Pages

Thursday, 28 February 2013

Seputar Lentera Cinta Albaicin III

LCA dan Umrah

   Baru-baru ini, saya berkesempatan untuk menghantar beberapa orang teman baik ke dewan berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi mengerjakan umrah. Seramai hampir tigabelas orang kesemuanya. Seronok bukan kepalang. Walaupun bukan kami yang dijemput ke sana, pemergian teman-teman, sedikit sebanyak memercikkan seribu bahang kerinduan pada hati kami yang ditinggalkan di sini. 

Selamat pergi dan kembali bersama umrah yang mabrur. Semoga dipermudahkan.
   Kepada sesiapa yang pernah menjejakkan kaki ke tanah suci itu, tentulah segala kenangan dan pengalaman pasti terimbau setiap kali kita meraikan jemaah yang bakal mengerjakan haji ataupun umrah. 

   Antara perkara yang tidak boleh saya lupakan adalah ketika dibawa meronda-ronda dan berkelah pada malam hari di padang pasir berdekatan kawasan Mina. Duduk secara berkumpulan, beralaskan hamparan kain tenun, kami begitu berselera sekali menjamah nasi arab berlaukan ayam dan kambing serta beberapa jenis juadah lain. Tambahan pula dihidangkan teh arab yang berasap dan harum dengan bau cengkih dan daun pudina. Waduh, menulisnya sahaja sudah membuatkan diri terliur. Ingin sahaja saya berlari ke kedai mencari nasi arab pada saat ini!

   Buat pertama kali juga, saya dihidangkan dengan buah kaktus. Anda pernah merasa buah kaktus? Bentuknya kecil seperti buah nona tepi isi dan rasanya kuning seperti buah tembikai. Saya menggelarkan buah ini, Timun Cina Padang Pasir.

   Menyentuh perihal tanah suci, saya teringat kembali kenangan bersama watak-watak utama Lentera Cinta Albaicin (LCA). Berikut adalah petikan watak Salehuddin ketika berada di Masjidilharam yang ternukil dari novel tersebut. Plot ini dimasukkan atas permintaan tuan editor. Katanya, Salehuddin perlu beruzlah untuk membawa hatinya yang duka lara akibat difitnah dengan tuduhan cuba menodai kesucian seorang pesona Albaicin. 

@@@@@@@@@@@

   Aku datang kepadaMu Ya Allah, aku datang kepadaMu
   
   Aku penuhi panggilanMu, tiada sekutu bagiMu

   Sesungguhnya segala puji-pujian dan kenikmatan hanya milikMu,

   Tiada sekutu bagiMu!

Salehuddin memanjangkan waktu sujud terakhirnya dengan berdoa sebanyak yang mungkin.

Segala kedukaan yang bergalau dalam hatinya, diadukan kepada Rabbulalamin. Segala ujian dan dugaan yang melandanya saat ini, minta diselesaikan secara baik. Baik pada percaturan Allah, maka baik jugalah penerimaan dirinya. Dia tidak berdendam dengan sesiapa. Dia hanya mahu Allah menunjukkan kepadanya jalan yang benar. Agar namanya dapat dibersihkan dan perjuangannya bersama Abdul Hakeem tidak akan terhenti setakat itu. 

"Ya Allah, Ya Ghafur, ampunilah dosa kedua ibu bapaku. Biarpun sebanyak buih di lautan, dosa mereka kepadaMu."

"Ya Allah, Ya Rahim, sayangilah mereka seperti mana mereka menyayangiku sejak kecil hingga dewasa. Jangan Engkau seksa mereka di dalam nerakaMu. Biarkan aku yang menanggung kesemua itu!"

"Ya Allah, Ya Razzaq, permudahkanlah rezekiku dengan rezeki yang halal dan thoibah. Juga rezeki kaum keluargaku. Perluaskan pintu rezekiMu buat adindaku, Fatimatul Zahra dan teman baiknya untuk melanjutkan pelajaran bersama-sama di suatu tempat yang terbaik untuk mereka."

Air mata mengalir deras tanpa dapat ditahan-tahan. 

Perasaannya terasa sebak sebaik menyebut nama Leyla Zulaikha dalam hati. Salehuddin sedar, dia tidak layak memberi petunjuk dan hidayah kepada gadis itu. Antara dirinya dan Leyla, belum ada apa-apa ikatan yang sah. Apa yang ada sekarang, hanyalah perasaan kasih sesama insan. Dia tidak boleh berbuat sesuatu yang melangkaui garisan syariat. Lalu urusan Leyla Zulakiha dikembailkan sahaja kepada Allah yang lebih berhak. 

Salehuddin juga turut membaca doa-doa dari hadis dan al-Quran kerana doa-doa daripada kedua-dua sumber inilah yang paling afdal untuk diamalkan. 

Begitu juga halnya dengan Abdul Hakeem. Dalam sujud terakhirnya, dia memohon bersungguh-sungguh kepada Allah Azzajawalla agar memudahkan segala perjalanan MUSPA. Kanak-kanak Islam di Granada benar-benar membutuhkan sebuah sekolah yang mampu mengimbangi ilmu dunia dan akhirat. 

Abdul Hakeem percaya, dirinya dan Salehuddin telah terpilih untuk mendidik sebuah generasi baharu yang mampu untuk terus hidup mengamalkan Islam di Albaicin. 

Dia memohon agar Allah meletakkan keberanian pada hati mereka agar terus berjihad dan tidak gentar kepada ugutan mana-mana pihak. Sememangnya masyarakat Islam di Sepanyol perlu memperjuangkan hak mereka dalam memperolehi pendidikan yang berkualiti dan bersesuaian dengan fitrah seorang muslim.

Akhirnya dua orang anak muda itu menyudahi solat sunat mereka dan bergerak pula ke kawasan yang bertentangan dengan Multazam. 

"Mari kita duduk sebentar di hadapan Kaabah. Esok kita akan berangkat ke Madinah. Saya khuatir nanti kempunan tidak dapat memandang Kaabah lagi," ajak Abdul Hakeem. 

"Hisy, kenapa kamu cakap begitu? Berdoalah agar kita dijemput kembali menjadi tetamu Allah pada waktu yang lain," suruh Salehuddin.

"Di sini, tempat mustajab doa. Semua doa kita akan diangkat oleh para malaikat dengan kadar segera. Apa-apa yang kita ucapkan juga adalah doa, Hakeem!" Salehuddin menyambung.

Abdul Hakeem langsung tersenyum penuh makna. "Kalau begitu, saya mahu menyebut satu perkara ini banyak-banyak!" Dia mengenyitkan matanya kepada Salehuddin. 

"Apa pula yang kamu minta?"

"Saya mahu Allah jodohkan saya dengan seorang bidadari!" Seloroh Abdul Hakeem. 

Salehuddin menyambutnya dengan senyuman berbunga. "Amboi, kamu pilih bidadari, ya? Habis itu, siapa yang mahu berkahwin dengan perempuan di dunia?"

"Hahaha!" Abdul Hakeem tergelak besar.

"Manusia yang menyerupai bidadari pun, saya mahu kahwin juga!" Sambungnya.

Salehuddin tersenyum sambil menggeleng melihatkan telatah Abdul Hakeem itu. "Dalam al-Quran, Allah ada berfirman mengenai sifat-sifat bidadari syurga," dia memberitahu. 

"Yang suci tidak bermakna daripada penglihatan dan sentuhan sahaja tetapi akhlak dan keperibadiannya. Tidak memiliki hati yang kotor dan solehah perwatakkannya. Allah menciptakan bidadari untuk mengembirakan hati para suami. Maka, mana-mana perempuan yang berusaha keras menjaga kebajikan suaminya di dunia juga memiliki sifat seperti seorang bidadari!"

"Jika di syurga, bidadari disimpan elok di dalam khemah-khemah mutiara yang berhias indah. Di dunia ini, perempuan yang memiliki karektor seperti bidadari bukanlah yang suka berpeleseran di luar tetapi berusaha menjaga kehormatan dirinya. Jika keluar pun, tidak mentabarruj diri dengan solekkan dan perhiasan yang berlebih-lebihan. Cukup untuk sekadar tidak dipandang selekeh."

Dalam diam, Abdul Hakeem akur dengan penjelasan Salehuddin. Terhibur juga mendengar gambaran seorang bidadari daripada kaca mata teman baiknya itu.

"Jika begitu, boleh saya katakan, ada juga antara perempuan di dunia ini yang memiliki kesemua ciri-ciri seperti yang kamu gambarkan itu?" Abdul Hakeem menyoal. 

Sekali lagi Salehuddin tersenyum dengan telatah Abdul Hakeem. Entah mengapalah sahabatnya itu giat benar bercerita hal kisah perempuan dan bidadari.

"Kamu tidak boleh menyamakan mereka dengan perempuan di dunia, Hakeem. Bidadari dijadikan oleh Allah secara langsung dan hanya layak tinggal di dalam syurga!"

"Allah itu Maha Cantik dan sukakan kecantikan."

"Dunia ini adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan ialah wanita yang solehah." (Hadis riwayat Imam Muslim)

Entah mengapa Salehuddin teringatkan sepotong hadis yang telah dijadikan bait puisi lagu 'Hawa' dendangan seorang penasyid.

