Pages

Friday, 9 December 2011

Istana Musim Panas Tipu Sultan

Istana Musim Panas Tipu Sultan
Replika Kubu & Istana Tipu Sultan
Dia digelar sebagai Harimau Mysore.
Lahir pada tahun 1750 di sebuah tempat bernama Devanahalli.
Anak kepada seorang panglima perang bernama Hyder Ali dan isterinya, Fatima ataupun Fakhr-un-Nissa. Tipu Sultan juga dikenali dengan nama Sultan Fateh Ali Khan Shahab atau Tipu Saheb ataupun Fateh Ali Khan Tipu Sultan Bahadur. Beliau bukan sahaja menjadi pemerintah Mysore tetapi juga seorang yang berpendidikan tinggi, juga seorang pahlawan dan penyajak yang sangat terkenal di zamannya. Seorang yang fasih dalam pelbagai bahasa, Tipu Sultan merupakan seorang penganut agama Islam yang taat biarpun hampir majoriti rakyatnya beragama Hindu. Seperti Salahuddin al-Ayubi, Tipu Sultan sangat bertolak ansur dalam menangani isu-isu agama di Mysore. Atas permintaan pihak Perancis waktu itu, Tipu Sultan telah membina gereja yang pertama di Mysore. Beliau juga sangat menitik-beratkan hubungan dua-hala dengan kerajaan-kerajaan lain di luar India seperti menghantar utusannya ke Perancis dan menemui pemerintah Empayar Othmaniah. Dalam sejarah peperangan Mysore, Tipu Sultan dan pengikutnya adalah penentang utama kepada perluasan empayar kerajaan British di Selatan India. 
Walaubagaimanapun, isu kekerasan pemerintahan Tipu Sultan pada zamannya masih lagi menjadi perdebatan di India sehingga ke hari ini. Namun begitu, jasa beliau dalam memajukan bidang ketenteraan dan usahanya memperluaskan penggunaan bahasa Parsi dan Urdu di selatan India tidak dapat disangkal oleh sesiapa. 
Pada tahun 1799, dalam peperangan Anglo-Mysore yang keempat, Tipu Sultan telah dibunuh dengan kejam sewaktu mempertahankan kubunya daripada dirampas oleh satu pakatan besar-besaran antara pihak British East India Company dan Sultan Nizam dari Hyderabad.
 -Sumber dari Wikipedia-

Selepas bergegas membeli tiket bas ke Calicut pada waktu pagi, Anjum, Deepika dan Bheemaiah sekali lagi membantu saya mendapatkan sebuah teksi untuk menjelajahi kawasan bersejarah yang berkaitan dengan Tipu Sultan. Daria Daulat Bagh, Jumma Masjid, Old Masjid dan Istana Musim Panas adalah antara tempat-tempat lawatan yang terletak di Sri Ranga Patna. Pada mulanya, saya dan Ummi berhajat hendak menggunakan perkhidmatan Naveen untuk ke sana tetapi dinasihatkan oleh pengurus teknikal hotel Mango Suites, Nazim, supaya menyewa teksi sahaja. "More safe, madam!" katanya bersungguh. Tiada pilihan lain, saya terpaksa mengikut kata mereka yang lebih arif. Sebuah teksi di sewa dengan rundingan harga Rs1200 untuk membawa kami kesemua tempat-tempat yang ingin saya tuju. Sebenarnya, pada malam sebelumnya, Naveen telah datang menghulurkan saya sekeping pamplet yang mengandungi peta perlancongan Mysore. Malam itu, Naveen datang membawa kami ke kedai buku dan mengambil gambar gereja Saint Philomena. Sayang kami tidak sempat berjalan-jalan di bandar Mysore kerana hari sudah lewat. Tambahan pula, ada beberapa kerja yang perlu saya selesaikan. Buat pengetahuan anda, Mysore sangat terkenal dengan kain sari sutera yang sangat bermutu tinggi. Hajat dihati ingin juga merasa betapa lembut dan licinnya sutera Mysore... semuanya tinggal angan-angan!

