Penulisan Itu Pada Bakat Atau Usaha?
Pernahkah anda terfikir, adakah bakat yang menentukan kerjaya seseorang penulis ataupun kesungguhan dan dedikasi yang dimilikinya?...
Suatu ketika dahulu, saya selalu berfikir, setiap orang perlu ada bakat menulis yang hebat barulah boleh berjaya menjadi seorang penulis. Saya selalu membayangkan bahawa seorang penulis hidupnya pasti akan sunyi kerana seperti seorang pelukis, dia memerlukan suasana dan masa yang terpencil dari khalayak. Penulis amat memerlukan 'mood' yang selari dengan apa yang sedang dihasilkannya. Mengapa?
So that they can create a masterpiece! Maybe... .
Sewaktu proses penulisan novel LCA ( yang bukanlah sebuah mahakarya), saya memang jadi begitu. Saya jadi sibuk dengan membuat kajian online. Saya menghabiskan masa malam hari dengan bersengkang mata untuk membaca dan membuat rujukan silang. Saya sanggup berkampung di kedai buku semata-mata mahu membaca rujukan yang tidak mampu saya beli kerana harganya yang terlalu mahal (buat saya). Dalam bilik saya, terdapat satu ruang kerja yang menjadi pejabat saya di rumah. Di situlah saya makan, minum, melukis, membaca, mengaji, merapu, menangis, ketawa dan sebagainya. Kadang-kala di situlah juga saya tidur!
Tak... saya bukan tertidur atas meja. Tapi atas katil yang hanya beberapa langkah jauhnya.
Saya tidak pernah percaya kepada kejayaan tanpa usaha. Dalam hidup ini, manusia diajar supaya berusaha untuk mendapatkan sesuatu. Yang pipih takkan datang melayang, yang bulat takkan datang bergolek! Oleh itu, saya lebih percaya bahawa bidang penulisan memerlukan sejumlah besar usaha berbanding bakat. Mungkin dalam sembang-sembang selepas ini, anda dapat memahami dengan lebih jelas lagi apa yang saya maksudkan.
Saya pernah membaca edisi Dewan Sastera yang mengupas fokus 'Sejauh Mana Bengkel Penulisan Sastera Melahirkan Penulis?' Kemudian saya gagahi diri membaca dua buah buku ini secara beransur-ansur;
1) Chicken Soup For The Writer's Soul
2) Bagaimana Saya Menulis-Proses Penciptaan Cerpen
Saya lakukan ini kerana saya ingin belajar dan melihat daripada pengalaman orang lain. Di kafe buku ini, saya ingin berkongsi sedikit pengajaran yang sempat saya kutip daripada pembacaan tersebut. Saya begitu tertarik membaca pengalaman demi pengalaman yang tertulis di dalamnya. Memang benarlah kata sifu-sifu penulisan saya. Sebahagian besar kejayaan seseorang untuk bergelar penulis itu bukanlah datang dari bakatnya tetapi usaha.
Antara proses penulisan yang menarik perhatian saya ialah seperti yang dirakamkan oleh Maskiah Hj. Masrom yang menghasilkan 'Nyanyi Sunyi'. Saya jadi kagum dengan kesungguhan beliau dalam menukangi karya tersebut. Beliau mengambil masa mencari bahan-bahan dan mengaulnya dengan kisah benar. Saya juga memiliki novel beliau dengan tajuk yang sama dan saya bagaikan tenggelam dalam keindahan bahasa di dalamnya. Tidak berserabut otak hendak mentafsirkan. Sungguh manis dan puitis. Apa yang penting, tidak pula melunturkan kualiti dan mutu bahasa yang SEPATUTNYA ada dalam novel-novel percintaan di Malaysia. Saya juga perasan, ada beberapa kesamaan dalam proses penulisan beliau dengan apa yang saya tempohi. Mungkinkah persamaan itu yang membuatkan jiwa saya begitu dekat dengan karya-karya beliau? Mungkin... .
Hal yang sama saya temui dalam novel Puan Nor Zailina Nordin - Arjuna Hati. Saya kagum dengan gaya bahasa yang mewarnai jalan cerita novel ini. Melalui penghayatan saya, bukan sedikit kajian yang beliau jalankan. Bayangkan ceritanya sahaja merentas beberapa zaman dan generasi. Ya, saya bukan seperti sesetengah orang, takut hendak memuji karya orang lain kerana takut buku sendiri tidak laku! Mengapa kita perlu ada sikap begitu?
