Pages

Wednesday 26 June 2013

Bengkel Penulisan Buku Bergambar Kanak-Kanak Julai 2013

Perhatian... 


Kepada sesiapa yang berminat untuk mengikuti bengkel di atas, anda bolehlah menyemak pada pautan laman web di bawah; 


Bengkel ini akan dikelolakan oleh Puan Fazeila Isa secara berkumpulan dengan maklumat-maklumat terkini mengenai pembikinan buku bergambar kanak-kanak. Bagi para peserta yang menghadiri bengkel pada 6 Julai ini, anda akan  berpeluang untuk bertemu dengan penerbit yang berkaliber dan mengambil bahagian dalam sebuah projek penghasilan buku bergambar kanak-kanak yang istimewa. Tunggu apa lagi? 

Ayuh, realisasikan impian anda itu dengan menghadiri bengkel tersebut. Lakukan tindakan segera dengan pendaftar sebelum atau pada 30 Jun 2013 ini. 


Semoga berjaya!... .

Mazny M.R.

Perihal Sastera Kanak-Kanak dan Remaja

Sekilas Pandang...

Sasterawan Negara Dato' Baha Zain
   Baru-baru ini, saya berkesempatan menghadiri satu lagi aktiviti yang dianjurkan oleh Majlis Buku Kanak-Kanak dan Remaja Malaysia (MBBY). 

      Aktiviti tersebut merangkumi bengkel melukis poster MBBY bersama Tuan Yusof Gajah, syarahan umum oleh Sasterawan Negara Dato' Baha Zain dan Mesyuarat Agung MBBY Kali Kesembilan.

    Transformasi Sastera Dalam Konteks Sastera Kanak-Kanak dan Remaja - begitulah tajuk syarahan umum oleh SN Dato' Baha Zain. Beliau menyatakan bahawa dunia sastera kanak-kanak dan remaja semakin mendapat perhatian di tanah air apabila sempadan yang jauh terasa dekat dek arus dunia globalisasi. Lantaran itu, kemasukan buku-buku dari luar negara dan kemeriahan industri perbukuan tanah air membuka ruang dan peluang untuk sastera kanak-kanak dan remaja berkembang.

Presiden MBBY yang juga Presiden IBBY, Encik Ahmad Redza
menyampaikan kata-kata aluan.

    Di bawah, saya   ulas  beberapa isi petikan syarahan beliau. Semoga bermanfaat buat semua pengunjung Aku dan Kafe Buku.

    Apabila membincangkan tentang sastera kanak-kanak dan remaja, kita tidak dapat lari daripada memperkatakan soal kebudayaan dan jati diri. Dunia kanak-kanak dan remaja adalah satu takat perkembangan hidup yang paling penting dalam kehidupan seseorang namun, kita selalu terlepas pandang. Malah fenomena sekarang, hanya menekankan aspek keintelektualnya sahaja. Menurut Dato' Baha, hal ini terjadi kerana kita seringkali tenggelam dalam hebohnya sastera orang dewasa dan popular. Sedangkan bidang ini, (sastera kanak-kanak dan remaja) adalah bidang yang amat sukar dan rumit penghasilannya. 

    Pengarang buku bergambar kanak-kanak (bbkk) sebagai contohnya, bukan sahaja perlu faham dan arif dengan perbendaharaan kata pada tahap pemikiran kanak-kanak tetapi harus pandai bercerita kepada mereka. 

    Buku yang menarik dari segi bentuk dan material, pastinya berharga mahal. Di Malaysia, kos ini meningkat kerana ia diserap dalam kos produksi. Masalah pengeditan, penghasilan ilustrasi yang sesuai dalam pembikinan bbkk juga menjadi rumit kerana kita masih lagi kekurangan kepakaran yang mahu berkecimpung secara serius.

    Perkara yang penting untuk diberikan perhatian selain ilustrasi yang menarik dalam pembikinan bbkk adalah bagaimana sesebuah buku itu dapat menyumbang dalam pembangunan masyarakat dan perwatakan manusia.      

Dalam hal ini, saya merasakan dunia luar, (seperti negara barat, Australia dan lain-lain terutamanya Jepun) sudah lebih jauh ke hadapan. Cuba perhatikan bbkk garapan mereka dengan bbkk yang dihasilkan untuk pasaran tempatan. Ini tidaklah bermaksud kita kekurangan dari segi kualiti tetapi perlu ada peningkatan dari segi kreativiti. Baik ilustrasi mahupun jalan ceritanya. Begitulah kesimpulan saya daripada penyelidikan dan perbincangan bersama mentor dan rakan-rakan.

Perkara yang sama turut ditegur oleh sasterawan negara ini. Beliau melontarkan pertanyaan, "Bagaimanakah mahu melahirkan jati diri bangsa kita?"

Jawapannya masih lagi dalam rangka perdebatan, diskusi intelek dan garis panduan yang ada kalanya masih kabur. Malaysia, walaupun sebuah negara Islam tetapi masih memberikan kebebasan kepada rakyatnya dalam mempraktikkan kebudayaan pelbagai kaum. Begitu juga apabila menyentuh hal agama. Kesemuanya bisa asalkan masih berlegar dalam kerangka perlembagaan yang kita sama-sama hormati.  

