab," jawab Lala yang baik hati.

   Setibanya di rumah, Lolo mula menangis lagi.  

   "Mengapa kamu menangis, anak kucing?" tanya Ibu Arnab yang hairan.

   "Saya berasa sejuk dan lapar. Tapi ibu belum pulang untuk memasak dan memeluk saya. Huhu... ," jawab Lolo sambil menangis.

   Ibu Arnab tersenyum. "Jangan menangis, wahai anak kucing. Saya akan panaskan kamu susu. Kamu boleh minum sementara menunggu ibu kamu pulang."

   Sementara menunggu hujan berhenti, Ibu Arnab mengaitkan anak-anak kucing itu sehelai stokin merah yang sangat besar. Setelah kekenyangan menjilat susu, mereka pun tertidur di dalam stokin yang besar dan selesa itu. 

   Ibu Arnab tidak sampai hati hendak mengejutkan mereka bertiga. Dia menjenguk ke luar rumah. Hujan telah berhenti. Banjir pun sudah surut. Ibu Arnab merasakan sudah tiba masanya dia pulang ke rumah sendiri. 


~Tamat~

Demikianlah cerita pendek saya. Sebagai makluman, ini bukanlah teknik penceritaan storigami. Teknik storigami hanya memerlukan sehelai kertas sahaja yang diubah-ubah lipatannya menjadi pelbagai objek. Jika berminat, anda boleh membacanya dalam entri saya sebelum ini.

Sekarang, mari kita berkenalan pula dengan satu lagi jenis seni lipatan kertas yang menarik dari negara Jepun.


Perihal Kirigami... 


Buku Asas Kirigami 

Dalam bahasa Jepun, 'kiru' bermaksud memotong dan 'kami' bermaksud kertas. Maka, Kirigami membawa maksud seni melipat, dan memotong kertas. 

   Seni kirigami juga menggunakan kertas yang sama seperti origami. Ada yang polos dalam satu warna. Ada juga yang berbeza corak dan tona warna.  Bezanya, selain melakukan teknik lipatan, kirigami memerlukan alat tambahan seperti gunting dan pisau kecil untuk memotong atau lebih tepat lagi menuris garisan imej pada kertas origami yang telah kita lipatkan. 


Antara corak kirigami yang menarik dalam buku tersebut.

Berikut adalah beberapa contoh kirigami yang sempat saya hasilkan daripada buku asas Kirigami. Buku ini boleh dibeli di kedai yang menjual barangan Jepun, Daiso dengan harga RM5 sahaja. 



Corak reben, bunga dan empat ekor burung.

Apakah kegunaan kirigami ini? 

Kebanyakan corak kirigami adalah berbentuk simetri. Bentuk-bentuk ini sangat sesuai untuk dekorasi buku skrap, tudung botol, kad-kad ucapan dan sebagainya. Ia sangat sesuai dijadikan hadiah yang eksklusif buat teman-teman. 

Gambar atas menunjukkan lipatan arkodian.
Antara produk kirigami ialah penanda buku dan pembalut buku istimewa.

Contoh corak dan lipatan kirigami. 
   
Bagi yang tidak menggemari kerja kraftangan mungkin menganggap seni lipatan kertas seperti origami dan kirigami ini sebagai membuang masa sahaja. Namun tidak bagi kami yang menyukai keindahan teknik lipatan dari negara Jepun ini. 


Beginilah bentuk lipatan burung sebelum digunting.

Bagaimana, berminat untuk mencuba?... Silakan! Buku panduan dan kertas origami ada dijual di kebanyakan kedai buku. Bagi yang tinggal di bandar besar, mungkin boleh mendapatkannya di kedai yang khusus menjual barangan Jepun seperti Daiso. 

Sekian dahulu untuk kali ini. Semoga ada yang bermanfaat untuk dikutip dalam perkongsian hari Jumaat. Mungkin juga boleh menambahkan ilham kepada mereka yang sedang berkecimpung dalam bidang penulisan buku bergambar kanak-kanak. 

Aah, itu mengingatkan diri sendiri. Betapa bersusun jadual kerja yang perlu saya lunaskan!... 

Alamak, tetiba rasa nak pengsan! Hehehe... .

Datang lagi ke Aku dan Kafe Buku, okey? Terima kasih.


Mazny M.R.


Saturday 13 April 2013

Perihal Origami

Saya juga suka origami!

   
   Saya percaya jika di Malaysia, semua orang pernah melihat origami. Bagi sesetengahnya pula, mungkin pernah atau sudah terbiasa melipatnya. Anda bagaimana? Mahu mendengar cerita saya tentang seni dan budaya lipatan kertas yang berasal dari Jepun ini?

Ayuh, sila tuangkan teh, milo atau kopi,
tarik kerusi dan duduk di kafe ini!

    O.R.I.G.A.M.I - berasal daripada dua perkataan, ori yang bermaksud lipatan dan kami yang bermaksud kertas. Tidak dapat dipastikan bilakah seni lipatan kertas ini bermula di Jepun namun ia telah wujud seawal zaman pemerintahan samurai dahulukala. Malah mungkin lebih awal lagi.