"Lalu bagaimana pula dengan yang itu, Saleh?" Abdul Hakeem menyenggol lengan Salehuddin. Telunjuknya menunding ke satu arah. 

Tidak jauh dari tempat duduk mereka, seorang gadis sedang bersimpuh dalam keadaan tahiyat akhir sambil menadah tangan. Matanya yang beralis lentik terpejam rapat penuh khusyuk mengadap Tuhan. Air mata yang mengalir turun kelihatan bersinar-sinar di bawah pancaran matahari lalu menitis pada dagunya. Wajahnya basah dalam tangisan namun keputihan warna telekung yang membaluti tubuh badannya seolah-olah turut bercahaya menyempurnakan kejelitaan.

"Masya-Allah... ." Masing-masing diserbu rasa kagum dan terharu dengan kebesaran Tuhan. 

"Abang Saleh?"

Hairan sungguh! Di sebalik susuk tubuh gadis yang sedang berdoa itu, tiba-tiba mereka melihat Fatimatul Zahra menjengukkan kepala. 

@@@@@@@@@@@

Anda mahu tahu kesudahan pertemuan yang tidak dirancang ini? Mari dapatkan Lentera Cinta Albaicin di pautan kedai atas talian Galeri Ilmu Sdn. Bhd.:



SELAMAT MENGEMBARA KE LEMBAH ALBAICIN, YA!... 

Terima kasih kerana sudi berkunjung ke blog Aku dan Kafe Buku lagi. Selamat meraikan Jumaat. Semoga kalian dapat berehat di hujung minggu.

Salam manis,

Mazny M.R.



Thursday, 21 February 2013

Perihal Tahun Baharu Cina 2013

Wow Coklat Fondu Mia & 'Ang Pau'


   Ah, betapa sambutan Tahun Baharu Cina sudah semakin ke penghujungnya. Namun sahutan bunyi mercun dan bunga api masih lagi rancak dan meriah kedengaran. Di tempat tinggal saya, anak-anak masih lagi bermain mercun sehingga lewat tengah malam. Tidak tidurkah mereka? Bukankah mereka harus bangun pagi pada keesokan hari? Sesekali apabila bunyi mercun yang kedengaran berdentum kuat dan lebih lama dari kebiasaan, saya akan menyelak langsir tingkap bagi memastikan yang sedang bermain itu adalah anak-anak, bukannya ibu bapa mereka! 

   Ya, tidak salah orang tua bermain mercun tetapi andai sampai melebihi pukul satu pagi, mengalahkan anak-anak pula. Sepatutnya mereka lebih matang berfikir daripada budak-budak. Saya tidak akan memarahi anak-anak kerana adatlah, sesekali beraya mahu bermain puas-puas. Ada kalanya 'terbabas'. Tetapi itu fikiran budak-budak. Hanya tahu keseronokan tanpa berfikir panjang, apakah keseronokan itu mengganggu waktu tidur jiran-jirannya. Ataupun keadaan bingit laksana tinggal dalam zon perang itu bisa sahaja 'membunuh mood' seorang pengarang!... .

   Budak-budak, tidak mengapalah. Akal masih muda tetapi orang tua? Haih, sendiri mau fikirlah, wahai tuan!

  Membesar di daerah Mersing yang agak jauh terpencil jika hendak dibandingkan dengan sembilan daerah lain di Johor, musim perayaan adalah suatu bentuk hiburan yang dinanti-nantikan. Saya masih ingat lagi setiap kali tiba Tahun Baharu Cina, emak akan bertungkus-lumus (tentulah dibantu oleh anaknya yang sulung ini) memasak pelbagai juadah seperti hendak menyambut Hari Raya Puasa lagaknya. 

"Buat apa susah payah memasak semua ni, emak? Bukan kita yang nak beraya!" Saya pernah bersungut akibat terlalu keletihan membantu emak di dapur. Adik-adik yang lain masih kecil dan tidak tahu membantu. Mereka hendak bermain sahaja kerjanya. 

Peliknya, emak tidak pernah menjawab begini, "Buat sajalah apa yang emak suruh. Bukankah menolong itu dapat pahala?"

Sebaliknya emak memberikan jawapan ini, "Bila lagi nak kenal mengenal dengan jiran? Nama saja duduk berjiran tapi tak pernah beramah-mesra. Lagi pun, siapa yang tolong emak masak, nanti dapat ang pau, dia punya!" 

Walaupun kurang bersetuju dengan idea emak, saya masih membantunya saban tahun. Saya tahu selalunya ang pau yang kami dapat, emak akan bahagikan kepada kami tiga beradik. Emak memasak bukan sahaja untuk Tahun Baharu Cina, malah musim Deepavali pun begitu. Cuma sejak berpindah ke rumah yang lebih dekat dengan bandar, jiran kami yang berbangsa India cumalah Pak Cik Sri seorang. Itu pun, beliau jarang bergaul dengan kami. Tidak seperti beberapa orang jiran berbangsa Cina emak yang lain. 

Seperkara lagi yang masih saya ingat pada waktu itu, musim Tahun Baharu Cina sahajalah kami dapat merasa bekalan buah limau mandarin yang besar dan manis. Buah-buahan selain pisang, tembikai dan epal adalah antara komoditi mewah zaman itu. Ini kerana kedudukan kami yang jauh dan 'seringkali dianaktirikan' berbanding daerah-daerah lain di Johor. Pada waktu itu, ramai penjual buah (dan penjual barangan lain) 'tidak berani' hendak memasuki pasaran Mersing kerana takut barangan mereka tidak laku. Saya berani menulis begini di sini bukanlah kerana ini blog saya. Saya lahir dan membesar di Mersing. Saya anak jati Mersing dan ini adalah sebuah hakikat. Dalam banyak segi, Mersing... masih tersisih.

Begitu pun, musim perayaan di Mersing banyak mengajar saya erti nilai hidup bermasyarakat. Paling tidak boleh saya lupakan ialah pesanan emak sebelum saya berlepas menghantarkan bakul makanan ke rumah jiran.

"Cakap pada nyonya, emak saya pesan, nyonya jangan basuh bekas ini. Biarkan saya cuci sendiri."

Nyonya pula menyoal, "Haiya, kenapa? Orang sudah susah-susah masak, saya kena pulang kasi bersih!"

"Eh, tak mengapa, nyonya. Emak saya kata kalau basuh nanti kasih sayang tak panjang. Sudah hilang!" 

Entahkan percaya entahkan tidak. Tugas saya hanya menyampaikan amanah emak. Akal saya semasa kecil menyatakan tentulah emak mempunyai sebabnya yang tersendiri dengan muslihat yang sedemikian.

Sehingga kini, amalan emak masih saya teruskan. Jika dahulu, saya rajin memasak dan membungkus makanan untuk jiran-jiran, kini aktiviti masak-memasak itu 'diringankan' dengan budaya bertukar-tukar beg kertas sahaja. Yang penting tradisi itu harus berkekalan. 


Beg Kertas Penyambung Tradisi

Saya tidak menyangka amalan ini turut diperhatikan anak saya, Nadya. Baru-baru ini, beliau menegur saya kerana sangkanya, kami sudah melupakan  tradisi tersebut.

Katanya, "Lama tak nampak mama dan jiran-jiran bertukar-tukar barang. Selalunya setiap musim perayaan mesti ada macam-macam."

Saya katakan, "Ada. Cuma Nadya yang tidak ada di rumah. Tiga tahun duduk asrama. Cuba tengok atas meja. Bukan mama yang beli semua tu. Ang pau pun ada. Ambil dan simpan untuk beli buku."

Demikianlah saya cuba hendak melestarikan sebuah amalan zaman anak-anak. Apabila sudah berusia begini, saya dapat kaitkan perbuatan ini dengan sunah Rasulullah s.a.w. Baginda pernah bersabda, bahawa kita hendaklah berbuat baik sesama jiran tetangga. Tanpa mengira apakah usia, bangsa dan agamanya. 

Natijahnya, hal sekecil ini boleh memberikan impak yang sungguh besar. Semangat kejiranan lekas terbentuk. Sikap hormat-menghormati boleh dipupuk. Perpaduan dapat dilaksanakan dengan mudah. 

Ternyata ajaran emak selama ini rupa-rupanya masih berpaksikan tatacara kehidupan Islam. Niat adalah perkara mustahak yang memisahkan sesuatu amalan. 

Hari ini, saya meneruskan tradisi itu dengan niat mahu berjihad. Jihad menegakkan sunah dan agama. Moga-moga dengan akhlak yang mulia, kita bisa memperlihatkan keindahan Islam kepada mereka. Bukankah Nabi Muhammad s.a.w itu diutuskan bagi menyempurnakan akhlak manusia? 

Maka, keperibadian Baginda wajib menjadi idola kita!

Tahun ini, ada sesuatu yang istimewa saya letakkan dalam beg kertas untuk jiran-jiran. Novel Wow, Coklat Fondu Mia! sebagai hadiah di celah-celah bungkusan biskut, coklat, makanan ringan dan ang pau. Novel itu saya tandatangani dengan kata-kata begini...

'Buat jiran kami, keluarga XXOOXX,

Semoga persahabatan kita akan terus berpanjangan dan kekal manis, semanis coklat fondu!'


Sekian, selamat meraikan Jumaat dan berhujung minggu. Jangan lupa mampir kembali ke sini lagi.

Salam sayang,

Mazny M.R.    