    Dato' Baha juga ada menekankan apabila memperkenalkan sastera kanak-kanak dan remaja kepada khalayak dunia, kita tidak dapat lari daripada membicarakan perihal kebudayaan dan ketamadunan sesuatu bangsa (dan negara). 

   Kebudayaan bukan sekadar menerangkan hal-hal berbentuk fizikalnya sahaja tetapi yang jauh lebih penting adalah aspek rohaniah dan akliah - aspek nilai dalam kehidupan. Nilai ini yang menentukan konsepsi orang luar terhadap hebat tidaknya kebudayaan kita. Nilai ini jugalah yang membezakan antara negara. Contohnya dalam negara-negara Islam sendiri, nilai kebudayaan masih berbeza walaupun sama agama. Maka dalam rangka ini, sastera kanak-kanak dan remaja tanah air harus merangkumi usaha untuk membangunkan kebudayaan dan tamadun kita sebagai rakyat Malaysia.

    Biarpun revolusi digital telah meruntuhkan tembok globalisasi antara negara, dan mendekatkan jurang antara kota dan desa, beliau menasihatkan para penulis, pelukis, penerbit malah sesiapa jua yang terlibat dalam industri sastera kanak-kanak dan remaja dewasa ini, agar tidak terlalu mengikut acuan barat semata-mata mahu mengejar kemodenan hingga melakukan 'jenayah' dalam menyemai etika para pembaca.

    Dato' Baha juga menyentuh tentang fenomena terkini dalam komunikasi kekeluargaan yang kian pudar fungsinya. Bayangkan apabila sebuah keluarga yang duduk semeja untuk menikmati makan malam di luar tetapi kelihatan asyik tenggelam dalam dunia masing-masing. 

Si bapa dengan telefon pintarnya.
Si ibu dengan tabletnya.
Si anak?... Ada yang ralit bermain PSP, ipad, iphone... dan berbagai 'i' lagi.

Hakikatnya, pengaruh 'gadgets' dan perkembangan teknologi turut mempengaruhi peluang kemesraan yang sepatutnya direbut serta digunakan  untuk meraih masa berkualiti bersama keluarga. Apakah ini suatu pembentukan kebudayaan yang sihat?

"Budaya dalam persekitaran ini perlu 'ditawan' kembali agar nilai murni kekeluargaan tetap terpelihara." - Dato' Baha Zain.

Bayangkan bagaimana generasi dahulu berinteraksi sewaktu makan? Alangkah seronok dan meriahnya!

Akhir sekali, Dato' Baha mengingatkan kami tentang betapa pentingnya untuk mewujudkan suatu dasar yang jelas tentang hala tuju kebudayaan Malaysia agar tidak timbul kekeliruan dan sifat mementingkan diri. Perasaan hormat menghormati yang tersemai sejak berpuluh tahun dahulu, perlu sentiasa dipelihara. Mungkin bertitik tolak daripada sinilah, semangat cintakan negara dan masyarakat berbilang kaum dapat dicapai. 

Ah, banyak juga aspek yang perlu digariskan dan difikir-fikirkan bersama oleh pihak yang terbabit dalam pembentukan sastera kanak-kanak dan remaja ini. 

Siapa kata menulis buku untuk kanak-kanak dan remaja adalah tugas mudah?

Sebahagian ilustrator sedang tekun melukis.


Kelihatan Mama Zakiah dan Pak Yusof sedang meneliti poster yang dihasilkan.



Salam hormat,

Mazny M.R.
 

    











Sunday 16 June 2013

Perihal Sudut Penulis

Pencarian berterusan... 


Hanya ini gambar kenangan yang saya temui. 

Sudah setahun lebih, saya kehilanggan kafe kegemaran di kawasan kejiranan Kota K. 

Baru-baru ini, saya terserempak dengan si empunya kafe. Lalu terus saya tanyakan beliau dengan nada sedih, 

"Tuan, mengapakah kafe itu harus ditutup? Sayang sekali, saya juga kehilangan tempat untuk menulis!"

Tuan Kafe: Pelanggan semakin kurang kerana sudah banyak restoran baru muncul di kawasan ini. Untung jualan tidak banyak. Malah ada kalanya, hanya cukup-cukup makan!

Saya: Mungkin kerana kafe tuan menyediakan menu yang sangat 'niche'. Pelanggan tidak punya banyak pilihan melainkan yang itu, itu saja?

Tuan Kafe: Maaf, saya terpaksa menjual mengikut apa yang tertera dalam kontrak francais. Tidak boleh sembarangan. 

Saya: Oh... (sedih)

Tuan Kafe: Kamu juga sudah lama tidak berkunjung ke sana. Sejak pulang dari India, terus senyap!

Saya: Saya cuma seorang pelanggan, tuan. 

Tuan Kafe: Tetapi kamu pelanggan yang istimewa' kan? Seorang penulis yang menceriakan kami. Masih ingat meja tepi cermin yang kamu suka itu? Hah, sudah berbulan kosong! Pelanggan yang datang silih berganti namun auranya tidak sama. 

Saya: Oh... (tambah sedih!)

Tuan Kafe: Sudahlah, ada banyak lagi kafe lain yang boleh kamu jadikan 'ofis baharu'. (dia ketawa kecil) 

Saya: Manakan sama, tuan... (Sambil tersenyum, Tuan Kafe meminta diri untuk beredar).

