Pages

Sunday 3 August 2014

Salam Eidul Fitri 1437H

Salam Eidul Fitri dari lokasi Aku dan Kafe Buku... 


Persiapan ala kadar. Semuanya yang sudah bertahun-tahun digunakan.
Alhamdulillah... .


Berlalulah sudah Ramadan
sebulan berpuasa
tiba masa kita raikan
dengan rasa gembira...

Bait-bait lagu ini tidak perlu diperkenalkan lagi. Ini salah satu lagu wajib hari raya malah ia sudah menjadi begitu nostalgik sejak zaman kanak-kanak.

Hakikatnya? Sambutan Eidul Fitri kami pada kali ini tidak gah dan meriah seperti tahun-tahun sebelumnya. Ada banyak sebab mengapa. Cukup jika saya katakan tahun ini, tahun yang penuh dugaan bukan sahaja buat negara kita, Malaysia tetapi juga buat keluarga saya.

Allah duga kerana mahu kita selalu dekat dengan Dia. Iya kan? Itu tanda Allah sangat sayang pada kita. 

Hari ini, barulah saya memaksa diri untuk membakar biskut tradisi yang sepatutnya dikerjakan sebelum menjelang Eidul Fitri lagi. Mahu tahu biskut apa?...

Jangan marah aaa... bersambung.  


Bulan raya tak baik muncung. Jom senyum! 



Friday 1 August 2014

Aku Cinta Damai



Palestine berdarah lagi... 




Masih ingatkah kita tentang peristiwa berdarah di Bukit Golan milik Syria? Tebing Barat di sempadan Jordan? Dan wilayah Gaza di bawah jajahan Mesir?...

1947-1948 menyaksikan bermulanya lembaran luka kehidupan rakyat Palestin. Semuanya terjadi sebaik sahaja penyerahan tanah air hak milik mutlak mereka kepada suatu bangsa rakus bernama Israel oleh kerajaan British (1947) dalam sebuah peristiwa yang digelar 'an-Nakbah' yang membawa maksud malapetaka. Malangnya, penyerahan yang menjadi detik pencetus keberanian dan keganasan Israel sedunia ini juga mendapat restu oleh pihak PBB sendiri. 

Dunia hanya memandang sepi. Seolah-olah ia ketidakadilan yang remeh. Natijahnya, dunia kini menjadi hingar. Dengan penunjuk perasaan dan laungan untuk membebaskan Palestin. Apakah puluhan tahun dahulu kita tidak sedar? Tidak mendengar jeritan dan tangisan kanak-kanak Palestin?

Pengunjung kafe yang saya hormati,

Saya tidak mahu bercerita panjang mengenai sejarah suka duka saudara kita di bumi Baitulmuqaddis ini. Namun selaku penulis, saya menyarankan kepada sesiapa yang masih ada rasa kemanusiaan, masih kental dengan jiwa persaudaraan agar menyelusuri sejarah perjuangan mereka. Puluhan tahun mereka teraniaya dan kita, para pemimpin negara Islam khususnya masih lagi bersikap pengecut hatta dalam memberikan kenyataan tegas membidas kekejaman rejim Zionist ke atas rakyat Palestin di pentas antarabangsa sekalipun. 

Mengapakah kita menjadi sebegitu lemah? 

Sehinggakan sesiapa yang menulis di laman-laman facebook mengenai isu kekejaman Israel ini juga dilabelkan sebagai ekstrimis. Kita tidak dapat mengangkat senjata. Kita tidak mampu menaja pembangunan negara mereka selepas kehancuran ini. Kita tidak berdaya menolong melindungi dan menyelamatkan anak-anak mereka yang hancur terkulai berkecai dibedil senjata-senjata perang Israel. Jadi mengapa kita tidak berani melawan mereka hanya dengan kata-kata?... 

Apabila menulis tentang isu kekejaman Israel, kita bukan berniat hendak menyebarkan kebencian sesama manusia ataupun 'hatred'. Apa yang kita kongsikan bersama pembaca adalah kesedaran. Kesedaran untuk bersuara dalam jemaah seterusnya membantu rakyat Palestin mendapatkan pembelaan masyarakat antarabangsa.

Ya, hanya mereka yang sedar betapa besarnya kuasa kata dan tanggungjawab seorang pengkarya sahaja yang mahu menggunakan kelebihan ini untuk bersama-sama berjuang melawan kekejaman tentera Zionist. 

Biarpun sekadar menulis sebaris doa.

Ingatlah, doa juga merupakan senjata. Bayangkan, jika setiap orang menulis sebuah doa pendek buat mereka. Dalam sehari, berapa ribu doa yang bakal berlegar dan diaminkan di laman maya? Bagaimana dalam seminggu? Berjuta? 

Tidakkah dunia akan terkesan juga dengan gelombang kesedaran (menentang kezaliman) yang melampau-lampau dekad ini?  

Fenomena ini langsung mengingatkan saya kepada sebuah novel yang menjadi santapan sepanjang Ramadan (berselangkan al-Quran) sewaktu saya menjaga emak yang sakit di hospital. Pembacaannya baru sahaja diselesaikan menjelang Eidul Fitri yang lalu.



Dalam novel Alif the Unseen ini, watak Alif menjadi protagonis yang menyelamatkan sebuah dunia Arab daripada ketidakadilan sistem pemerintahnya. Bagaimana? Alif menjadi seorang pengodam komputer. Tugas utamanya adalah untuk melindungi identiti sekumpulan blogger, aktivis Islam dan kumpulan yang memperjuangkan hak asasi manusia (yang lantang bersuara menyebarkan kesedaran kepada rakyat di laman web mereka) daripada dikesan atau ditangkap oleh pengodam kerajaan yang kejam, The Hand. 

