Pages

Friday 31 May 2013

Asian Festival of Children's Content 2013 (AFCC) I

Warna-Warni Festival Pengisian Sastera Kanak-Kanak Asia 2013


Aku dan Kafe Buku di AFCC 2013 - Singapura

    Enam hari mengejar ilmu di sekitar bangunan Perpustakaan Nasional, Singapura seperti berada dalam mimpi. Pantas sungguh masa berlalu. Setiap detik terasa sarat dengan pengalaman, pemerhatian dan perkongsian. Saya berhajat mahu menulis dari Kota Singa itu, namun apakan daya, jadual waktu yang padat dengan aktiviti dan seminar begitu meletihkan. Tambahan pula, talian internet yang terlalu lambat menyebabkan hasrat untuk membawa pengunjung Aku dan Kafe Buku ke sana secara langsung tidak kesampaian. Aduhai, tidak mengapa. Saya masih bisa berkongsi pengalaman menarik ini bersama anda, asalkan anda sudah bersedia dengan secangkir kopi panas seperti kebiasaan.

Festival ini berlansung dari 25 hingga 30 Mei 2013 dan bertempat di sekitar bilik-bilik seminar di dalam Bangunan Perpustakaan Nasional, Singapura. Ia terbahagi kepada tiga program utama iaitu;

  • AFCC Primary & Preschool Teachers Congress and Parents Forum
  • AFCC Writers & Illustrators Conference
  • AFCC Media Summit 
Usai pendaftaran, kami dibekalkan dengan sebuah beg berisi buku manual dan sebuah cenderamata yang sangat comel dan menarik. Kasihan, rupa-rupanya cenderamata itu tidak diberikan kepada semua orang. Ikut nasib, katanya! Malang sekali, nasib tidak menyebelahi saya. Ah, hal kecil! 

Namun pada masa yang lain, pihak penganjur telah mencuba sedaya upaya dalam memberikan kerjasama yang terbaik buat kami. Adat kehidupan, tiada yang sempurna di dunia nan fana ini. Tahniah juga buat mereka yang telah bertungkus-lumus menjayakan program bertaraf antarabangsa ini. Masih banyak lagi warna-warni AFCC 2013 nan ceria yang mahu saya kongsikan bersama teman-teman. Anda pencinta buku bergambar kanak-kanak (BBKK)? Ayuh!

Sebenarnya, jawatan kuasa penganjur telah berjaya menyediakan pelbagai seminar menarik sepanjang program ini berlangsung. Walaupun para peserta dilimpahi dengan pilihan yang merambangkan mata, kami terpaksa akur untuk tidak bersikap tamak. Dalam hal ini, saya dan beberapa orang delegasi dari Malaysia memutuskan untuk membahagikan kehadiran mengikut topik seminar yang menjadi pilihan. Kemudian, pada sebelah malamnya, kami akan berkumpul di bilik hotel dan bertukar-tukar informasi. Saya kira tindakan ini ternyata lebih bijak. Dapat juga kami mengambil giliran untuk berehat dan bersiar-siar seketika. 

Di bawah, saya catatkan kronologi perjalanan seminar selama tiga hari, yang sempat saya ikuti, bersama sedikit perkongsian ilmu dan gambar-gambar yang berkaitan.



Hari Pertama - 27 Mei  

@@@@

Susanne Gervay dan Wendy Orr
Tajuk:
Challange, Trauma dan Recovery in YA Fiction

Pembentang:
Susanne Gervay (Penulis)
Wendy Orr (Penulis)

  • Dalam sesi pertama ini, kami didedahkan dengan cabaran untuk menulis isu-isu yang 'berat' dan bagaimana ia seharusnya memberikan impak yang positif kepada pembaca remaja. 
  • Antara isu yang dikongsikan adalah tragedi kebakaran dan kemalangan yang merubah hampir keseluruhan makna kehidupan dalam diri remaja yang terbabit. Namun apakah pengajarannya atau lebih tepat lagi, nilai kehidupan yang dapat disalurkan kepada pembaca di luar sana?
  • Ketika ini, saya teringatkan kembali sebuah novel yang berjudul 'Kira-Kira' karya Cynthia Kadohata. Dalam 'Kira-Kira', dua watak protagonisnya merupakan adik beradik perempuan yang berbangsa Jepun namun dilahirkan di Amerika Syarikat. Apabila si kakak telah disahkan mengidap barah dan hanya mempunyai beberapa bulan sahaja untuk hidup, saya dapat merasakan pergelutan emosi yang memeritkan terjadi dalam diri si adik kerana bakal kehilangan. Saya juga merasakan keberanian si kakak sesudah dia tahu, dirinya akan meninggal tidak lama lagi. Sebagai makluman, novel ini dinobatkan sebagai pemenang hadiah Newberry Medal Winner bagi sastera kanak-kanak pada tahun 2005.
  • Nah, berapa ramai antara kita yang sanggup menulis subjek sedih sebegini? Selalunya kita akan terlepas pandang. Atau mungkin tidak. Sebaliknya, kisah sebegini dikatakan tidak akan 'laku keras' dan 'tidak mengikut trend pasaran'. Patutkah, kisah-kisah cinta ala pari-pari atau percintaan bersifat mistik yang lebih menjadi sogokan para remaja tanah air? Fikir-fikirkan... .
  • Bagaimanakah dengan isu mangsa penculikan? Pembulian? Penderaan seksual? Perdagangan manusia (dalam konteks ini, remaja)? Atau yang selalu kita terlepas pandang adalah isu penceraian. Berapa ramaikah cerdik pandai yang telah membicarakan hal-hal teknikal isu penceraian di corong-corong radio tetapi pernahkah kita menghalusi apakah kesan-kesan emosi, jangka panjang mahupun jangka pendek terhadap remaja dan kanak-kanak?
  • Kadang kala, isu 'berat' sebegini tidak dapat diperbincangkan secara langsung dengan remaja yang terlibat kerana zaman remaja sebenarnya adalah zaman yang agak rapuh. Zaman di mana mereka masih mencari identiti dan memerlukan sokongan secara tidak formal. Oleh sebab itu, saya merasakan dunia perbukuan terutamanya fiksyen adalah pintu yang terbaik untuk mendekati dunia mereka.
  • Saya juga percaya, ada ramai penulis di luar sana yang mempunyai bahan untuk diangkat, namun persoalan utamanya, adakah pihak penerbit berminat?
  • Dalam menulis untuk khalayak remaja, Susanne dan Wendy telah berpesan berulang-ulang kali kepada hadirin, "Menulislah dengan jujur!" 
  • Takat kejujuran seperti apakah yang harus dicapai, saya kira memerlukan satu sesi lain yang lebih panjang daripada satu jam di AFCC.