Apakah kalian masih ingat? Rasanya, saya pernah menyebut tentang kafe ini dalam salah satu entri yang lepas. Saya juga ada berkongsi impian untuk memiliki sebuah kafe buku yang bukan sahaja menyediakan hidangan yang enak-enak, kerusi-kerusi yang selesa tetapi turut menyediakan buku-buku  menarik untuk dibaca daripada pelbagai genre. 

Setiap kali melintasi kawasan bekas tapak kafe tersebut, sebahagian hati saya masih tidak boleh menerima kenyataan yang ianya sudah TIADA.

Malah sudah digantikan dengan sebuah kedai yang lain. Saya masih terkenangkan kafe ini. Ia ibarat cinta pertama yang mengambil masa untuk dilupakan. 

Apakah yang paling saya suka tentang kafe ini?... 

  • Makanannya menepati diet saya. 
  • Para pekerjanya ramah dan hormat kepada pelanggan.
  • Ada talian internet percuma.
  • Di bahagian belakang, turut disediakan bilik surau yang comel bagi kemudahan pelanggan muslim bersolat. Tidak perlu bersusah payah pulang ke rumah untuk bersolat dan kemudiannya datang lagi. Saya pernah bekerja (menulis) dari pagi hingga ke malam di situ. Berhenti untuk bersiar-siar di sekitar tasik lalu kembali ke kafe, duduk dan menulis semula.  
  • Persekitaran yang kondusif dan bersih.
  • Pemandangan yang indah - letaknya di tepi tasik, tempat saya biasa berjoging suatu ketika dahulu. 
  • Setiap kali datang, mereka sudah tahu, di mana sudut dan meja kegemaran saya. Hingga mendapat jolokan, 'The Writer's Corner'.
  • Teh O Ais Limaunya yang sedap. 
Sejak ia ditutup, saya sudah kehilangan 'tempat menulis' yang serasi dengan naluri kepengarangan saya. Dua buah buku saya, mengalami proses kreatifnya di sini! Bagaimana hati ini tidak menjadi rawan?... .

Ya, lumrah hidup. 

Good things won't last forever... ~sobs~

Saat ini, saya masih lagi tercari-cari sebuah kafe yang dapat memberi inspirasi unik untuk saya berkarya. Bukan saya tidak boleh menulis di rumah. Kadang kala, seorang penulis perlu keluar untuk bergaul dengan alam dan persekitaran supaya karyanya lebih segar dan terisi. 

Namun, ada masanya, saya perlu menulis dari rumah sahaja. Dari sudut penulis yang khusus di tepi tingkap rumah saya. Bertemankan burung-burung kecil yang rancak bercerita dari atas dahan pokok neem yang berdaun lebat.

Ah, saya masih lagi rindukan kafe itu! 

Terlalu banyak kenangan saya di sana. Hilang sudah bilik kuliah, tempat saya memerhatikan gelagat kehidupan dan mencari sumber perwatakan. Apa yang pasti, saya sudah membulatkan hati. Kafe ini perlu sentiasa wujud. 

Ya, anda akan bisa menemui 'kafe' ini dalam karya terbaharu saya, PMH. 

PMH?... Apa itu PMH?

Belum siap lagi. Insya-Allah akan disudahi secepat mungkin. Biarpun ia  pasti mengambil masa yang agak panjang. Kerana sekelumit kisah cinta yang mewarnai PMH itu, terlalu tinggi nilai maharnya. 


Salam manis,

Mazny M.R.  

Nota: Dialog di atas telah bercampur dengan ekspresi penulis. Perbualan sebenar tidak dinyatakan. Maaf, hehe. 

*Wah, akhirnya saya temui juga gambar tersebut! Inilah sudut penulis saya di sebuah kafe seperti yang diceritakan di atas. Dinding kaca tersebut membolehkan pandangan saya menjadi luas dan menyeronokkan terutamanya apabila bidai diangkat dan hujan pun turun. Ah, rindu lagi!... .

This is 'my writer's corner'. How I missed this place so much! 

Sunday 9 June 2013

About Aku dan Kafe Buku Translation

Hello everyone...

I have noticed an increase of more and more readers from overseas even before I left for Singapore in May. The statistic shows an interesting and consistent pattern of various audience for this blog - Me and a Book Cafe (Aku dan Kafe Buku).

Thank you so much for your support. To show the appreciation, I have decided to add a translation gadget on the top of right hand corner of this blog. Though, I am not so sure for the accuracy of translation made... but at least it's a good start, right? I am so sorry that for the time being, I can't afford to write in both languages, Malay and English for every post.  It will be very time consuming for me.

Also, I will add more pages on the top tabs as to include more interesting content for this blog. Or... as I would love to call it, OUR BOOK CAFE!

That's all for today. Come back soon for more real life story from this storyteller. Until then, have fun and take care.

Yours sincerely,

Mazny M.R.

(Okay, I am so sleepy. No kidding! Zzzzzz... )

Wednesday 5 June 2013

Asian Festival of Children's Content 20133 (AFCC) II

Sambungan hari kedua... 