   

Sunday, 17 February 2013

Perihal Si Kucing Parsi II

A Letter to Miss 001... 

Apa khabar para pengunjung yang dikasihi sekalian? 

Selamat kembali ke blog Aku dan Kafe Buku. Ini kafe kita. Sebagaimana yang anda maklum, blog ini tidak ditulis dalam bahasa akademik atau penulisan berbaur makalah. Ia ditulis dari hati ke hati dengan konsep dan bahasa yang lebih santai. Namun masih mengekalkan kemurnian dan kesopanan Bahasa Melayu sebagai menyambung ketinggian pekerti kita, Bangsa Melayu. 

Saya senang sekali menerima kunjungan pembaca dari seluruh Malaysia. Malah sejak akhir-akhir ini, semakin ramai yang menjenguk dari negara jiran seperti Indonesia dan Singapura. Saya juga mempunyai seorang pembaca misteri dari negara Jerman. Berdasarkan statistik, beliau akan singgah ke sini cuma seminggu sekali. Seorang teman saya dari India juga tidak lupa membaca coretan-coretan saya menggunakan 'Google Translate'. 

"Thank you so much for your support!"

Selaku seorang penulis yang menyebarkan perpaduan dan kasih sayang melalui kerja-kerjanya, berkembangan ini membuatkan saya berasa amat terharu. Terima kasih atas kesudian anda semua bertandang ke kafe kita. 

Tahukah anda, entri Perihal Si Kucing Parsi adalah 'menu' kegemaran di Aku dan Kafe Buku? Semenjak disiarkan, ia menduduki carta teratas dalam statistik hampir setiap hari. Ini membuatkan saya selalu terfikir, betapa ramainya peminat kucing dari seluruh Malaysia. Apakah ini satu petanda bahawa saya harus menulis dengan lebih kerap tentang Jelly Bean? Atau sebenarnya, anda hanya berminat mengetahui perihal si kucing parsi? Saya sedang berkira-kira untuk mengangkat Jelly Bean menjadi watak utama dalam cerita buku bergambar kanak-kanak. Manuskrip dan ilustrasinya sedang saya usahakan. Apa pula pendapat anda? Perlukah saya menulis lagi cerita tentang anak kucing parsi kesayangan kafe ini? 

Berbicaralah dengan saya. Tuliskan kepada saya apa sahaja cadangan anda dalam kotak komen di bawah. Mungkin perkenalan di kafe ini membolehkan kita bertukar-tukar ilmu dan pendapat. Mengeratkan silaturrahim dan persahabatan. Sudikah anda lakukan itu untuk saya?... .

Baiklah. Entri pada kali ini, saya tujukan khusus buat seorang sahabat yang menetap di Jerman. Beliau sangat suka melukis. (Tidak, beliau bukanlah pengunjung misteri yang saya maksudkan tadi) Saya sedar, jika membaca blog ini menggunakan 'Google Translate' memang memeningkan kepalanya. Oleh sebab itu, entri kali ini terpaksa ditulis dalam Bahasa Inggeris bagi memudahkan sahabat-sahabat saya yang tidak boleh berbahasa Melayu dan  Miss 001 yang tinggal di Jerman memahaminya. Sudahkah anda bersedia?

This entry is dedicated to my dearest friend from Germany, whom I would like to introduce to you as the lovely 'Miss 001'. Oh, and the entry will be creatively presented in a form of letter writing... so, enjoyed!

*********************************************************************
Dear Miss 001,


Big Brown Envelope - All The Way From Germany

What a splendid surprise to find a big brown envelope on my desk this morning. Although it was a bit crumpled around the edge, the content was perfectly safe inside its clear folder.  

How nice of you to send me these lovely drawings of my naughty little kitten. I'm sure, if I showed them to Jelly Bean (JB), she will be jumping in pleasure. Ah, yes, jumping and chasing flies or birds are her favourite hobbies with her little sister cum partner in crime, Kapas. In my Malay language, 'kapas' means cotton. As you can see, JB and all her siblings are as white as cotton. Not snow. Maybe because we don't have snow here. Otherwise, we should be calling her Snowy or 'Salji' in my language. 

Miss 001,


Jelly Bean's sketches - Even Mr Teddy is admiring!
THIS is MY FAVOURITE

I must say that, you impressed me every time with your drawings. They are alive and talking to me like they always do. You are such a talented artist in the making. In my opinion, you could be my next children book illustrator at any time! I still remember the 'wondering eyes' you used to draw for your mother. One with the brown pupil - wondering behind a hibiscus flower and the other one with the blue pupil - wondering behind a peacock feather. Both have the mysterious look. I remember you told me that your mother gave one of the drawings to her friend. Don't you see? It shows that your drawings are really special. Of course, they are not Picasso's but they are beautiful and passionately done. Most importantly, they are genuinely yours.






How is your cat, Sam? I'm sure he is as adventurous as my JB. I still have some of your previous drawings. In one drawing, a cute little kitten was trying to bite a rope. Haha, what was he thinking? Hmm, I could make up a story out of that drawing alone. Would you like to read about it?... 

Little Sam

There was a playful kitten named Little Sam. 

He enjoyed playing in the garden. 

One day, he saw a long, small and red coloured rope. The rope was hanging from an old wooden chair. It was moving as the wind was blowing. "What is that thing?" Little Sam was asking. 

"Could it be a snake?" 

"No. A snake will be making a hissing sound."

"Could it be a caterpillar?" 

"A caterpillar lives in the garden too but a caterpillar likes to eat leaf not an old wooden chair. Besides, they are usually green and not red." Little Sam was scratching his head.

As a curious playful kitten, he was thinking very hard. "What ever it is, it couldn't be a postcard!"

It was not a snake. 

It was not a caterpillar.

"Oh, could it be a shoelace?" 

Quickly, Little Sam ran into the house. He was jumping and running. He was searching all over the place. Then, he saw a pair of polka-dot shoes with  a pair of red shoelace. 

"It was not the shoelace!" Frustrated, he walked away. Besides, he had turned the house into a mess. 

He ran back to the garden. The red rope was still there, hanging. It kept on swinging as the wind was blowing.

"What is that moving thing?" Little Sam was still thinking. The dancing rope was making him wondering.

"Oh, I know!" Cried Little Sam. 

"I know what is long, small and red. It's the liquorice!" 

Excited, Little Sam climbed up the old wooden chair. He was trying to bite  his 'liquorice'. 

He bit and chewed but the liquorice tasted like a dried glue. 

"How could a liquorice doesn't taste so nice?" Little Sam was talking to himself. At least, he was sure that it didn't taste like a mice. Not at all!

"Ooo, Little Saaaaaaaaam!" 

Suddenly he heard a very sweet voice. It came out all the way from that very cosy house.

"Meow, meooooow... ." Little Sam answered to his master loudly. Soon, he was running too  fast and he tumbled like a rolling Humpty Dumpty. 

"Sam, what are you up to? Are you playing with your imaginary friends again?" asked the master.

"Meooooow, meow... ." Little Sam lowered his head. He blinked his eyes and snuggled inside a small basket.

"It's okay. I know you like to play outside but look at all this mess! Solving a mystery could be fun but next time, please walk and do not run." She reminded him.

"Meooooooow," said Little Sam sadly. 

Head on his paws and he closed his eyes. 

Dreaming about that long, small red colored rope. Hoping that it was one chewy liquorice. 
           
Well, what do you think so far? That simple story came out from your little cat drawing. Of course, it wasn't Sam. I made it up just for you.

Sometimes, I was imagining both of us as the writer and illustrator of some lovely children picture books. Then, we could go to The Children Literature Festival in Bologna, Italy. Together. Proudly as a writer and illustrator. That is not so bad, isn't it? Okay, perhaps we could erase that 'Bologna, Italy' dream part. That is too much, hahaha. Still, I could go on and on making up stories with your other lovely drawings. It is such a wonderful feeling to complete a simple story based on a beautiful illustrations. Especially when it was made by a dear friend. 

Oh, yes! I remember your sleeping leopard. A colourful beak parrot and those adorable blue birds from your garden. They called you 'The Bird Whisperer', aren't they? That is one cute nickname. I think it suits you very well since you love animals so much. You must be inspired by the lovely surrounding where you're living. You are one lucky girl! The only animals I encountered besides JB are some alley cats and stray dogs. The cuter thing would be this one squirrel who used to hop at my kitchen back lane stealing some wild berries from my neighbour. Now the rumble berries are no more, I've 'lost' the only friendly squirrel I've ever known.








Well Miss 001,

I wrote a special blog entry just for you. It's nice to share your arts with my 'cafe' patrons. My blog is called 'Aku dan Kafe Buku' - Me and A Book Cafe. I'm sure, they will love it as much as I do. Thanks for the colourful postcard. I wish to visit that 'mediavel town' one day. Please keep on sketching. 

Until then, take care. Have a nice weekend.

Yours truely,

Miss 002

*************************************************************

At one time, Miss 001 used to have a rabbit named Hoppel. She likes to draw animals and colour them. I can't show all her drawings here but I can tell that she is getting better and better everytime. As a self-taught artist, her talent is something to be proud of. Miss 001 reminds me of my own favourite writer and illustrator. She is none other than the world famous children book writer, Beatrix Potter. Her story of Peter Rabbits always been my valuable collection in my personal library. I dream of visiting her home town in Lake District, UK. Anyone interested enough to join? 

