Pages

Thursday, 8 August 2013

Salam Lebaran 1434H

Eidul Fitr... 

Menyambut hari raya Aidilfitri atau Eidul Fitr bukan sekadar meraikan kemenangan menyempurnakan ibadat berpuasa dan bersolat sunat tarawih sepanjang bulan Ramadan. Bagi saya, ia membawa pengertian yang lebih daripada itu. 

Eidul Fitr, haruslah disambut dalam suasana penuh Islamik. Bermula dengan menghidupkan malam Eidul Fitr dengan solat sunat dan berzikir, mandi pagi juga perlu diniatkan untuk mendapat pahala sunat. Malah ketika menjamah sarapan sebelum berangkat ke masjid juga perlu diniatkan atas ibadat sunat. Sementara solat sunat Eidul Fitr merupakan tempat bertemu para jemaah setempat, saudara mara, jiran tetangga, rakan taulan dan sebagainya. Masa untuk menyambung kembali silaturrahim agar bertambah erat. Walau bagaimanapun, dalam adat salam menyalami, berhati-hatilah. Usah terlalu ghairah sehingga bersentuhan dengan yang bukan mahram. Bagi diri saya, sekiranya mereka menghulurkan tangan, saya akan menolak dengan sopan (jika golongan muda). Sekiranya yang menghulurkan tangan itu golongan warga tua, saya akan menggunakan tudung sebagai pelapik tangan. Insya-Allah, selamat. 

Selain daripada itu, sunat juga memakai pakaian baru. Sunat juga memakai bau-bauan yang wangi. Walaupun Ramadan telah pergi meninggalkan kita, jangan lupa untuk terus bersedekah kepada yang masih memerlukan. 

Paling penting... jangan lupa bayar zakat fitrah! 

Saya kira tidak salah juga menghias rumah sekadar yang mampu. Rumah yang cantik dan bersih bukan sahaja menarik hati tetamu malah para malaikat. Seperti kebiasaannya, pada tahun ini, saya juga mengenepikan sebentar soal kerja untuk membuat kuih raya tradisi kami - biskut 'honey cereals' dan biskut makmur berintikan kurma. Itu sahaja yang termampu dek saya. Syukur ada permata hati yang rajin membantu. Alhamdulillah. Setakat yang dia terdaya. 

Baiklah, saya tinggalkan anda dengan beberapa keping gambar sekadar penyeri sambutan hari raya Eidul Fitri di kafe kesayangan kita ini. Kafe yang mana? 

Tentulah kafe, Aku dan Kafe Buku. 

Kuih kegemaran - Honey Cereals bersama kacang.


Kuih yang paling saya suka - Makmur Kurma.
Sebalang penuh ini, khas buat bonda saya.


Inilah ruang tamu kotej saya. Kecil dan comel sahaja keluasannya.
Alhamdulillah. 

Sekian dahulu buat kali ini. Salam Lebaran daripada saya  dan keluarga. Ingat, bersederhanalah dalam segalanya dan dalam adab ziarah menziarahi, ucapkanlah taqabbalallah minna waminka (Semoga Allah menerima amalan kami dan amalan kamu). Saya mendoakan agar Allah terus memberkati kita sehingga bertemu kembali dengan Ramadan pada tahun hadapan. Amin Ya Rabbal'alamin. 

Bagaimana pula sambutan perayaan di tempat kalian?

Salam manis, 

Mazny M.R.
Syawal 1434H