@@@@

Linda Tan Lingard - Literary Agent and Publisher
Tajuk:
Marketing Your Book and Selling Rights
(How Literary Agent Can Help You)

Pembentang:
Linda Tan Lingard (Agen Sastera dan Penerbit)

  • Melalui pengamatan peribadi, rata-rata penulis di Malaysia amat kurang didedahkan (mungkinkah juga tidak pernah tahu?) dengan peranan seorang Agen Sastera. Malah tidak ramai pun yang sedar akan kewujudannya dan apakah yang dapat dilakukan oleh seorang agen sastera dalam kerjaya seorang penulis.
  • Peranan seorang agen sastera adalah membantu menemukan penulis dengan rumah penerbitan yang sesuai. 
  • Namun, kapasiti mereka yang lebih besar lagi adalah untuk memastikan penulis melangkah lebih jauh dalam kerjaya penulisan mereka, melalui aktiviti penjualan hak cipta ke peringkat antarabangsa.
  • Penjualan hak cipta membolehkan penulis; 
  1. Menambah pendapatannya tanpa perlu menyerahkan buku berbentuk fizikal seperti yang terjadi apabila menyerahkan buku ke kedai-kedai buku. 
  2. Ia juga menjimatkan kos produksi kerana kos tersebut akan ditanggung oleh pihak yang membeli hak cipta tadi. 
  3. Tidak perlu membayar kos pengangkutan produk.
  4. Mencipta prestij/nama baik penulis di persada antarabangsa.

  • Jenis-jenis hak cipta adalah seperti terjemahan, perfileman, digital, audio, hak cipta bersiri dan barangan.
  • Ada beberapa cara untuk memperkenalkan produk anda di luar sana. Antaranya, melalui laman web sendiri. Atau mendaftar dengan pihak ketiga seperti FBF/Pubmatch/publishersglobal.com. Ataupun menyebarkan katalog yang mengandungi informasi penting tentang produk anda.
  • Apakah yang sedang diburu oleh pihak pembeli hak cipta?

  1. Topik-topik panas.
  2. Bahan-bahan tempatan.
  3. Bestsellers - Karya laku keras.
  4. Nama-nama besar dalam bidang penulisan.
  5. 'Shorter Books' 

  • Hak cipta ini boleh dijualkan kepada rumah-rumah penerbitan yang sudah kukuh dan berdaftar, pihak yang membuat rujukan ataupun kepada mereka yang mampu membayar sejumlah wang pendahuluan, atau membayar dengan sekaligus.
  • Beberapa perkara yang mahu dielakkan oleh pembeli hak cipta; bahasa yang terlalu 'sarat' dan karya yang bersifat perkauman (ethnocentrism). Penglibatan pihak ketiga yang terlalu banyak juga akan menjejaskan peluang penjualan hak cipta. Selain daripada itu, saiz dan persembahan buku juga perlu diberikan perhatian yang teliti.
  • Di bawah, saya kongsikan dua keping slaid yang sempat dirakam semasa pembentangan. Semoga perkongsian ini dapat memberi sedikit pencerahan kepada para penulis dan calon penulis.


Perkara yang terkandung dalam kontrak penjualan hak cipta.

Antara perkara yang dapat membantu penjualan hak cipta.

Sebagai maklumat tambahan, sewaktu sesi ini berlangsung, bertempat di  Level 1, John Mckenzie (seorang pensyarah dan penyelidik yang tersohor dari New Zealand) sedang mengadakan perbincangan yang saya kira amat menarik isinya dengan tajuk:

Asian Trickster Tales and Their Educational Value

Justeru, saya mohon kepada sesiapa daripada delegasi Malaysia yang berkesempatan untuk turut serta dalam perbincangan beliau untuk tampil berkongsi pengisian. Anda boleh hubungi saya melalui alamat emel;

mazny.m.r@gmail.com
atau meninggalkan komen di sini ataupun
di Fan Page saya seperti di sebelah kiri bahagian atas blog ini.

Kemurahan hati anda, saya dahului dengan ucapan ribuan terima kasih.

@@@@

Julia (Germany), Samantha (Australia) and Patrick (Singapore)

Pembentangan seminar seterusnya bertajuk:

The Art of A Picture Book
(Presentation and Discussion)

Sesi ini dikendalikan oleh Patrick Yee (Ilustrator), Julia Kaergel (Ilustrator) dan Samantha Hughes (Ilustrator). Saya tidak berhasrat untuk menulis perkongsian dalam sesi tersebut kerana dapatannya akan dimasukkan sekali dalam sebuah tajuk lain pada catatan hari ketiga. Alasan; isi perbincangan lebih kurang sama. 

Pada masa yang sama juga, berlangsung sebuah lagi seminar di B1, dengan tajuk:

Bridging Two Worlds: Bilingual Publishing

Tajuk ini dibentangkan oleh Coonoor Kripalani (seorang penulis BBKK dan penulis skrip filem dari India). Beliau mengupas mengapakah pembacaan karya-karya yang diterbitkan dalam konsep dwibahasa boleh dijadikan batu loncatan kepada usaha-usaha memperkenalkan (memahami)  kepelbagaian budaya dari seluruh dunia.

Sekali lagi, saya mohon kepada mana-mana delegasi dari Malaysia yang berjaya hadir dalam sesi Coonoor Kripalani agar menghubungi saya bagi berkongsi dapatan. Insya-Allah, saya akan usahakan untuk menulis dan berkongsi mengenainya di Aku dan Kafe Buku pula.

