Sekilas Pandang...
|
Sasterawan Negara Dato' Baha Zain |
Baru-baru ini, saya berkesempatan menghadiri satu lagi aktiviti yang dianjurkan oleh Majlis Buku Kanak-Kanak dan Remaja Malaysia (MBBY).
Aktiviti tersebut merangkumi bengkel melukis poster MBBY bersama Tuan Yusof Gajah, syarahan umum oleh Sasterawan Negara Dato' Baha Zain dan Mesyuarat Agung MBBY Kali Kesembilan.
Transformasi Sastera Dalam Konteks Sastera Kanak-Kanak dan Remaja - begitulah tajuk syarahan umum oleh SN Dato' Baha Zain. Beliau menyatakan bahawa dunia sastera kanak-kanak dan remaja semakin mendapat perhatian di tanah air apabila sempadan yang jauh terasa dekat dek arus dunia globalisasi. Lantaran itu, kemasukan buku-buku dari luar negara dan kemeriahan industri perbukuan tanah air membuka ruang dan peluang untuk sastera kanak-kanak dan remaja berkembang.
|
Presiden MBBY yang juga Presiden IBBY, Encik Ahmad Redza menyampaikan kata-kata aluan. |
Di bawah, saya ulas beberapa isi petikan syarahan beliau. Semoga bermanfaat buat semua pengunjung Aku dan Kafe Buku.
Apabila membincangkan tentang sastera kanak-kanak dan remaja, kita tidak dapat lari daripada memperkatakan soal kebudayaan dan jati diri. Dunia kanak-kanak dan remaja adalah satu takat perkembangan hidup yang paling penting dalam kehidupan seseorang namun, kita selalu terlepas pandang. Malah fenomena sekarang, hanya menekankan aspek keintelektualnya sahaja. Menurut Dato' Baha, hal ini terjadi kerana kita seringkali tenggelam dalam hebohnya sastera orang dewasa dan popular. Sedangkan bidang ini, (sastera kanak-kanak dan remaja) adalah bidang yang amat sukar dan rumit penghasilannya.
Pengarang buku bergambar kanak-kanak (bbkk) sebagai contohnya, bukan sahaja perlu faham dan arif dengan perbendaharaan kata pada tahap pemikiran kanak-kanak tetapi harus pandai bercerita kepada mereka.
Buku yang menarik dari segi bentuk dan material, pastinya berharga mahal. Di Malaysia, kos ini meningkat kerana ia diserap dalam kos produksi. Masalah pengeditan, penghasilan ilustrasi yang sesuai dalam pembikinan bbkk juga menjadi rumit kerana kita masih lagi kekurangan kepakaran yang mahu berkecimpung secara serius.
Perkara yang penting untuk diberikan perhatian selain ilustrasi yang menarik dalam pembikinan bbkk adalah bagaimana sesebuah buku itu dapat menyumbang dalam pembangunan masyarakat dan perwatakan manusia.
Dalam hal ini, saya merasakan dunia luar, (seperti negara barat, Australia dan lain-lain terutamanya Jepun) sudah lebih jauh ke hadapan. Cuba perhatikan bbkk garapan mereka dengan bbkk yang dihasilkan untuk pasaran tempatan. Ini tidaklah bermaksud kita kekurangan dari segi kualiti tetapi perlu ada peningkatan dari segi kreativiti. Baik ilustrasi mahupun jalan ceritanya. Begitulah kesimpulan saya daripada penyelidikan dan perbincangan bersama mentor dan rakan-rakan.
Perkara yang sama turut ditegur oleh sasterawan negara ini. Beliau melontarkan pertanyaan, "Bagaimanakah mahu melahirkan jati diri bangsa kita?"
Jawapannya masih lagi dalam rangka perdebatan, diskusi intelek dan garis panduan yang ada kalanya masih kabur. Malaysia, walaupun sebuah negara Islam tetapi masih memberikan kebebasan kepada rakyatnya dalam mempraktikkan kebudayaan pelbagai kaum. Begitu juga apabila menyentuh hal agama. Kesemuanya bisa asalkan masih berlegar dalam kerangka perlembagaan yang kita sama-sama hormati.
Dato' Baha juga ada menekankan apabila memperkenalkan sastera kanak-kanak dan remaja kepada khalayak dunia, kita tidak dapat lari daripada membicarakan perihal kebudayaan dan ketamadunan sesuatu bangsa (dan negara).
Kebudayaan bukan sekadar menerangkan hal-hal berbentuk fizikalnya sahaja tetapi yang jauh lebih penting adalah aspek rohaniah dan akliah - aspek nilai dalam kehidupan. Nilai ini yang menentukan konsepsi orang luar terhadap hebat tidaknya kebudayaan kita. Nilai ini jugalah yang membezakan antara negara. Contohnya dalam negara-negara Islam sendiri, nilai kebudayaan masih berbeza walaupun sama agama. Maka dalam rangka ini, sastera kanak-kanak dan remaja tanah air harus merangkumi usaha untuk membangunkan kebudayaan dan tamadun kita sebagai rakyat Malaysia.
Biarpun revolusi digital telah meruntuhkan tembok globalisasi antara negara, dan mendekatkan jurang antara kota dan desa, beliau menasihatkan para penulis, pelukis, penerbit malah sesiapa jua yang terlibat dalam industri sastera kanak-kanak dan remaja dewasa ini, agar tidak terlalu mengikut acuan barat semata-mata mahu mengejar kemodenan hingga melakukan 'jenayah' dalam menyemai etika para pembaca.
Dato' Baha juga menyentuh tentang fenomena terkini dalam komunikasi kekeluargaan yang kian pudar fungsinya. Bayangkan apabila sebuah keluarga yang duduk semeja untuk menikmati makan malam di luar tetapi kelihatan asyik tenggelam dalam dunia masing-masing.
Si bapa dengan telefon pintarnya.
Si ibu dengan tabletnya.
Si anak?... Ada yang ralit bermain PSP, ipad, iphone... dan berbagai 'i' lagi.
Hakikatnya, pengaruh 'gadgets' dan perkembangan teknologi turut mempengaruhi peluang kemesraan yang sepatutnya direbut serta digunakan untuk meraih masa berkualiti bersama keluarga. Apakah ini suatu pembentukan kebudayaan yang sihat?
"Budaya dalam persekitaran ini perlu 'ditawan' kembali agar nilai murni kekeluargaan tetap terpelihara." - Dato' Baha Zain.
Bayangkan bagaimana generasi dahulu berinteraksi sewaktu makan? Alangkah seronok dan meriahnya!
Akhir sekali, Dato' Baha mengingatkan kami tentang betapa pentingnya untuk mewujudkan suatu dasar yang jelas tentang hala tuju kebudayaan Malaysia agar tidak timbul kekeliruan dan sifat mementingkan diri. Perasaan hormat menghormati yang tersemai sejak berpuluh tahun dahulu, perlu sentiasa dipelihara. Mungkin bertitik tolak daripada sinilah, semangat cintakan negara dan masyarakat berbilang kaum dapat dicapai.
Ah, banyak juga aspek yang perlu digariskan dan difikir-fikirkan bersama oleh pihak yang terbabit dalam pembentukan sastera kanak-kanak dan remaja ini.
Siapa kata menulis buku untuk kanak-kanak dan remaja adalah tugas mudah?
|
Sebahagian ilustrator sedang tekun melukis. |
|
Kelihatan Mama Zakiah dan Pak Yusof sedang meneliti poster yang dihasilkan. |
Salam hormat,
Mazny M.R.