Saya suka Kamishibai!
Setiap Kamishibai tersimpan rapi dalam fail seperti ini. |
Tentu masih ramai yang belum pernah mengenali atau mendengar tentang Kamishibai. Apakah sebenarnya Kamishibai ini? Bagaimanakah sejarah ia bermula dan mengapakah agaknya ia sangat popular di negara matahari terbit itu?
Gambar hadapan Kamishibai yang berjudul 'The Happy Crab' |
Dialog yang harus dibaca oleh pencerita. Terdapat juga arahan kepada pencerita. |
Kesempatan berguru dengan Puan Etsuko Nozaka sewaktu berlangsungnya Festival Sastera Kanak-Kanak 2012 di Universiti Malaya adalah sesuatu di luar jangkaan. Ditemani anak perempuan saya yang begitu meminati seni dan kebudayaan Jepun, kami berkampung selama beberapa hari dalam dewan kuliah Universiti Malaya yang amat dingin tetapi hangat dengan aktiviti seminar Persidangan Antarabangsa Sastera Kanak-Kanak.
(Maaf, sebenarnya, sayalah yang terlupa untuk menulis tentang perkongsian di Festival Sastera Kanak-Kanak tahun lalu. Insya-Allah, saya tetap akan cuba mengarang dan menghidangkannya untuk bacaan pengunjung Aku dan Kafe Buku. Cuma masanya mungkin bukan sekarang.)
Puan Etsuko Nozaka |
Puan Etsuko adalah seorang penulis dan penterjemah buku cerita bergambar kanak-kanak yang prolifik dan mahir berbahasa German, English dan Perancis. Beliau juga merupakan salah seorang pengasas kepada The International Kamishibai Association of Japan (IKAJA) dengan ahli melebihi 400 orang merangkumi dari sekitar Jepun dan seluruh dunia.
Sejarah Kamishibai ini bermula seawal tahun 1930an di celah-celah lorong kawasan perumahan dan gerai-gerai tradisional yang comel di sekitar Tokyo.
Awalnya, teknik penceritaan Kamishibai ini dipelopori oleh penjual jajan atau kudap-kudapan yang bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Melihatkan majoriti para pelanggan mereka terdiri daripada kanak-kanak, maka si penjual memikirkan cara yang paling sesuai untuk menarik pelanggan-pelanggan cilik ini. Dari sini, lahirlah Kamishibai. Ia merupakan sebuah teknik penceritaan kanak-kanak yang mana babak-babak ceritanya dilukis di atas beberapa keping kertas tebal. Kertas itu kemudiannya diberi nombor urutan mengikut jalan cerita yang hendak disampaikan. Kamishibai akan dipersembahkan menggunakan pentas mini berpintu tiga yang diperbuat daripada kayu. Dalam bahasa Jepun, ia digelar butai.
Butai dari sisi hadapan |
Inilah butai dari sisi tepi. Dapatkah anda lihat aluran kayu untuk meletakkan kad? |
Teknik Kamishibai memerlukan seorang pencerita yang mengerakkan kad keluar dan masuk mengikut susunan jalan ceritanya. Ia juga tidak boleh tidak, harus menggunakan sebuah butai yang diletakkan sedikit tinggi dari aras mata penonton. Akhir sekali, biarpun Kamishibai sangat sesuai dipersembahkan kepada setiap peringkat umur, pencerita perlulah memilih cerita yang bersesuaian dengan usia penonton.
Beginilah persediaan teknik penceritaan Kamishibai sebelum ia bermula, |
Cara ia berfungsi adalah seperti berikut;
- Penceritaan dimulakan dengan ketiga-tiga bahagian pintu tertutup. Pencerita perlu berdiri di sebelah kanan butai dan menghadap kepada khalayak penonton. Cerita bermula sebaik sahaja pintu dibuka satu demi satu. Urutan pintu mana yang anda buka di permulaan cerita, haruslah sama ketika anda menutup setelah cerita tamat nanti.
- Pencerita harus menyebut nama cerita, penulis dan pelukis Kamishibai yang hendak disampaikan. Semasa penceritaan, kad bergambar dikeluarkan dan dimasukkan mengikut jalan cerita yang telah dipilih. Terdapat beberapa teknik khusus bagaimana hendak mengeluarkan dan memasukkan kad-kad tersebut supaya perhatian penonton tidak terganggu. Dengan cara ini, penceritaan terasa hidup dan berjalan lancar.
- Pencerita harus berjaya mencuri perhatian penonton melalui dua elemen penting Kamishibai iaitu konsentrasi dan komunikasi. Dua elemen ini dikenali sebagai kyokan.
Kyokan bermaksud jalinan empati yang lahir antara penonton dan pencerita melalui penceritaan yang kemudiannya diikuti dengan reaksi/interaksi terhadap persembahan tersebut. Interaksi ini selalunya zahir dalam bentuk komunikasi.
Mengapa harus menggunakan butai? Mengapa tidak memegang sahaja kad-kad tersebut?
