Pencarian berterusan...
Hanya ini gambar kenangan yang saya temui. |
Sudah setahun lebih, saya kehilanggan kafe kegemaran di kawasan kejiranan Kota K.
Baru-baru ini, saya terserempak dengan si empunya kafe. Lalu terus saya tanyakan beliau dengan nada sedih,
"Tuan, mengapakah kafe itu harus ditutup? Sayang sekali, saya juga kehilangan tempat untuk menulis!"
Tuan Kafe: Pelanggan semakin kurang kerana sudah banyak restoran baru muncul di kawasan ini. Untung jualan tidak banyak. Malah ada kalanya, hanya cukup-cukup makan!
Saya: Mungkin kerana kafe tuan menyediakan menu yang sangat 'niche'. Pelanggan tidak punya banyak pilihan melainkan yang itu, itu saja?
Tuan Kafe: Maaf, saya terpaksa menjual mengikut apa yang tertera dalam kontrak francais. Tidak boleh sembarangan.
Saya: Oh... (sedih)
Tuan Kafe: Kamu juga sudah lama tidak berkunjung ke sana. Sejak pulang dari India, terus senyap!
Saya: Saya cuma seorang pelanggan, tuan.
Tuan Kafe: Tetapi kamu pelanggan yang istimewa' kan? Seorang penulis yang menceriakan kami. Masih ingat meja tepi cermin yang kamu suka itu? Hah, sudah berbulan kosong! Pelanggan yang datang silih berganti namun auranya tidak sama.
Saya: Oh... (tambah sedih!)
Tuan Kafe: Sudahlah, ada banyak lagi kafe lain yang boleh kamu jadikan 'ofis baharu'. (dia ketawa kecil)
Saya: Manakan sama, tuan... (Sambil tersenyum, Tuan Kafe meminta diri untuk beredar).
Apakah kalian masih ingat? Rasanya, saya pernah menyebut tentang kafe ini dalam salah satu entri yang lepas. Saya juga ada berkongsi impian untuk memiliki sebuah kafe buku yang bukan sahaja menyediakan hidangan yang enak-enak, kerusi-kerusi yang selesa tetapi turut menyediakan buku-buku menarik untuk dibaca daripada pelbagai genre.
Setiap kali melintasi kawasan bekas tapak kafe tersebut, sebahagian hati saya masih tidak boleh menerima kenyataan yang ianya sudah TIADA.
Malah sudah digantikan dengan sebuah kedai yang lain. Saya masih terkenangkan kafe ini. Ia ibarat cinta pertama yang mengambil masa untuk dilupakan.
Apakah yang paling saya suka tentang kafe ini?...
- Makanannya menepati diet saya.
- Para pekerjanya ramah dan hormat kepada pelanggan.
- Ada talian internet percuma.
- Di bahagian belakang, turut disediakan bilik surau yang comel bagi kemudahan pelanggan muslim bersolat. Tidak perlu bersusah payah pulang ke rumah untuk bersolat dan kemudiannya datang lagi. Saya pernah bekerja (menulis) dari pagi hingga ke malam di situ. Berhenti untuk bersiar-siar di sekitar tasik lalu kembali ke kafe, duduk dan menulis semula.
- Persekitaran yang kondusif dan bersih.
- Pemandangan yang indah - letaknya di tepi tasik, tempat saya biasa berjoging suatu ketika dahulu.
- Setiap kali datang, mereka sudah tahu, di mana sudut dan meja kegemaran saya. Hingga mendapat jolokan, 'The Writer's Corner'.
- Teh O Ais Limaunya yang sedap.
Sejak ia ditutup, saya sudah kehilangan 'tempat menulis' yang serasi dengan naluri kepengarangan saya. Dua buah buku saya, mengalami proses kreatifnya di sini! Bagaimana hati ini tidak menjadi rawan?... .
Ya, lumrah hidup.
Good things won't last forever... ~sobs~
Saat ini, saya masih lagi tercari-cari sebuah kafe yang dapat memberi inspirasi unik untuk saya berkarya. Bukan saya tidak boleh menulis di rumah. Kadang kala, seorang penulis perlu keluar untuk bergaul dengan alam dan persekitaran supaya karyanya lebih segar dan terisi.
Namun, ada masanya, saya perlu menulis dari rumah sahaja. Dari sudut penulis yang khusus di tepi tingkap rumah saya. Bertemankan burung-burung kecil yang rancak bercerita dari atas dahan pokok neem yang berdaun lebat.
Ah, saya masih lagi rindukan kafe itu!
Terlalu banyak kenangan saya di sana. Hilang sudah bilik kuliah, tempat saya memerhatikan gelagat kehidupan dan mencari sumber perwatakan. Apa yang pasti, saya sudah membulatkan hati. Kafe ini perlu sentiasa wujud.
Ya, anda akan bisa menemui 'kafe' ini dalam karya terbaharu saya, PMH.
PMH?... Apa itu PMH?
Belum siap lagi. Insya-Allah akan disudahi secepat mungkin. Biarpun ia pasti mengambil masa yang agak panjang. Kerana sekelumit kisah cinta yang mewarnai PMH itu, terlalu tinggi nilai maharnya.
Salam manis,
Mazny M.R.
Nota: Dialog di atas telah bercampur dengan ekspresi penulis. Perbualan sebenar tidak dinyatakan. Maaf, hehe.
*Wah, akhirnya saya temui juga gambar tersebut! Inilah sudut penulis saya di sebuah kafe seperti yang diceritakan di atas. Dinding kaca tersebut membolehkan pandangan saya menjadi luas dan menyeronokkan terutamanya apabila bidai diangkat dan hujan pun turun. Ah, rindu lagi!... .
*Wah, akhirnya saya temui juga gambar tersebut! Inilah sudut penulis saya di sebuah kafe seperti yang diceritakan di atas. Dinding kaca tersebut membolehkan pandangan saya menjadi luas dan menyeronokkan terutamanya apabila bidai diangkat dan hujan pun turun. Ah, rindu lagi!... .
This is 'my writer's corner'. How I missed this place so much! |
No comments:
Post a Comment