Pages

Saturday, 27 June 2015

Coretan Pameran The Whimsical Three di Galeri Artiseri

Sekilas Memori Zaman Kanak-Kanak


Ramai yang sedia  maklum, selain menulis dan bercerita, saya juga dianugerahi bakat melukis. Ramai yang pernah melihat hasil kerja saya tetapi tidak ramai yang tahu darah seni yang mengalir dalam keluarga saya. 

Sebenarnya, adik perempuan saya juga merupakan seorang artis (pelukis) dan memiliki Ijazah Sarjana dalam bidang berkenaan. Beberapa tahun terdahulu, beliau pernah mengadakan pelbagai pameran seni di tanah air. Beliau juga pernah menjuarai pertandingan bakat menyanyi Bintang Remaja Negeri Johor semasa kecil. Kebanyakkan ahli keluarga saya sebelah bapa pun pandai melukis dan bermain alat muzik. Suatu ketika, aktiviti kami apabila pulang bercuti ke kampung adalah berlatih melukis beramai-ramai dan mendengar bapa-bapa saudara bermain muzik menggunakan gitar, violin, kompang dan pasu bunga Sarawak yang diketuk dengan selipar. Sesekali, kami dihiburkan dengan petikan gambus yang asyik. Walaupun arwah datuk kuat beragama, bentuk aktiviti kekeluargaan begini tidak menjadi larangan.

Dahulu, arwah bapa saudara kami juga pernah terlibat dalam penubuhan kumpulan pelukis Anak Alam Malaysia. Arwah yang selalu menggalakkan saya dan sepupu sepapat menconteng dan mewarna. Jadi tidak hairanlah kalau pelbagai cabang darah seni mengalir dalam susur galur keluarga kami. Bakat itu tidak tumbuh kerana pergaulan kami dengan kelompok-kelompok tertentu dalam bidang ini atau kerana disuakan peluang keemasan oleh pihak yang bermurah hati. Bakat itu anugerah semula jadi namun minat itu terus mekar kerana usaha kami sendiri yang tidak pernah mengalah mengharungi pelbagai jenis cabaran.

Sekilas Memori Menjadi Ilustrator

 

Antara ilustrasi dari buku bergambar kanak-kanak pertama.



Sesi soal jawab bagi meluluskan ilustrasi.


Sejarah saya menjadi ilustrator bermula sewaktu terlibat dengan Projek Buku Shanghai di bawah tajaan Perbadanan Kota Buku. Antara yang terlibat dalam projek ini adalah Tuan Yusof Ismail (Pak Yusof Gajah) selaku mentor dan penasihat serta Tuan Mie Mambo selaku ketua ilustrator. 

Sewaktu perjumpaan ilustrator-penulis, manuskrip buku cerita kanak-kanak saya berjudul Pinggan Putih Nenek nampak terbiar di atas meja kerana tiada ilustrator yang berminat. Ketika itu, kami menghadapi beberapa masalah dengan kumpulan ilustrator yang menyertai projek. Manuskripnya banyak, ilustrator tidak memang tangan. Jadi saya ambil semula manuskrip itu dan mula memberanikan diri berlatih menggunakan  pelbagai jenis medium lukisan. Antaranya cat air, acrylic, crayon, soft pastel dan marker. Contoh-contoh ilustrasi tersebut, saya bawa mengadap Pak Yusof dan alhamdulillah, setelah melalui sesi soal jawab yang panjang dan melakukan pembetulan, akhirnya ia lulus. Begitulah bagaimana bidang ilustrasi ini saya terokai. Ia tidaklah semudah yang disangka.

Sekilas Memori Pameran di Artiseri

 



Pada 18 Mei yang lalu, saya telah terpilih untuk mengadakan sebuah pameran ilustrasi di Galeri Artiseri, Hotel Seri Pasific Kuala Lumpur. 

Pameran ini menggabungkan dua ilustrator lain yang telah lama berkecimpung dalam bidang buku bergambar kanak-kanak iaitu Puan Nor Emila Yusof (Malaysia) dan Puan Evi Shelvia (Indonesia). Berada bersama dua orang ilustrator mapan menyebabkan saya rasa rendah diri dan hampir-hampir hilang keyakinan. Namun kata-kata semangat daripada mereka berdua, rakan-rakan dan mentor penulisan, Mama Zakiah dan Pak Yusof sendiri membuatkan saya lebih kuat menghadapi segala dugaan. 