@@@@

Contoh buku remaja bersiri dari India.
Tajuk:
Conceptualising and Writing Books for Series

Pembentang:
Anu Kumar (Penulis)
Eliza Teoh (Penulis)

  • Pembentang menyarankan jika mahu menulis buku dalam bentuk bersiri, harus fokus kepada dua perkara:
  1. Watak yang mempunyai kelainan/ perwatakannya lari daripada kebiasaan. 
  2. Watak-watak binatang.
  • Anu Kumar menyenaraikan beberapa judul bersiri yang terkenal dan mampu bertahan lama di pasaran sehingga menjadi karya bestseller ataupun lagenda. Antaranya, Old Tom, Moin The Song Monster dan Peter Rabbit (maaf, tidak sempat mencatit selebihnya).
  • Bagi pembaca remaja yang lebih matang, plot penceritaan harus ada unsur-unsur misteri, penyiasatan, pengembaraan, perisikan dan sebagainya seperti siri Enid Blyton, Nancy Drew, dan Hardy Boys - hanya menyebut beberapa.
  • Acapkali tema buku cerita bersiri mengetengahkan dunia fantasi seperti siri Lord of The Ring dan The Chronicles of Narnia. Saat ini, sebuah judul  tiba-tiba muncul dan berlegar-legar dalam kepala saya - I AM NUMBER FOUR dan judul-judul lain yang terdapat dalam siri tersebut.
  • Kebanyakan buku-buku bersiri pula membawa plot yang hampir-hampir sama. 
  • Konsep 'Good vs Evil' masih menjadi taruhan. Turut popular ialah tema-tema dengan watak protagonisnya mengalami dilema apabila berhadapan dengan watak-watak antagonis yang mempamerkan sikap tidak hormat kepada orang lain. Dalam erti kata lain, bagi saya, buku bersiri remaja sebenarnya boleh dijadikan wahana dalam memberikan alternatif kepada pembaca, bagaimana hendak menangani perlakuan dan permasalahan sosial remaja yang kian mencabar.
  • Penulis juga dianjurkan agar memasukkan unsur-unsur kecindan atau adengan lucu kerana sememangnya dunia remaja penuh dengan elemen keriangan.
  • Dari segi pengolahan atau gaya naratif untuk buku remaja bersiri, penulis perlu memperlihatkan 'keserasian' gaya olahan mereka dengan dunia sebenar remaja masa kini. Pada pandangan saya, saranan ini hanyalah bagi memastikan karya itu nanti tidak terpinggir ataupun tidak nampak terasing daripada realiti sebenar kehidupan pembaca remaja di luar sana. Begitu pun, ia tidaklah sampai mengabaikan faktor-faktor lain seperti tatabahasa, kesantunan perwatakan, pembentukan modal insan dan sebagainya.
  • Seperkara yang perlu penulis ingat, tugas kita dalam bidang penulisan adalah untuk mendidik. Bukannya membekalkan 'permintaan'. Oleh yang demikian, menulis kisah remaja bersiri juga memerlukan kerajinan membuat kajian bagi memastikan inti pati yang terkandung dalam karya itu nanti, mempunyai kesinambungan dan boleh menjadi acuan yang baik lalu  dimanfaatkan sepenuhnya.
  • Salah satu cabaran dalam penghasilan buku remaja bersiri - bagaimana hendak memasukkan watak (atau watak-watak) baharu dalam siri sedia ada. Dalam hal ini, pembentang memilih karya The Chronicles of Narnia sebagai bahan rujukan.
  • Dua ciri penting dalam corak penulisan karya-karya bersiri, pertamanya mereka boleh dikategorikan dengan jelas. Contohnya, siri misteri, siri komedi, siri percintaan, siri kekeluargaan dan sebagainya. Keduanya, struktur cerita selalunya akan berulang-ulang. Cuma plot yang berbeza.
  • Anu Kumar dan Eliza Teoh memulakan penulisan buku-buku mereka sebagai judul tunggal  kemudian dikembangkan dengan judul-judul lain lalu membentuk buku remaja bersiri. 
  • Mereka menyarankan agar penulis/calon penulis memikirkan sebuah konsep bersiri secara keseluruhan terlebih dahulu. Setelah itu, bolehlah memulakan dengan judulnya satu persatu. (Sebagai nota tambahan, beginilah juga teknik yang saya aplikasikan dalam merangka struktur cerita keseluruhan untuk novel awal remaja saya, yang bermula dengan judul pertamanya, 'Wow, Coklat Fondu Mia!'.
@@@@

Hari Ketiga - 29 Mei

@@@@

Pemenang anugerah NOMA Concours bagi BBKK dan pelbagai
anugerah berprestij lain dalam bidang yang sama - Yusof Gajah.
Tajuk:
My Art, My Life

Pembentang:
Yusof Gajah (Penulis dan Ilustrator)

