Puan Ain Maisarah & Suaminya |
Apa pendapat anda?
Setelah berbulan-bulan berhempas-pulas menghasilkan sebuah buku dan melihatnya terpamer di atas rak-rak kedai buku, seorang penulis sudah boleh tersenyum lebar... . Setakat itu sahajakah kerja dan tanggungjawab seorang penulis? Biar dalam genre apa sekali pun hasil kerja beliau itu dikatogerikan.
Secara jujurnya, saya merasakan tanggungjawab seorang penulis melangkau jauh daripada itu semua. Buku yang kita ada, adalah harta intelek kita. Sesuatu yang kita hasilkan dengan sepenuh hati dan harapan menggunung tinggi agar ia boleh dimanfaatkan oleh ramai orang. Bukan tersadai dalam stor dan gudang penerbitan!
Jikalau buku-buku kita tersadai sebegitu bukan penerbit sahaja yang akan rugi, penulis juga akan kerugian dalam banyak perkara. Antara kerugian besar yang dapat saya lihat;
1) Penulis telah membazirkan masa yang panjang dalam membuat kajiannya untuk menghasilkan tulisan yang bermutu. Padahal, beliau boleh sahaja menggunakan masa tersebut untuk tujuan lain yang lebih bermakna dalam hidupnya.
2) Penulis akan merasa 'patah-hati' kerana matlamatnya hendak memandaikan bangsa boleh terkubur dalam stor atau gudang penerbitan. (Tanah perkuburan tidak rasmi bagi banyak buku yang bermutu tanpa nisan!)
3) Harta intelek yang sepatutnya menjadi amal-jariah sesudah penulis kembali kepadaNya akan menjadi berhabuk dan terbiar begitu sahaja.
4) Penulis yang pada asalnya bercita-cita hendak menaikkan semangat bangsa dan memperjuangkan kemuliaan agama akhirnya terpaksa akur dan beralih arah kepada penulisan yang lebih santai dan popular. (Saya tidak menyalahkan pembaca 100% apabila mereka lebih memilih pembacaan sebegini. Ada banyak sebab mengapa hal ini terjadi dan gabungan penerbit dan penulislah yang sebenarnya memainkan teraju utama dalam penciptaan trend sedemikian!)
5) Penulis tidak mendapat semangat baharu untuk meneruskan perjuangannya dalam bidang penulisan. Beliau mungkin hanya berjaya menghasilkan sebuah buku sahaja seumur hidupnya. (Mudah-mudahan ini tidak terjadi kepada saya!... Na'uzubillah! Masih banyak lagi yang ingin saya ceriterakan kepada kalian!) =)
6) Penulis yang berbakat tetapi karyanya tidak 'sampai' kepada pembaca akan cepat kehilangan kreativitinya. Beliau akan menyalurkan bakat tersebut kepada sesuatu yang lain. Ya, menulis juga suatu kerja seni yang memerlukan faktor-faktor penyumbang kepada inspirasi dan aspirasi diri.
Okey,
Cukuplah saya membebel. Saya kira masih banyak lagi kerugian yang tidak ternampak oleh orang luar. Namun perkara yang ingin saya tekankan di sini ialah, apakah penting seorang penulis itu menjadi proaktif dalam memasarkan karyanya?
Patutkah kita berdiam diri dan menunggu nasib menyebelahi diri... ? Dalam hal ini, saya sebulat hati mengatakan... TIDAK!
Anda kenal Ain Maisarah? Sesiapa yang mempunyai anak remaja pasti akan mengangguk. Sesiapa yang tidak mempunyai anak remaja pun, saya dapat rasa akan terangguk-angguk juga!
Dalam ramai penulis buku di Malaysia, saya kira Puan Ain Maisarah adalah sangat beruntung. Beliau memiliki satu tag-team yang ampuh lagi berkesan. Beliau dan suaminya bukan sahaja sanggup turun padang memasarkan produk-produk mereka tetapi sangat bijak menggunakan perkembangan teknologi semasa sebagai senjata pemasarannya yang amat berkesan. Pernah melawat ke sekolah maya ciptaannya? Silakan, anda pasti akan kagum.