Bagi pameran ini, kami telah diminta melukis untuk manuskrip bersiri karya Puan Mahaya Mohd Yasin, salah seorang sasterawati negara dalam bidang sastera kanak-kanak. Hati saya terdetik, apakah saya mampu menggalas amanah ini? Tambahan pula Puan Mahaya mempunyai kredibilitinya sendiri di kalangan pencinta sastera tanah air. Beliau bukan calang-calang orang. 

Membandingkan diri dengan Emila Yusof dan Evi Shelvia yang telah melukis puluhan buah buku itu, saya sampai berkata, "Aduh, kerja gilakah ni?"

Saya dihantui rasa gentar dan bersalah jika hasilnya nanti tidak memuaskan hati pelbagai pihak. Tetapi untuk mengundur diri, tentu akan dilabelkan sebagai pengecut dan berfikiran negatif. Hendak diteruskan, terpaksalah berani memikul kesannya kelak. Apa-apa pun, keputusan perlu dibuat. Setiap cabaran yang diterima pasti ada risikonya.

Setelah berbincang dengan kenalan rapat yang selalu menyokong saya dalam penulisan, saya berdoa agar penglibatan ini memberikan manfaat terhadap perkembangan sastera kanak-kanak tanah air. Akhirnya saya kembali kepada nawaitu - 'Aku Mahu Berdakwah'. Tidak kiralah apa wacananya. Mana-mana jalan dakwah memang payah. Jika mahu berjihad, teruskan. Jika mahu hidup tenang, usah berkarya. Lebih baik duduk diam.

Dek kerana malu dengan Allah yang menganugerahi pelbagai bakat buat diri ini, saya cekal meneruskan. Manuskrip Lobak Bunga, saya cuba garap sebaik yang termampu. Alhamdulillah.

Sekilas Memori Berpameran

 

Bersama Evi Shelvia dan Emila Yusof


1) Bertemu mesra dengan mereka yang berminat dan bergiat dalam bidang ilustrasi buku bergambar.

2) Mengenali kehendak dan ragam manusia yang pelbagai.

Bersama Ustaz Selebriti, Ustaz Don dan keluarga.


3) Bertemu Ustaz Don yang datang pada hari perasmian tetapi tidak menegur kami kerana ramai orang. Lalu ustaz kembali beberapa hari kemudian. Saya sempat bercerita kepadanya tentang ilustrasi kisah Anak Pungguk dan ternyata cerita itu menarik minat beliau kerana nilai jati diri yang ringkas dan cantik. Gembira bertemu zaujahnya, Dr Husna yang cantik manis dalam kesederhanaan dan anaknya yang comel dan bijak.

Berpesan kepada Nani, "Jangan nakal di rumah baru!"


4) Kenangan paling manis apabila menerima kesudian Tuan Aminuddin Ibrahim Lastar, seorang pensyarah dari Universiti Malaysia Sabah yang membeli salah satu ilustrasi dari Pinggan Putih Nenek. Sempat juga saya ceritakan sinopsis cerita itu dan beliau pun tertarik dengan idea tradisi berkongsi makanan dalam bulan Ramadan. Kisah ini saya garap berdasarkan sebuah hadis Rasulullah (selawat).

Rupa-rupanya, Tuan Amin juga minat melukis dan lebih tertarik dengan gaya naive art. Saya katakan kepadanya, saya bukanlah pelukis hebat. Baharu bermula dan self taught pula. Kata-kata beliau yang saya sematkan, "That's the beauty of self taught artist. Kita tak terikat dengan mana-mana teori lukisan."

Memang benar. Seni itu bukan hanya satu garis lurus atau perlu bengkang-bengkok. 


Karya Nani dan Nenek - Pinggan Putih Nenek


Lalu saya tanyakan juga, mengapa memilih lukisan Nani dan Nenek ini. Jawab beliau, "Saya suka semua elemen dalam lukisan ini. Ada kain batik, ada tikar mengkuang, ada tudung saji. Ada dua ekor kucing berlainan karektor. Seekor hitam dan seekor lagi unik. Matanya sebelah biru dan sebelah kuning. Saya pun suka tekstur dinding." 

Wah, berbunga hati saya mendengar komen beliau! "Terima kasih. Lagi?"

Tuan Amin menunjuk ke arah pinggan putih atas meja. "I recognised this. Ini pinggan putih zaman dulu-dulu kan?" 

Senyuman saya semakin lebar. Ternyata karya itu saya serahkan kepada tuan yang benar-benar tahu menghargai nilai lukisan tersebut. Baharulah senang hati saya melepaskan Nani dan Nenek dibawa terbang ke Negeri di Bawah Bayu.

Ramadan ini, apa khabar agaknya Nani dan Nenek ya? 
 