Sekian dahulu 'hidangan' Aku dan Kafe Buku pada minggu ini. Semoga anda terhibur dan berhasil memperolehi sedikit manfaat daripada mana-mana tulisan saya di sini. Jika anda perhatikan, mungkin ada sesuatu yang dapat anda pelajari dalam penceritaan 'Little Sam's Liquorice' di atas. Terutamanya kepada mereka yang berminat dengan penulisan buku bergambar kanak-kanak. Saya tidak mahu menyebutnya sekarang. Mungkin sahaja pada kesempatan yang lain pula. Hingga bertemu lagi pada entri akan datang. Selamat berehat pada hujung minggu.

Salam sayang,

Mazny M.R.

Thursday, 7 February 2013

Perihal Teknik Penulisan (Entri II)

.........sambungan

6) Ilmu Bahasa

Mengapa agaknya ilmu bahasa sangat penting dalam penulisan? 

Sebenarnya, tanggungjawab seorang penulis tidak hanya tertumpu kepada penghasilan plot-plot cerita yang menarik dan mengujakan. Salah satu tanggungjawab besar yang digalas oleh semua penulis ialah memelihara keindahan dan kesinambungan legasi bahasa bangsanya. 

Semasa saya melawat tanah India, antara aktiviti yang saya lakukan ialah menjenguk beberapa buah kedai buku. Baik yang tersohor seperti Crossword Bookstores dan Reliance Timeout di Bangalore sehinggalah ke kedai-kedai buku indie yang terdapat di sekitar Mysore dan sebuah pekan kecil di Kerala. Daripada pengamatan saya, India boleh dikatakan syurga buku buat para bibliofil! Sebutlah apa sahaja, mereka akan bantu anda untuk mendapatkannya. Bukan itu sahaja, harga buku-buku di sana memang lebih murah jika dibandingkan dengan Malaysia. Ini kerana mereka mengamalkan konsep penerbitan bersekutu dengan syarikat-syarikat buku antarabangsa. Contohnya, Macmillan Publisher India, Penguin Books India dan HarperCollins Publisher India. Kesemuanya beroperasi secara lokal, mencetak, menerbit dan memasarkan buku-buku tempatan mahupun antarabangsa. Kos pengeluaran menjadi jauh lebih murah. 

Industri perbukuan di India juga sangat besar. Selain daripada syarikat gergasi, terdapat juga ratusan (mungkin ribuan) syarikat penerbitan yang beroperasi secara individu. Oleh itu, dunia penulisan di India sangat rancak dan meriah. Jika kita boleh  berbangga dengan musim kemeriahan PESTA BUKU ANTARABANGSA KUALA LUMPUR (PBAKL), mereka ada JAIPUR LITERATURE FESTIVAL (JLF) yang usianya jauh lebih muda tetapi mendapat publisiti yang cukup meluas sehinggakan Oprah Winfrey dan Dalai Lama pun sanggup datang 'mencemar duli'. Syukurlah, sejak akhir-akhir ini, ada pihak yang sudah mula celik mata dan merasakan PBAKL seharusnya menjadi platform untuk mengetengahkan aktiviti sastera yang lebih bermutu. Wawancara Sofa Putih (ITBM) adalah salah satu daripadanya. Amat wajar dan penting bagi kita mengakrabkan pembaca dengan karya-karya sastera yang bermutu selain hendak mengaut keuntungan yang berjuta-juta ringgit. 


Berbalik kepada ilmu bahasa tadi, satu perkara yang mengejutkan saya ialah bagaimana mereka di India masih lagi gigih mempertahankan bahasa ibunda mereka. Oh, maaf, saya tidak maksudkan bahasa Hindi. Tetapi bahasa 'kenegerian' atau bahasa dialek. Mereka masih menulis dalam bahasa Marathi, Kannada, Malayalam, Tamil dan berbagai jenis bahasa lagi yang tidak tersebut di sini. Bayangkan kita membaca novel-novel yang ditulis dalam bahasa dialek Kelantan, Terengganu, Kedah, Negeri Sembilan atau mungkin bahasa Jawa! Tentulah keadaan ini pelik kerana kita tidak pernah terfikir begitu. Kita lebih mengutamakan bahasa pasar, bahasa rojak dan bahasa sms. Saya menggelarkan bahasa-bahasa sebegini sebagai 'bahasa trendy'. Mungkin lebih tepat lagi, 'bahasa gula-gula'. Sedap dikunyah tetapi akhirnya merosakkan gigi! 

Di sebuah pekan kecil di Kerala, saya temui sebuah kedai yang menawarkan khidmat penterjemahan karya selain daripada bahasa Inggeris tetapi juga bahasa-bahasa kenegerian seperti yang tersebut di atas. Aneh bukan? Aneh kerana pasarannya tentulah tertumpu kepada negeri itu sahaja. Kek keuntungan tentulah tidak sebesar menerbitkan buku dalam Bahasa Inggeris. Tetapi mengapa mereka lakukan sedemikian? 

Mereka mahu mempertahankan legasi bahasa ibunda. Bahasa itu jiwa bangsanya. Mempertahankan bahasa samalah seperti memperjuangkan kesinambungan budaya, kesopanan dan nilai-nilai tradisi sesebuah bangsa. Melalui bahasa, mereka dapat menulis dengan tepat dan menyebarkan kebudayaan dengan lebih berkesan. Paling penting, mereka (baca: penulis dan pembaca) menyokong usaha hendak memartabatkan bahasa masing-masing. Nah, tidak perlulah kita menerbitkan novel-novel dalam bahasa kenegerian kerana kecilnya jumlah potensi pasaran. Cukuplah jika kita mahu berbangga dengan Bahasa Melayu yang menjadi penyatu perpaduan rakyat sejak sekian lama. Bagi tujuan ini, kita harus mahir ilmu berbahasa Melayu. 

Siapakah yang perlu mempertahankan bahasa itu? - Kita.
Siapakah yang perlu menuturkan bahasa itu?        - Kita.
Siapakah yang perlu menguasai ilmu bahasa itu?  - Kita.
Lantas siapakah yang perlu berbangga dengan bahasa itu? - Kita, kita dan kita.

Mendahulukan bahasa ibunda sendiri tidak bermakna kita harus mengenepikan kepentingan mempelajari bahasa-bahasa lain seperti Bahasa Inggeris, Sepanyol, Jepun atau Perancis. Kita perlu akur bahawa keruntuhan tamadun Islam Andalusia dan kebangkitan tamadun Eropah menyebabkan rancaknya penterjemahan dan penyaduran ilmu-ilmu duniawi dalam bahasa ibunda mereka. Hinggakan untuk menimba ilmu ke peringkat yang lebih tinggi, kita terpaksa menguasai lebih dari sekadar Bahasa Melayu. Setuju?  

Begitu pun kepentingan menguasai ilmu bahasa membolehkan kita menulis Bahasa Melayu yang bermutu tinggi dengan mudah. Pengetahuan tentang peribahasa, perkataan sinonim dan antonim, tatabahasa (termasuklah tanda bacaan) dan sebagainya sangat perlu supaya manuskrip kita nanti kelihatan 'bersih' dan istimewa di mata editor. Demikian, peluang untuk diterbitkan amatlah cerah.

Penggunaan Bahasa Melayu yang bermutu bukan sahaja dapat mengekalkan kemurnian dan keindahan bahasa tetapi memelihara kesopanan sesebuah bangsa. Ia juga meninggikan lagi nilai karya kita. Faktor ini membolehkan karya kita, yang penat ditukangi dengan susah payah itu, bertahan jauh lebih lama dan bersifat malar segar (evergreen). Karya-karya sebeginilah yang boleh kita banggakan. Diterjemahkan. Lalu dibawa berkembang ke persada penulisan sastera antarabangsa.  

(Sekadar bicara nurani: Kadangkala saya terfikir, mengapa karya kita belum pernah memenangi anugerah di peringkat antarabangsa seperti Pulitzer, Man Booker, Franz Kafka, Hans Christian Andersen Awards dan banyak lagi. Sedangkan kita punyai ramai penulis yang berkaliber dengan pengkaryaan yang tidak kurang hebat. Ya, kita sudah memiliki wakil untuk S.E.A Awards tetapi alangkah bertuahnya jika kita juga ada wakil untuk anugerah berprestij yang lain? Adakah ini bermakna kita harus menulis dalam Bahasa Inggeris pula?)

Tidak dapat saya nafikan, penggunaan bahasa pasar, bahasa rojak, bahasa 'trendy' atau 'bahasa gula-gula' akan membuatkan karya-karya kita berada dekat dengan diri pembaca. Namun seperti yang saya katakan awal-awal lagi, antara tugas penulis adalah menyambung legasi bahasa bangsanya sendiri. Mendidik generasi akan datang untuk berbahasa dengan betul. Maka, buku-buku yang kita tulis nanti adalah satu wacana yang tepat dalam meneruskan usaha murni tersebut. Ilmu bahasa juga menjadikan anda bertindak sebagai seorang editor ketika melakukan penyuntingan ('proof reading') terhadap karya anda sendiri.

