Pages

Monday, 23 February 2015

Perihal Kamishibai (3)

Corat-Coret Sepanjang 2014


Apa khabar semua?

Semoga kalian dalam keadaan sihat dan gembira selalu.

Menu hari ini, sedikit perkongsian pengalaman kamishibai sepanjang tahun 2014. 

Selalunya undangan kamishibai akan datang bersempena musim cuti sekolah. Tahun lalu (2014), saya dan kumpulan kamishibai MBBY lebih banyak menerima undangan pada akhir tahun, bermula bulan September, Oktober hinggalah Disember. 

Bermula bulan September, saya diundang untuk menjayakan aktiviti Festival Sains di Petrosains, Menara KLCC. Bersama rakan pencerita, Cikgu Rafidah Othman, saya temui pelbagai ragam penonton yang pertama kali melihat kotak butai. 

Sayangnya, ruang bercerita yang terbuka dan terletak bersebelahan dengan kiubikal aktiviti lain membuatkan fokus kepada sesi bercerita kami agak terganggu beberapa kali. Begitu pun, ada sepasang suami isteri dari Chennai, India yang mahu saya mengadakan persembahan di pesta hari lahir anaknya. 

Nah, bukankah memang penting untuk menyampaikan kamishibai mengikut garis panduan IKAJA? - Kamishibai itu harus dipersembahkan dalam ruang yang tertutup atau sekurang-kurangnya tidak terganggu oleh kebisingan persekitaran. Makanya, pesta hari lahir manakah yang mahu diadakan dalam suasana tertutup begitu?

Permintaan itu terpaksa saya tolak dengan berlapik bicara. 

Festival Kesenian dan Kebudayaan Islam Putrajaya-TV Al-Hijrah 

Dalam bulan Oktober pula, kami telah diminta mengisi slot bercerita bagi memeriahkan Festival Kesenian dan Kebudayaan Islam Putrajaya anjuran bersama TV Al-Hijrah. Terdapat kurang lebih 12 slot yang disediakan. Kami sempat mengambil lima slot sahaja - tiga slot dikendalikan oleh saya dan dua lagi oleh rakan pencerita MBBY iaitu Dr Munirah dan Cikgu Rafidah.  

Agak menarik pada kali ini kerana pihak penganjur telah menyediakan barisan penonton daripada pelbagai lapisan umur dan latar belakang untuk menyaksikan persembahan kami. 

Slot pertama saya adalah bersama adik-adik dari beberapa buah sekolah rendah sekitar Putrajaya. Mereka ini sangat sporting apabila diminta memberi respon. Terutamanya ketika sesi storigami berlangsung.

Jangan tak tahu, ada yang terlebih pandai daripada saya hingga mampu membuat lipatan burung jinjang!... Sedangkan rakan-rakannya yang lain masih terkial-kial hendak membuat lipatan sang arnab. 


Slot kedua pula dipenuhi dengan adik-adik remaja dari sekolah menengah. Mereka agak kurang fokus pada mulanya kerana sudah menjadi kebiasaan, saya akan memulakan persembahan dengan cerita yang senang terlebih dahulu sebagai cara memanaskan suasana. 

Setelah itu, barulah kisah-kisah yang lebih berat disampaikan. Antara kisah yang menjadi kegemaran para penonton berjudul Ibu Kucing Yang Berani. 
Kisah  ini ditulis berdasarkan kejadian  kebakaran yang berlaku di daerah Brooklyn, New York, Amerika Syarikat. Lihat sahaja ilustrasi anak-anak kucing yang comel di bawah. 

Setiap kali saya menarik kad dan gambar ini terpampang, penonton (anak-anak) akan berkata, "Aaawww, comelnya dia!"

Kala itulah saya tidak dapat menahan diri daripada tersenyum dan berhenti seketika. Berhenti supaya penonton dapat menikmati kecomelan watak-watak dalam cerita tersebut. Kaedah ini, tentu sahaja dapat membantu dalam melahirkan kyokan!