Prop ini seperti telah 'dihidupkan'.


5) Prop anak pungguk menjadi kegilaan anak-anak Pak Arab yang menginap di hotel itu. Dikhabarkan setiap kali turun ke lobi, mereka (kembar perempuan itu) pasti singgah mencuit dan bermain dengan prop saya di dinding. Arnab, angsa dan anak burung punguk kesemuanya habis diusik. Hingga suatu hari prop arnab dan anak pungguk sudah hilang entah ke mana. Berdasarkan kesan pada dinding, jelaslah ia telah dikopek tanpa rela. Huhuhu... Namun apabila difikir-fikirkan semula, mungkin ini juga petanda baik bahawa ilustrasi saya berjaya mencuit hati pembaca sasarannya iaitu kanak-kanak. 


Ilustrasi Anak Pungguk Mahu Menyanyi





Ilustrasi Lobak Bunga




Ilustrasi Legend of The Teacup Island (kisah lagenda Pulau Cawan di Mersing)



6) Saya juga menerima kunjungan sahabat handai yang turut menyokong usaha saya dalam bidang ini. Tidak tersebut saya satu persatu. Antaranya Musleha sekeluarga dan Cikgu Rafidah. Rasa terharu juga menerima cenderahati manis hasil tangan anakanda Puan Nisah Haron yang datang sekeluarga dari Seremban. Tidak lupa juga sahabat penulis yang memang terkenal dengan baik budi dan ringan tulang, Puan Kamariah Othman atau lebih kami kenali sebagai Kayy Mann Gadis Komik. Beliau datang dari jauh semata-mata hendak menolong kakaknya nan seorang ini. Tanpa sokongan rakan penulis dan para pembaca, siapalah kami. 

Terima kasih, Anakanda Insyirah!


Allah, saya mendoakan kesejahteraan dan keberkatan hidup mereka sekeluarga. Saya mohon agar persahabatan ini terus harum dan mekar dalam ukhuwah fillah.   

6) Mengendalikan pameran tidak sama dengan berkarya. Selalunya sebagai pengkarya, kami lebih suka berada di belakang tabir dan senyum tanpa banyak berceloteh itu ini. Kami tidak terlatih atau berbakat mengurusi sumber manusia. Sebenarnya bidang pengurusan sebegini juga memerlukan bakat dan latihan. Skil pengurusan tidak terbentuk hanya dalam satu malam. Bukan mudah mahu memuaskan hati semua pihak. Hanya Allah yang Maha Tahu. Kekadang, hati sendiri tidak terjaga. Pengalaman berharga ini membuatkan saya lebih bermuhasabah dan akan lebih berhati-hati di masa akan datang. 

Umi Sham memukau hadirin dengan pantunnya.

Suasana di sekitar ruang pameran galeri.
   

Walau bagaimana pun, ia tetap menjadi suatu pengalaman yang unik dan berharga untuk saya kenang. Saya ditanya, apakah mahu mengatur pameran lain pada masa hadapan?

Kematian itu pasti. Meneruskan hidup, insya-Allah. Jika dikurniai rezeki, saya tidak menolak. 

Sekian dahulu celoteh kita di kafe ini. Lebih banyak gambar saya kongsikan di FB peribadi dan Fan Page Mazny M.R. Jika berminat, silalah ke sana. Kalau anda ada terbaca status saya di FB bahawa saya mahu berehat panjang, memang benar perancangan itu. Saya doakan kalian terus berada dalam rahmat Allah yang Maha Pemurah. 

Mari kita hiasi diri dengan amalan sunah sepanjang Ramadan. 

Jagalah kesihatan. Murahkan senyuman.


Hingga ketemu lagi.

Mazny M.R.

 
 

Monday, 9 March 2015

Perihal Kamishibai (4)

Memahami Tujuan Kamishibai


Saya terlepas menulis di kafe ini pada minggu lalu. Mohon maaf atas kesibukkan dan keadaan kesihatan yang kurang baik. 

Hari ini, saya ingin menyambung semula menulis perihal kamishibai. 

Jika anda pernah berkunjung sebelum ini, tentu anda pernah terbaca tentang apa itu teknik kamishibai. 

Teknik kamishibai ini adalah teknik penceritaan yang berasal dari negara Jepun. Teknik ini disampaikan dengan cara menarik fokus penonton ke dalam kotak butai. 


Kotak Butai - Ada tiga pintu.


Teknik kamishibai yang saya pelopori di Malaysia adalah teknik yang berasal daripada garis panduan pihak International Kamishibai Association of Japan (IKAJA).  

