Ilustrasi...
Antara buku yang dibeli di Pesta Buku Antarabangsa KL 2014 |
Sebenarnya betapa ramai yang beranggapan begini, 'Mengapa perlu bayar mahal untuk membeli sebuah buku cerita bergambar kanak-kanak?' (BCBKK)
BCBKK yang 'biasa-biasa', dijual dalam julat harga sekitar RM20-RM40 senaskah. Yang memenangi anugerah pula sekitar RM50-Rm80.
Sementara novel-novel cinta berharga lebih kurang RM24-RM26 sebuah. Perkataannya beribu, konfliknya menikam kalbu. Masa untuk menghabiskan sesebuah novel cinta boleh jadi sampai berminggu-minggu. Jadi, untung apalah membeli sebuah buku nipis yang ringkas dengan lukisan gaya budak-budak pada tahap harga dua kali ganda?
Malah, boleh dibaca dalam masa beberapa minit cuma.
Malah, boleh dibaca dalam masa beberapa minit cuma.
Bagi menjelaskan perkara tersebut, saya kira para pembeli di Malaysia perlu didedahkan dengan kelebihan BCBKK supaya mereka lebih memahami untuk apa wang itu dilaburkan. Antara yang dapat saya petik secara ringkas;
- BCBKK bukanlah sekadar buku cerita. Ia melatih minda pembaca cilik menjadi lebih kritis melalui jalan cerita yang disampaikan secara berilustrasi. Kanak-kanak mempunyai kelebihan untuk berimaginasi lebih tinggi daripada orang dewasa. Jika tidak percaya, cuba bacakan BCBKK tanpa teks bersama mereka (wordless picture book). Minta mereka reka sendiri jalan ceritanya berdasarkan apa yang mereka lihat pada gambar. Saya percaya, anda akan terkejut dengan daya kreativiti yang tercetus. Pembaca-pembaca cilik ini boleh mereka 1001 plot cerita yang berbeza. Apakah agaknya yang mencetuskan daya imaginasi dan kreativiti yang begitu tinggi? Jawapannya, ilustrasi.
- Bagi mendapatkan ilustrasi yang menarik, penulis terpaksa mengupah seorang ilustrator. Hal ini tentu sahaja meningkatkan kos pengkaryaan. Berbeza dengan penulis novel, cerpen atau puisi, mereka hanya berkerja dengan diri sendiri.
- BCBKK juga membantu meningkatkan kosa kata kanak-kanak sebelum mereka dapat membaca dan menulis dengan betul. Penting sangatkah kosa kata? Penting - dalam membinaan ayat.Namun saya tidak gemar jika sebuah BCBKK terlalu mementingkan aspek pendidikan seperti mewarnakan perkataan mengikut suku kata. Contohnya, makan, bangun, padang, matahari dan sebagainya. Ini amat mengganggu pembacaan. Ia membuatkan buku yang sepatutnya menyeronokkan kelihatan seperti sebuah buku teks sekolah. Bagi pemilihan buku bergambar yang bertujuan untuk meningkatkan kemahiran membaca, eloklah membeli buku seperti siri Bacalah Anakku atau siri Peter and Jane. (Perhatian: Kedua-dua siri ini BUKAN jenis buku cerita bergambar kanak-kanak yang saya hasilkan)
- Tanpa kita sedar, warna juga memainkan peranan yang penting dalam pengendalian emosi manusia. Tidak semua BCBKK memerlukan warna-warni yang ceria. Ada juga yang sengaja dihasilkan dalam bentuk hitam putih. Jelasnya, pengaruh warna turut memainkan peranan yang berkesan pada jalan cerita. Pemilihan warna ini juga meningkatkan kos percetakan.
- Sebagaimana pemilihan warna, tidak mudah juga bagi seorang ilustrator memilih sudut pandang yang bersesuaian dengan watak dan penceritaan. Seperti mana cabaran penulis untuk menggambarkan cerita dalam bentuk perkataan, begitu juga cabaran yang terpaksa dihadapi ilustrator apabila menggambarkan dalam bentuk visual. Malah, keadaan menjadi lebih rumit apabila terpaksa melayan kerenah penulis dan penerbit.
- Mencipta perwatakan yang dapat menarik perhatian pembaca cilik bukan sesuatu yang mudah. Kerja-kerja membangunkan watak dan perwatakan boleh mengambil masa yang lama hingga bertahun-tahun.
- Kos percetakan BCBKK sememangnya mahal berbanding kos buku-buku biasa.
Tujuh perkara yang saya sebut di atas adalah antara sebab mengapa harga BCBKK tidak dapat dijual pada harga novel-novel popular mahupun semurah komik-komik yang menjanjikan kepuasan sementara. BCBKK sememangnya punyai nilai yang tersendiri. Jauh daripada sekadar gambar dan cerita.
Ia adalah harta intelek yang patut dijaga dalam khutubkhanah setiap keluarga agar boleh diwarisi oleh generasi akan datang. Ingat, ahli keluarga kita bakal bertambah setiap tahun.
Bak kata Tuan Yusof Gajah, "Bayi lahir setiap hari. Tetapi buku bergambar untuk mereka tidak dihasilkan dengan kuantiti yang dapat menampung keperluan itu."
Sebolehnya, saya memang tidak suka menulis sesuatu yang mengikut trend semasa. Tema sebegini cepat pudar apabila musim bertukar. Saya lebih gemar mengangkat sesuatu tema yang kekal malar segar (evergreen) dan memberi 1001 manfaat jangka panjang kepada pembaca berbanding sekadar mengira pulangan pelaburan (ROI) semata-mata.
Ilustrasi yang baik tidak semestinya kelihatan seperti Picasso atau Leonardo da Vincci. Sebenarnya kanak-kanak lebih tertarik kepada lukisan yang dekat di hati mereka - yang lebih kurang lukisan mereka sendiri! Ya, tidak dapat dinafikan, hasil seni adalah sesuatu yang subjektif. Begitu juga penilaian manusia pada kecantikan.
Sekian dahulu sembang kita pada kali ini. Selaku pemilik kafe, saya mohon maaf kerana sudah berbulan membiarkan tempat ini sunyi sepi. Namun saya tetap bersyukur kerana jadual trafik menunjukkan anda masih lagi pengunjung saya yang setia. Aduh, terima kasih daun keladi. Sudi-sudikan menjenguk kembali.
Insya-Allah, kita jumpa lagi ya? Terima kasih untuk setia!
Antara buku-buku yang memenangi anugerah berprestij dalam koleksi saya. |
Nota: Sembang-sembang kita seterusnya bakal menyentuh sedikit perihal proses ilustrasi Mazny M.R.
No comments:
Post a Comment