Mahu tahu bagaimanakah kisah ini?...Terpaksalah kalian datang sendiri untuk menyaksikan persembahan kamishibai kami. 

Membuat persembahan bersama Dr Faridah yang menterjemahkan
cerita Ibu Kucing Yang Berani dalam Bahasa Inggeris.

Saya juga diundang oleh pihak Kota Buku sewaktu Festival Sastera Kanak-Kanak yang diadakan di Menara Kuala Lumpur. Di sini, saya bergandingan dengan rakan pencerita Dr Faridah Idris. Kami menyampaikan cerita dalam Bahasa Melayu. Jadi apabila terdapat sekeluarga pelancong asing dari luar negara yang duduk tidak berganjak, saya raikan mereka dengan meminta jasa baik Dr Faridah menjadi penterjemah secara spontan!

Besar sungguh peranan Dr Faridah waktu itu. Moga Allah membalas jasanya dengan sebaik-baik balasan.

Pada sebelah malamnya, saya bergegas pula ke Intekma Resort bagi menjayakan acara bercerita untuk Festival Buku sekolah-sekolah berprestij tinggi Selangor. Peluang berdiri satu pentas dengan para pencerita dalam dan luar negara benar-benar menambah pengalaman saya dalam bidang ini. 



Barisan pencerita, guru-guru dan ahli jawatankuasa festival di Intekma Resort.

Antara pencerita yang terlibat sama ialah;
  • Mama Tok (mentor saya yang juga pemenang ketiga pertandingan International Storytelling di Iran), 
  • Ummi Sham (mentor saya yang merupakan Timbalan Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia) 
  • Beatrice Montero (seorang penulis dan pencerita antarabangsa dari Sepanyol)  

Dalam bulan November pula, kami dijemput mengadakan persembahan di Pusat Sains Negara, sepanjang minggu Festival Sains dijalankan. Walaupun mengikut perjanjian, persembahan kami hanya berlangsung untuk sejam tetapi naluri seorang pencerita seperti kami tidak tergamak hendak menghampakan penonton. Lebih-lebih lagi penonton kami di Pusat Sains ini datang dari seluruh pelusuk Malaysia.

Maka persembahan berlanjutan hingga ke pukul empat petang selagi ada penonton yang singgah.  

Ada yang datang dari utara, Pulau Pinang, Johor dan pantai timur. Sewaktu bercerita, saya terpaksa menggunakan Bahasa Melayu Tinggi. Tetapi selepas kotak butai ditutup, bolehlah saya mengusik penonton dengan bahasa kenegerian mereka. Terasa lucu pula! 

Seperkara yang menyentuh hati saya, semasa membuat persembahan di hadapan penonton yang terdiri daripada para pelajar sebuah sekolah vokasional. Mereka semua pelajar lelaki. Dari segi bahasa percakapan, saya dapat menilai latar belakang sosio ekonomi keluarga mereka. Rata-ratanya agak kasar apabila berbual. 

Namun, sewaktu menyaksikan persembahan Ibu Kucing Yang Berani, mereka menjadi begitu fokus sekali. Hingga ada yang bergenang airmata. Tidak pasti pula saya adakah beliau sudah kehilangan ibu ataupun kisah ibu kucing itu berjaya mencuit emosinya. 

Di akhir cerita, saya menasihati mereka supaya berbuat baik kepada ibu bapa, terutamanya terhadap ibu (sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW). Kata saya, 

"Untuk berjaya di dunia, kita tak perlu menjadi terlalu kaya, terlalu pandai atau terlalu kuat. Kita hanya perlukan doa dan redha seorang ibu. Insya-Allah kita akan berjaya di dunia dan juga akhirat."

Saya masih ingat lagi, beliau datang kepada saya selepas persembahan itu berakhir dan mengucapkan "Terima kasih, Kak Maz! Saya nak ambil exam. Doakan saya!"

Tidak terharukah kita mendengarkannya?... 

Saya sangat suka dapat penonton yang sporting macam ini!
I really love this children.