Ingin saya ulang sekali lagi, dalam teknik ini terdapat tiga jenis peralatan sahaja;

  1. Kotak butai
  2. Kad cerita
  3. Si Pencerita     
Tanpa salah satu peralatan ini, persembahan kamishibai tidak dapat dijalankan.

Kepada yang telah biasa menyaksikan persembahan bercerita menggunakan teknik lain seperti boneka, wayang kulit, teater, read-a-loud dan seumpananya, pasti akan merasakan kelainan yang amat apabila menonton kamishibai. 

Ini kerana dalam penyampaian kamishibai, unsur kesederhanaan itu amat penting. Pencerita tidak boleh menarik perhatian penonton terhadap dirinya seperti tiba-tiba berlakon menjadi salah satu watak dalam cerita yang sedang disampaikan. Jika ini yang terjadi, persembahan kamishibai akan terus berjalan tetapi fokus penonton akan lari. 

Tumpuan lebih diberikan kepada gelagat si pencerita berbanding cerita dalam kotak butai. Maka, proses melahirkan kyokan akan terhalang. 

Apakah kyokan?

Anda boleh membaca mengenai kyokan dalam sembang-sembang saya sebelum ini dengan menekan label yang tertulis kamishibai di bawah entri ini nanti.

Sepanjang saya mengendalikan sesi kamishibai, saya dapati memang terdapat segelintir penonton yang tidak dapat fokus kepada jalan cerita yang disampaikan. Antara yang dapat dikenal pasti adalah;


  • penonton (terutamanya kanak-kanak) yang sudah terbiasa dengan animasi di tv.
  • penonton (terutamanya kanak-kanak) yang sudah terbiasa bermain peralatan gadjet seperti telefon pintar, tablet dan permainan video.
  • penonton yang lebih menggemari persembahan bercorak interaktif.
  • penonton yang lebih menggemari persembahan seperti boneka, teater, wayang kulit dan sebagainya. 

Mereka akan merasakan persembahan kamishibai ini terlalu sederhana dan mungkin juga membosankan. Pergerakan menarik dan memasukkan kad cerita tidak sama dengan aksi-aksi meriah dalam persembahan boneka, wayang kulit, lakonan dan seumpamanya. Ini termasuk pergerakan pantas imej atau babak animasi dalam teknologi peralatan yang saya sebutkan di atas. 

Nada suara kami juga tidak boleh berlebih-lebihan. Ingat, apa yang penting ialah jalan cerita. Bukan gelagat si pencerita.  

Jadi, tujuan utama teknik persembahan kamishibai IKAJA ini adalah untuk membentuk semula daya fokus penonton, terutamanya kanak-kanak. Kebolehan memberi tumpuan ini nanti amat berguna kepada mereka ketika belajar di dalam kelas. 

Bagi mencapai tujuan tersebut, pengunaan teknik kamishibai memerlukan pendedahan yang berterusan. 

Nanti kita akan bincangkan pula perbezaan teknik IKAJA dan teknik 'kamishibai jalanan'.

Begitu pun, tidaklah bermaksud teknik persembahan kamishibai IKAJA ini sesuatu yang membosankan terus. 

Kamishibai tetap mempunyai ciri-ciri khas yang boleh menghiburkan penonton daripada pelbagai lapisan umur. Dengan perlaksanaan yang bersistematik, ia mempunyai potensi yang amat tinggi. 

Secara umumnya, cerita-cerita kamishibai terbahagi kepada dua jenis. 

  1. AU - Audience Participation
  2. CS - Complete Story

Apa pula AU dan CS?




Kamishibai jenis AU
AU ialah jenis cerita yang memerlukan penonton untuk berinteraksi dengan pencerita bagi menggerakkan persembahan. Contohnya, pencerita akan meminta penonton untuk bertepuk tangan ataupun menyebut sesuatu ungkapan terlebih dahulu sebelum kad cerita ditarik.



Mungkin juga, pencerita akan meminta penonton meneka jawapan kepada soalan tertentu semasa cerita sedang disampaikan. Maka persembahan kamishibai berbentuk AU ini adalah jenis persembahan interaktif. 



Kamishibai jenis AU


Oleh sebab itu, ia lebih senang memancing fokus penonton berbanding CS.


Ada pun kamisibai jenis CS terdiri daripada koleksi cerita lengkap daripada pelbagai genre seperti cerita rakyat, dongeng, lucu, motivasi, pendidikan dan sebagainya.  


