Mysore-Preview |
"Ummi, jom cari tiket pergi Mysore?... "
"Boleh... " jawab Ummi dengan sedikit senyuman. Inilah yang membuatkan saya bertambah sayang dengan Ummi. Tidak pernah menolak jika kita memerlukan bantuan. Jika di tempat tinggal kami, Ummi adalah 'orang kuat'. Melihat kepada kekuatannya itulah saya bertambah yakin, Ummi boleh 'survive' dalam kembara di negara Bollywood ini.
Bersama Dr. A.N, kami menaiki auto ke Stesen Bas Majestic. Perlahan-lahan menapak ke seluruh pelusuk stesen bas tersebut untuk mencari kaunter yang menjual tiket bas ke Mysore. Menurut Bhavana, ada sebuah bas berhawa dingin yang bertolak ke Mysore setiap hari. Oh, sudah tentulah beliau tidak pernah menaiki bas ke sana. Beliau memiliki kenderaan sendiri. Oleh kerana saya yakin dengan penerangannya, kami masih lagi berpusing-pusing di sekitar stesen bas Majestic. Dr.A.N juga telah pergi dari kaunter ke kaunter bertanyakan perihal bas ke Mysore.
Boleh bayanglah, mereka bercakap macam ayam dengan itik. Melihat sahaja kepada rupa paras kami, ada yang tidak mahu langsung melayan! Di sini, orang yang berkulit putih (cerah) memang memiliki sifat hidung tinggi. Padahal, Bangalore telah dinobatkan sebagai sebuah bandar IT; yang mana peratusan penduduk yang celik-huruf dan berpendidikan tinggi adalah besar. Saya diberitahu, tidak akan ada apa-apa masalah di sini andai kita pandai berbahasa Inggeris. Penduduk di sini juga dikatakan lebih berfikiran terbuka dengan orang luar. Malangnya tidak semua situasi adalah benar. Pengalaman saya mencari tiket bas ke Mysore membuktikan sebaliknya.
Kami ditolak dari satu tempat ke satu tempat sehinggakan saya naik kasihan melihat Ummi dan anak Kak Sally. Kerana saya, mereka berdua terpaksa berlapar dan berpanas di bawah terik mentari Bangalore. Hmm... tiada pilihan lain, saya harus menghubungi Bhavana untuk kesekian kalinya! Dan saya paling tidak suka berbuat demikian memandangkan beliau sedang sibuk bekerja di pejabat. Dipendekkan cerita, Bhavana tidak pernah keberatan setiap kali saya menelefon. Mungkin kerana suaminya bersahabat baik dengan kawan saya, dia melayan saya seperti seorang tetamu khas. Seperti biasa, saya akan bertanya kepada orang tempatan dan menyerahkan telefon bimbit kepada mereka supaya Bhavana boleh menerangkan pula kepada saya selepas itu.
Rupa-rupanya, untuk membeli tiket ke Mysore, anda perlu menaiki bas biasa di platfom 17. Perjalanan akan mengambil masa lebih kurang sejam dan destinasi terakhir ialah sebuah stesen bas baru, Stesen Bas Satelite. Di situ, terdapat banyak kaunter bas. Mujur kami menegur seorang pemuda yang pada kiraan saya, boleh berbahasa Inggeris dengan baik - melihat kepada caranya, dia mungkin seorang pelajar kolej. Dengan muka yang manis dan ramah, saya menegurnya. Tepat sangkaan kami. Kami dapat membeli tiket ke Mysore dengan bantuan pemuda ini, saya gelarkan dia Mr.B. Kehadirannya telah memudahkan segala urusan kami. Ummi pula mengambil langkah yang lebih drastik... "Come, we go to Mysore together-lah!... Sit beside us in the bus,okey?"