    Diceritakan kononnya sekumpulan samurai telah melipat origami berbentuk burung jenjang sebagai azimat pembawa tuah dan diselitkan di celah pakaian mereka sebelum pergi berperang. 

    Sebutan ori dan kami, lama kelamaan bersatu lalu menjadi apa yang kita dengar sekarang sebagai origami. Lipatan origami berbentuk burung jenjang adalah bentuk yang paling terkenal di Jepun (dan serata dunia) kerana ia dianggap sebagai simbol keamanan. Nama yang lebih tepat untuk bentuk origami burung jenjang ialah orizuru. 

    Anda mungkin pernah membaca sebuah kisah benar mengenai seorang budak perempuan bernama Sadako Sasaki yang mengimpikan lipatan 1000 keping orizuru kerana percaya ia akan melanjutkan usianya. Sadako adalah seorang pengidap leukimia, mangsa radiasi pencemaran bom atom yang digugurkan oleh Amerika Syarikat ke atas Hiroshima sewaktu perang dunia kedua. Namun Sadako tidak berjaya menghabiskan lipatan orizurunya kerana Tuhan lebih menyayangi anak malang itu. Usahanya diteruskan pula oleh rakan-rakannya yang bersimpati dengan nasib Sadako. Kisah sedih ini telah diterbitkan dalam berbagai versi cerita dan pernah juga difilemkan.

     Tentu anda terfikir, teknik lipatan origami ini amat sukar dan rumit!

Ah, sebenarnya, ia tidaklah sesukar yang kita sangka. Dalam bengkel teknik bercerita yang saya sertai tidak lama dahulu, saya telah diajar dengan teknik bercerita menggunakan origami. 

Storytelling + Origami = Storigami

Baiklah, ayuh kita hayati teknik penceritaan origami (atau storigami) ini. Teknik lipatan origami ini diajarkan oleh Ummi Sham. Namun oleh sebab saya tidak begitu hafalkan butiran jalan ceritanya, maka saya pun menulis cerita origami saya sendiri. Hehe... .

Di sebuah kawasan pergunungan yang tinggi, dalam sebuah rumah agam tradisional Jepun yang sangat besar, tinggal seorang budak lelaki berusia sepuluh tahun. Oleh sebab tidak pernah berkawan dan terlalu dimanjakan oleh ibu bapanya, dia hanya bersenang lenang di rumah. Aktiviti sehariannya hanyalah makan, bermain dan tidur telah menyebabkan dia membesar menjadi seorang budak lelaki yang sangat gemuk. Maka pakaian hariannya hanyalah beberapa pasang kimono yang besar dan longgar.


Bermula dengan kimono...


Keluarga budak lelaki ini adalah keturunan bangsawan yang sangat kaya. Bapanya tidak pernah membenarkan anaknya bermain-main di luar dengan sesiapa pun kerana bimbang dia akan diculik. Hanya dayang-dayang dan pengasuhnya sahaja yang menjadi teman sepermainan. Bapanya telah mengarahkan kesemua dayang dan pengasuh agar tidak memarahi atau menyakiti anak kesayangannya itu. Dia juga meminta supaya mereka memenangkan anaknya setiap kali bermain.

Oleh sebab badannya yang besar dan gemuk, budak lelaki ini hanya gemar duduk bermain shogi (catur Jepun) di atas sebuah meja kecil. (Maaf, tidak sempat merakamkan gambar lipatan meja) 

Dek kerana asyik bermain, pada suatu hari, seorang dayang telah terlupa pesanan majikannya lalu mengalahkan budak lelaki tersebut dalam permainan shogi. Merajuklah budak lelaki itu lalu dia melarikan diri ke dalam hutan. Setelah berhari-hari berjalan, maka tibalah dia di sebuah kampung tepi pantai yang penuh dengan kincir angin.


... menjadi meja dan kincir angin...


   "Untuk apa kincir angin ini, pak cik?" tanya budak lelaki itu kepada seorang petani tua. 

"Oh, selain untuk mengalirkan air kepada tanaman, kincir angin ini kami gunakan untuk menentukan arah angin bertiup. Sangat berguna bagi pelayaran."

Jawapan orang tua itu amat mengujakannya. Seumur hidup, dia belum pernah melihat laut apatah lagi belayar di tengah lautan. Tinggallah budak lelaki itu bersama petani tua. Setiap hari, dia menolong petani tua itu bercucuk tanam dengan rajin sekali. Selang beberapa bulan kemudian, berlabuhlah sebuah kapal. Tanpa berfikir panjang, budak lelaki ini terus mengambil keputusan untuk belayar di atas kapal tersebut.


...menjadi sebuah kapal...

Gembiranya bukan kepalang kerana dia tidak pernah berasa seseronok itu. Sakit hati dan rajuknya juga telah terpadam. Di atas kapal itu, dia diajarkan dengan macam-macam perkara seperti menangkap ikan, memotong daging, menyalakan api, membuat tanglung, membaca, mengira, berenang dan sebagainya. Dia juga selalu membantu tukang masak menyediakan makanan kepada anak-anak kapal. Sikap rajinnya itu membuatkan dia disayangi semua orang. 