Kamishibai jenis CS

Ia memerlukan daya fokus penonton yang lebih tinggi. Di sinilah masalah mungkin timbul sekiranya pencerita gagal menarik perhatian penonton ke dalam kotak butai. Maka persembahan kamishibai terasa bosan.

Bagaimanakah masalah ini dapat diatasi?

Telah saya tegaskan dahulu, peraturan yang digariskan oleh pihak IKAJA dalam penyampaian dan penulisan cerita kamishibai sangat berkait rapat dengan tujuan kamishibai ini dihasilkan. Baik dari segi penulisan ceritanya (teks) mahupun pembikinan ilustrasinya. 

Ia dibuat bagi memastikan kyokan dapat dilahirkan. 
Persembahan kamishibai berjaya dilaksanakan.
Penonton mendapat manfaat daripada setiap persembahan. 

Maka amat penting bagi sesiapa yang hendak menyampaikan kamishibai ataupun menghasilkannya memahami selok-belok peraturan itu. 


Sekian dahulu untuk kali ini.

Hingga kita bertemu lagi pada kesempatan akan datang. Sila berkunjung lagi.

Salam hormat,

Mazny M.R.







Monday, 23 February 2015

Perihal Kamishibai (3)

Corat-Coret Sepanjang 2014


Apa khabar semua?

Semoga kalian dalam keadaan sihat dan gembira selalu.

Menu hari ini, sedikit perkongsian pengalaman kamishibai sepanjang tahun 2014. 

Selalunya undangan kamishibai akan datang bersempena musim cuti sekolah. Tahun lalu (2014), saya dan kumpulan kamishibai MBBY lebih banyak menerima undangan pada akhir tahun, bermula bulan September, Oktober hinggalah Disember. 

Bermula bulan September, saya diundang untuk menjayakan aktiviti Festival Sains di Petrosains, Menara KLCC. Bersama rakan pencerita, Cikgu Rafidah Othman, saya temui pelbagai ragam penonton yang pertama kali melihat kotak butai. 

Sayangnya, ruang bercerita yang terbuka dan terletak bersebelahan dengan kiubikal aktiviti lain membuatkan fokus kepada sesi bercerita kami agak terganggu beberapa kali. Begitu pun, ada sepasang suami isteri dari Chennai, India yang mahu saya mengadakan persembahan di pesta hari lahir anaknya. 

Nah, bukankah memang penting untuk menyampaikan kamishibai mengikut garis panduan IKAJA? - Kamishibai itu harus dipersembahkan dalam ruang yang tertutup atau sekurang-kurangnya tidak terganggu oleh kebisingan persekitaran. Makanya, pesta hari lahir manakah yang mahu diadakan dalam suasana tertutup begitu?

Permintaan itu terpaksa saya tolak dengan berlapik bicara. 

Festival Kesenian dan Kebudayaan Islam Putrajaya-TV Al-Hijrah 

Dalam bulan Oktober pula, kami telah diminta mengisi slot bercerita bagi memeriahkan Festival Kesenian dan Kebudayaan Islam Putrajaya anjuran bersama TV Al-Hijrah. Terdapat kurang lebih 12 slot yang disediakan. Kami sempat mengambil lima slot sahaja - tiga slot dikendalikan oleh saya dan dua lagi oleh rakan pencerita MBBY iaitu Dr Munirah dan Cikgu Rafidah.  

Agak menarik pada kali ini kerana pihak penganjur telah menyediakan barisan penonton daripada pelbagai lapisan umur dan latar belakang untuk menyaksikan persembahan kami. 

Slot pertama saya adalah bersama adik-adik dari beberapa buah sekolah rendah sekitar Putrajaya. Mereka ini sangat sporting apabila diminta memberi respon. Terutamanya ketika sesi storigami berlangsung.

Jangan tak tahu, ada yang terlebih pandai daripada saya hingga mampu membuat lipatan burung jinjang!... Sedangkan rakan-rakannya yang lain masih terkial-kial hendak membuat lipatan sang arnab. 


Slot kedua pula dipenuhi dengan adik-adik remaja dari sekolah menengah. Mereka agak kurang fokus pada mulanya kerana sudah menjadi kebiasaan, saya akan memulakan persembahan dengan cerita yang senang terlebih dahulu sebagai cara memanaskan suasana. 

Setelah itu, barulah kisah-kisah yang lebih berat disampaikan. Antara kisah yang menjadi kegemaran para penonton berjudul Ibu Kucing Yang Berani. 
Kisah  ini ditulis berdasarkan kejadian  kebakaran yang berlaku di daerah Brooklyn, New York, Amerika Syarikat. Lihat sahaja ilustrasi anak-anak kucing yang comel di bawah. 