Huh?... Ummiiiiiii! Saya lihat muka Mr.B merah menahan malu. Saya hampir-hampir berguling atas lantai kerana hendak ketawa. Ya, di sini, budayanya lain. Tidak sama dengan di tempat kita. Walau apapun yang kita tonton dalam filem Bollywood, realitinya tidaklah sama. Mereka memang nampak sangat sekular tetapi hakikatnya masih kental dengan sifat-sifat traditional. Saya memahami Mr.B lalu saya biarkan dia berjalan dan berbual dengan Ummi di hadapan. Bukankah saya anak perempuan Ummi yang kononnya sedang menyambung belajar? Berjalan dengan pemuda asing begitu di India memanglah agak tidak manis dan boleh mengundang pelbagai persepsi. Kelakarnya, Ummi memang bijak mengambil hati Mr.B. Tabik Ummi!
Tips:
Dari platform 17 di Stesen Bas Majestic, naik 'shuttle bas' (yang berlepas setiap sejam, satu) ke Stesen Bas Satelite. Cari kaunter yang menjual tiket bas 'VOLVO With A/C' ke Mysore dan pastikan di mana anda harus menunggu. Harganya lebih kurang Rs270 seorang. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 5 jam. Jika tidak silap saya, terdapat beberapa trip ke Mysore dalam sehari.
Pemandangan ke Mysore-Mendamaikan hati saya |
Rupa-rupanya Mr.B tidak berasal dari Karnataka tetapi Andra Pradesh. Beliau merantau ke Mysore kerana belajar dalam jurusan Kejuruteraan. Menurutnya lagi, dia jarang makan di luar kerana sudah disediakan dewan makan di kolej. Saya ingin bertanyakan tentang kehidupan pelajar-pelajar di Mysore kerana hal ini berkait-rapat dengan subjek kajian saya di India. Malangnya apabila saya menoleh ke belakang, (kami duduk paling hadapan dalam bas)... dari belakang tempat duduk saya sehinggalah ke tempat duduk di bahagian belakang bas, SEMUA orang sedang khusuk menumpukan perhatian kepada kami berdua! Aduh... susah juga nak buat temuramah dalam bas! Nanti habislah satu bas tahu siapa saya. Hish, tak mahu!...
Saya lihat Ummi hampir-hampir terlelap. Saya pun mengambil keputusan untuk menutup mata tetapi menghadapi kesukaran kerana pada saya, rugi betul jika tidak melihat keindahan bumi India dalam perjalanan seperti ini. Banyak perkara yang unik pada mata saya. Di sini, saya melihat tanduk kerbau yang dicat dengan bendera India. Saya terfikir pula jika hal yang sama dilakukan kepada lembu-lembu di Malaysia, jadi patriotikkah ternakan kita? Haha... saya cuba mengambil gambar dari dalam bas tetapi oleh kerana kamera saya tidak dicipta untuk KEPANTASAN... makanya, banyak gambar menjadi blur!
~SOBS... enough! Not the time to sulk. Do whatever you gotta do within this constraint!~
Turun sahaja di Mysore, kami diserbu oleh 'ulat-ulat' teksi. Saya pun meminta pandangan Mr.B, beliau mencadangkan kami mengikut seorang lelaki India berkulit putih yang nampak macam boleh dipercayai. Kata lelaki itu, dia pemilik teksi. Memandangkan Mr.B harus kembali ke kolejnya dengan segera (mungkin juga tidak mahu terikat lama dengan kami)... saya pun bersetuju. Mr.B bertukar nombor telefon dengan saya lalu kami di bawa oleh lelaki India tersebut menyeberangi jalan dan menuju ke sebatang lorong di celah-celah kedai makan yang agak sempit dan suram. Entah mengapa langkah kaki saya langsung terhenti. Melihat saya berhenti, Ummi bertanya, "Mengapa?... "
"Kenapa nak masuk dalam lorong begini untuk naik teksi?" soal saya dalam Bahasa Melayu.
Ummi terdiam. Lelaki India itu beria-ia mengarahkan kami terus mengikutnya.
"No, no, no... I don't want to go there. I want to wait here or else, we'll take an auto," saya berkata tegas. Lelaki itu agak terperanjat.
"You have so many bags, madam!... Cannot go by auto, must take a taxi!"