@@@@

Vivian dan Marjorie. Sayang sekali,
Michelle yang manis tidak kelihatan dalam gambar ini.
Tajuk:
Fostering Relationships Within the Blogging Community
Michelle Chew (Blogger dan Pengulas Buku)
Vivian Kirkfield (Blogger, Pendidik dan Pengulas Buku)
Marjorie Coughlan (Blogger dan Pengulas Buku)

  • Seminar ini memperkatakan tentang kaedah berblog dengan lebih efisyen agar ia dapat membantu meningkatkan kecantikan sosial penulis. 
  • Vivian Kirkfield, menyebutkan bahawa dengan berblog, beliau dapat berhubung secara langsung dengan masyarakat seluruh dunia. Mula menulis sejak dua tahun lalu, Vivian tidak pernah menyangka beliau akan berada di AFCC 2013 ini sebagai pembentang. Begitulah kesungguhannya dalam menyebarkan kasih sayang dan ilmu melalui blognya yang bernama  'Picture Books Help Kids Soar'. Anda boleh mencarinya pada pautan di bawah nanti.
  • Menurut Vivian, BBKK boleh dijadikan alat untuk membentuk keyakinan diri insan pada usia yang sangat muda. Dengan menulis ulasan BBKK di dalam blognya, beliau dapat membantu ibu bapa membuat pilihan yang terbaik sebelum mendapatkan BBKK di kedai-kedai buku. Begitulah antara kepuasan yang diperolehinya selain dapat menjalinkan hubungan yang positif dengan para pembaca. 
  • Vivian dan Marjorie turut berkongsi beberapa tip tentang dunia blog dan bagaimana rangkaian hubungan sesama pemblog dapat menjadi efektif lalu membantu menaikkan promosi dan capaian blog masing-masing. Hal ini bisa juga terjadi jika anda rajin melawat blog orang lain dan meninggalkan komen-komen yang bernas. Seperkara yang harus dititikberatkan adalah pekerti dan etika kita selaku penulis blog. Kita tidak seharusnya terlibat dalam komen-komen yang tidak matang dan boleh menimbulkan provokasi percuma. Mengenali Vivian selama beberapa hari di AFCC, saya percaya beliau adalah seorang yang baik hati dan berfikiran terbuka. 
Pesan mereka kepada kami, "Just be yourself!"

Pautan laman web Vivian Kirkfield - http://viviankirkfield.com/
Pautan lama web Marjorie Coughlan - http://www.papertigers.org/


Selamat mencuba!

@@@@

Tajuk:
Workshop: The Art of Reviewing Children's Books

Pengendali:
Marjorie Coughlan (Blogger dan Pengulas Buku)
  • Marjorie Coughlan merupakan seorang penulis blog dan pengulas buku yang tidak asing lagi. Laman webnya, Papertigers adalah antara yang termahsyur di kalangan pengulas buku. Telah saya letakkan pautan ke blog Marjorie di atas. Anda boleh klik dan layari sendiri untuk mengetahui apakah yang diperkatakan oleh beliau melalui mediumnya itu.
  • Baiklah, dalam sesi kali ini, kami diberikan sedikit penerangan mengenai struktur atau komponen yang perlu ada dalam seni mengulas buku bergambar kanak-kanak. Antaranya;

  1. Tajuk buku
  2. Nama penulis dan pelukis
  3. Nama penerbit
  4. Gambar kulit buku
  5. Sedikit sinopsis berdasarkan olahan pengulas ataupun boleh juga  digunakan blurb pada belakang buku.
  6. Letakkan limitasi dari segi jumlah perkataan agar anda tidak terbawa-bawa mengarang sebuah buku pula! Bagi BBKK, beliau menyarankan setakat 350 perkataan. Manakala bagi buku YA (remaja) sebanyak lebih kurang 420 perkataan. 
  7. Pengulas yang baik tidak sepatutnya menulis untuk mempengaruhi tetapi  haruslah memberikan informasi yang terbaik kepada bakal pembeli. Ini bermaksud, ada sisi baik dan buruk yang perlu dikongsikan secara jujur.