Walaupun kad Kamishibai menggunakan kertas yang agak tebal, disebabkan saiznya yang besar menjadikan ia agak sukar dikendalikan semasa proses pertukaran (menarik dan memasukkan kad) mengikut urutan cerita. Ketidakcekapan si pencerita melakukan aksi ini tentu akan mengganggu keseluruhan persembahan. Tambahan pula, kerangka butai yang menyerupai sebuah rumah agam (atau istana lama) itu, amat membantu para penonton untuk terus fokus kepada apa yang sedang berlaku.
Berikut adalah antara tips menarik yang sempat dikongsikan oleh Etsuko:
1) Semasa persembahan, pastikan butai diletakkan agak tinggi sedikit daripada paras mata penonton dan pintunya berada dalam keadaan tertutup. Kemudian, barulah kad cerita dimasukkan.
2) Pastikan latar belakang butai berdinding polos tanpa dekorasi yang mengganggu konsentrasi. Jika kebetulan anda terpaksa membelakangkan tingkap yang bercahaya terang, gunakan sehelai kain polos gelap bagi menutupinya.
3) Pakaian si pencerita juga haruslah yang bersesuaian, tidak terlalu menonjol sehingga mencuri tumpuan penonton. Yang paling penting mestilah tampil sopan.
4) Bagi memastikan kelancaran persembahan, baca dahulu Kamishibai yang hendak disampaikan. Susun kad mengikut nombor urutan yang tertulis di belakangnya.
5) Karektor si pencerita yang periang dan berperwatakan menarik sangat membantu untuk menghidupkan suasana dan mewujudkan kyokan.
6) Walaupun intonasi suara itu penting, namun anda tidak digalakkan mengubah-ngubah suara secara keterlaluan bagi menzahirkan perbezaan watak. Kamishibai adalah mengenai kesederhanaan dalam persembahan.
7) Pastikan anda menarik keluar kad secara sempurna dan memasukkannya secara sempurna juga sebelum meneruskan persembahan.
8) Apabila penceritaan tamat, jangan tarik keluar kad terakhir. Biarkan penonton berada dalam suasana akhiran cerita. Ucapkan sesuatu sebagai tanda cerita sudah berakhir seperti...
"The End"
atau
"Tamat"
... dan tutuplah pintu butai mengikut urutan anda sewaktu membukanya diawal penceritaan.
Bagaimana? Menarik?...
Saya kira dengan menyajikan gambar-gambar persembahan Puan Etsuko Nozaka di sini akan memberikan gambaran yang lebih jelas mengenai teknik penceritaan Kamishibai.
Kamishibai dari India |
Datin Rossiti mencuba bakat dalam Kamishibai |
Aisyah mempersembahkan Kamishibai mengenai tragedi letupan bom atom semasa perang dua kedua di Hiroshima. |
Yukee, seorang warga Jepun yang bekerja di Malaysia memilih cerita anak ayam. |
Kamishibai mengenai hidupan laut. |
Selain daripada tujuan menyampaikan cerita, teknik penceritaan Kamishibai juga sangat berkesan dalam pembelajaran. Pelbagai isu boleh diangkat sebagai jalan cerita dengan penceritaan yang bersifat santai serta ilustrasi yang berwarna-warni.
Kanak-kanak juga didapati boleh memahami persoalan hidup yang lebih matang seperti cerita yang telah disampaikan oleh Cik Puan Aisyah mengenai keburukan peperangan nuklear dalam Kamishibai yang berjudul 'Never Again' karya Etsuko Nozaka sendiri.
Menurut Puan Etsuko, begitulah caranya mereka menjelaskan kepada generasi muda betapa peperangan sebenarnya hanya merugikan semua pihak. Oleh sebab itulah, dunia tidak seharusnya terlibat dalam apa-apa bentuk peperangan lagi. Oh, alangkah sukar dan absurdnya impian itu!... .
Tragedi tsunami yang melanda beberapa negara Asia termasuk Jepun pada tahun 2010 yang lalu menyebabkan seluruh kanak-kanak di kepulauan matahari terbit itu bermuram. Kamishibai inilah yang menghiburkan mereka. Ia bukan sahaja meredakan tekanan dan trauma akibat kehilangan harta benda dan ahli keluarga yang tersayang tetapi telah berjaya menyuntik semangat bahawa hidup ini masih perlu diteruskan.
Kamishibai bukan hanya sekadar sebuah cerita. |
Beginilah caranya persembahan Kamishibai dilakukan. Kad dikeluarkan dari hadapan dan dimasukkan ke bahagian belakang mengikut urutan. |
Nah, hajat saya untuk berkongsi telah tertunai. Semoga kalian beroleh sesuatu yang bermanfaat dan ilmu pengetahuan baharu daripada perkongisian kali ini. Jangan lupa ya? Saya sentiasa menanti kunjungan dan komen-komen anda di kotak sembang ataupun ruangan komentar blog Aku dan Kafe Buku.
No comments:
Post a Comment