7) Belajarlah Membaca

Semua orang suka membaca. Pendapat yang mengatakan rakyat Malaysia amat malas membaca sudah tidak relevan lagi. Kerancakkan industri perbukuan negara dekad ini adalah bukti kukuh kepada kata-kata saya. Kelab RAM sebagai contoh, sudah berkali-kali mengadakan sesi membaca di dalam komuter. Setiap kali PBAKL, ada saja manusia yang pengsan kerana bersesak hendak membeli buku. Kedai-kedai buku 'online' juga semakin bertambah. Galakan membaca ini turut disokong oleh kerajaan dengan menghadiahkan baucar buku kepada pelajar dan mahasiswa. Perbadanan Kota Buku juga seringkali menganjurkan 'car boot sale'.

Namun di manakah silapnya kita selaku seorang pembaca di Malaysia?

Jika anda mahu menjadi seorang penulis, anda wajib belajar membaca. Maksudnya di sini ialah mempelbagaikan bahan bacaan anda. Jadilah seorang pembaca yang membaca merentas disiplin. Tidak asyik berkhayal dalam dunia asmara. Baca juga bahan bacaan yang memberikan ilmu bantu dalam penulisan anda. Selebihnya, dapatkan majalah yang memberikan anda pengetahuan dalam bidang penulisan. Majalah-majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) adalah penyebar ilmu dunia penulisan yang tidak ternilai. Tidak salah membaca majalah-majalah lain itu. Asalkan anda bijak menapis apa yang dikatakan ilmu dan apa yang dipanggil hiburan. 

Sesekali jinakkan diri dengan karya sastera konvensional tempatan mahupun antarabangsa. Tidak perlu saya menyebut nama karya-karya sastera tanah air, anda semua tentu lebih maklum. Tetapi saya mahu mengingatkan, untuk menulis sesebuah novel yang baik, ada penulis yang sanggup mentelaah 100 buah buku! Kerja gila? Ya, kelompok penulis terdiri daripada orang-orang gila. Saya salah seorang daripadanya. 

Setelah membuat pemilihan bahan bacaan, maka bermulalah proses menaakul, mengkaji dan 'bereksperimentasi'. 

Jika membaca buku ilmiah, catat fakta-fakta yang berkaitan dengan subjek penulisan anda. Jika membaca karya kreatif, lihat kepada jalinan plot dan warna suara pengarangnya. Jika membaca buku yang telah memenangi anugerah, sila lihat apakah keistimewaan yang terdapat dalam karya tersebut.  
   
Pendek kata, seperti nasihat Sasterawan Negara A.Samad Said, untuk menjadi seorang penulis mestilah, "Membaca, membaca dan membaca. Kemudian barulah menulis."

Maksud beliau, harus tiga kali (baca: banyak) membaca baru satu penulisan.

Soalan cepu emas: "Jadi, tidak perlulah kita membaca karya-karya dari mazhab lain seperti mazhab picisan?" 

Secara peribadi saya katakan, tidak salah. Saya membaca apa sahaja. Memang ternyata karya-karya sebegini mampu menarik lebih ramai pembaca khususnya remaja. Seterusnya meningkatkan angka jualan. Melalui pembacaan karya supra-mazhab begini, saya mempelajari banyak perkara lain pula. Seperti yang saya katakan, kita harus bijak menapis. Membezakan yang mana layak dijadikan ilmu dan yang mana sekadar hiburan semata. Seperti halnya dengan penulis, pembaca juga bakal dipertanggungjawabkan dengan apa yang dibacanya... . 

Oleh sebab itulah sebaik-baik pembacaan tentunya dari al-Quran. 

Usah memandang rendah terhadap karya orang lain. Terutamanya jika kita berlainan mazhab penulisan. Bukankah pemilihan mazhab penulisan itu berdasarkan perkara paling asas iaitu nawaitu

Sesungguhnya fenomena berlainan mazhab ini mungkin terkandung hikmahnya dalam dunia penulisan supaya kita dapat saling melengkapi. Memperkukuhkan kelebihan dan mengatasi kekurangan diri. Yang tidak elok dijadikan sempadan. Wallahu'alam.

8) Memilih Genre

Apakah genre yang paling dekat dengan anda? Cuba perhatikan dalam koleksi buku yang anda miliki. Genre apakah yang paling banyak. Bertitik tolak dari statistik tersebut, saya kira lebih bijak jika anda bermula dengan genre tersebut. Ini kerana anda sudah mahir dalam selok belok penceritaan genre itu. 

Seandainya anda mahu beralih kepada genre lain, mulalah memperbanyakkan bacaan dalam genre lain pula. Pemilihan genre penulisan tidak dapat ditentukan oleh sesiapa pun kecuali diri anda sendiri. Menurut kata Tuan Haji Abu Hassan Morad atau lebih kami kenali dengan panggilan Cikgu Abu, "Tulislah sesuatu yang dekat dengan hati." 

Rupa-rupanya apabila menulis sesuatu yang akrab dengan kita, karya itu akan terlihat lebih 'ikhlas'. Ia dapat ditukangi dengan senang dan lancar.

9) Alat Penulisan

Seperti halnya pendekar yang mahu turut ke gelanggang, senjata adalah alat utama yang tersisip di pinggangnya. Bagi penulis, ada beberapa alat yang tidak boleh tidak, harus diadakan.

a. Koleksi pelbagai kamus.
b. Buku Tatabahasa Dewan (mengatasi kecelaruan tatabahasa dan ejaan)
c. Buku Gaya Dewan (penting bagi pencerahan ilmu penerbitan).
d. Menyediakan kutubkhanah kecil atau sudut bacaan.
e. Koleksi buku pelbagai genre, makalah, majalah dan sebagainya.
f. Buku nota atau apa saja yang boleh dicatat sekiranya idea muncul.
g. Berada dalam kelompok penulis (penting sebagai peniup semangat dan mendapatkan ilmu)
h. Komputer dan mesin pencetak.
i.  Ilmu yang secukupnya (bergantung kepada subjek penulisan).
j. Tenaga fizikal dan mental.
k. Keazaman dan doa.

Masa?... Terpulanglah kepada kesesuaian individu. 

Mengenai kamus pula, cuba anda latih diri menggunakan Kamus Dewan Online - Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) sewaktu menulis. Ia amat membantu saya dalam penulisan. Kesemua di atas sekadar cadangan dan nasihat sahaja. Terpulang kepada anda mahu memilih alat yang bagaimana. 

10) Mengenal Pasti Kek Penerbitan

Salah satu cara saya mengenal pasti peluang penerbitan ialah dengan melakukan 'field research' di kedai-kedai buku. 

Sebagai contohnya, jika saya mahu menghantar manuskrip ke PTS, maka saya akan duduk mentelaah buku-buku terbitan PTS. Apakah kelaziman yang ada dalam penerbitan mereka? Apakah faktor X yang menjadi 'trademark' kepada sesebuah penerbitan itu? 

Setelah anda kenal pasti bahagian 'kek' yang mahu anda potong, mulakanlah langkah penulisan anda. Di sini, saya kongsikan sedikit pesanan Puan Ainon kepada kami tidak lama dahulu, "Buat baik dengan Editor!" 

Haha, ini tidak bermaksud penulis harus jadi pengampu. Tetapi perlu ada rasa hormat antara penulis dan editor. Setiap penulis pasti mahu mempertahankan karyanya apabila dikritik. Berhujahlah dengan berhemah. Kadangkala, tidak mengapa mengalah kerana selaku penulis, kerja kita hanya menulis. Sementara editor adalah orang yang bertanggungjawab mempercantikkan karya kita. Beliau akan melihat karya itu dengan lebih jujur daripada diri kita sendiri. Percayalah. 

Di sini, saya suka hendak berkongsi sedikit nasihat yang jujur kepada semua calon penulis. Semasa kita berkarya seboleh-bolehnya cubalah menulis dengan peratus kesilapan yang paling minimum. Hakikatnya tugas seorang penulis hanyalah menulis. Karyanya itu nanti akan dinilai dan disunting oleh orang lain. Sekiranya kita dijodohkan dengan seorang editor atau seorang penyunting yang baik, maka bersyukurlah banyak-banyak. Andai sebaliknya, reda sahaja. Allah lebih mengetahui. Atau masih ada jalan lain seperti mengupah khidmat suntingan luar yang mana tentulah melibatkan perbelanjaan sendiri.  

Sekiranya tiada kata sepakat antara anda dan editor, pilihlah jalan keluar yang lebih selamat. Lakukan dengan jujur dan bermaruah. Moga-moga, hubungan penulis-editor tetap terjalin dengan mesra walaupun manuskrip tidak jadi diterbitkan.

As for me, honesty is STILL the best policy!

 Alhamdulillah, akhirnya berjaya juga saya meluangkan masa untuk menulis perkongsian ini seperti yang telah dijanjikan.

Berkongsi di sini, bukan bermakna saya terlebih bijak menulis. Sebagaimana manusia lain, saya sendiri masih belajar dan tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Entri ini lebih merupakan ingatan dan ulangkaji buat diri sendiri. Silalah ambil mana-mana yang bermanfaat asalkan dikreditkan semula kepada saya (Aku dan Kafe Buku). Mohon maaf atas segala kekurangan. Yang lebih itu pastinya daripada Allah Yang Maha Bijaksana dan yang kurang ternyata daripada saya. Tiada gunanya jika anda beria-ia membaca entri saya (I dan II) ini seandainya masih tidak mahu memulakan apa-apa. Anggaplah perkongsian ini sekadar perkara paling asas yang perlu anda ketahui dalam bidang penulisan. Tulislah mulai sekarang. Saya dan rakan-rakan penulis yang lain sentiasa mendoakan kejayaan anda. In syaa Allah. 