  • Boleh juga dimasukkan karya-karya penulis buku tersebut sebelum ini, khususnya jikalau penulis itu pernah memenangi hadiah atau anugerah. Ini bertujuan untuk menyuntik kekuatan kepada kredibiliti buku yang sedang diulas.
  • Sebutkan juga faktor X yang anda kesan dalam BBKK tersebut. Contohnya, asal usul teknik lukisan yang digunakan dalam ilustrasi. Ini dapat menimbulkan ciri istimewa BBKK yang diulas.
  • Turut disentuh dalam sesi ini adalah cara mengulas ketulenan sesebuah cerita terutamanya kisah yang berkaitan dengan sastera Asia dan kemajmukan budaya. Mungkin ada isu yang menjadi agak sensitif untuk diulas. Pesan Marjorie, si pengulas harus mengulas dalam kerangka yang lebih selamat iaitu memperkatakan tentang 'Objectivity vs Subjectivity'.
  • Saya kira, di sinilah terletaknya budi bicara, kebijaksanaan atau pengetahuan am pengulas sama ada secara formal atau tidak formal terhadap isu-isu terbabit.
  • Akhir sekali, kami diminta memilih sebuah buku untuk dituliskan ulasannya dan Marjorie akan memberikan maklumbalas. Kepada sesiapa yang tidak sempat menyiapkan tugasan tersebut, masih boleh berhubungan dengannya melalui emel. 

@@@@



Hari Kedua - 28 Mei 

@@@@


Naomi Kojima - Penulis dan Pelukis BBKK dari Jepun


Tajuk:
Reaching for the World: The Art of Asian Illustrators in Children's Books

Pembentang:
Naomi Kojima (Penulis dan Ilustrator)
  • Apakah yang menjadikan sesebuah buku cerita itu dibaca berulang-ulang kali? Apakah yang membolehkan ia mengembara dan dikongsikan di serata dunia? 
  • Jawapannya terletak kepada ilustrasi. Cerita yang hebat harus dibantu dengan ilustrasi yang hebat juga. Hal ini terjadi kerana falsafah 'Don't judge a book by it's cover' sudah lapuk dan tidak boleh diguna pakai dalam penghasilan buku bergambar kanak-kanak.
  • Naomi berkongsi beberapa nama penulis dan pelukis buku bergambar dari seluruh Asia yang telah memenangi hadiah di peringkat antarabangsa seperti;
  1. Sybil Wettasinghe - Sri Lanka
  2. Zhu Cheng Liang - China
  3. Ryoji Arai - Japan
  4. Durga Bai - India
  5. Chih-Yuan Chen - Taiwan
  6. Iku Dekune - Japan
  7. Lee Young-Kyoung - Korea
  8. Yusof Gajah - Malaysia
  9. Jainal Amambing - Malaysia
  10. Baasansuren Bolormaa - Mongolia
  11. Taro Gomi - Japan
  12. Chihiro Iwasaki - Japan
  • Menurut Naomi lagi, kurang lebihnya begini, "An illustrator should not only know how to draw but must know how a picture book functions. A picture book itself is an art of expression."
Anda bolehlah melakukan pencarian sendiri pada nama-nama berikut sebagai bahan rujukan.


@@@@


Nicholas Mark dari Australia, menukangi karya 'Petualangan Anak Indonesia'
menggunakan bahasa Indonesia sepenuhnya.

Tajuk:

Young Professional's Journeys

Pembentang:
Nicholas Mark (Penulis)
James Foley (Penulis dan Ilustrator)
Cinthia Koeksal (Penulis)
  • Sewaktu menemui beliau, agak mengejutkan juga apabila sapaan saya dibalas dalam bahasa Indonesianya yang amat fasih. Rupa-rupanya bahasa Indonesia sudah menjadi begitu akrab dengan beliau sejak dari kecil lagi. Buku berkonsepkan pengembaraan yang berjudul 'Petualangan Anak Indonesia' ini sebenarnya merupakan tugasan penilaian tahun pertamanya di Universiti of Sydney (2007). Beberapa tahun selepas itu, Nicholas menerbitkan karyanya bersama penerbitan 'GREAT! Publishers' dari Galang Press Group yang beroperasi di Yogjakarta.  
  • Sayang sekali, saya tidak berpeluang menghadirkan diri sepenuhnya dalam seminar ini lantaran perlu bergegas ke sebuah seminar yang telah ditetapkan terlebih awal. Hati bagaikan berbahagi dua! Mujur sebelum melangkah pergi, seorang petugas menghulurkan sedikit informasi bercetak mengenai pembentang kepada saya. Jadi, berikut adalah sedikit sebanyak mengenai buku nukilan Nicholas Mark, pembentang pertama untuk sesi tersebut.
  • Buku ini juga telah ditulis dalam bahasa Inggeris dengan judul 'The Indoventures'. Ia menggarap latar kepulauan Bali, Sumatera dan Jawa sebagai tema penceritaan. Buku pengembaraan ini mendapat sentuhan ilustrator dari Indonesia, Bambang Shakuntala.
  • Seperkara lagi yang menarik tentang buku ini, ia telah diserap sebagai sebahagian daripada program pembelajaran bahasa Indonesia dan unit 'Engagement with Asia' di sekolah-sekolah di Australia. Ia juga digunakan dengan meluas di sekolah-sekolah sekitar Indonesia sebagai salah satu daripada 'program BRIDGE', kerjasama bersama Kerajaan Australia. 
Agak terkilan juga kerana saya tidak dapat membeli buku ini dan pendapatkan tandatangan penulisnya sewaktu AFCC berlangsung. Mungkin jika ada rezeki, di lain masa, insya-Allah.

(Sekiranya berpeluang, ingin sekali saya ketahui proses kreatif penulisan buku ini. Tentu menarik untuk kita kongsikan bersama sambil minum-minum petang di blog Aku dan Kafe Buku. Setuju?)


