Pages

Tuesday, 11 October 2011

Alhamdulillah!...

Akhirnya setelah setahun merancang, Tuhan mengizinkan semua ini terjadi. Dengan ditemani Ummi, saya bertawakal untuk meneruskan misi pengembaraan iman saya yang pertama. Destinasi pilihan kali ini... negara asal filem-filem Bollywood!

INDIA... .

Bertemankan awan-gemawan membelah angkasa-raya, kami merentasi Lautan Hindi menuju ke Persinggahan Satu, Bandar Bangalore.

Biarpun tiba agak lewat, kami menaruh sepenuh harapan agar anak Kak Sally sudah sedia menanti di Lapangan Terbang Bangalore. Cuaca sejuk dan hujan renyai-renyai menyambut kedatangan kami buat kali pertama. Masya-Allah, mudah-mudahan ini hujan rahmat. Setelah menunggu seketika, orang yang diharapkan pun muncul dengan sebuah senyum manis. Kami terus dibawa menuju ke Apartment Dwellington yang terletak di Gokula. Dalam teksi, pemandunya sempat memberikan sedikit 'kuliah' maghrib. Perbualan bermula dengan sebuah soalan daripada saya "I am sorry but out of curiousity, are you a Shafie or Hanafi?"

Pemandu teksi itupun menoleh lalu menjawab dalam bahasa Inggeris loghat Indianya:

P.Teksi: No Shafie! No Hanafi! I am a muslim. I believe only in Quran and Hadith. Others, I don't believe! Only one road goes to heaven. The rest go to hell! Bersemangat sekali dia menjawab.

Saya dan Ummi berpandangan. Kami berbalas senyum. Kemudian, Si Pemandu Teksi menyambung "You know how to read quran?"

Yes, kami menjawab serentak. Pemandu itu memberitahu kami, hidup ini hanya perlu kepada dua perkara itu sahaja. Lain-lain pegangan adalah tidak benar! Wah, jika dilayan, ini boleh menjadi satu topik hangat. Hehe... .
Tiba-tiba melintaslah dua orang lelaki yang terhuyung-hayang. Ummi mengucap panjang. "Kafir! Kafir!"jerit Si pemandu Teksi pula. Terkejut kami dibuatnya.
"Why?" saya bertanya ingin tahu. Dia menjelaskan kepada kami, dua orang lelaki tadi sebenarnya adalah pemabuk! Malas hendak mendengar dia mengomel, saya langsung mengubah tajuk perbualan.
"Do you know Shah Rukh Khan? Is he a muslim or what?"
"He is a kafir too! All Khan is kafir!"
Huh?... amboi sedap-sedapnya mengumpat orang! Saya diamkan sahaja. Yalah, bukan kita kenal pun dia orang, kan?
Tiba-tiba dia memulangkan paku buah keras."You know Shah Rukh Khan?"
Tanpa berfikir panjang, saya menjawab... YES!
"Oooh... but do you know who is the Prophet's father?"
Terkedu disergah begitu, saya dan Ummi menjawab perlahan... "Abdullah... ."
"Why you keep quite?" dia bertanya sambil tersenyum sinis. Hish... apa-apalah bhaiya!... .

Sampai di Apartment Dwellington, kami disambut oleh Yaya, Cupcakes dan Mew Mew. Terkam sana, terkam sini! Habis beg baju kami pun nak digigitnya. Ummi nampak sungguh gembira bermain dengan kucing-kucing gebu itu. Dalam hati, saya konon-konon memasang niat hendak membela seekor anak kucing parsi apabila pulang ke Malaysia nanti!
Biarpun tidak berapa lena tidur (mungkin kena kacau dengan kucing-kucing tiga ekor itu), kami keluar menerokai Bandar Bangalore keesokan hari. Buat pertama kalinya saya belajar menaiki autorickshaw (auto). Pelajaran pertama kami ialah bagaimana hendak melakukan tawar-menawar. Jika anda ke Bangalore, pastikan anda menahan auto yang sedang bergerak, bukan yang sedang parkir. Yang sedang parkir itu, selalunya akan letak harga sendiri. Jangan sekali-kali melayan jika diserbu oleh bhaiya-bhaiya auto ini. Mahal dan tak boleh nak tawar.

Pergi tepi jalan, tahan auto, sebut nama tempat dan tanya "Meter?..."
Jika dia angguk, ok. Jika tidak, ko. Pergilah jalan jauh sikit untuk tahan auto yang baru. Samjee? Hehe... .

Hari pertama, anak Kak Sally bawa kami menyelusuri Commercial Street (CM). Letaknya di tengah-tengah bandar. Sebuah lorong kecil yang menempatkan deretan kedai baju, kain, barang-barang kraf tangan dan sebagainya. Di sini, paling berbaloi membeli kain kapas dari Fazal dan baju-baju kain kapas dari FabIndia (kami memanggilnya sebagai Indian's British India). Kemudian saya ternampak beberapa buah kedai yang menjual gelang tangan Bollywood. Memang cantik-cantik dan harganya jauh lebih murah dari yang dijual di jalan Masjid India!
Cuba tengok gambar yang akan di upload nanti. Cantik! *senyum lebar*

Selepas itu, kami bergerak naik auto ke Mantri Square (tapi mereka panggil Mantri Mall). Jangan tanya kenapa. Sampai di sana, perkara pertama yang saya cari mestilah... kedai buku! Ini adalah salah satu kedai buku terbesar dan memiliki rangkaian seperti MPH dan Popular. Berjumpa dengan apa yang saya cari di situ, kami terus menuju ke sebuah restoran yang terkenal... Empire Hotel Bangalore. Oh, di sini, kedai makan dipanggil hotel. Hotel?... kalau hotel, hotel juga. Kelakar, kan? Jadinya tiap-tiap hari mereka makan di hotel! Hehe... .Kalau dengar memang rasa kagum.

Empire Hotel ini mempunyai beberapa rangkaian. Bagi saya, yang paling sedap ialah jus buahnya. Saya mencuba 'mosambi'... macam fresh orange yang baru dipetik dari ladang limau! Sangat segar dan sedap sekali.

(Okay, saya mengantuk. Wi-fi di hotel ni, cuma ada di ruang lobi... itupun asyik sangkut-sangkut. Memang boleh naik angin dibuatnya. Jika anda kerap datang ke kafe ini, bolehlah anda membaca catatan pengembaraan saya. Insya-Allah, ada kelapangan nanti saya akan sambung lagi kisah kembara ini. Buat makluman, saya menulis dari Kerala bukannya Bangalore)

Niat di hati hendak menulis setiap hari dari sini. Apakan daya, setiap saat, masa amat mencemburui saya! Tidak mengapa, dapat juga merasa duduk di lobi hotel sambil menulis dalam pemerhatian orang ramai!

Kisah ini akan bersambung semula apabila saya menulis dari Malaysia.

No comments:

Post a Comment