Setiap kali selesai menyampaikan sesuatu cerita, saya akan cuba berinteraksi dengan penonton dan menjentik pemikiran mereka dalam menyedut inti pati kisah tersebut. 

Saya gemar mengajak mereka berfikir di luar kotak. Sayang sekali, saya mendapati para pelajar kita amat kurang yang berfikiran kritis. Apakah mereka ini tidak banyak membaca bahan bacaan selain buku-buku teks sekolah?... Atau mereka memang sudah dilatih untuk mengikut sahaja arahan dari buku dan guru. Jangan membantah dan berfikir selain daripada itu?... Jika benar, sistem pendidikan Malaysia memang berada dalam situasi yang parah. (Maaf cakap... )

Bagi saya, setiap kali persembahan dibuat, ia merupakan peluang keemasan untuk mengumpul data kajian yang saya perlukan bagi menambahbaiki mutu persembahan secara teknikal dan praktikal.

Saya juga ingin tahu apakah teknik ini boleh diaplikasikan dengan lebih berkesan sebagai salah satu alat bantuan mengajar dalam pelbagai peringkat sekolah. 

Seperti yang anda tahu, teknik penceritaan kamishibai memang berbeza dengan teknik penceritaan yang lain. Ini tidak membawa maksud ia adalah yang terbaik di dunia ataupun 100% berkesan dalam menyampaikan maksud.

Namun kelebihan teknik ini dapat dirasai apabila penonton mula fokus kepada adengan cerita dalam kotak butai - seumpama menonton televisyen. Bezanya, dalam peti tv, imej yang dipaparkan bergerak pantas dan tanpa kawalan.

Berbeza dangan kamsihibai, tukang cerita boleh memanipulasi emosi penonton dan tempo penceritaan itu mengikut kesesuaian tindak balas penonton. Menarik bukan?...

Selain daripada itu, jangan lupa bahawa matlamat utama teknik ini adalah untuk melahirkan kyokan

Melalui kyokan ini, cerita dapat dihayati dengan lebih berkesan. 

Mahukah kalian mempelajari teknik kamishibai?

Ikuti page saya (di sebelah kanan, atas) untuk sebarang maklumat bengkel dan sebagainya. Ataupun, kalian boleh saja menulis di ruangan komen kafe kita ini. 

Sekian dahulu pada minggu ini. 
Maaf agak kelewatan pula memaparkan tulisan pada hari ini.

Semoga minggu kalian berjalan lancar.

Jumpa lagi.




Mazny M.R.


Sunday, 15 February 2015

Perihal International Book Giving Day

14 Feb - Ayuh Tukar! Raikan Dengan Buku.


Ada apa dengan 14 Februari? 

Ramai hanya tahu ia sebagai hari berkasih sayang - Valentine's Day. Namun berapa ramai yang tahu, ia juga merupakan tarikh bagi meraikan International Book Giving Day? 

Foto kredit kepada Honey Bee Books


Saya tidak berminat hendak mengulas tentang hukum menyambut Valentine kerana sudah tentu para pengunjung kafe Aku dan Kafe Buku ini sudah pun mengetahui hal tersebut dengan terperinci. 

Hari ini, saya lebih suka hendak berkongsi tentang International Book Giving Day yang pastinya masih asing lagi di kalangan masyarakat Malaysia. 


Apakah International Book Giving Day?

Silakan bancuh secangkir kopi. Mari saya ceritakan kepada anda. 

Pada tahun 2011, seorang budak lelaki bernama Jack Broadmoore dari Minnesota, Amerika Syarikat telah mencipta satu hari perayaan di mana dia dan ahli keluarganya serta kawan-kawan mereka bertukar-tukar buku sebagai hadiah. Jack memang seorang ulat buku.  

Keterujaan Jack telah menimbulkan minat kepada ibunya, Amy untuk menulis mengenai idea ini di blog lalu mencetuskan inspirasi kepada ramai pembaca blognya bagi melakukan hal yang sama. 