@@@@

Tutu Duta giving a presentation on adapting Asian Folklores.
Tajuk:
Adapting Asian Folklore for Children's and YA Literature

Pembentang:
Tutu Duta-Yean (Penulis dan Ilustrator)
  • Percayalah, negara-negara Asia sangat kaya dengan khazanah cerita-cerita rakyat. Masih ada yang perlu digali. Tidak kurang pula yang harus diberikan nafas baharu. Sedari kecil lagi, saya sudah terdedah dengan kisah kelicikan Sang Kancil dan versinya yang pelbagai. Selain daripada itu, filem-filem klasik turut memainkan peranan utama dalam mengangkat cerita-cerita rakyat buat khalayak penonton. Masih ingatkah anda kepada cerita-cerita 'hitam putih' di skrin televisyen berbentuk segiempat? Tetapi apakah pentingnya cerita rakyat kepada generasi muda masa kini?
  • Antara cerita rakyat yang masih segar dalam ingatan generasi muda adalah seperti Bawang Putih Bawang Merah, Pak Pandir, Pak Kaduk, Si Luncai dan sebagainya. Kebetulan, sebelum ke Singapura, saya baru sahaja menghabiskan sebuah buku tulisan Puan Siti Zaleha Ismail yang berjudul Mengenali Cerita Rakyat terbitan ITBM. Sememangnya bertepatan sekali sesi pada kali ini dengan subjek kajian penulisan saya.
  • Menurut Tutu Duta, pengaruh cerita rakyat dalam karya semasa, baik untuk BBKK atau Young Adult (YA) sudah lama dilakukan. Terdapat beberapa teknik penyerapan cerita rakyat dalam karya yang boleh dilakukan oleh penulis masa kini, antaranya:

  1. Menggunakan kisah dalam cerita rakyat sebagai pelengkap atau bahagian utama dalam plot manuskrip yang ditulis. Beliau memberikan contoh buku The Plum Rain Scroll, The Dragon Stone dan The Peoney Lantern karya Ruth Manley dalam sesi penerangan.
  2. Menggunakan pengembaraan atau pencarian sebagai rangka cerita dan memasukkan beberapa kisah dari cerita rakyat yang sedia ada ke dalamnya. Dalam hal ini, beliau memberikan contoh melalui buku Where The Mountain Meets The Moon karya Grace Lin sebagai perbandingan.
  3. Penceritaan semula. Apa yang dimaksudkan di sini bukanlah melakukan terjemahan, sebaliknya menceritakan kisah yang sama tetapi dalam 'suara penceritaan' anda sendiri.

  • Menurutnya lagi, kajian yang mendalam adalah aspek terpenting dalam penulisan cerita rakyat. Ini kerana kebiasaannya, cerita-cerita rakyat berlegar dari mulut ke mulut dan mengalami proses ditokoktambahkan dari satu generasi ke generasi selepasnya. Antara sumber yang diperolehi adalah internet, suratkhabar, buku-buku rujukan dan sebagainya. Oleh sebab berlakunya proses evolusi secara tidak langsung dalam cerita rakyat, kisah yang kita dengar pada hari ini, mungkin mengandungi pelbagai versi. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk gambar di bawah.

Sumber rujukan untuk menulis cerita rakyat.
  • Ada seperkara lagi yang perlu diberikan perhatian sewaktu membuat kajian dalam subjek ini. Hal-hal yang disangka remeh temeh sebenarnya sangat membantu dalam mencantikkan lagi pengkisahan cerita anda. Perkara-pekara itu seperti nama tumbuh-tumbuhan, nama-nama tempat, kebudayaan setempat bagi melengkapkan latar masa, nama-nama watak, jenis haiwan, tarikh kejadian dan sebagainya amat membantu dalam menghidupkan jalan cerita anda nanti.
  • Sebagai contohnya, apabila berkongsi mengenai proses kajian yang telah dilakukan, beliau telah berjumpa dengan nama-nama ini; Tanjungpura, Han Kingdom (China), Hindustan (India), Melaka (Malaysia) dan Majapahit (Indonesia) lalu mengambil keputusan untuk memasukkannya ke dalam penceritaan. 
  • Rujukan silang juga penting dalam pengukuhan kajian. Ini boleh terjadi dengan melakukan pembacaan lebih daripada satu dua buku. Malah lawatan ke tempat-tempat tertentu juga mungkin bisa membantu.

@@@@

Akiko Sueyoshi
Tajuk:
Japanese Perspectives

Pembentang:
Akiko Sueyoshi (Penulis)
Etsuko Nozaka (Penulis, Ilustrator dan Pencerita)

  • Teknik penceritaan Kamishibai tidak perlu saya perkenalkan lagi. Jika anda adalah pengunjung tetap kafe ini, pasti anda pernah membaca mengenainya suatu ketika dahulu. Jika belum, boleh membuat semakan dalam arkib entri saya di sebelah kanan blog. Carian pada bulan April 2013.
  • Kamishibai mula diperkenalkan seawal kurun ke 12 oleh penjual jajan di sekitar Tokyo lalu berkembang menjadi satu teknik penceritaan yang kekal diminati ramai sehingga ke hari ini. Saya sendiri merupakan peminat Kamishibai dan amat berbesar hati andai dapat melibatkan diri dalam menggerakkan seni penceritaan ini di Malaysia suatu hari kelak.
  • Tidak banyak yang dapat dikongsikan dalam sesi kali ini. Selain daripada persembahan Etsuko Nozaka di awal pembentangan, Akiko Sueyoshi menceritakan kepada kami bagaimana beliau mula menulis dan apakah yang mendorong beliau terus menulis cerita kanak-kanak.
  • Menurut Akiko, BBKK menjadi penting dalam menerangkan kepada kanak-kanak perihal perkara-perkara tertentu seperti kisah peperangan, kisah hantu, kisah bencana alam, kisah fenomena alam dan sebagainya. Dalam hal ini, saya amat bersetuju sekali. Garapan cerita yang ditulis dengan  baik dan dilukis ilustrasinya dengan menarik, bisa menyampaikan maksud yang lebih mendalam kepada para pembaca cilik. Sesuatu yang tidak dapat dilakukan secara langsung.
Entiti hantu bukanlah sesuatu yang patut ditakuti oleh kanak-kanak.