Selain berjumpa dengan ramai kenalan baharu, budak lelaki ini sangat suka melihat kapal-kapal layar. Suatu hari, dia dihadiahkan sebuah kapal layar yang sangat cantik.


...menjadi sebuah kapal layar...

Kapal layar yang cantik itu mempunyai sebuah layar putih yang sangat tinggi dan lebar. Dengan bekalan yang mencukupi, belayarlah budak lelaki itu sesuka hatinya ke serata tempat. 

Namun pada suatu hari, cuaca yang cerah tiba-tiba bertukar mendung. Awan hitam datang disertai kilat sabung menyabung. Air laut pun jadi bergelora. Ombak besar datang menggulung dan melambungkan kapal layarnya. Tanpa pengalaman yang cukup untuk mengemudikan kapal layar, budak lelaki itu gagal menyelamatkan kapal layar kesayangannya. Berkecailah kapal itu di tengah-tengah lautan. 

Namun nasib masih menyebelahinya, dia tidak lemas tetapi terdampar di atas sebuah pulau besar yang indah. Pabila malam hampir menjelma, budak lelaki itu segera membuat sebuah tanglung bagi menerangi kegelapan.


...menjadi tanglung...

Keesokan harinya, dia berasa sangat lapar. Lalu dia masuk ke dalam hutan kerana mahu memburu seekor arnab untuk dipanggang. Sedang dia asyik berburu, dia ternampak seorang budak perempuan comel yang sedang lena di bawah sebatang pokok. Seumur hidupnya, dia belum pernah berjumpa dengan rakan sebaya berlainan jantina seperti itu. Dia hairan melihat perhiasan rambut dan pakaian budak perempuan itu yang agak aneh lalu dia cuba hendak menyentuhnya. 

Malangnya, budak perempuan tersebut tiba-tiba terjaga lalu menjerit sekuat-kuat hati. Akibat terlalu marah kerana tidurnya diganggu, dia telah menyumpah budak lelaki tersebut menjadi seekor katak.


...menjadi seekor katak - pandangan atas dan hadapan.

Dengan perasaan sedih, melompatlah budak lelaki itu berhari-hari lamanya sehinggalah dia berhenti di hadapan sebuah rumah tradisional Jepun yang sangat besar. Rupa-rupanya, itulah rumah agam di mana dia dilahirkan. Ibu bapanya sungguh gembira dengan kepulangan anak lelaki mereka. Mereka mencari budak perempuan tersebut dan menawarkan harta yang banyak supaya dia menarik balik sumpahannya dan mengembalikan anak mereka kepada keadaan asal.

Oleh sebab budak lelaki ini telah berbuat baik kepada petani, tukang masak dan anak-anak kapal, maka budak perempuan itu tidak sampai hati melihat kedua ibu bapanya bersedih lalu dia menarik semula sumpahannya. 

Budak lelaki itu mengucapkan terima kasih. Dia mempelawa budak perempuan itu datang bermain-main dengannya setiap hari. Perkara yang paling menggembirakan hatinya ialah dia tidak lagi menjadi seorang budak lelaki yang gemuk seperti dahulu. 


Akhirnya menjadi lipatan menjadi kimono semula.

Pengembaraannya telah menjadikan dia seorang manusia yang sihat dan berilmu. Pengasuh dan dayang-dayang juga telah menjahitkan budak lelaki itu sepasang kimono biru yang baharu sebagai tanda meminta maaf. Mereka pun hidup aman sentosa di kawasan pergunungan yang damai dan indah.

Sebagai maklumat tambahan, hanya sekeping kertas sahaja yang digunakan dalam teknik storigami. Setiap lipatan berubah-ubah menjadi objek yang berlainan mengikut jalan cerita. Hal ini boleh menimbulkan suspens kepada penonton. Di sinilah terletaknya keindahan teknik storigami.

Para pengunjung yang dihormati, entri ini bakal bersambung dengan perkongisian seterusnya mengenai origami. Namun buat hari ini, saya kira sudah cukup mata saya memfokus pada skrin komputer. Saya telah dinasihatkan oleh puan oftalmologis supaya menghadkan masa menatap komputer dan membaca. Jadi, insya-Allah, kita sambung lagi perkongisian ini pada lain masa. 

Selamat berehat di hujung minggu. Sekian, terima kasih.

Mazny M.R.


Wednesday 10 April 2013

Perihal Kamishibai (1)

Saya suka Kamishibai!


Setiap  Kamishibai tersimpan rapi dalam fail seperti ini.
    Tentu masih ramai yang belum pernah mengenali atau mendengar tentang Kamishibai. Apakah sebenarnya Kamishibai ini? Bagaimanakah sejarah ia bermula dan mengapakah agaknya ia sangat popular di negara matahari terbit itu?

Gambar hadapan Kamishibai yang berjudul
'The Happy Crab'
Dialog yang harus dibaca oleh pencerita.
Terdapat juga arahan kepada pencerita.