  • Nama Yusof Gajah tidak asing lagi bagi peminat BBKK di Malaysia. Beberapa bentuk anugerah dan penghargaan yang diterimanya sepanjang berkecimpung dalam bidang BBKK, dari dalam dan luar negara telah mengharumkan nama beliau ke persada antarabangsa.
  • Beliau yang kami kenali mesra dengan panggilan Pak Yusof, merupakan seorang artis tersohor yang mudah didekati namun sangat teliti dan serius dalam berkarya. 
  • Mengenali Pak Yusof tidak akan lengkap tanpa berkenalan dengan belahan hatinya, Puan Zakiah Mohd. Isa atau lebih mesra dipanggil Mama Zakiah. Mama adalah orang kuat, tulang belakang Pak Yusof yang turut menggerakkan Gajah Gajah Galeri. Alhamdulillah, bertemu dengan pasangan ini merupakan suatu kesyukuran bagi saya. Melalui kedua-duanya, saya (dan teman-teman) dapat menyerap semangat berkarya yang sungguh luar biasa.
  • Dalam sesi tersebut, Pak Yusof lebih banyak berkongsi sejarah penglibatannya dalam bidang BBKK. Antara perkara yang menarik dikongsikan bersama kami, tentang buku bergambarnya yang pertama, 'Ke Mana Perginya Anak Biawak?'. Beliau menyatakan beberapa kesilapan yang dibuatnya dan berpesan kepada kami, para penulis dan ilustrator agar berhati-hati untuk tidak melakukan kesilapan yang sama. Oleh sebab itu, kesabaran dan mendalami subjek penceritaan adalah perkara terpenting  sebelum berkarya.


BBKK pertama Yusof Gajah.
Siri Teko Gajah.
Siri Gajah-Gajah.


  • Sebagai seorang artis tersohor yang prolifik dalam berkarya, baru-baru ini, Pak Yusof telah diberikan penghormatan menjadi salah seorang juri bagi pertandingan NOMA Concours yang berlangsung di Nami Island, Korea. Malah beliau juga telah diberikan keistimewaan dan taraf warganegara bagi 'pulau Winter Sonata' itu.
  • Tahukah anda, rupa-rupanya salah seorang guru seni lukis terawal Pak Yusof adalah ilustrator terkenal dari Australia, Ron Brooks?
  • Antara pesanan Yusof Gajah kepada kami, kurang lebihnya berbunyi begini... 
"See youself and what is your local content."

"Try to exhibit your work. Enter competitions and
get yourself published!"

Dan yang paling tidak dapat saya lupakan... 

"Remember, only baby sleeps more. Grown up? Sleeps less!"

Ribuan terima kasih atas perkongsiannya, Pak Yusof. Tentunya ini akan menaikkan semangat kami agar meneruskan perjuangan memartabatkan kesusasteraan kanak-kanak ke peringkat jagatraya.

@@@@

Perkongsian yang menarik daripada Ahmad Redza,
Presiden IBBY. 

Tajuk:
Celebrating Diversity Through Multicultural Children's Literature

Pembentang:
Ahmad Redza Ahmad Khairuddin
[Presiden International Board of Books for Young People (IBBY)]

  • Mengapakah pengisian BBKK yang meraikan kepelbagaian budaya sangat penting diberikan perhatian oleh semua pihak - penulis, ilustrator dan juga penerbit? Jawapannya;
  1. Bagi memastikan inti pati dan pengajaran yang terkandung dalam cerita dapat difahami oleh pembaca dengan mudah.
  2. Menyuntik kesedaran perihal sejarah dan latar belakang kebudayaan serta pembangunan sesebuah negara.
  3. BBKK dengan isi cerita dan ilustrasi yang baik, mengalir ke dalam emosi pembaca, boleh dimanupulasikan demi menggalakkan keharmonian sejagat.
  • Walaupun Benua Asia terdiri daripada pelbagai negara, adat dan budaya, segala warna yang bergaul ada kalanya boleh tersaring dalam beberapa persamaan.
  • Peranan BBKK adalah sebagai alat untuk mempromosi kefahaman yang lebih mendalam terhadap masyarakat dunia berbilang bangsa, memupuk toleransi dan sebagainya dalam dunia kanak-kanak. Sebagai seorang penulis yang memperjuangkan kasih sayang dan ikatan ukhuwah sesama insan, saya menyokong 100% apa yang diperkatakan oleh presiden IBBY ini. 
  • BBKK juga boleh menjadi jambatan yang menghubungkan jarak dua negara. Biarpun menjalani kehidupan yang nyata berbeza dan terpisah oleh faktor-faktor geografi, sebenarnya kita semua hanyalah manusia biasa yang dijadikan untuk memakmurkan bumi ini. Persamaan inilah sepatutnya yang mendekatkan masyarakat dunia. 
  • Seperkara yang disebutkan oleh Encik Ahmad Redza yang menarik perhatian saya. Katanya, 
"Picture books could be an art of recording certain cultures and be used in promoting better understanding to different part of the world." 

  • Beliau juga berkongsikan pengalaman berharganya selama menjalankan tugas sebagai presiden IBBY yang telah menjelajahi ke beberapa buah negara seperti Iran, Korea, Jepun dan Palestine dalam mempromosikan  sastera kanak-kanak. Melalui perjalanannya yang amat bermakna itu, beliau menyimpulkan bahawa BBKK boleh dijadikan platform untuk;
  1. Mewujudkan rasa selamat dalam jiwa kanak-kanak - 'There is always a hope at the end of each story'.  
  2. BBKK yang baik boleh menjadi alat untuk mengekspresi diri seseorang ataupun jatidiri sesebuah bangsa.
  3. Memberikan harapan kepada setiap permasalahan hidup. Dalam konteks ini, dunia kanak-kanak tentunya.
  • Negara China pada kala ini, sedang giat berusaha mengetengahkan kembali sejarah tamadun dan kebudayaan bangsanya melalui BBKK. Mereka melihat pasaran bagi BBKK dengan konsep sebegini sebagai 'laut biru'.
  • BBKK bukan sahaja milik setempat. Maksudnya, ia berpeluang untuk mengembara jauh dari tempat asalnya dengan aktiviti terjemahan dan peluang penjualan hak cipta yang semakin rancak abad ini.
  • Salah satu cara IBBY mempromosi kesinambungan sastera kanak-kanak ,  adalah dengan menerbitkan jurnal dalam kekerapan empat kali setahun.
  • Menyambut Hari Buku Kanak-Kanak Sedunia dengan menghasilkan poster yang boleh digunakan dengan cara yang lebih berkesan oleh setiap negara yang menganggotai IBBY.
Poster yang dikeluarkan oleh IBBY bagi tahun 2013.
   