Setiap kali saya menarik kad dan gambar ini terpampang, penonton (anak-anak) akan berkata, "Aaawww, comelnya dia!"

Kala itulah saya tidak dapat menahan diri daripada tersenyum dan berhenti seketika. Berhenti supaya penonton dapat menikmati kecomelan watak-watak dalam cerita tersebut. Kaedah ini, tentu sahaja dapat membantu dalam melahirkan kyokan!


Mahu tahu bagaimanakah kisah ini?...Terpaksalah kalian datang sendiri untuk menyaksikan persembahan kamishibai kami. 

Membuat persembahan bersama Dr Faridah yang menterjemahkan
cerita Ibu Kucing Yang Berani dalam Bahasa Inggeris.

Saya juga diundang oleh pihak Kota Buku sewaktu Festival Sastera Kanak-Kanak yang diadakan di Menara Kuala Lumpur. Di sini, saya bergandingan dengan rakan pencerita Dr Faridah Idris. Kami menyampaikan cerita dalam Bahasa Melayu. Jadi apabila terdapat sekeluarga pelancong asing dari luar negara yang duduk tidak berganjak, saya raikan mereka dengan meminta jasa baik Dr Faridah menjadi penterjemah secara spontan!

Besar sungguh peranan Dr Faridah waktu itu. Moga Allah membalas jasanya dengan sebaik-baik balasan.

Pada sebelah malamnya, saya bergegas pula ke Intekma Resort bagi menjayakan acara bercerita untuk Festival Buku sekolah-sekolah berprestij tinggi Selangor. Peluang berdiri satu pentas dengan para pencerita dalam dan luar negara benar-benar menambah pengalaman saya dalam bidang ini. 



Barisan pencerita, guru-guru dan ahli jawatankuasa festival di Intekma Resort.

Antara pencerita yang terlibat sama ialah;
  • Mama Tok (mentor saya yang juga pemenang ketiga pertandingan International Storytelling di Iran), 
  • Ummi Sham (mentor saya yang merupakan Timbalan Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia) 
  • Beatrice Montero (seorang penulis dan pencerita antarabangsa dari Sepanyol)  

Dalam bulan November pula, kami dijemput mengadakan persembahan di Pusat Sains Negara, sepanjang minggu Festival Sains dijalankan. Walaupun mengikut perjanjian, persembahan kami hanya berlangsung untuk sejam tetapi naluri seorang pencerita seperti kami tidak tergamak hendak menghampakan penonton. Lebih-lebih lagi penonton kami di Pusat Sains ini datang dari seluruh pelusuk Malaysia.

Maka persembahan berlanjutan hingga ke pukul empat petang selagi ada penonton yang singgah.  

Ada yang datang dari utara, Pulau Pinang, Johor dan pantai timur. Sewaktu bercerita, saya terpaksa menggunakan Bahasa Melayu Tinggi. Tetapi selepas kotak butai ditutup, bolehlah saya mengusik penonton dengan bahasa kenegerian mereka. Terasa lucu pula! 

Seperkara yang menyentuh hati saya, semasa membuat persembahan di hadapan penonton yang terdiri daripada para pelajar sebuah sekolah vokasional. Mereka semua pelajar lelaki. Dari segi bahasa percakapan, saya dapat menilai latar belakang sosio ekonomi keluarga mereka. Rata-ratanya agak kasar apabila berbual. 

Namun, sewaktu menyaksikan persembahan Ibu Kucing Yang Berani, mereka menjadi begitu fokus sekali. Hingga ada yang bergenang airmata. Tidak pasti pula saya adakah beliau sudah kehilangan ibu ataupun kisah ibu kucing itu berjaya mencuit emosinya. 

Di akhir cerita, saya menasihati mereka supaya berbuat baik kepada ibu bapa, terutamanya terhadap ibu (sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW). Kata saya, 

"Untuk berjaya di dunia, kita tak perlu menjadi terlalu kaya, terlalu pandai atau terlalu kuat. Kita hanya perlukan doa dan redha seorang ibu. Insya-Allah kita akan berjaya di dunia dan juga akhirat."

Saya masih ingat lagi, beliau datang kepada saya selepas persembahan itu berakhir dan mengucapkan "Terima kasih, Kak Maz! Saya nak ambil exam. Doakan saya!"

Tidak terharukah kita mendengarkannya?... 

Saya sangat suka dapat penonton yang sporting macam ini!
I really love this children.

Setiap kali selesai menyampaikan sesuatu cerita, saya akan cuba berinteraksi dengan penonton dan menjentik pemikiran mereka dalam menyedut inti pati kisah tersebut. 