Pada tahun 2013, beberapa orang blogger dari seluruh dunia termasuk Filipina, India, Singapura, New Zealand, Australia dan Afrika Selatan telah berpadu tenaga mempromosikan aktiviti ini secara sukarela. Hasilnya, 14 Februari telah dipilih sebagai tarikh untuk meraikan acara memberi dan bertukar-tukar buku sedunia.  

Dalam usaha untuk mengalakkan orang ramai turut serta, beberapa NGO dari seluruh dunia telah mencadangkan aktiviti ini melibatkan pemberian buku-buku baharu, terpakai ataupun dipinjamkan kepada kanak-kanak (dan remaja) yang kurang bernasib baik. Antara NGO yang terlibat sama dalam usaha ini;

  1. Book Aid International (UK)
  2. Room To Read (pelbagai negara)
  3. Reach Out and Read
  4. Reading is Fundamental
  5. Pratham Books (India)
  6. Books for Africa (US)
  7. Indigenous Literacy Foundations (Australia) ...serta beberapa buah persatuan lain di seluruh dunia. 

Matlamat utama mereka adalah supaya lebih ramai kanak-kanak dan remaja di seluruh dunia dapat menikmati sekurang-kurangnya sebuah buku pada hari tersebut. Malah, aktiviti ini tidak terhenti setakat 14 Februari sahaja. Ia akan diteruskan sepanjang tahun selagi ada orang yang sudi mendermakan buku. 

Salah satu tujuan utama aktiviti International Book Giving Day ini adalah untuk menjalin persahabatan dengan para pembaca seluruh dunia. Oleh sebab itu, sesiapa sahaja yang turut serta dalam aktiviti ini digalakkan untuk berkongsi cerita atau gambar di laman sosial seperti blog, twitter (@bookgivingday), facebook, instagram (#giveabook) ataupun di laman web International Book Giving Day sendiri. Di bawah, saya sertakan pautan kepada laman web tersebut;



Nah, sekarang kalian sudah tahu apa itu International Book Giving Day (IBGD). Bagaimana pula mahu menyertainya?... 


Foto kredit kepada Kamariah 'Gadis Komik' (tudung kotak-kotak)

Selaku penulis yang memang sukakan buku, saya telah pun memulakan aktiviti ini pada tahun lepas (2014). Antara rakan penulis yang terlibat dengan IBGD saya waktu itu adalah Emila Yusof, Nisah Haron, Mahaya Mohd. Yasin, Noor Asyikin Md Nor dan Rafidah Othman. 

Menariknya pada tahun ini, bilangan peserta yang mahu meraikan IBGD bersama saya semakin bertambah. Antaranya termasuklah Kamariah 'Gadis Komik', Dissa Azmin, Suhana - mereka adalah penulis-penulis Galeri Ilmu Sdn. Bhd. dan beberapa orang kanak-kanak daripada tadika terpilih.
Bagi tahun hadapan pula, kami telah berjanji untuk menambah lagi bilangan penerima buku dengan melibatkan lebih ramai rakan penulis dan kumpulan kanak-kanak terutamanya yang kurang bernasib baik pula. Anda berminat hendak menyertai kami?... JOM! 

Apakah yang harus anda lakukan untuk menyertai IBGD?...

Amat mudah. 

Pertamanya, anda harus memilih beberapa buah buku (beli buku baharu atau berikan buku terpakai).

Kedua, lakukan perkara di bawah;

  • Beri atau tukar buku dengan rakan atau keluarga anda.
  • Letakkan buku anda di mana-mana ruang lobi atau ruang menunggu yang ada kanak-kanak seperti di hospital dan klinik. 
  • Dermakan buku anda kepada persatuan kanak-kanak, sekolah tadika, rumah anak yatim ataupun wad kanak-kanak di hospital.
  • Hadiahkan kepada sesiapa sahaja yang anda suka.  
Setakat ini, usaha saya hanya melibatkan aktiviti bertukar-tukar buku. Itu pun sudah cukup untuk menyuntik keterujaan. 

