Pages

Monday, 19 November 2012

Tip Penulisan Satu

   Sebelum bertolak ke India pada Oktober tahun lalu, saya sudah pun menyiapkan manuskrip Wow, Coklat Fondu Mia!. Awal-awal lagi, saya sudah menetapkan matlamat, naskah itu perlu diserahkan kepada tuan editor sebelum kembara bermula supaya fikiran saya dapat difokuskan kepada pencarian dan pengembaraan selama dua minggu di bumi kelahiran Mahatma Ghandi itu. I was so commited to make sure this novel get published! Even my editor was shocked... .

   Setelah beberapa kali manuskrip ini 'terbang' berulang alik antara Kota K dan Kota D, akhirnya satu persetujuan telah dibuat antara penulis dan pihak tim buku GISB. Watak utamanya seorang pelajar Cina bernama Mia harus 'diislamkan' bagi memenuhi syarat-syarat dan polisi penerbitan syarikat. Sebagai penulis, tentulah saya berasa kurang setuju. Saya mempunyai sebab musabab yang tersendiri mengapa saya mencipta watak itu. Tetapi akhirnya, saya harus akur. Namun saya tidak mahu memberi gambaran bahawa saya seorang penulis yang lemah dan boleh diperkotak-katikkan pendiriannya. Tidak semudah itu, tuan-tuan. Walaupun saya kelihatan lebih banyak mengalah, sebenarnya WCFM telah melalui beberapa proses. Sebelum kami membuat keputusan tersebut, saya terpaksa 'bertarung' dan membentangkan hujah-hujah pembelaan terhadap watak ciptaan saya ini! 

  Bagaimana saya berjuang dalam proses pengislaman Mia Mei Ling kepada Mia Zara, biarlah ia kekal di dalam kotak emel kami. Cuma saya mahu menerangkan, pada mulanya novel ini mahu mengangkat watak Mia, Yaya, Ezzatul dan Luna dalam rencah persahabatan satu Malaysia. Pencerahan dan penyelesaian konflik persahabatan yang terjadi diperlihatkan mengikut rentak cara hidup Islami, tetapi disampaikan dari sudut pandang Mia Mei Ling, seorang pelajar Cina. Pemilihan ini mendapat tentangan pihak tim buku atas hujah, biarlah pencerahan itu datang sendiri daripada seorang pelajar Melayu berbanding Cina kerana Melayu itu lebih mengenali atau sinonim dengan agama mereka. Sudah tentu kami juga berbalas-balas hujah atas beberapa perkara penting yang lain. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar dan dipermudahkan akhirnya. Hasilnya, seperti yang telah saya tulis dalam entri ini: http://maznymr.blogspot.com/2012/11/wow-coklat-fondu-mia.html

  Sepanjang perjalanan saya sebagai seorang penulis, saya banyak bergaul dengan ramai teman-teman sealiran. Seronoknya tidak terucap kerana kami seolah-olah berada dalam dunia kami sendiri! Saat kami berpisah, pasti ada sahaja kesedihan yang melambai sama. Dalam pada itu, ada juga yang berkongsi cerita pengalaman masing-masing. Apa yang baik kita jadikan teladan, mana yang tidak, buatlah sebagai sempadan. Kita tidak perlu menjadi seorang hakim dan menghukum orang lain. Bermuhasabah adalah jalan paling selamat. 

  Cuma di sini, saya mahu berkongsi atau lebih tepat lagi ikhlas berpesan kepada sesiapa sahaja (termasuk diri sendiri) yang mahu melangkah ke bidang penulisan. Bidang ini tidak sama dengan dunia realiti. Anda akan acapkali melayang keluar dari kotak kebiasaan dan kadang kala berfikir di bawah sedar. Berhati-hati, jangan sampai kita merobohkan jambatan silaturrahim terutamanya dengan para editor. Salah seorang guru penulisan saya menulis begini apabila beliau menurunkan tandatangannya pada buku yang saya beli: 

Buat Baik Dengan Editor! 

 Saya agak terkejut. Tentunya saya mahu beliau menitipkan kata-kata perangsang yang hebat-hebat supaya dapat saya selak halaman itu setiap kali semangat kerja saya merudum. Saya jadi keliru. Apabila pulang ke rumah, lama saya duduk memikirkan kata-kata tersebut. Pesanan itu kelihatan terlalu ringkas dan klise. Tetapi apabila saya amat-amati, barulah saya tersedar. Ah, terlalu dalam maknanya! Ketika saya menemui saat-saat sukar dalam proses kepengarangan saya, pesanan ini antara prinsip yang saya jadikan amalan. Berbuat baik dengan editor bukanlah bermakna, kita harus mengampu seseorang dan menghilangkan identiti kepengarangan itu sendiri. Bukankah ia juga salah satu ajaran sunnah Rasulullah? Sebenarnya tidak sesusah mana hendak berbuat baik sesama manusia. Semuanya terletak pada hati. 

Menulis bertemankan secangkir mocha!

Jagalah hati. Walaupun keputusan dibuat menggunakan pertimbangan akal, hati adalah raja kepada badan! - Lentera Cinta Albaicin. 

 Hujung minggu lalu, saya begitu sibuk menadah ilmu baharu bersama-sama teman sealiran. Kepulangan kami semalam, membawa bersama satu misi dan amanah yang telah dipertanggungjawabkan. Lucunya, pelbagai ganjaran yang diumpan kepada kami agar memastikan misi tersebut dapat direalisasikan! Namun bagi diri ini, saya mempunyai misi peribadi yang ternyata lebih jauh daripada itu. Ganjaran yang saya dambakan tidak mungkin dapat ditawarkan oleh sesiapa pun.  Moga Allah terus merahmati kami. Moga Allah terus mengurniakan saya hidayah dan ilham terindah bagi menukangi karya-karya seterusnya. Amin. 
  


Selamat berkarya wahai teman-teman! 

    

No comments:

Post a Comment