Saya gemar mengajak mereka berfikir di luar kotak. Sayang sekali, saya mendapati para pelajar kita amat kurang yang berfikiran kritis. Apakah mereka ini tidak banyak membaca bahan bacaan selain buku-buku teks sekolah?... Atau mereka memang sudah dilatih untuk mengikut sahaja arahan dari buku dan guru. Jangan membantah dan berfikir selain daripada itu?... Jika benar, sistem pendidikan Malaysia memang berada dalam situasi yang parah. (Maaf cakap... )

Bagi saya, setiap kali persembahan dibuat, ia merupakan peluang keemasan untuk mengumpul data kajian yang saya perlukan bagi menambahbaiki mutu persembahan secara teknikal dan praktikal.

Saya juga ingin tahu apakah teknik ini boleh diaplikasikan dengan lebih berkesan sebagai salah satu alat bantuan mengajar dalam pelbagai peringkat sekolah. 

Seperti yang anda tahu, teknik penceritaan kamishibai memang berbeza dengan teknik penceritaan yang lain. Ini tidak membawa maksud ia adalah yang terbaik di dunia ataupun 100% berkesan dalam menyampaikan maksud.

Namun kelebihan teknik ini dapat dirasai apabila penonton mula fokus kepada adengan cerita dalam kotak butai - seumpama menonton televisyen. Bezanya, dalam peti tv, imej yang dipaparkan bergerak pantas dan tanpa kawalan.

Berbeza dangan kamsihibai, tukang cerita boleh memanipulasi emosi penonton dan tempo penceritaan itu mengikut kesesuaian tindak balas penonton. Menarik bukan?...

Selain daripada itu, jangan lupa bahawa matlamat utama teknik ini adalah untuk melahirkan kyokan

Melalui kyokan ini, cerita dapat dihayati dengan lebih berkesan. 

Mahukah kalian mempelajari teknik kamishibai?

Ikuti page saya (di sebelah kanan, atas) untuk sebarang maklumat bengkel dan sebagainya. Ataupun, kalian boleh saja menulis di ruangan komen kafe kita ini. 

Sekian dahulu pada minggu ini. 
Maaf agak kelewatan pula memaparkan tulisan pada hari ini.

Semoga minggu kalian berjalan lancar.

Jumpa lagi.




Mazny M.R.


Sunday, 15 February 2015

Perihal International Book Giving Day

14 Feb - Ayuh Tukar! Raikan Dengan Buku.


Ada apa dengan 14 Februari? 

Ramai hanya tahu ia sebagai hari berkasih sayang - Valentine's Day. Namun berapa ramai yang tahu, ia juga merupakan tarikh bagi meraikan International Book Giving Day? 

Foto kredit kepada Honey Bee Books


Saya tidak berminat hendak mengulas tentang hukum menyambut Valentine kerana sudah tentu para pengunjung kafe Aku dan Kafe Buku ini sudah pun mengetahui hal tersebut dengan terperinci. 

Hari ini, saya lebih suka hendak berkongsi tentang International Book Giving Day yang pastinya masih asing lagi di kalangan masyarakat Malaysia. 


Apakah International Book Giving Day?

Silakan bancuh secangkir kopi. Mari saya ceritakan kepada anda. 

Pada tahun 2011, seorang budak lelaki bernama Jack Broadmoore dari Minnesota, Amerika Syarikat telah mencipta satu hari perayaan di mana dia dan ahli keluarganya serta kawan-kawan mereka bertukar-tukar buku sebagai hadiah. Jack memang seorang ulat buku.  

Keterujaan Jack telah menimbulkan minat kepada ibunya, Amy untuk menulis mengenai idea ini di blog lalu mencetuskan inspirasi kepada ramai pembaca blognya bagi melakukan hal yang sama. 

Pada tahun 2013, beberapa orang blogger dari seluruh dunia termasuk Filipina, India, Singapura, New Zealand, Australia dan Afrika Selatan telah berpadu tenaga mempromosikan aktiviti ini secara sukarela. Hasilnya, 14 Februari telah dipilih sebagai tarikh untuk meraikan acara memberi dan bertukar-tukar buku sedunia.  

Dalam usaha untuk mengalakkan orang ramai turut serta, beberapa NGO dari seluruh dunia telah mencadangkan aktiviti ini melibatkan pemberian buku-buku baharu, terpakai ataupun dipinjamkan kepada kanak-kanak (dan remaja) yang kurang bernasib baik. Antara NGO yang terlibat sama dalam usaha ini;

  1. Book Aid International (UK)
  2. Room To Read (pelbagai negara)
  3. Reach Out and Read
  4. Reading is Fundamental
  5. Pratham Books (India)
  6. Books for Africa (US)
  7. Indigenous Literacy Foundations (Australia) ...serta beberapa buah persatuan lain di seluruh dunia. 