    Kesempatan berguru dengan Puan Etsuko Nozaka sewaktu berlangsungnya Festival Sastera Kanak-Kanak 2012 di Universiti Malaya adalah sesuatu di luar jangkaan. Ditemani anak perempuan saya yang begitu meminati seni dan kebudayaan Jepun, kami berkampung selama beberapa hari dalam dewan kuliah Universiti Malaya yang amat dingin tetapi hangat dengan aktiviti seminar Persidangan Antarabangsa Sastera Kanak-Kanak.

(Maaf, sebenarnya, sayalah yang terlupa untuk menulis tentang perkongsian di Festival Sastera Kanak-Kanak tahun lalu. Insya-Allah, saya tetap akan cuba mengarang dan menghidangkannya untuk bacaan pengunjung Aku dan Kafe Buku. Cuma masanya mungkin bukan sekarang.) 

Puan Etsuko Nozaka

    Puan Etsuko adalah seorang penulis dan penterjemah buku cerita bergambar kanak-kanak yang prolifik dan mahir berbahasa German, English dan Perancis. Beliau juga merupakan salah seorang pengasas kepada The International Kamishibai Association of Japan (IKAJA) dengan ahli melebihi 400 orang merangkumi dari sekitar Jepun dan seluruh dunia.

    Sejarah Kamishibai ini bermula seawal tahun 1930an di celah-celah lorong kawasan perumahan dan gerai-gerai tradisional yang comel di sekitar Tokyo. 

Awalnya, teknik penceritaan Kamishibai ini dipelopori oleh penjual jajan atau kudap-kudapan yang bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Melihatkan majoriti para pelanggan mereka terdiri daripada kanak-kanak, maka si penjual memikirkan cara yang paling sesuai untuk menarik pelanggan-pelanggan cilik ini. Dari sini, lahirlah Kamishibai. Ia merupakan sebuah teknik penceritaan kanak-kanak yang mana babak-babak ceritanya dilukis di atas beberapa keping kertas tebal. Kertas itu kemudiannya diberi nombor urutan mengikut jalan cerita yang hendak disampaikan. Kamishibai akan dipersembahkan menggunakan pentas mini berpintu tiga yang diperbuat daripada kayu. Dalam bahasa Jepun, ia digelar butai. 

Butai dari sisi hadapan
Inilah butai dari sisi tepi. Dapatkah anda lihat
aluran kayu untuk meletakkan kad?

    Teknik Kamishibai memerlukan seorang pencerita yang mengerakkan kad keluar dan masuk mengikut susunan jalan ceritanya. Ia juga tidak boleh tidak, harus menggunakan  sebuah butai yang diletakkan sedikit tinggi dari aras mata penonton. Akhir sekali, biarpun Kamishibai sangat sesuai dipersembahkan kepada setiap peringkat umur, pencerita perlulah memilih cerita yang bersesuaian dengan usia penonton. 

Beginilah persediaan teknik penceritaan Kamishibai sebelum ia bermula,

Cara ia berfungsi adalah seperti berikut;

  • Penceritaan dimulakan dengan ketiga-tiga bahagian pintu tertutup. Pencerita perlu berdiri di sebelah kanan butai dan menghadap kepada khalayak penonton. Cerita bermula sebaik sahaja pintu dibuka satu demi satu. Urutan pintu mana yang anda buka di permulaan cerita, haruslah sama ketika anda menutup setelah cerita tamat nanti.
  • Pencerita harus menyebut nama cerita, penulis dan pelukis Kamishibai yang hendak disampaikan. Semasa penceritaan, kad bergambar dikeluarkan dan dimasukkan mengikut jalan cerita yang telah dipilih. Terdapat beberapa teknik khusus bagaimana hendak mengeluarkan dan memasukkan kad-kad tersebut supaya perhatian penonton tidak terganggu. Dengan cara ini, penceritaan terasa hidup dan berjalan lancar.
  • Pencerita harus berjaya mencuri perhatian penonton melalui dua elemen penting Kamishibai iaitu konsentrasi dan komunikasi. Dua elemen ini dikenali sebagai kyokan. 
    Kyokan bermaksud jalinan empati yang lahir antara penonton dan pencerita melalui penceritaan yang kemudiannya diikuti dengan reaksi/interaksi terhadap persembahan tersebut. Interaksi ini selalunya zahir dalam bentuk komunikasi.

    Mengapa harus menggunakan butai? Mengapa tidak memegang sahaja kad-kad tersebut? 

Walaupun kad Kamishibai menggunakan kertas yang agak tebal, disebabkan saiznya yang besar menjadikan ia agak sukar dikendalikan semasa proses pertukaran (menarik dan memasukkan kad) mengikut urutan cerita. Ketidakcekapan si pencerita melakukan aksi ini tentu akan mengganggu keseluruhan persembahan. Tambahan pula, kerangka butai yang menyerupai sebuah rumah agam (atau istana lama) itu, amat membantu para penonton untuk terus fokus kepada apa yang sedang berlaku.

Berikut adalah antara tips menarik yang sempat dikongsikan oleh Etsuko:

1) Semasa persembahan, pastikan butai diletakkan agak tinggi sedikit daripada paras mata penonton dan pintunya berada dalam keadaan tertutup. Kemudian, barulah kad cerita dimasukkan.

