Pages

Sunday, 17 March 2013

Penulis Masa vs Penulis Rasa

Apa ada dengan Masa?

   Masih ingatkah anda, saya pernah menulis perihal si Penulis Masa dan si Penulis Rasa tidak lama dahulu? 

   Beberapa waktu kebelakangan ini, isu yang sama hadir semula mengetuk pintu hati saya. Tenggelam timbul dalam alunan rentak kerja. Berirama mengikut lenggok cerita dan perkhabaran yang saya terima. Wah, bila Mazny M.R. kembali menulis dalam bahasanya yang manis dan puitis, tentu ada perkara besar yang sedang membikin jiwanya kacau! Gelisah, buncah, ribut!

   Jom baca luahan hati saya bersama secawan kopi panas dan hidangan minum petang anda. Tentunya sembang-sembang kita, biar membicarakan perkara serius akan terlaksana dalam suasana santai. Begitu 'kan janji kita pabila bertemu di laman Aku dan Kafe Buku ini.

   Sejak mula lagi, saya selalu bertanyakan diri sendiri, "Apakah aku ini penulis masa atau penulis rasa ya?"... 

Seorang penulis masa akan selalu bergelut dengan masanya. Berkejar ke hulu ke hilir untuk menepati tarikh akhir sesebuah penulisan. Bersengkang mata membuat itu dan ini. Rujukan, pembacaan, perbandingan dan sebagainya. 
Yang paling penting, penulis masa harus berada di hadapan masa orang lain. Dia akan memastikan bukunya terletak di senarai teratas dalam giliran percetakan. Lantas di tangga teratas carta kepopularan. Penulis masa harus mengejar jumlah judul yang terhasil dalam setahun. Lebih banyak lebih bagus kerana itulah yang menjadi skala ukuran dunia penulisannya. 

Ah, nampak ruwet yang amat kerjaya seorang penulis ini! Apakah dapat bertahan? Kerana kita sedia maklum, menjadi penulis di Malaysia, hanya yang 'ngetop' sahaja yang mampu menyuapkan nasi ke mulut. Hanya yang glamor dan menulis mengikut pasaran sahaja yang boleh kekal lama. Tidak seperti di 'ranah sana'. Bilangan pembacanya jauh lebih tinggi. Walaupun bukunya kelihatan seperti tidak laku atau tidak pernah didengari orang, peratus penjualan jika hendak dibandingkan di sini, AMAT laku keras. 

Di Malaysia, jika jualan buku anda sudah mencecah ke 3000 buah, itu sudah dikira 'laku keras'. Sedangkan angka jualan yang sama di 'ranah sana' dianggap perkara biasa sahaja. Ini tentunya terhasil akibat jumlah pembeli yang lebih ramai. Ditambah pula dengan peranan agen penulisan (literary agent) yang bersifat proaktif dalam mempromosi buku-buku. 

Di Malaysia, jika anda mahu hidup senang hasil kutipan royalti penulisan, anda perlu menjadi seorang Penulis Masa. Noktah. Teori pemasaran dan penerbitan mencanangkan bahawa semakin banyak buku yang anda tulis, maka semakin tinggi rekod penjualan buku anda kerana pembeli di sini memilih buku berdasarkan populariti penulisan. Bukan kualiti hasil tulisan. Semakin banyak judul yang anda keluarkan, semakin senang untuk anda 'diketengahkan' oleh syarikat penerbitan. Ternyata ini sesuatu yang amat menyedihkan saya.

Selama ini, kita dimomokkan dengan tabiat malas membaca. Orang Malaysia? Mahu jadi penulis? Si pemalas membaca itu?... ~Gelak Gelak Gelak~

Sekarang, dengan pengukuhan pesta-pesta buku di seluruh negara, apakah orang Malaysia masih dikategorikan sebagai malas membaca? 

Terserah... saya rasa kita sudah berada disatu tahap yang boleh menepis segala gelaran yang tidak bermaruah itu. Pokok persoalannya sekarang pula ialah APAKAH yang kita baca? Jawapannya harus ada dalam koleksi buku yang anda miliki. Anda, selaku seorang pembaca, secara tidak langsung berperanan besar dalam menghalatujukan kualiti penulisan penulis-penulis di Malaysia.

Seorang penulis masa akan mempertaruhkan kerjaya penulisannya untuk memenuhi kuota pasaran. Saya kurang gemar mempertaruhkan nawaitu saya, kompas penulisan dan mazhab penulisan saya ke arah itu. Ya, buat masa ini, saya belum lagi hidup bermewah dengan hasil bayaran royalti kerana mungkin dengan segala usaha sekarang, belum melayakkan saya berada di tahap yang tersebut. In sya Allah, saya sedang cuba melangkah lebih jauh dengan memberikan yang terbaik selagi ada daya. Biarpun sedang bergelut dengan masalah kesihatan yang pasang surut. Saya tetap gagah menulis kerana inilah satu-satunya kecintaan saya sedari kecil.

Jujur saya akui, saya sebenarnya masih lagi seorang Penulis Rasa. Menulis dengan falsafah seperti memasak. Setiap rempah dan rencah, saya pastikan yang asli. Bukan sekadar bersadurkan pemanis tiruan. Ditumis dengan penuh kasih dan sayang. 