Saya sudahi perkongsian ini dengan serangkap pantun.


Kebaya baru warnanya merah,
Dipakai Cik Siti manis sekali,
 Penulisan itu suatu amanah,
Mendidik hati, akal dan budi.




Hingga ketemu lagi. Salam manis, 


Mazny M.R.



      

Wednesday, 6 February 2013

Perihal Teknik Penulisan (Entri I)

Sekadar perkongsian peribadi...

    Masih terbayang dalam ingatan, bagaimana saya mula terjun dalam bidang penulisan ini. Ada sesuatu dalam diri saya yang sentiasa 'bersuara'. Semakin hari semakin kuat dan menakutkan. Hal ini membuatkan saya kerap termenung dan menangis tanpa sebab yang jelas. Kehairanan, saya mencari jalan dengan mencontengkan apa sahaja suara yang saya dengar itu dalam bentuk prosa-prosa kata. Langsung ia menjadi beberapa ayat. Kemudian ayat-ayat menjadi perenggan. Lalu perenggan-perenggan menjadi sebuah cerita. Anehnya proses tersebut membuatkan 'suara' itu semakin lunak berbicara dengan saya. Dan saya sudah kurang menangis. Lalu saya mengambil keputusan untuk berkenalan dengan 'suara' itu. 

1) Nawaitu 

Suara itu adalah nawaitu  saya, mengapa saya harus menulis. Ya, penulisan itu harus. Tidak wajib. Tetapi dalam 'keterharusan', perlu ada niat yang kukuh yang membezakan penulisan kita - adakah ia menjadi ibadah ataupun lagho (sia-sia) belaka. 

Mengapa hal ini menjadi topik pertama yang saya sentuh? Jawapannya mudah. Niat inilah yang akan menjadi tunggak sesebuah penulisan. Menjadi penyebab kelahiran sesebuah karya. Memastikan keberlangsungan hayat kepengarangan seseorang. Membuatkan si penulis cekal meneruskan kerjayanya  ataupun... berhenti sahaja menulis!
Mengapa anda harus menulis? - kerana royalti? 
                                                                - mencari populariti?  
                                                                - mahukan pengiktirafan? 
                                                                - kerana semua orang menulis, aku pun ingin menulis juga? Ah, pelbagai alasan boleh tercipta. Saya boleh katakan saya menulis kerana 'mahu menyampaikan kebaikan kepada masyarakat'. Nah, ini juga satu nawaitu, bukan? Pendek kata, apa sahaja niat anda itu, hanya anda dan Tuhan saja yang tahu. Tetapi betapa pentingnya nawaitu itu saya sebutkan di sini kerana saya ingin berpesan:

"GENGGAMLAH nawaitu anda sekuat-kuatnya kerana ia bakal menjadi bintang yang terang. Memandu anda dalam pelayaran yang gelap apabila bulan jadi gerhana dan mentari langsung tidak kelihatan. Anda mungkin akan kebasahan dalam musim hujan yang penuh dengan kekecewaan. Seandainya nanti manuskrip anda tertolak atau anda belum menemui penerbit yang serasi dengan karya-karya anda atau buku-buku anda tidak laku keras, perkara paling penting bagi seorang penulis ialah TERUSKAN MENULIS!"

Dunia penulisan tidak semuanya menjanjikan keindahan. Terkadang anda akan dipuji dan diuji. Selebihnya dihakimi. Kritikan adalah rencah yang mematangkan diri. Membolehkan seseorang penulis sedar akan kelemahannya dan seharusnya menjadi suntikan ubat agar beliau terus menghasilkan karya yang lebih baik daripada sebelumnya. Kritikan yang tepat dan jujur seharusnya tidak menjatuhkan maruah dan semangat penulisan orang lain. Menjadi penulis juga membuatkan saya memiliki hati yang lebih waja. Hidup saya lebih terarah dan berwawasan. Tiba-tiba daripada seorang yang pendiam dan tidak bercita-cita tinggi, saya menjadi seorang pemberani. Penulis tidak boleh menganggap apa yang ditulisnya itu 100% betul dan tiada cacat cela. Ingatlah, ilmu Allah maha luas. Lebih luas daripada tujuh lautan yang digabungkan dan ditambahi lagi dengan tujuh lautan yang sebanding. Manakala ilmu manusia hanya setitik cuma. Namun seorang penulis yang berjiwa besar pasti mahu hasil tulisannya memberikan impak positif kepada sesiapa saja yang membaca karyanya kelak. Semasa hayatnya apatah lagi setelah dia tiada. 

Jadi, sebelum anda mulai menulis, berhenti sejenak. Tanyakan diri sendiri apakah nawaitu anda. Pegangan anda. Pedoman anda. Bintang anda. Jawapan yang paling jujur hanya anda dan Tuhan yang lebih mengetahui. Ingatlah, kita semua akan dipertanggungjawabkan dengan apa yang kita hasilkan kelak. Sudah mantapkah nawaitu anda saat ini? Jika sudah, mari teruskan membaca perkongsian saya.

2) Mazhab Penulisan 

Sebagaimana hal-hal lain di dunia ini, bidang penulisan juga mempunyai mazhab (aliran, pemikiran, pegangan) yang tersendiri. Perkara ini mungkin saja boleh diketepikan tetapi selaku penulis yang mempunyai wawasan, saya fikir perkara ini perlu disentuh dalam perkongsian saya. Perhatian penting, pembahagian mazhab yang ingin saya tulis di sini adalah berdasarkan pengamatan dan pengalaman peribadi. Saya kurang pasti jika ada pihak lain di luar sana yang telah menulis secara terperinci dan memperkatakan tentang ini kerana ternyata kepada sesetengah penulis, ini adalah hal sensitif, remeh-temeh dan tidak patut diperbincangkan. Maaf, pada perkiraan saya, menjadi seorang penulis perlu tahu hala tujuan kerja penulisannya. Dan sebelum anda boleh jujur kepada pembaca, anda perlu jujur kepada diri sendiri terlebih dahulu. 

Sewaktu saya sedang menyiapkan novel pertama, saya mengalami kesukaran yang hampir-hampir melumpuhkan terus dunia penulisan saya! Perkara ini terjadi kerana saya berada di dua persimpangan. Mahu hablum minallah atau hablum minannas? Walhal, kedua-dua perkara ini iaitu perhubungan dengan Allah dan manusia wajib kita jaga dalam karya-karya kita. Manusia (pembaca), fitrahnya hanya ingin yang seronok sahaja. Yang seronok itu selalunya lebih cenderung kepada yang makruh jika tidak haram. Yang seronok itu selalunya lebih menyerlahkan perasaan daripada pemikiran. Lantas bagaimana pula dengan Allah? Sukakah Allah apa yang kita tulis? Redakah Dia?

Maka di sini, kebijaksanaan penulis dalam menggaulkan dua faktor utama ini menjadi prioriti yang menekan saya. Di kala saya tersepit hendak memenuhi tuntutan khalayak ramai yang mahukan kisah 'begitu begini', saya juga tersepit dengan kemahuan nawaitu sendiri untuk menulis sesuatu yang tidak klise. Melahirkan karya nan indah tetapi unik dan bermanfaat kepada semua sebenarnya tidaklah sesusah mana tetapi masih 'sukar'. Persoalan paling penting bagi saya ialah apakah pembaca saya kelak memperolehi sebarang kemanfaatan? Sempurnakah karya saya ini untuk mencetuskan impak yang besar dalam kerohanian pembaca? Adakah orang yang sudi membaca buku saya? Perkara sebeginilah yang menjadikan saya terus 'diam' dari menulis. Langsung Allah 'memujuk' dan mempertemukan saya dengan seorang penulis tersohor yang telah menjentik hati saya dengan kata-katanya;

"Abang rasa, awak kena masuk dunia penulisan ini dari pintu kesufian. Cuba baca dan belajar pendekatan sufisme. Insya-Allah, boleh... . Kita tunggu kelahiran buku pertama awak itu!" 

Saya pulang dan menggali semula apa yang perlu untuk menambahkan kefahaman atas apa yang kurang. Saya akhirnya sedar, dunia ini (dan segala isinya) tidak mungkin mencapai tahap kesempurnaan. Dalam pada itu, dapat saya simpulkan mazhab penulisan kepada tiga kategori penting.

Pertama: Mazhab Sastera - menurut guru penulisan saya yang pertama, Dr. Mohd. Faizal bin Musa atau lebih dikenali sebagai Faisal Tehrani, sesiapa yang ingin karyanya dipandang serius sebagai karya sastera harus menyentuh tentang tiga subjek ini  
               a) Agama
               b) Sejarah
               c) Politik

Apabila mencanai tiga subjek ini dalam karya, tidak semestinya ia perlu bernada serius, bosan dan jumud. Karya sastera adalah kunyahan orang bijak pandai, yang mahu menggunakan pemikirannya untuk menambah kecerdikan. Bagi saya tiada istilah orang bodoh dalam dunia ini. Yang ada hanyalah orang RAJIN dan orang MALAS. Sementara elemen percintaan manusiawi boleh sahaja diselitkan sebagai pemanis. Asalkan plot (sebab dan akibat) percintaan itu masih bertunjangkan kepada agama, sejarah dan politik. Apabila kemelut percintaan dan perasaan cinta manusia yang meluap-luap dibumbukan kepada pembaca dan terlalu mendominasi kekuatan sesebuah karya, ia akan jatuh kepada mazhab yang lain pula. Jadi, berhati-hatilah.