Dalam buku Chicken Soup For The Writer's Soul pula, Ethel Bangert menulis pengalaman beliau menghasilkan sebuah buku mengenai kekejaman tentera Hitler. Beliau telah membaca bagaimana pihak Nazi menyeksa tawanan mereka dengan menyarungkan kepala tawanan itu dengan baldi yang diperbuat daripada besi lalu memukulnya kuat-kuat dengan kayu berulang-ulang kali supaya tawanan itu berada dalam kesakitan. Bagi mempercayainya, beliau sanggup melakukan eksperimen yang sama ke atas diri sendiri! Bayangkan? Akhirnya berdasarkan pengalaman peribadi, beliau berjaya 'menulis' kesakitan tersebut.
Lihat? Betapa gigih (gilanya) usaha seorang penulis dalam penghasilan karya mereka? Minda saya selalu menerawang - sejauh manakah keberanian saya untuk menulis sesuatu yang saya tahu ia ada (wujud) dan sangat perlu diambil perhatian? Ya, kadang-kala kita perlu merasai untuk menjiwai. Dalam hal ini, saya langsung teringatkan ayat ketiga dalam Surah Yusof.
"Kami ceritakan kepadamu wahai Muhammad, seindah-indah kisah dengan jalan Kami wahyukan Al-Quran ini, padahal sebenarnya engkau sebelum datangnya wahyu itu, adalah dari orang-orang yang tidak pernah menyedari akan halnya."
Tuan-tuan,
Kisah Nabi Yusof adalah kisah yang indah. Kisah yang indah itu; kisah yang benar-benar terjadi. Tidak semestinya cerita yang kita tulis nanti merupakan pengalaman sendiri. Mungkin sahaja liku-liku kehidupan seseorang. Pengajarannya di sini, jika anda mahu menulis sesuatu yang memberikan kesan, pastikan anda tahu 'merasai' apa yang anda nukilkan. Barulah pembaca dapat merasa apa yang anda rasa. Saya tidak dapat menafikan, pembaca di Malaysia lebih senang disentuh perasaannya dengan kisah-kisah cinta. Mungkin kerana cinta itu ada di mana-mana? Namun sekali-sekala kita juga perlu berusaha untuk 'mempelbagaikan cinta'! Secara tidak langsung pemikiran pembaca pasti akan berkembang. Itu lebih penting daripada cinta yang pusing-pusing tang tu juga, betul tak?
Berbalik kepada bidang penulisan, saya kira bakat hanya menyumbang kepada beberapa peratus sahaja dalam bidang ini dan bakat memang boleh digilap. Tetapi usaha yang membentuk bakat kepengarangan seseorang?... memang payah!
Nah, terpulanglah kepada anda.
Jika memang benar anda mahu menjadi seorang penulis, lakukanlah yang terbaik semampunya. Cerita yang dijual perlu juga mengikut arus permintaan namun janganlah sampai kita sanggup menggadaikan perjuangan (mengapa anda mahu menulis?). Memang tidak mudah hendak memenuhi selera para peminat buku. Pada saya, bidang ini adalah satu medan perjuangan yang getir. Setiap penulis mempunyai misi dan tanggungjawabnya yang tersendiri - bergantung kepada apa yang mahu diperjuangkan. Saya rasa semua orang menyedari akan hal ini. Saya juga rasa, setiap penulis pasti akan diuji dengan apa yang beliau karyakan!
Oh, saya perlu akhiri entri ini sekarang. Perlu berkejar ke gym! Sedar tak sedar, sudah sebulan tidak menjenguk kafe sendiri. Hehe... maafkan saya. Saya pinta kepada sesiapa yang pernah singgah di sini, tinggalkanlah 'jejak' di mana-mana. Dalam chat box, ruang komen atau sekurang-kurangnya tandakan pada kotak 'reactions' di bawah setiap entri saya. Kepada yang terlebih rajin, bolehlah menyambung cerpen 'Doa Seorang Cinta' dan menghantar e-mel. Terima kasih! Nanti saya poskan hadiahnya. Novel? Bukan... novel LCA, anda kena beli sendiri! Hadiah dari saya berbentuk eksklusif. ;)
Mulai hari ini, saya juga berazam mahu menulis paling tidak pun tiga kali seminggu. Itupun... dengan izin Tuhan! =)
No comments:
Post a Comment