~Mengapa Saya Buka Blog Aku & Kafe Buku~
Para pembaca yang budiman, pasti anda tertanya-tanya mengapa Mazny M.R. menulis di dalam blog pula. Tidak puaskah menulis buku-buku sahaja? Ataupun soalan yang paling senang ialah 'Mengapa namakan blog ini, Aku & Kafe Buku?'
Jawapannya mudah. Blog ini hanyalah sebagai salah satu medium untuk saya menulis.
Jika anda hendak tahu, saya juga menulis dalam jurnal peribadi. Jurnal peribadi pula, saya khususkan untuk menulis sajak atau puisi. Kata orang, puisi adalah jendela hati seseorang penulis. Apa yang dia nampak, rasa, alami, hadam... segala-galanya akan terakam di situ. Dalam jurnal saya, bukan setakat ada sajak dan puisi sahaja. Selain dari menulis, saya juga suka melukis. Biarpun saya tidak datang dari aliran seni atau bahasa. Ini adalah sesuatu yang sudah sedia mengalir dalam darah saya.
Blog ini juga menjadi jambatan silaturrahim antara saya dengan para pembaca yang saya hormati. Tidak kiralah sama ada anda SUDAH membaca buku saya ataupun BELUM. Anda mungkin hanya membaca blog sahaja. Saya tidak kisah. Di kafe buku saya ini, kita boleh membincangkan apa sahaja topik. Bercerita tentang dunia penulisan ataupun dunia realiti, tidak menjadi masalah bagi saya. Cerita yang anda kongsikan mungkin menjadi ilham buat saya. Mungkin juga buat orang lain. Ilham yang saya maksudkan di sini ialah dalam bentuk penulisan kreatif. Cuma janganlah pula kita gembar-gemburkan kisah yang tidak sepatutnya. Simpanlah ia sebagai riwayat peribadi kerana tempatnya bukan di sini.
Blog ini dinamakan sedemikian kerana saya menganggapnya sebagai tempat bersantai dan beramah-mesra. Kerana itu, jika anda perasan, bahasa yang saya gunakan juga lebih santai. Namun tidaklah bermakna saya merelakan anda berinteraksi dengan gaya bahasa 'budak-budak'. Be casual yet professional okay? =)
Saya bukanlah orang yang layak menjadi guru penulisan walaupun seringkali ditanya itu dan ini. Saya menganggap diri saya masih lagi seorang pelajar dalam dunia penulisan yang saya kira sudah mencecah usia ratusan tahun. Betul, saya banyak mengikuti bengkel-bengkel penulisan dan membaca blog-blog penulis hebat yang lain (dalam dan luar negara). Dari situ, saya kutip, cedok, analisis dan membuat kesimpulan tentang banyak perkara. Tahukah anda, kami sanggup menghabiskan beratus-ratus ringgit (juga ribuan) semata-mata untuk mengikuti satu-satu bengkel penulisan? ... Sanggupkah anda yang berada di luar sana membuat pelaburan seperti kami? Hah, tentu ada yang berfikir dua tiga kali, bukan?
Zaman sekarang zaman duit. Melangkah setapak pun kena tabur duit. Duit tol, duit minyak, duit parkir, duit makan... dan bermacam-macam lagi.
Oleh kerana itulah, saya terpanggil untuk berkongsi apa-apa juga pengetahuan yang saya kutip dan catat bersama-sama anda di sini... di kafe buku kita ini ! Anda juga mungkin sangat berminat hendak menjadi seorang penulis. Tambahan pula...
Ilmu yang menjadi amal jariah ialah ilmu yang boleh dimanfaatkan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan, boleh emailkan kepada saya. Boleh juga jeritkan di Kotak Sembang. Boleh juga tulis sebagai komen. Insya-Allah, selagi termampu, saya akan cuba jawab. Anda dialu-alukan untuk mengutip dan berkongsi ilmu di sini. Sekiranya anda teringin mengambil apa-apa dari kafe ini, janganlah lokek memberikan kredit dan link'kan ke blog saya.
Sekian dahulu entri pada kali ini. Saya berazam mahu menulis sekerap yang mungkin di kafe ini. Saya juga mahu anda datang selalu ke mari. Bersama secangkir kopi kampung yang panas, cappucino, latte atau frappe, datanglah melepaskan lelah barang seminit-dua. Mungkin ada sesuatu yang boleh kita kongsikan bersama. Bagi saya, anda tetap pelanggan istimewa!
Okey, kita jumpa lagi ya!
NOTA: GAMBAR SEBAHAGIAN DARIPADA KOLEKSI JURNAL SAYA YANG BERMACAM BENTUK DAN WARNA. DI DALAMNYA ADA BERMACAM-MACAM JENDELA! =)
No comments:
Post a Comment