Adapun kisah cinta yang menjadi ketagihan para pembaca Melayu di Malaysia, saya hidangkan dalam bentuk hiasan masakan sahaja. Ia menjadi perisa tambahan. Seperti kerangupan bawang goreng asli atau hirisan cili merah dan cili hijau yang menaburi di celah-celah makanan. Begitulah seadanya kisah cinta dalam karya saya. 

Agaknya, bagaimana pula dengan nama-nama hebat dalam bidang penulisan, ya? 

Disenaraipendekkan dalam The Man Booker Prize 2012

Baru-baru ini, kita dikejutkan dengan kemenangan seorang penulis kelahiran Pulau Pinang, Tuan Tan Twan Eng, 41 tahun, yang menjadi kemegahan negara kerana menjadi penulis Malaysia pertama yang memenangi hadiah Man Asian Literary Prize (2012). Penyampaian hadiah tersebut bertempat di sebuah majlis yang eksklusif di Hong Kong. Kemenangan beliau telah mengalahkan nama-nama besar dalam dunia penulisan peringkat antarabangsa seperti Orphan Pamuk (pemenang Hadiah Nobel Kesusasteraan 2006) dari Turki, Jeet Thayil (pemenang Hadiah DSC for South Asian Literature 2013) dari India dan Hiromi Kawakami, seorang penulis wanita yang telah memenangi pelbagai hadiah penulisan seperti Woman Writer's Prize dan hadiah berprestij Tanizaki Prize dari Jepun.

Tidakkah ini sesuatu keterujaan yang tidak tergambarkan? Mungkinkah sebelum ini, para pembaca peringkat antarabangsa tidak pernah terfikir pun bahawa orang Malaysia boleh menulis sejauh itu. Saya sendiri tidak dapat membayangkan apakah bentuk perjalanan yang ditempuhi Tuan Tan bagi menembusi pintu penerbitan antarabangsa. Saya benar-benar ingin tahu! Saya amat percaya dan yakin, MALAYSIA memiliki RAMAI penulis yang hebat dan berbakat seperti Tuan Tan tetapi di manakah kesilapan kita setakat ini? Apakah cukup dengan menyandang kejuaraan di gelanggang sendiri? 

Walaupun saya tidak pernah memenangi apa-apa sayembara atau pertandingan penulisan (malah tidak pernah cuba menghantarkan karya pun), saya tetap mahu melihat rakan-rakan penulis terutamanya yang Melayu dan sudah jauh bertapak kukuh itu, melebarkan sayap mereka ke peringkat antarabangsa. Mengapa? Kerana dengan ini sahaja, kita boleh memperjuangkan falsafah kita. Jati diri kita dan membetulkan segala tanggapan negatif tentang 'orang-orang Melayu - orang coklat yang bodoh dan pemalas dan kuat mengamuk!'. Tanggapan yang keterlaluan? Maaf, itulah hakikatnya.

Seperkara yang saya pelajari daripada Tuan Tan, beliau memberitahu bahawa bagi novel pertamanya, The Gift of Rain (yang tercalon untuk senarai panjang Man Booker Prize tahun 2007), tempoh penulisan yang diambil diibaratkan seperti 20 tahun pengalaman hidup yang dikutip sebagai rencah karya tersebut. Cemburu saya, apabila mengetahui novel ini telah diterjemahkan ke dalam beberapa bahasa antaranya, Itali, Sepanyol, Serbia dan Perancis. 

Bagi novel kemenangannya, The Garden of Evening Mist (yang juga tercalon  untuk senarai pendek Man Booker Prize 2012), beliau menghabiskan masa selama tiga tahun membuat penyelidikan, perancang dan menulis. Oleh sebab itu, beliau tidak boleh saya kategorikan sebagai penulis masa. Beliau tidak tergesa-gesa mengejar masa tetapi menghargai masanya dengan memberikan rasa yang mendalam dalam tumpahan idea atau karyanya itu. 

Nah, inilah yang membezakan penulis masa dan penulis rasa. 

Penulis masa mungkin mengecapi kemewahan segera. Cepat naik, cepat turunnya. Sementara penulis rasa, benar-benar menjalankan tanggungjawab bakat penulisan itu lewat rasa kecintaannya atas apa yang dia kerjakan.  Ganjarannya? Bukan sahaja wang kemenangan RM93 000 yang memenuhi akaun bank tetapi sebuah gelaran yang pastinya akan membawa Tuan Tan melakar karya di gelanggang para elit dalam kerjaya penulisannya di peringkat antarabangsa. Falsafah pemikirannya akan tersebar seantero dunia. Mungkin khalayak pembaca antarabangsa akan lebih mengenali kita melalui pemikiran Tuan Tan?

Wallahua'lam. Apa-apa pun, sebagai seorang penulis, saya berbangga dan mengucapkan tahniah kepada Tuan Tan Twan Eng. Beliau kini sudah bergelar penulis sepenuh masa (agaknya supaya tidak terkejar-kejar mencuri masa) dan menetap di Cape Town, Afrika Selatan. Tahniah tuan. 


Maaf, saya agak kurang sihat sejak akhir-akhir ini. Stamina sudah jauh menjunam. Makanya bukan sahaja kesihatan malah kerja-kerja penulisan pun terganggu. Termasuklah memuatkan entri baharu. Para pengunjung yang dikasihi, doakan agar saya diberi kekuatan untuk terus menulis ya? Terima kasih atas doanya. Doa yang sama malah lebih manis saya titipkan buat anda semua. Ameen Ya Allah. 

Salam petang Ahad,

Mazny M.R. 
   

No comments:

Post a Comment