Sebagai langkah awal, kami telah bersepakat membuka sebuah fan page agar sesiapa sahaja boleh berkongsi kegembiraan acara bertukar-tukar buku dan menjalin persahabatan dengan pembaca-pembaca lain dari seluruh dunia! 

Anda mahu berkongsi kegembiraan bersama kami? Ayuh, kita mulakan dari sekarang. Mulakan dengan mengumpul buku-buku dan 'ketuk pintu' page ini;




Jika anda punyai gambar atau cerita bertukar-tukar buku, anda sangat dialu-alukan untuk berkongsi dalam page tersebut. Pada tahun hadapan, saya akan membuka senarai peserta yang ingin bertukar-tukar buku dalam facebook peribadi, page di atas dan fan page Mazny M.R. 

Saya dan rakan-rakan juga akan cuba menunaikan hasrat mereka yang ingin menderma buku kepada kanak-kanak yang memerlukan. Ikuti mana-mana page di atas bagi mengetahui perkembangan selanjutnya.  

Tabik buat Noor Asyikin yang melukis ini pada beg kertas.
Menjadikan pemberian buku lebih istimewa. 


Alhamdulillah. Sekian dahulu dari saya. 

Terima kasih kerana sudi berkunjung ke kafe ini. 

Selamat berhujung minggu.


Mazny M.R.





Sunday, 8 February 2015

Perihal Kamishibai (2)

Perbezaan Kamishibai dan Buku Bergambar Kanak-Kanak


Pembaca masuk ke dalam dunia cerita buku bergambar.


Saya percaya, masih ramai yang belum pernah menyaksikan persembahan kamishibai. 

Kamisibai bukan seperti buku cerita atau flashcard (kad imbasan). 
Teknik penceritaan kamishibai memerlukan tiga perkara.

1) Butai - kotak kayu
2) Kad cerita
3) Si Pencerita

Tanpa salah satu daripada yang tersebut di atas, persembahan kamishibai tidak dapat dijalankan. 

Antara koleksi buku bergambar kanak-kanak saya.


Berbeza dengan buku bergambar, sesiapa sahaja boleh mengambil dan membacanya. Untuk memahami teknik ini dengan lebih lanjut, perlu mendapatkan bimbingan daripada guru atau pengamal kamsihibai. Sekiranya anda baru sahaja menemukan kafe ini, sila baca pautan di bawah agar lebih memahami apa itu kamishibai secara teori. 



Antara koleksi kad kamishibai saya.


Baiklah, sekarang saya akan bercerita lebih lanjut tentang dunia kamishibai. Kali ini kita akan sentuh tentang perbezaan kamishibai dan buku bergambar kanak-kanak. Hal ini saya terangkan secara ringkas sepertimana di bawah;

Buku Bergambar Kanak-Kanak 
  • Terdiri daripada beberapa mukasurat - 16, 24 dan 32.
  • Ilustrasi yang terperinci (details)
  • Boleh dinikmati oleh seorang, berdua atau secara read aloud beramai-ramai.  
  • Pembaca masuk ke dalam dunia cerita.
  • Dibaca tanpa apa-apa alatan.
  • Boleh dibaca di mana-mana.

Kamishibai
  • Terdiri daripada beberapa helaian kad - 8, 12, dan 16.
  • Ilustrasi yang lebih ringkas.
  • Dinikmati secara berkumpulan, maksimum hingga 50 orang.
  • Dunia cerita dibawa keluar kepada penonton melalui kyokan.
  • Dibaca menggunakan butai.
  • Dipersembahkan di dalam bilik atau kawasan tertutup.
Secara umumnya, di Jepun terdapat dua bentuk kamishibai yang popular. Pertama, street kamishibai (kamishibai jalanan). Kedua, formal kamishibai (kamishibai formal).

Ingin saya maklumkan kepada pengunjung sekalian, guru saya, Etsuko-san dan Kyoko-san adalah pengasas kepada persatuan IKAJA (International Kamishibai of Japan Assosiation). Maka selaku ahli berdaftar dengan persatuan IKAJA, saya lebih suka mengikut garis panduan yang tertulis dalam buku panduan kamishibai terbitan pihak IKAJA sendiri. 