Negara Iran menggunakan poster tersebut sebagai kalendar atau takwim.

Antara negara yang bakal menjadi tuan rumah kepada persidangan IBBY pada masa hadapan; Mexico (2014), New Zealand (Auckland, 2016) dan Turkey (Istanbul, 2018).

Di sini, saya juga ingin berkongsi sebuah soalan yang diajukan oleh seorang ilustrator kepada Encik Ahmad Redza. Beliau bertanya, mengapakah di sesetengah negara, ilustrasi yang mempamerkan simbol-simbol keagamaan seperti tanda salib, bulan dan bintang, dan ilustrasi yang menggambarkan watak berpurdah dalam latar sedemikian, menjadi isu sensitif dan terpaksa diedit oleh sidang editor?

Encik Ahmad Redza telah menjawab soalan 'cepu emas' ini dengan satu pandangan yang sangat bernas. Sesungguhnya menggarap sebuah konsep BBKK dalam menterjemahkan keterbukaan dalam beragama di seluruh dunia bukanlah satu tugas yang mudah. Namun saya percaya, serumit mana pun ia, ia perlu dilaksanakan dengan berani dan bijak. Cadangan Encik Ahmad Redza yang mengusulkan agar ilustrator tersebut mendapatkan penjelasan yang lebih kukuh daripada pihak-pihak tertentu (dalam bidang yang berkaitan) adalah satu jawapan yang sangat tepat.

Sesungguhnya, Islam adalah sebuah agama yang sangat menganjurkan konsep terbuka dan pencerahan apabila membincangkan isu-isu seperti ini. Cumanya, mereka yang bertanya juga harus memiliki sikap keterbukaan yang luas dalam menerima bentuk-bentuk penjelasan/alasan yang telah digariskan dalam Islam agar lebih memahami dan menghormati antara satu sama lain.    

@@@@

Samantha Hughes, Chris Nixon dan Julia Kaergel.
Tajuk:
Style and Approach in Children's Illustration

Pembentang:
Samantha Hughes (Ilustrator)
Chris Nixon (Ilustrator)
Julia Kaergel (Ilustrator)

  • Mengenali mereka bertiga (termasuk Patrick Yee dalam sesi sebelum ini), dapatlah saya simpulkan bahawa untuk lahir sebagai seorang ilustrator BBKK yang baik, memerlukan kesabaran yang tinggi terutamanya dalam proses mencari identiti tersendiri dalam berkarya. Setiap daripada mereka memiliki proses kreatif masing-masing sebelum mula berkecimpung secara serius dalam bidang ilustrasi BBKK ini. 
  • Sebagai contohnya, Julia Kaergel dari Germany telah menghasilkan lebih daripada 30 buah buku. Beliau lebih senang mengutip idea-idea berkarya dengan mengembara dan menjadi akrab dengan alam semula jadi. Beliau juga gemar melukis sambil mengembara. Memilih untuk berkarya dengan konsep 'free artwork', Julia pernah mengutip sepotong kayu hanyut di tepi pantai lalu menggunakannya dalam teknik mengecap. Selain daripada berkunjung ke New York bagi mengambil sendiri gambar-gambar bangunan di sana, beliau juga cekal menempuhi pengembaraan berbasikal ala country side dalam mencari kelainan berkarya. 
  • Beliau pernah bekerjasama dengan pemenang Penulis Skrip FilemTerbaik German, Doris Dorrie dalam sebuah buku berjudul, 'Lottie Princess's Dress'.  
  • Julia yang pernah menerima beberapa anugerah seperti Children's Book Prize of North Rhine Westphalia berpendapat, BBKK adalah satu medan untuk mendapatkan perspektif kehidupan daripada minda kanak-kanak lalu diterjemahkan secara menarik ke dalam bentuk yang lebih kreatif. Beliau juga aktif dalam mengendalikan bengkel ilustrasi kanak-kanak dan dewasa di seluruh dunia. Antara bukunya yang menarik dan perlu diberikan perhatian berjudul 'Fingerprints, Let's Make Art From Everyday Things'. Pesan Julia;
"Listen to your inner self or instinct!"  
  • Samantha Hughes pula berpendapat, selain berlatih untuk mendapatkan 'stroke' tersendiri, seorang ilustrator BBKK perlu memasukkan unsur-unsur komedi dalam ilustrasinya. Diawal-awal berkarya, beliau lebih banyak terpengaruh dengan idea dan hasil kerja Tim Burton yang agak 'gila'gila'. Juga daripada seorang doktor yang begitu berpengaruh sekali dalam dunia sastera kanak-kanak. Siapa lagi kalau bukan Dr. Suess?
  • Beliau sangat percaya kepada kata-kata, "Hard work will pays off... ."
  • Antara pesan Samantha kepada kami;
"Be crazy in a fun way and just be yourself!"