Dalam satu sesi bersama Sasterawan Negara Dr Anwar Ridhwan, beliau berpesan kepada kami kurang lebihnya begini;

"Sesungguhnya novel sastera itu perlu ada pemikiran. Perlu ada falsafah di dalamnya. Menyerlahkan nilai-nilai estetika dan mutu Bahasa Melayu yang tinggi. Karya itu perlu ada nilai ilmu dan bersifat intelektual. Boleh memberikan impak positif kepada para pembaca khususnya golongan masyarakat. Maka ia akan terus kekal relevan merentas zaman."

Ambillah kata-kata tersebut sebagai renungan.

Kedua: Mazhab Pertengahan - karya yang tidak menepati kritiria sesebuah karya sastera tetapi masih ada unsur-unsur kebaikan. Setelah membacanya, kita memperolehi ilmu-ilmu bantu yang baharu. Pencerahan tentang sesuatu topik dan paling penting bahasa yang digunakan adalah bahasa yang bermutu tinggi, jernih dan tidak merosakkan.  

Ketiga: Mazhab Picisan - mengikut Kamus Dewan, picisan bermaksud rendah mutunya. Apakah yang menyebabkan sesebuah karya itu menjadi tidak bermutu? Takrifan karya-karya picisan ini adalah pelbagai. Saya pernah terbaca beberapa tulisan yang mengkritik karya-karya picisan. Mungkin kritiria yang diguna pakai untuk mendefinasikan maksud picisan itu sendiri yang membawa kepada kepelbagaian klasifikasi. Secara jujur, saya melihat kepada dua faktor sahaja sebagai kayu pengukur yang melabelkan sesuatu karya itu sebagai picisan. Pertama, setelah selesai membacanya, tiada isi yang boleh memberi nilai tambah dalam keimanan, keperibadian dan memperkasakan kehidupan pembaca. Kedua, mutu bahasa yang digunakan. 

Penulis yang mahu karyanya mendidik pembaca bukan hanya menitikberatkan jalan cerita tetapi penggunaan bahasa yang sopan, mulia dan 'tidak mengikut trend'. Dalam menaratifkan cerita, bahasa perlu jernih dan melambangkan budi pekerti/kebudayaan/kesantunan si pencerita. Di sinilah perlunya ilmu tatabahasa, nahu dan sebagainya. Jangan risau, anda mahu menjadi seorang penulis bukannya guru bahasa. Namun tanggungjawab anda sebagai penulis menuntut anda untuk memiliki sedikit sebanyak pengetahuan mengenai ilmu bahasa yang menjadi medium penulisan anda kelak. Bukankah bahasa itu jiwa bangsa? Manakala dalam dialog pula, ada beberapa kelonggaran seperti penggunaan kata kontot 'kan', 'tak', 'tu' dan sebagainya. Ini tidaklah bermakna kita boleh menulis dialog sesuka hati dengan menggunakan 'bahasa rojak'. Mari kita elak penggunaan kata-kata kesat, tidak senonoh dan perkataan 'trendy' yang tidak ketahuan dasar bahasanya! Anda mungkin fikir ia sesuatu yang 'catchy' dan menyeronokkan tetapi fikirkan kesannya terhadap pembaca khususnya golongan remaja. Melainkan perkataan itu perlu ditulis kerana sudah tiada cara lain lagi untuk menterjemahkan situasi ataupun perkara yang hendak disampaikan. Begitu pun, saya kira sebagai insan kreatif, kita dianugerahi dengan kebolehan yang mungkin tidak ada dalam diri pembaca. Oleh sebab itulah kita bergelar penulis. 

Setiap penulis itu adalah pembaca dan tidak semua pembaca itu adalah penulis. 

Nah, mazhab manakah yang menjadi pegangan anda sewaktu menulis? Jawapannya terpulanglah kepada diri anda sendiri. Di sini, tugas saya hanya memberi pencerahan dan keputusan berada di hujung jari-jemari anda. Tidak ada sesiapa pun yang boleh memaksa kerana masing-masing akan dipertanggungjawabkan atas karya masing-masing. Ingin saya jelaskan juga, bagi saya, karya yang termasuk dalam mazhab pertama itu selalunya telah dinilai oleh mereka yang berkelayakan. Sementara mazhab kedua dan ketiga lebih kepada penilaian peribadi. Wallahua'lam.

3) Teknik Mengarang

Sedarkah anda terdapat pelbagai teknik penulisan yang boleh kita temui di luar sana? Baik konvensional mahupun kontemporari. Antaranya teknik linear, KJ Method, teknik penulisan Surah Yusuf dan sebagainya. 

Teknik linear - proses penulisan konvensional yang boleh diibaratkan seperti satu garisan lurus. Pengarang memulakan penulisan dari bab pertama, kedua, ketiga dan seterusnya sehinggalah bab terakhir. Kebaikan teknik ini, pengarang dapat memantau perkembangan ceritanya dari awal hingga akhir mengikut kronologi yang telah dilakarkan dalam draf. Keburukannya apabila pengarang tersekat di salah satu bab, maka penulisannya terhenti. 'Writer's block' atau lebih parah lagi, ia langsung terbengkalai. 

KJ Method - ramai yang tahu teknik ini diasaskan oleh seorang usahawan Jepun, Kawakita Jiro. Dalam bidang penulisan, teknik ini dikatakan dapat membantu penulis menulis dengan lebih lancar kerana kaedah yang digunakan dapat meningkat daya kreativiti seseorang. Penulis tidak terikat untuk menulis dari awal bab hingga ke akhir. Boleh sahaja kita menulis untuk mana-mana bab atau idea yang timbul dalam kepala. Penulisan boleh dicatatkan dalam buku nota, di atas kertas napkin sewaktu sedang minum petang di kafe ataupun dalam telefon bimbit. Asalkan idea atau babak yang terlintas itu segera ditulis. Idea itu kemudiannya akan dikumpulkan, dicantum dan disusun mengikut jalan cerita yang terdapat dalam draf awal. Ah, saya tidak bercadang hendak mengajar teknik penulisan KJ Method di sini. Anda boleh saja mencari buku atau posting atas talian yang berkaitan dengan teknik penulisan tersebut. Apa yang mahu saya nyatakan, khabarnya teknik ini membolehkan penulis menulis dua tiga buah buku sekali gus. Dalam erti kata lain, ia meningkatkan produktiviti berkarya.  

Teknik Surah Yusuf - teknik ini dipelopori oleh Sifu Puan Ainon Mohd. Sesiapa yang tidak kenal Puan Ainon, mesti tidak pernah membaca buku-buku PTS. Saya pernah mengikuti sebahagian kelas teknik penulisan beliau (Teknik Surah Yusuf) beberapa tahun nan lalu. Kini, segala ilmunya telah terangkum di dalam sebuah buku penulisan khas keluaran PTS, judulnya Panduan Menulis Novel Teknik Surah Yusuf. 

Menariknya teknik ini dikatakan bersifat 'syariah compliance'. Dalam penulisan 'babak-babak mungkar', pendekatan diambil melalui penceritaan godaan Zulaikha, isteri pembesar Mesir terhadap Nabi Yusuf a.s. Zulaikha menggoda nabi yang tampan itu melalui pengucapan (Berdasarkan petikan Surah Yusuf, ayat 23). Maka teknik ini 'membenarkan babak-babak mungkar' dalam sesebuah novel itu digambarkan dalam bentuk dialog sahaja. Tidak sebagai naratif. Demikianlah yang Allah ajarkan kepada kita, perihal penceritaan dalam al-Quran. Seperti firmanNya di permulaan surah pada ayat yang ketiga;

"Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) seindah-indah kisah dengan jalan Kami wahyukan kepadamu al-Quran ini... ."

Jika anda rajin membaca, anda akan dapati Surah Yusuf adalah kisah yang paling indah dalam al-Quran lantaran plot ceritanya. Ingin tahu lebih lanjut tentang teknik penulisan ini? Anda boleh dapatkan buku tersebut, kaji ia dan bertanya kepada mereka yang pernah mengamalkannya. Pesanan Puan Ainon kepada sesiapa yang berminat mahu menerbitkan buku dengan pihak PTS diwajibkan untuk mengamalkan teknik ini. 