Antara buku Akiko yang telah diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa.

Lagenda yang diangkat menjadi cerita kanak-kanak.

Demikianlah telitinya mereka dalam menyampaikan ilmu dan pendidikan secara tidak lansung melalui adaptasi BBKK kepada sebuah lagi medium penceritaan - Kamishibai. Malah menurut Etsuko Nozaka sendiri, "Kamishibai is really good in expressing emotions." 

Bakal bersambung... 




Thursday 23 May 2013

Perihal Ilustrasi Buku Bergambar Kanak-Kanak

Lagi Perihal BBKK...


 
Me and my life...
 

   Dalam bulan ini, setiap kali saya meneliti statistik pembacaan pengunjung kafe, entri mengenai penulisan buku bergambar kanak-kanak (bbkk) pasti akan menduduki carta tertinggi. Mengapa ya?... Adakah ini seakan memberi petunjuk awal bahawa industri penerbitan bbkk tanah air sedang berkembang dengan pesatnya?... .

    Baiklah, bagi meraikan perkembangan yang positif ini, saya berhasrat untuk menyambung sedikit perkongsian dalam pembikinan buku bergambar kanak-kanak. Walaupun saya masih baru dalam genre penulisan ini tetapi saya percaya, ramai lagi calon-calon penulis atau mungkin juga penulis-penulis lain yang sudah lama berada dalam bidang penulisan, turut berminat dan ingin tahu lebih lanjut tentang perkara-perkara teknikal dalam pembikinan bbkk. 

Ayuh, sediakan kopi panas. Tarik kerusi dan duduk bersembang bersama saya. 
Oh, jangan dirisaukan si Jelly Bean. Biarkan saja dia menjilat-jilat kek cawan di atas meja!

   Dalam entri terdahulu, telah saya nyatakan beberapa peraturan dalam penulisan bbkk. Mungkin perlu saya tekankan sekali lagi, tidak semua penceritaan bagi bbkk dapat kita luahkan menerusi prosa kata atau perkataan. Oleh sebab itu, aspek ilustrasi juga memainkan peranan yang amat penting dalam menyampaikan sesebuah penceritaan. Boleh dikatakan, peratusan pengaruh teks dan ilustrasi adalah dalam julat 50% - 50%.

    Begitu pun, ada juga bbkk yang tidak mengandungi teks langsung. Dalam hal ini, penceritaan terletak 100% pada tarikan gambar dan ilustrasi yang mana akan membantu pembaca membina imaginasi dan pemahamannya yang tersendiri terhadap karya tersebut. Buku sebegini amat sesuai untuk pembaca cilik yang masih belum tahu membaca dan sedang belajar membina kosa kata dalam perbualan seharian. Buku-buku seperti inilah yang akan membantu mereka memahirkan seni percakapan; dengan berfikir dan berucap. 

   Jika anda seorang penulis dan tidak memiliki kemahiran untuk melukis ilustrasi, adalah penting bagi anda bekerjasama dengan mana-mana ilustrator dari dalam, mahupun luar negara. Dapatkan nama-nama kumpulan ilustrator daripada teman-teman ataupun laman-laman sosial seperti Facebook dan sebagainya. Ada kala, anda perlu juga turun padang, bergaul dan melebarkan jaringan kenalan sebagai persediaan anda untuk mengenal pasti, siapakah antara mereka (ilustrator) yang boleh memahami penceritaan yang mahu anda sampaikan. Selain daripada itu, amat penting juga anda perhatikan, adakah karya-karya lukisan mereka bertepatan dengan konsep dan gaya penulisan anda sendiri. Ya, penting. Ini bukan masalah cerewet atau tidak. Apabila si penulis dan pelukis sama-sama memberikan komitmen yang tinggi dalam penghasilan karya masing-masing, tentulah matlamat terakhir mereka  mahukan bbkk tersebut berjaya menarik minat khalayak pembaca. Oleh sebab itu, keserasian itu AMATLAH penting. 

    Keserasian begitu boleh saja tercapai dengan mengadakan pertemuan demi pertemuan antara kedua belah pihak. Lebih mudah, jika penulis sudah terbiasa dengan hasil lukisan ilustrator yang menjadi pilihan hati. Pengamatan peribadi saya, memanglah setiap ilustrator yang sudah punya nama itu memiliki karya yang mantap namun, peluang harus diintai juga dari kalangan mereka yang masih baharu. Apa yang penting ialah komitmen dan keserasian untuk bekerjasama. Mulakan pencarian anda dengan membelek-belek bbkk tempatan yang kian banyak di pasaran sekarang. 'Berkenalan' dengan hasil kerja para ilustrator. Siapa tahu, anda mungkin bertuah bertemu 'jodoh' yang dicari-cari selama ini.

   Mengenai ilustrasi, terdapat pelbagai bentuk atau jenis yang perlu diberi perhatian. Antaranya, bentuk catan, lukisan akrilik, digital, kolaj, media campuran dan sebagainya. Terlalu panjang untuk saya ulas dan menulis secara panjang lebar bagi setiap satu. Saya kira, selaku penulis, anda tentu sudah mahir dalam melakukan kajian terhadap projek-projek anda. Iya' kan?... 

    Oh, alangkah bertuahnya pula selain daripada boleh menulis, anda juga dianugerahi bakat untuk melukis!... Hal ini saya temukan dalam diri beberapa orang teman penulis. Mungkin suatu hari, saya akan menulis tentang mereka pula. Tentu anda ingin tahu siapakah insan-insan istimewa ini! He...he...he, harap bersabar... . Yang penting, selalu-selalulah kembali menjengah kafe kita ini.