  • Patrick Yee, ilustrator daripada Singapura ini sebenarnya sudah banyak mengutip pengalaman di luar negara. Beliau juga sangat aktif dalam mengendalikan bengkel-bengkel kreatif untuk kanak-kanak, guru-guru, peserta berkumpulan dan ibu bapa. Patrick telah menghasilkan beberapa buah BBKK dalam konsep bersiri dengan judul 'Little Buddy... '
  • Patrick merupakan seorang artis yang gemar bereksperimentasi dalam kerjanya. Beliau turut menyarankan para ilustrator baharu supaya berani mencuba pelbagai media lukisan sebelum mengambil keputusan untuk memilih media yang mana satu.
  • Salah satu cara beliau memperbaiki hasil kerjanya adalah dengan mendapatkan maklum balas daripada editor-editor BBKK, baik untuk ilustrasi mahupun jalan cerita. Para ilustrator juga perlu memberikan perhatian kepada karya-karya BBKK yang telah memenangi pelbagai anugerah di peringkat antarabangsa.
  • Pesanan Patrick, kurang lebihnya berbunyi begini;
"Each publisher has their own preference. Study them." 



  • Chris Nixon, ilustrator dari Australia ini sebenarnya telah menghasilkan lebih sepuluh buah BBKK termasuklah buku bersirinya bersama penulis Ken Spillman yang lebih  berkonsepkan 'Jake Series... .'
  • Perkara yang penting bagi Chris dalam berkarya adalah bagaimana hendak menghasilkan 'bahasa ilustrasi' atau 'bahasa bergambar' yang paling tepat bagi setiap projek.
  • Selain ilustrasi, Chris juga aktif dalam penghasilan mural dan filem-filem pendek.
  • Pandangan peribadi Chris terhadap BBKK, kurang lebihnya begini, 
"Picture book is like a film. So each page should captured
the best snapshot."

  • Bagi anda yang berminat untuk mengetahu lebih lanjut tentang Chris Nixon, Julia Kaergel, Samantha Hughes dan Patrick Yee, bolehlah melawat ke laman blog mereka pada pautan di bawah;
Julia Kaergel: http://www.julia-kaergel-illustration.de/


Chris Nixon: http://chrisnixon.net/ 


Selamat menerokai dunia mereka... 

@@@@

Tajuk:
Creating Malaysian Digital Content for The World

Pembentang:
Abdullah Sani Alwi 
[Head, Mobile Content, Apps & New Media,
Multimedia Developement Cooperation (MDeC), Malaysia]
Nadira Mohd. Yusoff
(CEO, Nadi Ayu Technologies)


  • Ini adalah sesi terakhir bagi saya di AFCC. Sejujurnya, stamina dan konsentrasi sudah jauh menurun. Begitu pun, ini adalah satu platform perbincangan yang amat baik sekali bagi mendapatkan pendedahan awal tentang apa yang ditawarkan oleh MSC selaku hub ICT di Malaysia.
  • Saya kira, sesi ini lebih sesuai dihadiri oleh syarikat-syarikat atau individu-individu yang mahu terlibat secara langsung dalam plan pembangunan MDeC yang melibatkan sektor-sektor seperti animasi, permainan video, perfileman dan aplikasi-aplikasi tertentu. Saya, selaku penulis BBKK mungkin tergolong dalam kelompok pihak ketiga sahaja. Namun pencerahan yang kami dapat dalam menghadirkan diri ke sesi ini, bukanlah sesuatu yang sia-sia.
  • Antara impian yang dikongsi oleh kedua-dua pembentang adalah untuk  bekerjasama dengan pihak-pihak terbabit dalam menghasilkan lebih banyak lagi pengisian atau produk-produk yang bertemakan kebudayaan tempatan (local content) untuk diperkenalkan ke persada antarabangsa. Satu peluang dan usaha mulia yang patut dipedulikan oleh ramai pihak.
  • Untuk mengetahui apakah peluang-peluang yang ditawarkan, anda bolehlah klik pada pautan di bawah.
Untuk pautan MSC: http://www.mscmalaysia.my/


 Mohon maaf kerana sebenarnya, saya tidak mengambil sebarang nota dalam sesi kali ini. Jadi untuk tidak menghampakan pembaca Aku dan Kafe Buku, saya kongsikan beberapa keping slaid sebagai pengganti catatan. 









Antara servis yang ditawarkan oleh Syarikat Nadi Ayu Sdn. Bhd.

Sekian sahaja dapatan ilmu dan gambar-gambar dari acara AFCC 2013 yang mampu saya kongsikan dengan para pengunjung. Bagi koleksi gambar seterusnya, anda bolehlah melawat fan page saya seperti tertera di bahagian atas blog, sebelah kanan. Oh, jangan lupa 'like' sekali!

Well, it's time for me to get back to my own work and routine.

Terima kasih kerana meluangkan masa berkunjung ke blog ini. Jangan lupa untuk datang lagi. Salam manis.

Mazny M.R.