2) Pastikan latar belakang butai berdinding polos tanpa dekorasi yang mengganggu konsentrasi. Jika kebetulan anda terpaksa membelakangkan tingkap yang bercahaya terang, gunakan sehelai kain polos gelap bagi menutupinya.  

3) Pakaian si pencerita juga haruslah yang bersesuaian, tidak terlalu menonjol sehingga mencuri tumpuan penonton. Yang paling penting mestilah tampil sopan.

4) Bagi memastikan kelancaran persembahan, baca dahulu Kamishibai yang hendak disampaikan. Susun kad mengikut nombor urutan yang tertulis di belakangnya. 

5) Karektor si pencerita yang periang dan berperwatakan menarik sangat membantu untuk menghidupkan suasana dan mewujudkan kyokan.

6) Walaupun intonasi suara itu penting, namun anda tidak digalakkan mengubah-ngubah suara secara keterlaluan bagi menzahirkan perbezaan watak. Kamishibai adalah mengenai kesederhanaan dalam persembahan.

7) Pastikan anda menarik keluar kad secara sempurna dan memasukkannya secara sempurna juga sebelum meneruskan persembahan. 

8) Apabila penceritaan tamat, jangan tarik keluar kad terakhir. Biarkan penonton berada dalam suasana akhiran cerita. Ucapkan sesuatu sebagai tanda cerita sudah berakhir seperti... 

"The End"

atau

"Tamat"

  
... dan tutuplah pintu butai mengikut urutan anda sewaktu membukanya diawal penceritaan. 

Bagaimana? Menarik?...

Saya kira dengan menyajikan gambar-gambar persembahan Puan Etsuko Nozaka di sini akan memberikan gambaran yang lebih jelas mengenai teknik penceritaan Kamishibai. 

Kamishibai dari India

Datin Rossiti mencuba bakat dalam Kamishibai

Aisyah mempersembahkan Kamishibai mengenai
tragedi letupan bom atom semasa perang dua kedua di Hiroshima.

Yukee, seorang warga Jepun yang bekerja di Malaysia
memilih cerita anak ayam.
Kamishibai mengenai hidupan laut.

    Selain daripada tujuan menyampaikan cerita, teknik penceritaan Kamishibai juga sangat berkesan dalam pembelajaran. Pelbagai isu boleh diangkat sebagai jalan cerita dengan penceritaan yang bersifat santai serta ilustrasi yang berwarna-warni. 

Kanak-kanak juga didapati boleh memahami persoalan hidup yang lebih matang seperti cerita yang telah  disampaikan oleh Cik Puan Aisyah mengenai keburukan peperangan nuklear dalam Kamishibai yang berjudul 'Never Again' karya Etsuko Nozaka sendiri. 

Menurut Puan Etsuko, begitulah caranya mereka menjelaskan kepada generasi muda betapa peperangan sebenarnya hanya merugikan semua pihak. Oleh sebab itulah, dunia tidak seharusnya terlibat dalam apa-apa bentuk peperangan lagi. Oh, alangkah sukar dan absurdnya impian itu!... .

    Tragedi tsunami yang melanda beberapa negara Asia termasuk Jepun pada tahun 2010 yang lalu menyebabkan seluruh kanak-kanak di kepulauan matahari terbit itu bermuram. Kamishibai inilah yang menghiburkan mereka. Ia bukan sahaja meredakan tekanan dan trauma akibat kehilangan harta benda dan ahli keluarga yang tersayang tetapi telah berjaya menyuntik semangat bahawa hidup ini masih perlu diteruskan.

Kamishibai bukan hanya sekadar sebuah cerita.

Beginilah caranya persembahan Kamishibai dilakukan.
Kad dikeluarkan dari hadapan dan dimasukkan
ke bahagian belakang mengikut urutan.

    Nah, hajat saya untuk berkongsi telah tertunai. Semoga kalian beroleh sesuatu yang bermanfaat dan ilmu pengetahuan baharu daripada perkongisian kali ini. Jangan lupa ya? Saya sentiasa menanti kunjungan dan komen-komen anda di kotak sembang ataupun ruangan komentar blog Aku dan Kafe Buku. 

Nantikan pula entri yang seterusnya daripada saya; perihal origami.    


Inilah Kamishibai kegemaran saya.
Terima kasih kepada anak kesayangan yang merakamkan hampir kesemua
gambar semasa bengkel berlangsung.  

Salam manis dan jumpa lagi,


Mazny M.R.




Friday 5 April 2013

Perihal Teknik Bercerita

Teknik Bercerita Kanak-Kanak dan Remaja

   
Majlis Penyampaian Sijil oleh Puan Norhayati dari Perbadanan Kota Buku.
Para Peserta Bengkel Bersama Beliau dan Tiga Tenaga Pengajar.

   Empat hari berulang-alik ke Intekma Resort, Shah Alam, Selangor bersama-sama 24 orang peserta Bengkel Teknik Bercerita Kanak-Kanak dan Remaja adalah suatu pengalaman yang tidak ternilai buat saya.

   Walaupun buku bergambar kanak-kanak (BBKK) saya yang pertama masih lagi dalam pembikinan, saya bersyukur kerana berpeluang memperluaskan pengalaman dalam bidang ini apabila terpilih sebagai peserta dalam bengkel siri pertama anjuran Perbadanan Kota Buku pada 1 hingga 4 April 2013 yang lalu. 