Plot novel ini sebenarnya mudah namun ia terjalin kemas dalam jaluran yang amat menarik sekali. Apa yang menarik di sini, untuk menyelamatkan diri dan mengalahkan The Hand, Alif terpaksa mengembara ke alam jin dan diilhamkan untuk menulis sebuah program komputer tanpa menggunakan kod sistem binari. Alif mencipta program penggodam yang ditulis dalam bentuk metaforikal. 

Menarik, bukan?

Begitu pun, bukanlah tujuan saya hendak mengulas tentang novel tulisan  G.Willow Wilson tersebut. Saya hanya ingin memfokuskan bahawa sesebuah tulisan yang ikhlas dan memiliki perjuangan, lambat laun nanti, pasti akan mengesankan masyarakat. Tidak sekarang, akan datang. Ia laksana titisan air yang bisa melekukkan sebongkah batu.

Selain daripada novel G.Willow Wilson ini, terdapat sebuah lagi buku yang mengesankan saya dalam memikirkan situasi rakyat Palestin sekarang. 

Peace Story -  hasil nukilan beberapa orang penulis yang terlibat dalam projek anjuran NAMBOOK-010 untuk Nami Island Children's Book Festival di Korea. 

Kumpulan cerpen dan puisi yang terdapat dalam buku ini khusus untuk memberi kesedaran kepada generasi pelapis bahawa peperangan bukanlah jalan penyelesaian yang terbaik. Ia penyebab kesengsaraan manusia. Hidup ini perlu selalu ada toleransi dan manusia perlu bersikap adil demi menjaga keamanan. 

Ini sebuah usaha yang murni dan dipersembahkan dalam konsep yang segar. Lebih menarik lagi, setiap karya dipersembahkan bersama ilustrasi. Di bawah, saya kongsikan beberapa contoh cerpen dan sebuah puisi yang sempat saya rakam. Setiap satu gambar ini dikreditkan kepada mentor saya, Tuan Yusof Gajah kerana sesungguhnya buku Peace Story ini dipinjam daripada beliau. 


Kulit buku Peace Story



Tragedi kehilangan seorang kakak diceritakan oleh Susanne Gervay dari Australia dalam kisah peperangan di Timur Timor (East Timor).


Pergaduhan sesama manusia menyebabkan kehidupan kanak-kanak yang sepatutnya ceria dipengaruhi oleh unsur-unsur negatif dan bayangan ketakutan. Kisah My Brother Amit ini garapan Divya Jain dari India. 


Puisi. Biarpun ringkas tetapi padat dan dalam makna. 

Trauma peperangan semasa kecil tidak mudah untuk dilupakan. Namun keberanian mengharunginya perlu diceritakan agar generasi akan datang dapat mengambil iktibar. Cerpen ini karya Eva Mutongole Wamala dari Uganda.


Pak Yusof Gajah, penulis dan pelukis tersohor Malaysia, menekankan betapa sikap toleransi itu lebih mendatangkan kebaikan daripada bersikap tamak haloba. Ia dinisbahkan kepada pergaduhan sekumpulan gagak putih dan gagak hitam.  

Masih ingat peperangan Korea Utara dan Korea Selatan? Secebis kenangan duka itu dikongsi dalam cerpen Recalling a Musk Deer oleh Tuan Kim Jin-Kyung, jutawan yang memiliki Pulau Nami di Korea. Tuan Kim juga merupakan pengasas pertandingan ilustrasi buku bergambar kanak-kanak yang berprestij, Nami Concours.


Ini antara barisan penulis dan ilustrator yang terlibat dalam penulisan buku Peace Story. 

Demikian, betapa perkataan mempunyai kuasa luarbiasa yang mampu menggugah pendirian manusia. Tidakkah kita juga mahukan keadilan kepada kanak-kanak yang tertindas di Palestin?... Atau di mana-mana jua bumi Tuhan?

Saya benar-benar berharap agar sebuah projek seperti ini juga bisa dilakukan untuk menyebarkan kesedaran kepada khalayak dunia bahawa peperangan perlu dielakkan. Kerakusan dan ketamakan sesuatu bangsa hanya menyebabkan berlakunya kezaliman dan penindasan.

Sayang sekali, kita berdepan dengan mereka yang tidak beriman. Mungkin juga kurang beriman. Lalu perbahasan tentang halal dan haram, adil dan kejam, dosa dan pahala tidak mungkin dapat menjinakkan hati mereka nan keras. 

Lalu usaha sebegini yang saya dambakan. Saya ingin sekali ikut serta dalam misi menyebarkan kesedaran keamanan seperti ini. Melawan api dengan air. Melawan benci dengan cinta. 

Apakah mungkin?

Ah, malam kian larut. Saya terpaksa mengakhiri tulisan kali ini dengan doa yang kudus... agar apa yang saya hajatkan dalam perkongsian kali ini bisa tercapai dalam masa yang terdekat. Dunia semakin tenat. Usahlah kita teragak-agak lagi.

Amin Ya Rabbal 'alamin. 


Jutaan terima kasih atas kunjungan kalian. Semoga belum terlambat untuk saya mengucapkan, Salam Lebaran. Taqabbalallah minna wa minkum.   

Bersederhanalah dalam memberi makna kepada sambutan perayaan.

Mazny M.R.