Peta Dariya Daulat Bagh
Saya terlupa pula nama pemandu teksi kami pada hari itu. Jadi kita namakan dia sebagai T sahaja. Menurut T, perjalanan ke Sri Ranga Patna mengambil masa kira-kira satu jam. Wah, jauh juga. Sepanjang perjalanan, kami tidak putus idea berbual dengan T. Biarpun perbualan agak tidak lancar kerana kadang-kala kami 'sesat dalam terjemahan'. Haha... . Begitulah seronoknya bila berbual-bual dengan orang tempatan di sana. Saya lebih suka berbual dengan orang 'biasa' daripada berbual dengan mereka yang berkasta 'tinggi'. Ada juga antaranya yang boleh berbahasa Inggeris dengan baik. Melalui mereka, kita boleh mengutip berbagai cerita kehidupan sebenar dalam masyarakat setempat dan selalunya saya akan berasa lebih dihormati.
Pintu Masuk Dariya Daulat Bagh
Barisan Batas Bunga Dariya Daulat Bagh
Pokok Besar Beratus Tahun
 Dariya Daulat Bagh adalah sebuah kawasan besar yang merangkumi taman bunga, kubu dan istana musim panas Tipu Sultan. Ramai yang tidak perasan sebenarnya, Dariya Daulat Bagh terletak di atas sebuah pulau di seberang Sungai Kaveri. Berhampiran dengannya terdapat tempat-tempat bersejarah yang lain seperti Gumbaz, Masjid Jumma, tapak pembunuhan Tipu Sultan dan sebagainya. Sepanjang berada di sini, kami melihat ramai orang bersantai di atas padang rumputnya yang luas bersama keluarga masing-masing.  
Sebuah lagi pokok besar
Kami terpaksa meminta bantuan sekumpulan pemuda untuk bergambar berdua. Peliknya selepas itu, mereka meminta kami pula mengambil gambar mereka. Saya hulurkan tangan untuk mengambil kamera.
"No madam, use your camera," kata salah seorang daripada mereka.
"Eh, why?" soal saya hairan. "Bring back our photo to your country!" 
Oh... haha, kelakar betul budak-budak ini. Apa-apalah Labu... Setelah mengambil gambar mereka, saya pun berpaling untuk memadam imej tersebut. Terkejut bukan kepalang apabila tiba-tiba disergah dari belakang!
"Delete nahi, madam! Delete nahi!... "
Oh... okay, hmmm. Saya lihat Ummi sudah ketawa terkekeh-kekeh di hadapan.  




Ummi bersama meriam dan peluru batu

Ummi berdiri di hadapan pintu masuk istana musim panas Tipu Sultan. Di situ, diletakkan dua buah meriam yang pernah digunakan dalam peperangan menentang kerajaan British. Menariknya masih wujud lagi beberapa butir peluru meriam yang diperbuat daripada batu. Saya teringin benar hendak mengangkat sebiji buat bergambar. Tetapi takut pula kena jerit dengan pengawal istana yang tidak pandai langsung hendak melemparkan senyuman!
Cuba lihat di sekeliling istana ini, mereka tutup dengan penghadang cahaya matahari sebagai langkah pemeliharaan kesan sejarah yang tidak ternilai ini.

Kisah bersambung... selepas ini, kita ziarah masuk istana Tipu Sultan pula. Jangan lupa kembali ke kafe kita okay? 

    

Monday, 5 December 2011

Ambavilasa

Ambavilasa
Mendaki beberapa mata anak tangga kayu - menemukan kami dengan  tiga gerbang pintu. Dua darinya diperbuat daripada kayu rosewood. Satu lagi daripada ukiran perak. Sekali lagi kisah penjelmaan dewa-dewi menjadi motif utama dalam ukirannya. 

Ambavilasa yang mewah dengan seni
Tarikan utama di Ambavilasa adalah The Golden Howdah ataupun Tahta Emas (boleh lihat pada entri terdahulu). Ini antara artifak sejarah yang paling berharga dan dikawal dengan rapi. Ramai pengunjung berebut-rebut hendak mengambil gambar tahta diraja tersebut. Saya terpaksa menunggu hampir sepuluh minit untuk mendapat giliran di hadapan. Namun tidak sampai sepuluh saat kemudiannya, orang ramai kembali mengerumuni ruang pameran. Kami sempat meminta salah seorang pengawal mengambil gambar. Jadilah, dapat juga sekeping gambar buat kenang-kenangan.

Ruang pameran The Golden Howdah
Ummi dan saya















Pada tahun 1947, keseluruhan bahagian pintu Ambavilasa ini (termasuk dua daun pintu kayu rosewood dan satu pintu perak tadi) telah memenangi tempat pertama dalam sebuah pameran antarabangsa yang dilangsungkan di Royal Albert Hall, London.


Pintu Kayu Rosewood & Pintu Perak

Ukiran atas kayu rosewood-Amma, tepilah sikit!
Jalan masuk ke Ambavilasa




















Pintu Perak
 Sebenarnya, pada zaman dahulu, maharaja telah membenarkan para tetamu masuk ke ruang Ambavilasa ini melalui sebuah tangga pusing yang diperbuat daripada batu marmar bermula dari ruang bawah sehinggalah naik ke bilik di tingkat atas istana.

The Spiral Staircase















Sampai di sini, tamatlah lawatan kami di Istana Mysore. Kawasan ini memang sangat cantik. Tidak terasa masa berlalu begitu pantas. Saya masih belum puas membelek artifak sejarah dan kehalusan seniukirannya. Insya-Allah, jika ada peluang dan rezeki, saya ingin sekali kembali ke sana. Mungkin mengambil peluang menginap di Istana Lalitha Mahal. Kami tidak sempat hendak melawat tempat tersebut kerana kesuntukan masa. Esok sudah diperuntukkan untuk melawat tapak arkeologi Istana Musim Panas Tipu Sultan dan beberapa tempat lain yang berkaitan dengan kajian saya. Okay, kita sambung kembara Mysore sedikit masa lagi. Jangan lupa berkunjung semula ke sini ya!