   Sesungguhnya Allah Yang Maha Pemurah lebih tahu, sudah lama saya idamkan peluang keemasan seperti ini lantaran minat saya yang mendalam dalam bidang penulisan BBKK. Ia juga merupakan kesinambungan atas usaha saya dalam mempersiapkan diri, mengorak tinta dan memartabatkan sastera kanak-kanak tanah air.


Ummi Sham memulakan bengkel dengan sedikit pendedahan
tentang dunia buku.

Cikgu Hashimi begitu asyik bercerita tentang dunia teater kanak-kanak.

 
Mama Tok, seorang penulis buku bergambar kanak-kanak
dan antara empat pencerita terbaik dalam Pesta Bercerita Antarabangsa Iran
yang berlangsung di Tabriz, Iran dalam bulan Februari 2013 lalu. 
  
    Dalam bengkel ini, kami dipimpin oleh tiga orang tenaga pengajar yang berpengalaman luas dalam bidang masing-masing. Mereka adalah Puan Hasniah Hussain atau lebih dikenali dengan nama Mama Tok. Puan Samsul Khamariah Hamzah atau lebih mesra dengan panggilan nama Ummi Sham (Mama Sham). 
   
Pasangan pencerita ini kemudiannya disertai oleh seorang lagi tenaga pengajar iaitu Cikgu Nor Hashimi yang merupakan seorang pendidik yang telah berkhidmat selama 25 tahun. Beliau juga seorang penulis skrip teater kanak-kanak, jurulatih dan pengadil bagi persembahan boneka dan teater sekolah-sekolah yang tidak asing lagi di Malaysia. Melihat kecekapannya mengendalikan persembahan boneka tidaklah menghairankan. Rupa-rupanya Cikgu Hashimi adalah bekas anak didik Mama Tok dan Ummi Sham sendiri.



Aski Mama Tok ketika mengajarkan
lagu Rama-Rama.


     Menurut Mama Tok, teknik bercerita sebenarnya adalah suatu kemahiran tradisi yang sangat istimewa. Ia diperturunkan daripada satu generasi kepada generasi yang lain, zaman berzaman. Dalam seni bercerita, penonton bukan sahaja boleh mendengarkan cerita tetapi memperolehi pengetahuan dan berkongsi pengalaman dengan pencerita. Aktiviti bercerita adalah satu bentuk pembelajaran yang amat menghiburkan. Percaya atau tidak, selama empat hari itu, saya bagaikan terbuai dalam dunia alam fantasi yang penuh dengan misteri. Terasa diri seperti terjatuh ke dalam gelungan terowong masa lalu berpusing-pusing di bawa kembali ke zaman kanak-kanak.


Sungguh seronok sekali!

   Perjalanan bengkel ini boleh saya klasifikasikan kepada dua bahagian. Pertama, perkongsian tentang teori. Kedua, melakukan gerak kerja amali secara berkumpulan dan juga individu. Antara perkara yang disentuh dalam bengkel ini adalah;

1) Pengenalan kepada konsep bercerita - kami diajar bagaimana mahu memasukan kanak-kanak ke dalam 'mood' penceritaan. 

2) Panduan bercerita - memilih dan menyediakan bahan.

3) Teknik-teknik bercerita - bercerita tanpa alat dan menggunakan bantuan alatan seperti buku, tali, lipatan kertas, tampalan, sapu tangan, surat khabar, boneka, buah-buahan atau sayuran, kamishibai, dan lukisan serta garisan. 

   
Aksi kami yang menerima tunjuk ajar Mama Tok.


1) Pengenalan kepada konsep bercerita

     Bagi teknik bercerita tanpa alat, pencerita akan menggunakan ekspresi wajah, mimik muka, lenggok badan dan intonasi suara yang pelbagai untuk penyampaikan ceritanya. Sementara teknik bercerita dengan alat, contohnya buku, memerlukan pencerita beraksi dalam keadaan duduk dan memegang buku bergambar sambil bercerita. Ya, BERCERITA, bukannya MEMBACA. Bercerita sambil duduk juga ada teknik-tekniknya yang tersendiri. Kami diajar cara duduk, cara berinteraksi, lenggok badan, intonasi, cara menggunakan sudut penglihatan dan sebagainya. Nampak macam senang namun untuk menarik perhatian pendengar sebenarnya tidaklah semudah yang disangka. Seorang pencerita yang baik, bukan sahaja dapat 'mengawal' penontonnya tetapi mengakhiri penceritaan dengan sisipan ilmu atau kata-kata nasihat. Selain buku cerita, alatan lain dalam aktiviti penceritaan  telah saya sebutkan di atas.  

Ummi Sham menunjukkan cara bercerita sambil duduk.


 2) Panduan bercerita

      Pilihlah cerita dan aktiviti bercerita yang bersesuaian dengan usia penonton. Dalam proses penceritaan ada beberapa eleman yang harus kita, pencerita titik beratkan.

