Friday, 8 July 2011
~Bagaimana Kita Mula Tulis Cerita?~
Percayalah, ini memang soalan pertama yang akan orang tanya saya. Lagi satu soalan kegemaran mereka ialah "Mana dapat idea tulis novel nih?" ( dengan nada suara yang antara confused atau jealous ) sehingga membuatkan saya sendiri confused, terkesima dan terkial-kial hendak menjawapnya.
Hmmm... ya, saya sedar saya bukanlah pandai sangat menulis. Cerita yang saya tulis tidak mungkin akan sama dengan cerita popular kesukaan orang. Paling tidak pun, saya sangat beryukur jika ada antara pembaca yang dapat mengambil manfaat dari mana-mana hasil tulisan saya. Saya akan merasa sedih sekiranya khalayak membaca buku saya hanya sekadar ingin mengetahui jalan cerita sambil mengisi masa senggang tanpa cuba menyaring kemanisan ilmu dan nasihat yang ada terselit di dalamnya. Begitu pun, saya bukanlah seorang ustazah.
Masyarakat perlu ingat, kerja-kerja menyampaikan ilmu dan pesan-memesan untuk perkara kebaikan bukanlah hak mutlak mereka yang bergelar ustaz atau ustazah sahaja. Amanah Allah diturunkan kepada setiap makhluk yang bergelar manusia. Tanpa mengira umur, rupa, darjat atau keturunan.
Okeylah, mula-mula biar saya ceritakan serba sedikit pengalaman saya yang tidak seberapa ini dalam bidang penulisan. Saya pun bukan siapa-siapa. Baru setahun jagung dan masih hingusan. Tetapi apabila dah selalu ditanya soalan yang sama, letih juga hendak menjawabnya, bukan? Jadi, untuk kebaikan bersama, marilah kita bersembang-sembang mengenainya di kafe ini.
Suatu ketika dahulu, saya sebenarnya tak berapa suka baca novel-novel Melayu !
Eh, perasan Mat Saleh ke? Taaaaak... saya bangga jadi orang Melayu. Cuma masa itu, tidak banyak novel-novel Melayu yang dapat menepati citarasa antarabangsa saya. Wah, antarabangsa ! Masa dulu, novel-novel melayu yang saya baca semuanya dialihbahasakan dari siri penyiasatan Enid Blyton, Nancy Drews, Hardy Boys dan bermacam-macam lagi. Sebenarnya, pada waktu itu kita tidak dimanjakan dengan pilihan yang banyak dan melimpah-ruah macam budak-budak sekarang. Bukan ketiadaan buku-buku bermutu terbitan DBP tetapi hendak mendapatkannya.... sukaaaaaaaaar sekali! Berlainan dengan buku-buku terjemahan terbitan Fargoes ini. Mungkin itu juga salah satu sebabnya.
Novel melayu pertama (benar-benar Melayu) yang saya baca ialah satu novel pengembaraan terbitan DBP untuk remaja. Jika tidak silap, novel itu menang hadiah. (Okey, saya pergi google sekejap. Tunggu ya!.... ) Alamak, tak jumpa ! ~frust~
Novel itu mengisahkan seorang gadis remaja yang mengikut keluarganya bercuti ke Holland lalu bertemu seorang pemuda Belanda yang fasih bertutur bahasa Indonesia. Novel itu sangatlah menepati citarasa saya yang pada masa itu bersifat adventurous. Lalu minat membaca saya pun kian subur di bajai karya Nazel Hashim Mohammad, Othman Puteh dan Azmah Nordin.
Dipendekkan cerita, saya dapat novel itu pun kerana saya menang hadiah semasa di sekolah rendah. Jika tidak silap, hadiah pertandingan bercerita ataupun mengarang cerpen. More or less, hehe.... Balik rumah, saya dengan semangat yang berkobar-kobar telah menamatkan pembacaan dalam masa kurang sehari ! (Siap curi-curi baca dalam kelas sekolah agama lagi!) Emak saya tengok pun geleng-geleng kepala. Selepas itu, dia terus bagi saya sebuah lagi novel yang menjadi novel kegemarannya. Nak tahu novel apa?
...Badai Semalam... atau dalam bahasa inggeris ...Storms of Yesterday...
Mula-mula, saya berasa pelik kenapalah emak suruh saya baca novel orang dewasa?
Bila selesai baca, barulah tahu mengapa... Hmm, jawapannya? Emak berkenan sangat dengan nama salah satu watak dalam cerita itu. Sekarang ini, ia sudah di ulang cetak dengan wajah baru. Novel ini juga telah dialihbahasakan ke dalam bahasa Sepanyol dengan tajuk Tormentos del Ayer .