   Sebenarnya, bakat itu boleh digilap. Sepertimana halnya dengan bidang-bidang yang lain seperti memasak, menyanyi, bermain muzik, bersukan dan menulis, saya percaya melukis juga memerlukan kesungguhan untuk berjaya. Terdapat pelbagai jenis buku yang ada di pasaran mengenai teknik-teknik melukis. Malah jika anda rajin, dalam laman Youtube juga tidak terkira banyaknya. Rajinkan diri mencari. Buat diri saya, ia bukanlah suatu hal yang membuang masa seperti apa yang pernah dibebelkan oleh mereka yang tidak mengerti. Meluangkan masa melayari internet kerana mencari bahan bukanlah membuang masa. Melainkan anda terbawa-bawa dan menyimpang daripada tujuan asal. Jika terjadi hal yang sedemikian, segera hentikan. Tutup komputer riba anda dan pergilah melakukan aktiviti-aktiviti lain sebelum kembali menyambung proses tersebut. 

Ya, bukan senang hendak bergelar penulis atau pelukis. Sebelum memulakan karya, pelbagai dugaan dan halangan yang terpaksa kita tempohi. Kekuatan itu akan datang apabila kita selalu berada dalam kelompok yang betul iaitu orang-orang yang memahami dan berkecimpung dalam bidang yang sama. 

    Sebenarnya, ada banyak lagi yang mahu saya kongsikan dengan para pengunjung Aku dan Kafe Buku ini. Sekiranya saya teruskan menulis di sini, tentu akan mengambil masa yang agak lama dan menyebabkan jadual kerja beberapa projek lain terganggu atau terabai. Maafkanlah saya. Masa bukanlah musuh sebenarnya. Tetapi keinginan melakukan sesuatu dengan baik dan bersungguh-sungguh itulah yang mungkin menyebabkan saya selalu lambat dan kesuntukan masa. Ah, tidak mengapa, sedikit-sedikit, lama-lama pasti akan membukit. Begitulah resamnya orang berusaha. Ayuh, sama-sama kita menuju ke arah kejayaan dengan berbuat baik dan bantu-membantu antara satu sama lain. Saya percaya, orang yang memberi, akan lebih diberkati daripada yang menerima. Insya-Allah. 

Sekian dahulu coretan kali ini. Pastinya saya merancang untuk menulis lebih banyak lagi info tentang pembikinan bbkk ini. Oh, sebelum terlupa, pada 24 sehingga 30 Mei 2013 ini, saya akan menyertai delegasi Malaysia ke Asian Festival of Children's Content di Singapura. Apa?... Anda mahu turut serta? Alahai, boleh, apa salahnya! Jika tidak berpeluang pun, nantikan saja kepulangan saya. Tentu ada saja cerita-cerita menarik yang bakal saya kongsikan dengan para pengunjung setia. Insya-Allah, doakan keselamatan dan keberkatan perjalanan kami, ya? Terima kasih! 

Saya tinggalkan anda bersama kafe kita dengan sebuah catan hasil karya saya. Ia mungkin tidak seberapa namun ia adalah suatu permulaan bagi saya. Tinggalkan komen-komen anda. Akan saya keluarkan sekembalinya saya dari Kota Singa itu. Apa juga yang anda lakukan di kafe ini, amat saya hargai. Yeah, hingga ketemu lagi... doa dan manis buat semua!



Catan Jelly Bean ini belum siap sepenuhnya.
Bagaimana, bolehkah?... 



Mazny M.R.

     

Sunday 19 May 2013

Buku Elektronik Bergambar Kanak-Kanak

Buku Elektronik Pertama Saya!


Kaver buku sementara di hari pelancaran.

   Alhamdulillah, setelah menunggu selama hampir setengah tahun, akhirnya buku bergambar kanak-kanak saya yang pertama, muncul juga pada tahun 2013 ini. Bersyukurnya ke hadrat Allah kerana setelah berjerih memerah otak dan berulang-alik ke Negeri Sembilan, kini kami sudah boleh tersenyum kelegaan. Pada tarikh 17 Mei 2013 nan lalu, bertempat di Kompleks Belia dan Sukan Paroi, Negeri Sembilan, lahirlah sebuah koleksi puisi kanak-kanak di bawah nama Koleksi Karya Negeri Sembilan. Karya-karya ini lahir daripada Bengkel Penulisan dan Ilustrasi Bergambar Kanak-Kanak 2012, bimbingan Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN), Perbadanan Kota Buku dan juga Gajah Gajah Galeri yang pernah saya sertai suatu ketika dahulu.

Antara barisan penulis yang hadir bersama Datuk Zainal, Bonda Mahaya
dan Mama Zakiah yang mewakili Pak Yusof dari Gajah Gajah Galeri.

   Majlis comel ini adalah anjuran PEN dan Perbadanan Kota Buku serta dirasmikan oleh Yang Berbahagia Datuk Zainal Abidin Borhan, Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan merangkap Ketua Dua GAPENA. Antara amanat yang disampaikan oleh Datuk Zainal pada pagi itu adalah menyeru agar kami, para penulis yang berkecimpung dalam penulisan sastera kanak-kanak ini agar terus mara mengangkasakan kesusasteraan kanak-kanak tanah air. 

   Ucapan susulan pula oleh Puan Mahaya Mohd. Yassin sendiri, selaku Ketua Satu PEN, telah menyuntik semangat sebahagian daripada penulis yang turut hadir ke majlis tersebut agar jangan terhenti setakat karya pertama, tetapi haruslah meneruskan perjuangan masing-masing dengan sasaran yang lebih mantap bagi menghasilkan lebih banyak lagi karya-karya bermutu pada masa akan datang. Haparan yang turut berbisik dalam nurani saya membunyikan, bukan sahaja setakat di peringkat kebangsaan tetapi jika dengan izin Tuhan, alangkah moleknya hingga ke persada dunia? Insya-Allah. 