"Never mind, I can call the hotel and ask them!" balas saya lalu pura-pura hendak mengeluarkan telefon bimbit.
"Ok, ok, ok... wait here. I'll call my friend," dia mula beralah.
Beberapa minit menunggu, sebuah teksi berhenti betul-betul di bahu jalan. Beg-beg dipunggahkan ke dalam kereta. Lelaki India itu menoleh kepada saya, "Pay me Rs100 now, then you pay Rs200 to this man."
Ewah?... Tahulah saya, memang sah dia ini 'ulat'. Saya lihat Ummi berkerut. Seperti biasa, saya yang malas hendak bertekak terus membayar. Habis itu, nak angkut keluar semua beg? Lelaki India itu tersenyum puas. "Madam, are you here to study? Or you want to sight seeing?"
"Hmm, I want to see Mysore first with my mom," jawab saya menunjuk ke arah Ummi. Lelaki India itu menghulurkan sekeping kad dan sehelai kertas. Di atasnya tertera lokasi beberapa tempat menarik di sekitar Mysore untuk di lawati.
"Call me, I'll give you special price, dont worry. Must call me... " katanya membuat isyarat.
Saya mengangguk beberapa kali.
Pemandu teksi yang berkopiah itu tersenyum ramah kepada kami. Saya lihat teksinya dilengkapi dengan meter. Tetapi tentulah tidak akan digunakan kerana 'perjanjian' sudah pun dibuat dengan rakannya sebentar tadi. Tiba-tiba dia jadi begitu berminat dengan kami, bertanya asal usul kami, apa yang kami hendak lihat di Mysore, adakah kami mempunyai saudara-mara di sini dan sebagainya.
"I am also a muslim, madam! Don't worry... call me if you need anything. In India, don't trust anyone, including that man who helped you earlier. He is a bad man. Don't trust him at all," kata-katanya begitu memeranjatkan kami. Bukankah mereka berkawan? Baru sebentar tadi saya lihat mereka bertukar-tukar senyuman dan mengangguk antara satu sama lain. Kini, fahamlah kami.
Siapa kata kita boleh menilai manusia melalui luaran? - Rupa-parasnya, taraf hidupnya, warna kulitnya, pendidikannya, bangsanya, negaranya, hatta agamanya?... Asalkan seseorang itu mengaku Islam, kita boleh terus percaya kepada kejujurannya? Tuan-tuan, hakikatnya kita semua adalah sama. SAMA!... kecuali dilihat pada takwa kita. Dan apakah layak kita menilai ketakwaan orang lain sebelum mencermin diri kita sendiri?... Lagi sekali saya menemui 'sesuatu' yang tidak berharga dalam kembara ini. Saya berdoa agar agar setiap pelajaran yang saya kutip tidak akan hilang sampai bila-bila dan berguna dalam kerjaya penulisan saya kelak. Insya-Allah...
Saya mencapai telefon lalu menghubungi Hotel Mango Suites - memaklumkan kedatangan kami dengan teksi. Petugasnya berhati-hati memaklumkan saya tentang laluan yang sepatutnya saya ambil kerana Mango Suites sebenarnya terletak tidak jauh dari stesen bas tadi. Dia juga menyuruh saya melihat-lihat di sekeliling dan mencari sebuah pusat membeli-belah dan hospital. Mango Suites terletak di jalan belakang tempat-tempat tersebut, agak terkebelakang dari laluan utama kerana berada di tengah-tengah kawasan perumahan.
Mango Suites-A business hotel |
Baiklah, insya-Allah malam nanti saya akan sambung kisah kembara kami di Mysore selepas pulang dari gym. Maaf saya ambil masa yang agak lama kerana sejak akhir-akhir ini, saya rasa kurang sihat. Adakah sakit lama saya berulang?... Wallahua'lam. Mohon dijauhkan Tuhan kerana urusan dan tanggungjawab saya masih banyak lagi yang belum selesai!...
Bersedialah untuk menjadi puteri dalam kembara Mysore! |
Salam sayang, terima kasih kerana berkunjung ke sini.
No comments:
Post a Comment