Ada pun kamishibai jalanan tidak memerlukan apa-apa peraturan khusus. 

Sekiranya anda berpeluang menyaksikan persembahan saya, pasti hal ini akan menjadi lebih jelas. Saya juga tidak suka memaksa sesiapa pun yang mempelajari teknik kamishibai ini daripada saya (secara berbengkel) untuk mengikut peraturan IJAKA yang dirasakan agak 'ketat' dan  'berdisiplin'. 

Dalam persembahan kamishibai, si pencerita hanyalah alat untuk menyampaikan cerita. Isi cerita lebih penting. 

Manakala dalam teknik persembahan bercerita yang lain seperti boneka, read aloud, dan teknik lain yang menggunakan props, tumpuan lebih diberikan kepada para pelakon/props/pencerita itu sendiri. 

Teknik persembahan kamishibai ini boleh memupuk daya fokus penonton kepada apa yang sedang berlaku di dalam butai. Daya fokus ini terhasil melalui komunikasi si pencerita yang berkesan dan konsentrasi para penonton. 

Kedua-dua elemen penting inilah yang akan melahirkan kyokan. 

Faktor kyokan inilah yang membezakan teknik persembahan kamishibai dengan teknik persembahan bercerita yang lain. 

Jadi, bagaimanakah kita mahu menarik perhatian penonton dan melahirkan kyokan? Dengan izin Allah, perkara ini akan kita sembangkan dalam kesempatan akan datang. 

Sekian dahulu. Terima kasih.

Mazny M.R.




Sunday, 1 February 2015

Perihal Buku Cerita Bergambar Kanak-Kanak (4)

Buku Puisi Kanak-Kanak - Mock Up

Menjadi Bintang bukan sahaja buku puisi pertama saya dalam genre buku kanak-kanak tetapi ia adalah buku bergambar kanak-kanak yang pertama saya hasilkan.

Buku ini mendapat sentuhan ilustrasi seorang ilustrator buku terkenal, Emila Yusof. Bagi saya pula, buku ini memberi impak yang tinggi terhadap semangat juang dalam meneruskan pengkaryaan dalam genre buku bergambar kanak-kanak. 

Saya sering mendapat pertanyaan, "Di mana boleh beli buku puisi ini?"

Sebenarnya buku ini sudah pun terbit dalam bentuk e-buku. Jika anda berminat, boleh rujuk portal pembelian Kota Buku di sini;  


Sebuah lagi buku bergambar saya yang berada dalam portal tersebut berjudul Pinggan Putih Nenek. Ia mengisahkan tradisi berbahagi juadah semasa berbuka puasa dalam bulan Ramadan. Dengan berat hati, Nani menolong nenek menghantar kuih kegemarannya, buah melaka ke rumah jiran-jiran. Bagaimanakah reaksi Nani apabila mengetahui kuih buah melaka tinggal sedikit?... 


Bagi yang berminat hendak membeli buku fizikal, kedua-dua buah buku ini, akan saya terbitkan dalam edisi bercetak. Apabila siap nanti, akan saya uar-uarkan di sini, di fan page dan juga beberapa laman sosial yang lain. Di bawah, saya sajikan gambar mock-up buku Menjadi Bintang. Sementara buku Pinggan Putih Nenek pula, perlu diberi nafas baharu. 








Sebagai makluman tambahan, cerita Pinggan Putih Nenek ini juga telah saya adaptasikan dalam bentuk kamishibai. Ia telah dipersembahkan kepada penonton bersempena Festival Sains 2014 di Pusat Sains Negara baru-baru ini. Nanti saya akan tulis sebuah entri khas mengenainya pula.

Minggu ini, kita akan bercerita perihal mock up book.