   Turut dirasmikan pada hari itu ialah dua buah buku memoir karya Puan Mahaya Mohd. Yassin, Kuasa Kata dan sebuah buku puisi kanak-kanaknya, Alhamdulillah yang juga termasuk dalam Koleksi Karya Negeri Sembilan tersebut. 

Ini hanyalah kaver sementara sempena majlis pelancaran.
Insya-Allah apabila terbit nanti, ia bakal bersalin kulit.
Nantikan kemunculannya di kafe ini.

   Secara peribadinya, buku bergambar kanak-kanak saya yang pertama ini bakal mencatat dua sejarah terpenting dalam rentetan perjalanan saya selaku seorang penulis. Buku puisi kanak-kanak saya yang berjudul MENJADI BINTANG, bukan sahaja merupakan buku bergambar kanak-kanak pertama yang saya lahirkan dalam kerjaya penulisan tetapi mencipta sejarahnya tersendiri sebagai buku elektronik pertama bagi Mazny M.R. 

Begitulah, yang sudah tersurat. Segala-galanya ketentuan Tuhan. Selagi terdaya, saya tetap akan menulis demi sebuah kompas penulisan yang masih kejap dalam genggaman. Terima kasih kepada yang sudi mendoakan. Tidak lupa juga yang terus memberikan sokongan. Terima kasih kerana terus kembali ke Aku dan Kafe Buku bagi menyambung ukhuwah dan kasih sayang kita. 

Jangan pergi lama-lama, kembali semula untuk mengetahui perkembangan selanjutnya mengenai pemilik kafe ini nanti. Jumpa lagi!

Pssst! Apakah bisa tangan yang terbiasa menari di aksara ini, kini kian gemalai membelai lukisan? Oh, apakah mungkin?... .

Nantikan! 

Selamat bekerja wahai pencari rezeki nan halal.

Tuesday 7 May 2013

Perihal PBAKL13

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2013 (PBAKL13)

Yang Menarik...

Majlis pelancaran yang dirasmikan oleh Dr. Awang Sariyan.
Empat buah buku judul baharu dan 24 buah buku terbitan semula.
Tahniah!
  • Secara peribadi, sambutan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) pada tahun ini, saya  mulakan dengan menghadiri majlis pelancaran buku bergambar kanak-kanak terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada hari pertama pesta berlangsung. Majlis bersejarah ini telah dirasmikan oleh Ketua Pengarah DBP sendiri, Dr. Awang Sariyan.
Ketua Satu PEN, Puan Mahaya Mohd. Yassin.
  • Antara penulis yang terlibat dalam majlis pelancaran tersebut ialah Puan Mahaya Mohd. Yassin, Ketua Satu Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN) dan juga seorang penulis yang telah menghasilkan beberapa buah buku bergambar kanak-kanak seperti Ayahku Pulang, Keduduk Pohon Larangan, Anak Angkat Singa dan yang terbaharu dilancarkan pada pagi itu, Kuda Dengan Singa. Buku bergambarnya yang berjudul Kucing Dengan Tupai pula pernah memenangi Hadiah Buku Terbaik Sekolah Rendah pada tahun 1979. Wah, ketika itu, saya baru berusia 7 tahun!
  • Puan Mahaya juga merupakan mantan pensyarah di Maktab Perguruan Raja Melewar. Beliau juga mengelolakan ruangan Ulasan Puisi dalam majalah Dewan Siswa dan bergerak aktif dalam Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN). 
Antara orang ramai yang turut meraikan majlis pelancaran. 
  • Seorang lagi penulis yang bukunya turut dilancarkan pada pagi itu ialah Puan Hasniah Hussain atau lebih dikenali dengan nama Mama Tok. Jika anda merupakan pelanggan tetap Aku dan Kafe Buku, tentu anda pernah terbaca coretan saya mengenai beliau sebelum ini. Seri Cicirama Cantik merupakan karya terbaharu beliau bersama DBP. Sebenarnya selain menjadi seorang penulis dan pencerita, Mama Tok juga sangat berpengalaman dalam pementasan teater kanak-kanak. Bahkan, beliau pernah memenangi hadiah Peraduan Menulis Skrip Drama Kanak-Kanak anjuran TEMA dan Exxonmobil suatu ketika dahulu dan terpilih sebagai salah seorang daripada empat pencerita terbaik di Festival Kanak-Kanak yang baru berlangsung di Iran tahun ini.  
Kuda Dengan Singa (Mahaya Mohd. Yassin) dan
Seri Cicirama Cantik (Hasniah Hussain)
  • Kedua-dua orang tokoh penulis buku bergambar kanak-kanak ini merupakan mentor penulisan saya yang semangatnya sangat saya kagumi. Bayangkan dalam usia sebegini, mereka masih lagi gigih berkarya demi memastikan lahirnya bahan-bahan bacaan yang berkualiti buat generasi akan datang. Saya tabik hormat kepada Bonda dan Mama Tok! Dengan izin Allah, saya ingin menyerap semua kekuatan mereka.
Siapa yang tidak kenal Puan Siti Zaleha M.Hashim?
Suaranya bak buluh perindu. Kata-katanya lembut namun penuh bermakna, menusuk kalbu.
Beliau adalah antara penyair wanita mapan kesayangan saya. Karya-karyanya
begitu dekat dengan hati. Bertemu dan mendapatkan autografnya merupakan satu daripada
kenangan terindah PBAKL tahun ini.  
  • Selain sibuk membeli-belah, saya juga telah meluangkan masa mengikuti dua buah forum anjuran Kota Buku dan dikendalikan oleh Kursuspenulisan.com. Forum-forum tersebut diberikan secara percuma oleh pihak Kota Buku. Antara yang saya ikuti ialah Forum Menjadi Penulis Sepenuh Masa (Tuan Ramlee Awang Mursyid bersama Tuan Zahiruddin Zabidi) dan Forum Ayat-Ayat Magis Menarik Pelanggan (Tuan Afiq Azizan). Terdapat dua lagi forum yang menarik seperti Forum Buku Bergambar Kanak-Kanak dan Forum Penulisan Skrip Dari Buku ke Layar. Namun saya harus akur, lautan buku perlu saya selami juga.
  • PBAKL ibarat hari raya pencinta buku. Sama ada anda bergelar penulis, pelukis, penerbit atau pembaca, inilah saat yang ditunggu-tunggu dalam setahun. Puluhan ribu yang membanjiri PBAKL. Namun pada tahun ini, saya rasa amat bertuah kerana sempat beramah mesra dengan ramai rakan penulis dan juga pembaca. Termasuklah beberapa orang rakan baharu dari dalam dan luar negara. 
Mr Summit Bhattacharjee from the National Book Trust, India.
We had a nice talk and thank you for the books. 
  • Dua hari saya duduk bersila di satu-satunya gerai wakil penerbitan dari India. Sebenarnya, gerai tersebut tidak menjual walau sebuah buku pun  sebaliknya memperdagangkan hak cipta penerbitannya sahaja. Oleh sebab saya pernah menyelusuri kedai-kedai buku di India, saya tahu bagaimana murahnya buku di sana. Cuma agak terkilan kerana saya bukan pembeli hak cipta. Apabila diminta menghulurkan kad nama (kebetulan saya tidak membawanya), beliau tidak berapa hendak melayani saya. Maka pulanglah saya dengan hati yang rawan. 
  • Ah, itu tidak mematahkan semangat saya. Bukankah saya penulis buku yang menasihatkan pembacanya supaya jangan terlalu cepat berburuk sangka. Selang sehari, saya kembali ke gerai yang sama. Bersila dan membaca dan meneliti hampir enam buah buku bergambar kanak-kanak. Akhirnya, tuan punya gerai sudi berbual-bual dengan saya. Sebelum saya pergi, beliau turut menghulurkan kad namanya dan memberitahu, "Come to New Delhi World Book Fair 2014. Call me and I'll make sure you get all the books you're looking for." 
Woohoo! Bukan itu sahaja, saya turut dihadiahi dengan dua buah buku yang saya sangat berkenan! Wah, syukur alhamdulillah!... .