  • Perancangan di atas kertas. Ia ibarat cetakan biru si pencerita.  
  • Plan tindakan. Ia harus juga merangkumi persediaan tempat aktiviti yang bakal dilakukan. Selalunya pencerita akan berada di  atas atau lebih tinggi kedudukannya daripada penonton. Pencerita juga harus bijak memancing 'mood' pendengar cilik mereka.
  • Perlunya interaksi dua hala. Tujuannya tidak lain dan tidak bukan adalah untuk mencari fokus penonton.
  • Perhatikan perkembangan penonton. Hal ini termasuklah kefahaman, penglibatan mereka dan bagaimana reaksi mereka terhadap penceritaan yang kita sampaikan.          

3) Teknik Bercerita

   Mungkinkah ada antara anda yang pernah menonton persembahan boneka? Pada zaman dahulu, wayang kulit adalah satu bentuk boneka tradisi yang sangat masyhur. Persembahan boneka, biarpun sejarahnya sudah lama, tetap menghiburkan penonton masa kini. Boneka, boleh merangsang kreativiti dan daya imaginasi penonton. Sepanjang empat hari bersama, kami dibenarkan bermain-main dengan pelbagai jenis boneka seperti sarung tangan, boneka tongkat, boneka jari, wayang kulit dan boneka mobail. Seingat saya, pada tahun 2011, persembahan wayang kulit yang pertama telah dimainkan oleh Tuan Rahimidin Zahari di Pesta Buku Kanak-Kanak Antarabangsa Bologna, Italy bagi memeriahkan ruang pameran delegasi dari Malaysia.

   Sebenarnya, proses penyediaan boneka sebagai alat bantuan penceritaan itu sendiri  merupakan satu cabaran yang harus kami selesaikan sebelum bermulanya sesi penceritaan. Kumpulan persembahan saya yang pertama  terdiri daripada lima orang ahli. Kami telah  diamanahkan dengan sebuah skrip yang berjudul Ratu Lebah Yang Tamak. Anda benar jika mengandaikan kesemua skrip dalam persembahan boneka kami pada hari tersebut tentunya buah tangan Cikgu Hashimi sendiri. 

   Dalam kisah kami, sekumpulan lebah telah dipaksa untuk mengutip lebih banyak  nektar bunga dari sebuah taman. Tidak jauh dari taman bunga tersebut, tinggal seorang penjual madu. Maka, pada suatu hari, kumpulan lebah ini telah mendapat idea untuk mencuri sahaja madu yang telah tersedia di rumah penjual madu dan membawanya pulang ke sarang. Tidak perlulah mereka bersusah payah untuk mengutip nektar dari sari bunga di seluruh taman lagi. Malangnya, ratu lebah yang tamak telah memaksa para pekerjanya mengosongkan kesemua balang madu milik si penjual. Nah, akibat ketamakan ini, mereka telah terperangkap di dalam balang madu apabila tiba-tiba sahaja, penjual madu datang lalu menutup balang-balangnya.


Kumpulan Ratu Lebah


   Biarpun kami tidak mempunyai masa yang cukup untuk berlatih (malah tidak berlatih langsung), pengalaman pertama bercerita menggunakan alatan boneka amat melucukan. Watak yang banyak dalam persembahan kami,  menjadikan kami agak kelam kabut. Akhirnya seusai penceritaan, kami diejek sebagai sekumpulan lebah yang gelojoh! 

   Tentunya yang paling teruk menjadi mangsa usikan mereka, sang ratu lebah. Tetapi kami berasa sangat seronok dan berlapang dada terhadap mana-mana teguran.  Berterima kasih atas mana-mana pujian. Setiap kritikan, kami pandang dari sudut positifnya. Kesemua kumpulan ada kelemahan dan kekuatan. Paling penting, setiap peserta bukan sahaja pulang dengan ilmu yang sarat dalam dada tetapi pengalaman dan ukhuwah yang nyata mesra. 



Dek kerana minat, saya sanggup membawa
dan menyelesaikan tugasan di rumah kerana kesuntukan masa.
Itu pun, saya masih belum berpuas hati dengan hasilnya!



Kumpulan Cempedak dan Semut



Kumpulan Penebang Pokok Yang Jujur
dan Kumpulan Pokok Epal.


    Terlalu banyak ilmu yang dapat dikutip dalam kesempatan berbengkel kali ini. Masih bertimpa soalan-soalan yang menerjah dalam minda saya sepulangnya dari Intekma Resort. Namun apakan daya, empat hari berlalu tanpa kami sedari. Ibarat bernafas dalam lena.

    Maafkan saya andai tidak termampu hendak berkongsi keseluruhan ilmu yang diperturunkan oleh Mama Tok, Ummi Sham dan Cikgu Hashimi. Sesungguhnya saya masih lagi dahagakan tunjuk ajar dan bimbingan mereka bertiga. Biarpun sayalah satu-satunya penulis yang berada di kalangan guru-guru, pengusaha, pencerita dan fasilitator pada bengkel tersebut, keserasian cepat bertaut. Kami memang menyayangi dunia kanak-kanak. Jika ada kekurangan pun mungkin dari segi kandungan kursus yang tidak seimbang antara teknik untuk kanak-kanak dan remaja. Hal ini boleh sahaja diperbaiki oleh pihak penganjur pada masa akan datang. Namun saya harus mengucapkan tahniah dan syabas kepada Perbadanan Kota Buku atas usaha mereka yang bersungguh. In sya Allah, kita bakal ketemu lagi.