Walaupun buku Menjadi Bintang boleh dibeli secara atas talian (di portal Kota Buku di atas), saya merasakan ia masih perlu ditawarkan dalam bentuk fizikal. Ini kerana membaca buku digital memerlukan gadget khas seperti tablet dan masih ramai lagi kanak-kanak di luar sana yang tak mampu memilikinya.

Satu lagi sebabnya, apabila ilustrator Emila Yusof menyertai Shanghai International Book Fair tahun lalu, beliau telah didatangi oleh seorang perempuan yang begitu teruja untuk membeli buku kami. Sayangnya ia tidak dijual dalam edisi cetakan. Lebih mengharukan lagi, perempuan ini memberitahu, dia telah membelek buku ini tahun lepas dan sanggup menunggu setahun untuk mendapatkan edisi bercetak. Sayangnya sewaktu bertemu muka dengan puan ilustrator, buku fizikal masih tiada.
Kami berasa sungguh sedih kerana telah menghampakan harapan seorang pembaca dari negera China itu. Belum pernah ada pembaca buku bergamar kanak-kanak di negara ini yang sebegitu teruja.

Seperkara lagi, buku Menjadi Bintang ini telah saya hasilkan sewaktu berbengkel dengan Puan Mahaya Mohd Yasin, Ketua Satu PEN (Persatuan Penulis Negeri Sembilan) yang juga merupakan seorang menggiat sastera kanak-kanak yang terulung di Malaysia. Saya amat berbesar hati apabila pihak PEN sudi melancarkan buku ini dalam masa terdekat. Maka keperluan mengadakan buku contoh (mock-up book) amat tinggi.

Bagaimana mahu membuat mock up?

Senang sahaja. Jika anda sudah siapkan ilustrasi, scan gambar tersebut ke dalam file PDF. Kemudian, buatkan layout yakni dengan memasukkan teks cerita atau puisi menggunakan perisian Adobe Ilustrator ataupun Photoshop. Bagi yang tidak pandai membuat layout sendiri, terpaksalah mengeluarkan belanja mengupah layout designer. Saya kurang pasti berapakah kadar bayaran pada masa ini.

Setelah itu, hantarkan file tersebut kepada kedai pencetak yang ada menawarkan khidmat mencetak mock up. Setiap kedai yang ada perkhidmatan mencetak menu, buku edisi terhad, laporan tahunan berkulit keras, laporan tesis dan sebagainya pasti boleh melakukan kerja ini. Kadang kala mereka agak 'malas' melayan permintaan untuk mencetak sebuah mock up. Gunakan budi bicara anda dan memang ada kala terpaksa menahan sabar apabila pelanggan yang terpaksa melayan kerenah pekedai. Kalau boleh, pastikan anada menyemak dahulu cetakan contoh (mungkin untuk salah satu mukasurat) sebelum cetakan sebenar dibuat.

Harga bagi sebuah mock up berkulit lembut, kurang lebih RM30-80.
Harga bagi mock up berkulit keras, kurang lebih RM80-100.
Ia juga bergantung kepada saiz dan jumlah mukasurat.
Harga di atas untuk 32 mukasurat.

Jangan mengeluh, bukankah sudah saya katakan, ini genre yang paling mahal?
Mahal belanja.
Mahal perasaan.
Mahal masa.
Mahal kesabaran. Anda masih mahu menulis dalam genre ini? ... Teruskan!

 Selain daripada menghantar ke kedai, mungkin anda oleh membuat mock-up sendiri. Bagaimanakah cara nya? Ada kelapangan dan izin-Nya, akan saya kongsikan di sini kelak.

InsyaAllah, saya mohon doa kalian agar usaha memperluaskan dakwah melalui penulisan kanak-kanak ini dipermudakan Allah. Siapalah pengkarya seperti saya ini jika tiada reda yang Maha Pencipta karya. 

Sekian dahulu pertemuan kali ini. Maaf kerana saya menyepi sekian lama. 

Selamat berhari minggu dengan keluarga tersayang. 
Sila like fan page saya bagi mengetahui rentetan perjalanan penulisan saya. Terima kasih. 


Mazny M.R.