Sedang berlangsung, Wawancara Sofa Putih ITBM bersama
Awang Goneng dan Zaharah Othman. 
  • Oh, terima kasih ITBM kerana menawarkan diskaun terhebat kepada penulis - 50%! 
  • Sempat menyaksikan dua Wawancara Sofa Putih. Bertemu dengan insan-insan hebat ini, kembali menyuntik semangat kepengarangan saya. 


Yang Kurang Menarik...  

  • Saya masih merasakan harga makanan yang dijual oleh pihak terbabit di dalam PWTC sebagai mahal. Sepatutnya, mereka meraikan PBAKL yang sudah diadakan lebih 10 tahun di tempat mereka dengan menurunkan harga makanan bagi membolehkan orang ramai meningkatkan daya pelaburan ke atas bahan bacaan berkualiti berbanding makanan. Hari-hari pun boleh makan, okey. Diskaun buku setahun sekali!
  • Hati terhiris apabila menyaksikan betapa ramainya jemaah lelaki yang tidak menunaikan solat Jumaat! Dan aktiviti perniagaan MASIH BERJALAN  walaupun azan Zohor sudah berkumandang dan waktu solat Jumaat sedang berlangsung. Sungguh, saya terkilan amat. Inikah bapa-bapa dan calon-calon bapa yang mahu melahirkan generasi Salahuddin al-Ayubi pada masa akan datang? Mari kita renungkan sendiri .
Kali ini hanya mampu telan air liur. Lain kali, siapa yang tahu?
  • Melihat buku-buku yang menjadi idaman hati tetapi pada hari tersebut masih belum mampu saya miliki. Namun, rezeki Allah... .
Syukur alhamdulillah ketemu yang ini.
Jarascinta Rumi  - Percikan, Pemikiran, Apresiasi dan Ekspresi
Pujangga Agung karya Darma Mohammad.
Masih panas dari kilang pada hari terakhir PBAKL13.
  • Suka melihat remaja berbondong-bondong membeli novel-novel kegemaran mereka. Ingatkan banyak membaca, halus budi bahasa. Sekali mendengar mereka membuka mulut... YA AMPUN! 

Ingatlah wahai penulis sekalian. Badan kita ialah apa yang kita makan. Minda kita ialah apa yang kita baca. Jangan salahkan remaja jika mereka tersalah bicara. Salahkan bahan bacaan dan penulisnya!... Maaflah, kakak 'terlaser' sedikit. Ampun... .

Hari sudah larut malam. Izinkan saya mengakhiri coretan kali ini dengan kata-kata yang dipetik daripada ucapan Dr. Awang Sariyan sewaktu majlis pelancaran buku bergambar kanak-kanak berlangsung. Katanya kurang lebih begini;

"Karya imaginatif dan karya ilmu perlu diseimbangkan oleh para penulis lalu dipersembahkan dalam bentuk yang paling kreatif dalam usaha penyebaran ilmu kepada generasi akan datang."

(Benar, jika anda sedang berkunjung buat kali kedua, entri ini sudah diedit dan dimasukkan gambar. Semoga bermanfaat.)

~Mazny M.R.~