The Durbar Hall - Dewan Durbar
The Durbar Hall
Laluan kami seterusnya membawa ke sebuah lagi dewan yang sarat dengan ukiran-ukiran nan indah; The Durbar Hall. Berada di sebalik tiang-tiang besar hijau dan bersadur emas, kami seolah-olah sedang hidup dalam babak salah satu daripada filem-filem Bollywood. 

Jika Durbar Hall menempatkan Diwani-Am, Ambavilasa pula menempatkan Diwani-Khas. Seketika nanti kita akan masuk ke sana. Apa yang pasti, tidak dapat hendak digambarkan menerusi bait-bait perkataan tentang keindahan kedua-dua tempat ini. Hanya gambar-gambar berikut yang dapat berbicara kepada anda semua.
Tidak Puas Mata Memandang

Durbar Hall bersebelahan dengan dataran terbuka.

Bersebelahan dengan Durbar Hall yang dihiasi berpuluh-puluh tiang itu, kami sampai ke sebuah dataran marmar yang luas pula. Dari tempat ini, pengunjung dapat melihat halaman istana yang sangat luas dengan kebun bunga dan pancuran di kiri kanannya. Beberapa buah kuil juga  turut didirikan dalam kawasan istana ini. Bertentangan dengan ruang lapang, kita juga dapat melihat Jayamarthanda Gate yang tersergam megah. Begitu juga dengan Istana Lalitha Mahal yang berada nun di kejauhan bersama-sama Bukit Chamundi yang menjadi latar belakangnya.
Saya dan Ummi berhenti merehatkan kaki di sini. Kelihatan beberapa orang kanak-kanak berlari-larian sementara orang-orang dewasa pula mengambil kesempatan duduk dalam beberapa kumpulan sambil berbual-bual menyaksikan panorama indah di luar sana. Matahari Mysore memancar terang walaupun sepatutnya musim monsoon telah tiba. Semasa merehatkan diri, kami semua tidak dapat tidak pasti akan mendongak ke atas. Mengapa?
Di atas sana, sepuluh buah lukisan tangan menjadi penghias siling istana. Lukisan-lukisan ini adalah hasil kerja seni Shilpi Siddalingaswamy yang mengambarkan sepuluh penjelmaan semula Dewa Vishnu. Di bahagian paling tengah sekali, terdapat lukisan dua belas zodiak yang dikelilingi oleh Brahma, Vishnu dan Maheshwara.
Lalitha Mahal dan Bukit Chamundi menjadi latar

Lukisan siling seperti kelaziman dalam istana eropah
Duabelas zodiak

Setiap panel siling turut dihiasi chandelier

Bersambung... .

Friday, 2 December 2011

Dari Kalyana Mantapa ke Galeri Lukisan


Krishnaraja Wodeyar bersama dua orang kakaknya
 Bergerak dari Kalyana Mantapa, kami masuk ke dalam sebuah galeri lukisan diraja. Antara lukisan yang terpamer di sini ialah sebuah potret lama yang sudah pun berusia 100 tahun. Potret ini menggambarkan Maharaja Krishnaraja Wodeyar IV semasa kanak-kanak bersama dua orang kakaknya di luar istana. Sewaktu saya mengambil gambar potret ini, saya tidak tahupun bahawa ini adalah antara lukisan Raja Ravivarma, seorang pelukis diraja yang sangat terkenal dizamannya. Saya merakamkan gambar ini kerana tertarik dengan suasana dan ekspresi wajah ketiga-tiga orang kanak-kanak di dalam potret ini. Mungkin ada sedikit penerangan yang telah diceritakan dalam alat audio tetapi al-maklumlah, dengan kelibat orang ramai yang sama-sama sibuk hendak melihat gambar dari dekat dan saya sendiri yang sama naik menyelit di celah-celah ketiak orang, inilah hasilnya; beberapa keping gambar potret yang sempat dipetik masuk ke dalam lensa telefon bimbit saya. Eh, mana Ummi? Oh, rupa-rupanya Ummi sudah menunggu saya di luar sambil bercekak pinggang. Ok, Ummi, mari kita teruskan menjelajah Istana Mysore.
Chamaraja Wodeyar

Maharaja di atas 'Golden Howdah'




















 Sebaik sahaja melangkah keluar dari Galeri Lukisan, kami bergerak mengikut arus manusia menuju ke Period Future Room. Tarikan utama di sini adalah sepasang kerusi yang diperbuat daripada perak. Peliknya, salah sebuah kerusi ini merupakan hasil tangan Bartonson & Company dari Bangalore manakala yang satu lagi di bawah tangan T.R.Tawker and Sons dari Madras.
Kerusi Perak dan Meja Solek berhias gading gajah
Selain daripada dua buah kerusi perak ini, tarikan utama Period Furniture Room terletak pada keindahan seni ukiran siling kayunya. Keseluruhan bilik ini bersilingkan kayu teak dari Burma yang dihiasi kehalusan ukiran asli Mysore iaitu kelopak bunga.

Ukiran siling dari kayu Teak Burma
Akan bersambung... .