And then the rest is history.... Selepas itu, saya kurang membaca novel Melayu kerana tema dan jalan cerita yang saya rasa (agak) klise. Saya mula pegang semula novel-novel melayu pun setelah jatuh cinta dengan novel-novel Faisal Tehrani seperti 1151(H)Kombat. Juga novel AAC (Ayat-ayat Cinta), novel-novel Tuan Ramlee Awang Mursyid dan sebuah novel Puan Norzailina Nordin yang berjudul Arjuna Hati. Bagi saya, novel-novel ini berjaya menghidangkan sesuatu kelainan bagi menepati citarasa selera saya.
Selepas itu, mulalah saya memborong novel-novel DBP yang menang sayembara, novel-novel Sasterawan Negara, novel-novel itu dan novel-novel ini. (Ketika ini, sudah agak senang hendak mendapatkan novel-novel DBP) Tapi masih tak boleh lepas juga dari terus membaca novel-novel Inggeris.
Okey, berbalik kepada soalan Bagaimana Kita Mula Tulis Cerita. Pertama, anda WAJIB menjadikan tabiat membaca sebagai satu hobi. Bukan hobi untuk mengisi masa lapang tetapi anggap ia sebagai satu kelas yang menyeronokkan. Jika anda masih ingat cara-cara hendak membuat karangan atau cerpen semasa bersekolah, itu sudah dikira sebagai satu asas yang sangat kuat. Teruskan membaca pelbagai genre.
Baca dan buat nota sebagai kajian sekali. Sebab itu, membaca seorang Pembaca dan membaca seorang Penulis.... amatlah berbeza sekali. Boleh bayangkan realiti macam mana melihat lukisan Vincent van Gogh dari kaca mata kita dan dari kaca mata seorang pelukis? Hah, begitulah maksud saya. Bayangkan diri anda sebagai seorang penulis dan membaca karya orang lain sebagai seorang yang kritis. Tujuannya, bukan nak komen karya orang dan bantai tak tentu fasal. Tujuannya supaya kita boleh belajar, belajar dan terus belajar daripada sesuatu karya!
Keduanya, apabila sudah banyak membaca dan membuat kajian daripada hasil penulisan orang lain, kita dapat meneliti pelbagai corak dan gaya penulisan yang berlambak di luar sana. Untuk pelajaran yang lebih teoritikal, silalah sediakan duit anda untuk mengikuti mana-mana bengkel penulisan yang ada. Percayalah, tidak ada satu pun yang lengkap sempurna. Mencari kesempurnaan sendiri dalam bidang penulisan ini, saya ibaratkan seperti menunggu lapisan karbon bertukar menjadi berlian!
Ketiganya, setelah selesai menjadi seorang pembaca yang benar-benar membaca, ada sudah boleh mula menulis sebenarnya.
Tulislah apa-apa pun yang anda mahu sebagai permulaan. Tabiat ini akan menjadi satu latihan yang sangat bagus. Tulis dalam diari, dalam buku nota, buku sketches ataupun lebih senang tulis saja dalam blog. Tulisan dalam blog membolehkan anda meraih pembaca serta-merta. Tetapi pastikan dulu nawaitu anda itu apa, okey? Biarlah pembaca mendapat paling tidak pun sedikit manfaat dalam hasil tulisan kita.
Saya harap terjawab sudah soalan pada tajuk entri kali ini. Dan saya tahu, soalan kedua anda akan berbunyi begini.... Bagaimana Saya Mahu Terbitkan Novel pula, kan?
Oh kalau yang itu, kita kena sembang panjang sikit. Nanti saya sediakan seteko kopi panas bersama sepinggan cucur ikan bilis rangup untuk semua yang datang berkunjung ke kafe ini. Barulah sedap sikit nak sembang-sembang, betul tak?
Sekian dahulu dan Terima kasih kerana membaca. Jangan lupa berkunjung ke mari lagi!
NOTA: KULIT BUKU NOVEL LEGENDA; BADAI SEMALAM.... LAMA (KANAN) & BARU (KIRI). INI JUGA SALAH SATU KARYA YANG MEMBERIKAN SUMBER INSPIRASI KEPADA SAYA.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Novel yang mula-mula tu sebenarnya Aku Anak Timur,karya Siti Aminah Haji Yusuf yang ada sambungan untuk Aku Anak Timur II .Novel pertama membawa kepada pembelajaran pelajar Tingkatan 1 sebelum generasi 1997 dalam KOMSAS
ReplyDeleteTerima kasih Tuan Yang Di-pertua,
ReplyDeleteSaya cuba mendapatkan kembali novel ini dari DBP nanti. Tidak tahu pula ada sambungannya. Terima kasih dan sila jenguk kembali ke kafe kita.