Idea ini sama sahaja seperti J.K.Rowling yang mencipta sekolah Hogwart di alam siber dan pengarang-pengarang The 39 Clues yang mencipta sebuah permainan maya berdasarkan novel dari tajuk yang sama. (Dalam hal ini, kredit kepada Nadya kerana selalu memberi informasi terkini kepada saya). Saya pula tidak suka simpan ilmu. Kafe ini tempat saya kongsikan semuanya... insya-Allah. Anda lihat? Bagaimana satu karya menghasilkan satu karya yang lain dan hasilnya?... keuntungan.
Tidak ramai penulis Malaysia yang sanggup mengambil langkah proaktif seperti ini. Saya pernah duduk dalam seminar penulisan dan pemasaran Ain Maisarah (dan suaminya). Saya kira beliau adalah antara penulis (di Malaysia) yang bersikap jujur dalam menurunkan ilmu. Banyak perkara yang saya pelajari walaupun sesetengahnya saya sudah tahu tetapi... tidak bersemangat hendak merealisasikan! =(
Saudara,
Ada berapa ramai penuliskah yang bernaung di bawah sesebuah syarikat penerbitan? Saya kira jika ia sebuah penerbitan aktif yang bagus, sudah tentu hampir mencecah angka seratus. Mungkin juga lebih.
Adakah kita selaku penulis perlu menunggu dan berpeluk tubuh sahaja? Kita tidak boleh menunggu untuk diri ini dimanjakan. Namun penting juga saya sebutkan di sini, tag-team antara penulis-penerbit akan lebih berkesan dalam meningkatkan angka jualan! Two heads are better than one.
Jika di barat, masyarakatnya begitu supportive sekali dalam mengangkat usaha penulis. Pantang ada book-signing, pasti mereka akan teruja. Paling tidak pun, mereka akan duduk dan mendengar sedikit pengenalan yang dibuat oleh penulis. Beli atau tidak, belakang kira. Jangan ditanya dari mana saya tahu semua ini.
Saya ingin sekali melihat keadaan ini berlaku di persada tanah air kita. Benar, ada beberapa media yang sedang memainkan peranan sedemikian. Namun peluangnya hanya terhad kepada segelintir penulis sahaja! They can't cover every writers in Malaysia, you know!
Oleh kerana itu, dalam hal ini, penulis PERLU bersikap proaktif. Lebih-lebih lagi seorang penulis seperti saya; yang menulis sesuatu yang lain dari yang lain. Oh maaf. Mungkin anda tidak nampak lagi akan hal itu. Tidak mengapa. Tidak ada sesiapa pun yang boleh menilai kita berdasarkan sebuah buku. Perjuangan saya masih baru. Mudah-mudahan dengan izin Tuhan, suatu hari nanti saya menemui 'diri' saya dalam bidang penulisan ini.
The question is... "How to succeed when you're the only one like you?"
Waktu kian menginjak dinihari. Udara semakin sejuk di luar sana. Mata juga sudah terasa berat. Saya baru pulang beraya dari rumah seorang kawan. Beliau bertanyakan dunia penulisan saya. Walaupun berasa segan, saya hulurkan juga sekeping kad mempromosi kafe maya kita ini. Saya katakan kepadanya, kafe ini masih baharu usianya. Tidaklah secanggih blog orang lain. Perbualan kami berkisar tentang dunia anak-anak dan buku-buku. Mungkin dalam kesempatan lain, saya akan tulis mengenai perbincangan kami. (Setiap perbincangan adalah wacana ilmu bagi saya).
Esok pagi, saya akan bertolak ke UTM Skudai; mempromosi novel LCA. Bersama-sama saya nanti tentulah sebarisan penulis lain yang sudah ada nama. Seperti biasa, saya akan merasa kecil membandingkan diri dengan orang lain. Mampukah saya menjadi seorang penulis proaktif seperti yang saya hajatkan?
Nantikan jawapannya dalam entri akan datang. Selamat malam semua. Berdoalah semoga kalian bermimpi yang indah-indah.
No comments:
Post a Comment