Saya sekadar mampu menyebut tiga daripada puluhan teknik penulisan yang ada di luar sana. Jika anda mahu lebih, rajinkan diri mencari. Kadangkala, proses kepengarangan seseorang juga boleh terlihat sebagai salah satu teknik penulisan yang unik. Bacalah buku-buku yang berkaitan dengan hal ini. Di bawah, saya sempat menyenaraikan beberapa buah buku yang terlintas dalam fikiran:

- Karya Nan Indah (Faisal Tehrani)
- I Want To Write (Ummu Hani Abu Hassan)
- Teknik Penulisan Surah Yusuf (Ainon Mohd.)
- Tip Menjadi Penulis Bestseller (Zamri Mohamad)
- Mendekati Seni Penulisan Kreatif (Prof. Madya Dr. Lim Swee Tim)
- Bagaimana Saya Menulis (Dr. Mawar Safei dan Puan Nisah Hj. Haron)
- Chicken Soup for The Writer's Soul
- dan pelbagai judul buku lagi dalam bahasa Inggeris yang tidak teringat dek minda saya kala menulis entri ini. (Harap maaf)

Selain daripada buku-buku penerbitan, anda juga boleh menimba ilmu penulisan dengan menghadiri bengkel-bengkel penulisan ataupun atas talian (online). Salah seorang guru penulisan saya, Yang Dikasihi Puan Azman Nordin (Pemenang S.E.A Writer Award) telah bermurah hati dan bersungguh-sungguh mendedikasikan dirinya mengendalikan kelas bimbingan secara 'online' di blognya, SASTERA. Secara ringkas bolehlah saya katakan, blog tersebut merupakan lubuk kepada sesiapa saja yang dahagakan bimbingan penulisan SECARA SERIUS. Beliau mengajar kami menulis dengan sistem penceritaan 3/4, 1/4, 2/4 dan 4/4. Mahu tahu apakah rahsia di sebalik nombor pecahan ini? Silakan berkunjung ke blog Sifu Azmah tersebut. Kursus penulisan juga ada dikendalikan oleh ramai penulis mapan seperti Tuan Zamri Mohamad, Tuan Ramlee Awang Murshid (Abang RAM), Tuan Nordin (Eyman Hykal), Cikpuan Salina Ibrahim, Puan Nisah Haron (novel dan cerpen), Puan Mahaya Mohd. Yasin (puisi), Bengkel Penulisan AVA dan banyak lagi yang tidak tersebutkan. Teringat pesanan seorang ustaz kepada saya, salah satu adab dalam mencari ilmu yang digariskan oleh Imam al-Ghazali adalah perlunya berguru. Belajar mesti ada gurunya. Sekurang-kurangnya yang diketahui sanadnya. Dikhuatiri belajar seorang diri itu lebih menuntut dengan hawa nafsu atau syaitan. Apabila diminta untuk menulis perkongsian ilmu penulisan ini, saya bersungguh-sungguh memenuhi permintaan anda. Kini terpulanglah kepada anda untuk memulakan langkah seterusnya. Itupun, jika anda serius mahu jadi seorang penulis.

Sebelum saya terlupa, suka juga saya ingatkan kepada penulis dan calon penulis yang membaca perkongsian ini supaya memiliki buku Karya Kita Hak Kita tulisan Puan Nisah Hj. Haron. Buku ini memperkatakan undang-undang hak cipta setiap karya penulisan, percetakan, penyiaran dan sebagainya. Selain ilmu penulisan, kita juga perlu celik minda dalam isu sebegini. Sudah tentu kita tidak mahu melihat 'insiden karya P.Ramlee' berulang sekali lagi.

4) Warna Suara Pengarang

'Warna suara pengarang' adalah gaya penulisan seseorang. Cara pemilihan diksi dan penyusunan kata-kata yang unik dan ada kalanya bersifat peribadi. Apa yang penting dalam mengenali suara pengarang ialah ketulenanannya. Tidak terikut-ikut dengan idola atau penulis kegemaran. Keunikan ini nanti yang akan menentukan apakah warna suara penulisan anda. Bagi mendapatkan warna pada suara itu, penulis perlu banyak menulis. Tulislah mengenai apa-apa saja asalkan jangan berhenti. Lama kelamaan, warna itu akan terbit dengan sendirinya. Latihan menyebabkan kita lebih peka dengan suara sendiri. Hal ini lebih jelas apabila kita sudah banyak menulis. Tidak kiralah di mana. Jika kita membaca semula hasil tulisan kita yang terdahulu, kita akan dapat 'mendengar' suara tersebut dengan lebih kuat. Kita sudah boleh menyenaraikan apakah kelaziman yang ada dalam setiap karya kita. Apakah tema penulisan kita, apakah sudut pandang kegemaran kita, apakah pengakhiran cerita kita, sedih atau bahagia? Tidak ada warna suara penulisan yang sama dalam berkarya melainkan dibuat oleh seorang peniru. Namun seorang penulis bisa saja mengubah warna suara pengarangnya bila dirasakan perlu.

Jika kita selalu membaca karya-karya penulisan orang lain, kita akan cepat mengenali gaya penulisan mereka. Misalnya, Dr. Faisal Tehrani memiliki gaya penulisan yang segar, berani, terkadang rumit untuk difahami, sarat dengan pemikiran teologinya dan yang pasti, ia akan 'menjentik' akal si pembaca. Sasterawan Negara Datuk A.Samad Said pula mempunyai lenggok bahasa yang tajam, tepat dan rinci dalam berkarya. Jika membaca puisi pula, saya senang mendengar suara pengarang Puan Siti Zaleha Mohd. Hashim dan Bonda Mahaya Mohd. Yasin. Lembut, manis, feminin dan begitu akrab dengan alam semulajadi. Di sini saya hanya sekadar menyebut beberapa contoh penulisan. Ada ramai lagi yang tidak mampu saya sebutkan satu persatu. Anda mungkin punyai penulis kegemaran sendiri dan tentunya anda boleh melihat dan mengkaji gaya penulisan penulis kesayangan anda itu. Perlukah semua ini? Jika anda mahu membakar roti yang enak, bergurulah dengan si pembuat roti. Jangan belajar dengan si penjual air melainkan anda mahu menghidangkan air.

Benar, kita mungkin tidak dapat melihat warna suara pengarang dalam waktu yang terdekat kerana kita masih kurang berkarya. In sya-Allah warna itu akan muncul juga. Warna suara kita itu nanti akan memperlihatkan kekuatan dan kelemahan karya kita. Supaya kita boleh belajar dan memperbaiki gaya penulisan sendiri. Demi mempastikan warna itu nanti punyai keunikan, kekuatan dan kecantikan yang tulen maka penting bagi kita mempersiapkan diri dengan pelbagai cabang ilmu. Apa yang sempat saya coretkan di sini hanyalah sekelumit. Jika anda temui ilmu-ilmu lain yang lebih daripada ini pada masa hadapan, berkongsilah dengan saya pula.

5) Perihal Puisi

Sudah dua orang guru penulisan saya begitu menitikberatkan betapa pentingnya seseorang penulis itu membaca dan menghayati puisi. Mengapa ya? 

Puisi adalah karya kreatif yang sangat istimewa. Ia tidak panjang seperti cerpen atau novel. Tetapi masih terkandung cerita di dalamnya. Ia juga mempunyai watak, perwatakan dan penceritaan. Bahasa yang digunakan dalam membentuk puisi selalunya tentulah yang lebih puitis dan manis. Tidak perlu meleret-leret tetapi tepat dan padat makna. Dr. Lim Swee Tim menulis begini pada kaver buku yang ditandatangani buat saya:

"Puisi suatu pengembaraan yang indah dan menakjubkan!" 

Jujur saya akui, saya masih begitu jauh ketinggalan dalam menghayati puisi. Ada masanya, saya merasakan genre puisi memerlukan daya penaakulan yang amat tinggi. Pada mulanya saya selalu 'keletihan'. Namun lama kelamaan, saya belajar melihat puisi. Mendengar ia bercerita. Merasai kegembiraan dan kedukaannya. Apabila saya sudah agak mahir, saya melihat puisi sebagai satu bentuk karya yang sangat luar biasa.

(Saya menyenangi puisi-puisi yang berbentuk kesufian. Hamzah Fansuri dan Jalaluddin Rumi adalah antara nama yang ingin saya sebutkan. Menyelusuri cabang sufism bermaksud anda bakal menyelongkari dunia tasawuf. Mohon maaf, saya terpaksa menyampaikan pesanan dengan jujur. Sebelum seseorang itu berhasrat menyelami cabang dunia tawasuf ini, beliau wajib mendalami bidang ilmu Tauhid (mengenali Tuhan dan memantapkan akidahnya) terlebih dahulu. Agak sukar bagi saya menjelaskan dengan panjang lebar dalam entri sekecil ini kerana keterbatasan waktu dan ia memerlukan saya menggali semula nota-nota dan buku-buku rujukan. Namun cukuplah untuk saya katakan, tanpa ilmu Tauhid yang mantap, seseorang itu bisa hanyut dalam fantasi kesufian. Wallahu'alam.) 

Apabila membaca puisi kita akan didedahkan dengan pemilihan diksi kata yang ringkas, tepat dan padat. Kemahiran ini penting dalam membantu kita menulis ayat yang tidak melewah. Terlalu mendayu-dayu. Mengelakkan berlakunya pengulangan yang tidak perlu kerana ini membazirkan masa penulis dan pembaca. Berharapan cerah pula untuk 'dicantas' dengan gembiranya oleh sang editor. Atau istilah yang selalu diguna pakai ialah 'to kill my darlings'. Pastilah untuk mendapatkan kemahiran penulisan sebegini memerlukan masa dan latihan yang berterusan. Maka kerana itulah membaca puisi dapat melatih kita menjadi bijak dalam memilih ayat yang bersesuaian untuk menyampaikan maksud. Nanti olahan penceritaan juga akan bertambah kemas dan lancar.






............bakal bersambung pada entri akan datang.