Matlamat utama mereka adalah supaya lebih ramai kanak-kanak dan remaja di seluruh dunia dapat menikmati sekurang-kurangnya sebuah buku pada hari tersebut. Malah, aktiviti ini tidak terhenti setakat 14 Februari sahaja. Ia akan diteruskan sepanjang tahun selagi ada orang yang sudi mendermakan buku. 

Salah satu tujuan utama aktiviti International Book Giving Day ini adalah untuk menjalin persahabatan dengan para pembaca seluruh dunia. Oleh sebab itu, sesiapa sahaja yang turut serta dalam aktiviti ini digalakkan untuk berkongsi cerita atau gambar di laman sosial seperti blog, twitter (@bookgivingday), facebook, instagram (#giveabook) ataupun di laman web International Book Giving Day sendiri. Di bawah, saya sertakan pautan kepada laman web tersebut;



Nah, sekarang kalian sudah tahu apa itu International Book Giving Day (IBGD). Bagaimana pula mahu menyertainya?... 


Foto kredit kepada Kamariah 'Gadis Komik' (tudung kotak-kotak)

Selaku penulis yang memang sukakan buku, saya telah pun memulakan aktiviti ini pada tahun lepas (2014). Antara rakan penulis yang terlibat dengan IBGD saya waktu itu adalah Emila Yusof, Nisah Haron, Mahaya Mohd. Yasin, Noor Asyikin Md Nor dan Rafidah Othman. 

Menariknya pada tahun ini, bilangan peserta yang mahu meraikan IBGD bersama saya semakin bertambah. Antaranya termasuklah Kamariah 'Gadis Komik', Dissa Azmin, Suhana - mereka adalah penulis-penulis Galeri Ilmu Sdn. Bhd. dan beberapa orang kanak-kanak daripada tadika terpilih.
Bagi tahun hadapan pula, kami telah berjanji untuk menambah lagi bilangan penerima buku dengan melibatkan lebih ramai rakan penulis dan kumpulan kanak-kanak terutamanya yang kurang bernasib baik pula. Anda berminat hendak menyertai kami?... JOM! 

Apakah yang harus anda lakukan untuk menyertai IBGD?...

Amat mudah. 

Pertamanya, anda harus memilih beberapa buah buku (beli buku baharu atau berikan buku terpakai).

Kedua, lakukan perkara di bawah;

  • Beri atau tukar buku dengan rakan atau keluarga anda.
  • Letakkan buku anda di mana-mana ruang lobi atau ruang menunggu yang ada kanak-kanak seperti di hospital dan klinik. 
  • Dermakan buku anda kepada persatuan kanak-kanak, sekolah tadika, rumah anak yatim ataupun wad kanak-kanak di hospital.
  • Hadiahkan kepada sesiapa sahaja yang anda suka.  
Setakat ini, usaha saya hanya melibatkan aktiviti bertukar-tukar buku. Itu pun sudah cukup untuk menyuntik keterujaan. 

Sebagai langkah awal, kami telah bersepakat membuka sebuah fan page agar sesiapa sahaja boleh berkongsi kegembiraan acara bertukar-tukar buku dan menjalin persahabatan dengan pembaca-pembaca lain dari seluruh dunia! 

Anda mahu berkongsi kegembiraan bersama kami? Ayuh, kita mulakan dari sekarang. Mulakan dengan mengumpul buku-buku dan 'ketuk pintu' page ini;




Jika anda punyai gambar atau cerita bertukar-tukar buku, anda sangat dialu-alukan untuk berkongsi dalam page tersebut. Pada tahun hadapan, saya akan membuka senarai peserta yang ingin bertukar-tukar buku dalam facebook peribadi, page di atas dan fan page Mazny M.R. 

Saya dan rakan-rakan juga akan cuba menunaikan hasrat mereka yang ingin menderma buku kepada kanak-kanak yang memerlukan. Ikuti mana-mana page di atas bagi mengetahui perkembangan selanjutnya.  

Tabik buat Noor Asyikin yang melukis ini pada beg kertas.
Menjadikan pemberian buku lebih istimewa. 


Alhamdulillah. Sekian dahulu dari saya. 

Terima kasih kerana sudi berkunjung ke kafe ini. 

Selamat berhujung minggu.


Mazny M.R.