    Selanjutnya, saya hidangkan anda dengan foto-foto yang diambil sepanjang sesi kami berbengkel. 


Teknik Saputangan



Daripada saputangan menjadi tikus comel.

Teknik surat khabar  - Kumpulan Dua Batang Pokok Mempelam

Teknik surat khabar - Kumpulan Gergasi.

Teknik surat khabar - Kumpulan King Kung Fu

      Pada hari terakhir, kami diberi tugasan bercerita menggunakan teknik surat khabar. Surat khabar biasa yang hitam dan putih atau yang berwarna-warni, kesemuanya jadi sangat berguna saat itu. Masing-masing berebut memilih bahagian yang dikehendaki untuk menjayakan penceritaan kumpulan masing-masing. 

King Kung Fu bersama tenaga pengajar.


    Setelah berbincang, kami sepakat menggunakan skrip cerita yang dikarang oleh Ummi Wan (Puan Wan Roslina), salah seorang peserta dan juga pengasas kepada sistem pembelajaran Little Ones Eduworld untuk tadika-tadika berkonsepkan Islami. Skrip tersebut diberi nama King Kung Fu; kisah seorang remaja lelaki yang pemalas. Tetapi setelah tinggal bersama datuknya di kampung, dia mulai berubah. Amanah untuk menjaga pokok belimbing madu daripada dicuri orang, bukan sahaja mengeratkan hubungan mereka berdua tetapi berjaya menukarkan sikap malas remaja itu kepada seorang yang lebih bertanggungjawab. Seperti setiap kumpulan lain yang hadir dengan lagu untuk menceriakan persembahan, kumpulan saya kali ini tidak mahu kalah juga. Kami memilih untuk mengetuk gelas mengikut irama lagu Mission Impossible dengan lirik yang berbunyi;

"King, king, king, king, king, 
king, king, kung fu!"

Aski kami sewaktu menyanyikan lagu King Kung Fu!


Tanpa peruntukan masa yang diperlukan untuk kami berlatih, memang terasa IMPOSSIBLE! Hehe... .


Mengajak penonton dan mentor-mentor beraksi sama.

   
      Berikut pula adalah koleksi gambar pelbagai aksi semasa persembahan dan aktiviti yang kami lalui bersama. Jangan lupa diisi semula cawan kopi anda yang mungkin sudah kering. Jangan ditahan pula andai mahu tersenyum atau tergelak sendiri... .

Lagi aksi teknik surat khabar.


Masing-masing tekun memintal tikus.

Puan Benny sedang berkongsi
lagu Oh, Roti Canai.
Ummi Wan dan Encik Chu
menyanyikan lagu kanak-kanak dalam mandarin.

Teknik surat khabar -
Kumpulan Arnab dan Kura-Kura
Wah, wah... lihat? Gajah-gajah comel menari.

Mama Tok dengan teknik tali. 


Teknik lipatan kertas - pintu istana saya.

      Teknik bercerita menggunakan lipatan kertas pula adalah teknik kegemaran saya. Teknik ini menggunakan dua saiz kertas. Terpulang jika mahu ia segi empat tepat atau segi empat sama. Teknik lipatan yang menggunakan kertas segi empat sama, biasanya dikenali dengan nama origami. Saya sukakan teknik ini kerana ia mengandungi unsur-unsur suspennya yang mengujakan. Setiap kali melipat, mahu tahu jadi apa! Agaknya kerana suatu ketika dahulu, saya memang gemarkan seni kraftangan sehinggakan gubahan hantaran perkahwinan kedua-dua orang adik saya pun memang seratus-peratus hasil sentuhan saya.   

    Selain daripada origami, satu lagi teknik penceritaan dari negara Jepun yang berjaya menambat hati saya ialah teknik Kamishibai. Teknik ini dikatakan sudah berusia hampir 83 tahun. Berasal dari Tokyo dan merupakan warisan penceritaan yang unik. 

Ingin tahu lebih lanjut tentang teknik Kamishibai ini? Jangan lupa kembali lagi ke Aku dan Kafe Buku. Janji?... . 


      Demikianlah perkongsian yang sempat saya hidangkan buat pelanggan setia kafe kita. Saya mohon budi bicara anda untuk memaklumkan terlebih dahulu sebelum mengambil mana-mana gambar pun dari kesemua entri kafe blog ini. Saya senang berkongsi. But I need to know with whom I am sharing it. 


Mama Tok menghiburkan kami dengan
Nyam Nyam Nyit.

Dua mentor yang saya kasihi lagi hormati -
Mama Tok bersama Ummi Sham.
Selain buku Nyam Nyam Nyit, Mama Tok juga menulis
Helang Berkaki Bumbung. Juga dua buah buku panduan bercerita
terbitan Ameen Books.



Sekian, terima kasih. Sila mampir kembali.

Salam manis,

Mazny M.R.