Pages

Wednesday, 28 December 2011

Mencari Intan Dalam Sedulang Kaca

"Berapa lamakah masa yang awak ambil untuk menyiapkan sesebuah karya?" seperti biasa, soalan yang sama dilemparkan kepada saya berulang-ulang kali. Ya, berapa lama? Sebulan? Tiga bulan? Setahun?... 

Apakah ada formula-formula khusus yang harus diguna pakai bagi menentukan tempoh siap sesebuah buku? Macam penulisan thesis oleh pelajar-pelajar Sarjana? Bolehkah kita memberi tarikh akhir kepada pembentukan sesebuah karya? 

Sejujurnya, hingga kini, saya masih lagi tercari-cari satu kaedah yang boleh membantu saya mempercepatkan proses penulisan. Saya bukanlah seorang penulis yang hebat. Setiap patah perkataan yang diketuk dari papan kekunci ini belum tentu dapat memuaskan hati sendiri. Saya juga tidak lahir dari 'sekolah penulisan' lantas apa jua yang saya pelajari, alam semesta yang menjadi universitinya. 

Saya pernah terbaca dalam beberapa blog bahawa penghasilan sesebuah karya sebenarnya bergantung kepada beberapa faktor. Melalui pembacaan dan pengamatan saya sendiri, hal ini berkait rapat dengan;
1) Disiplin kawalan waktu penulisan.
2) Keberhasilan kerja-kerja penyelidikan.
3) Penyediaan bahan-bahan penulisan.
4) Mood - Emosi penulis.
5) Kemantapan jalan cerita.

Dan banyak lagi yang boleh dijadikan alasan seperti qada dan qadar Tuhan. Tiba-tiba perkara yang tidak diingini berlaku. Tentulah hal sebegini boleh mengganggu kerja-kerja penulisan, bukan? 

Saya cukup kagum dengan kehebatan beberapa orang penulis tempatan yang berjaya menghasilkan dua hingga tiga buah buku setahun. Wah, dahsyat sungguh kekuatan mental mereka. Saya belum lagi dapat mencapai ke tahap itu. Apakah sebenarnya yang ingin kita capai dalam kerjaya penulisan ini? Haruskah kita berbangga dengan jumlah buku yang kita hasilkan dalam masa yang singkat? Atau jumlah royalti yang kita kumpul? Atau perlukah kita fikirkan kualiti dan manfaat buku tersebut di tangan pembaca?

Sebagai seorang penulis, saya kira jawapan yang benar-benar ikhlas hanya terdapat dalam dada masing-masing. Seorang penulis 'masa' sudah pasti akan berhempas-pulas mengejar deadline untuk ke kilang percetakan. Lebih banyak buku yang tercetak, lebih tinggi peluang untuk menambah kutipan royalti. Maka, penulisan sudah menjadi suatu perniagaan kata-kata. Seorang penulis 'rasa' pula akan hanya menulis kata-kata yang keluar dari mata hati. Hasil tulisannya itulah yang kadang-kala terasa melibas seperti sebilah pedang. Nipis tetapi tajam menusuk jiwa pembaca. 

Bolehkah kita ibaratkan karya itu seperti sebutir intan? Semakin diperam dan digilap, semakin berkilauan, bercahaya dan tinggi mutunya? Maksudnya, karya yang ditulis dengan penuh kesabaran dan ketelitian akan membuahkan hasil yang menakjubkan? Saya kira ada benarnya perumpamaan ini. Tetapi hakikatnya sekarang, tidak ramai yang sanggup mencanai intan (bukan kerana tidak pandai) DAN tidak ramai yang mahu memilikinya (mungkin kerana tidak mampu dek akal untuk menafsirkan).

Cakap saya masih berlapik. Tapi buat yang tidak faham, terus-terang saya kata, orang zaman sekarang lebih suka pakai permata palsu. Tak percaya? Cuba lihat di kedai-kedai buku.

Ramai juga yang bertanya kepada saya... "Bila lagi nak siap novel baharu?"

Ya, bila... saya sering bertanya kepada diri saya sendiri. Apakah aku ini penulis 'masa' atau penulis 'rasa'?. 
Anda bagaimana?... .
  

 

Friday, 23 December 2011

Andai Aku Masih Di sini


Subuh yang hening - Pantai Mersing



Andai Aku Masih Di sini...

Hati dan perasaan
Bagaikan laut dan langit yang tidak mungkin akan bersatu

Perasaan masih bersisa kasih dan sayang
Namun hati berbisik
Menyuruh bertindak mengikut akal dan bukan hawa nafsu

Andai aku masih berada di sini
Apakah engkau bisa mengerti?
Bahawa dunia yang penuh dengan warna-warni ini
Bakal bubar sebentar lagi?
Tidak ada yang akan kekal
Tidak ada yang dapat menyelamatkan dunia ini
Melainkan Dia

Bukan aku
Bukan engkau
Bukan kita...

Andai aku masih berada di sini
Aku pasti tidak akan punya apa-apa lagi
Semua yang aku punyai telah engkau miliki
Lalu
Izinkan aku kembara lagi
Mencari sebuah harga diri
Dalam lautan mengapai kasihnya Dia
Yang telah lama aku kehilangan...

~Ingin Lena Dalam Tidur Yang Damai~

Thursday, 22 December 2011

India Dalam Kenangan

India Dalam Kenangan
Kembara saya di bumi India telah lama berakhir. Namun segala kenangan pahit dan manis yang kami lalui tetap segar dalam ingatan. Paling penting, beberapa urusan saya di sana telah dapat diselesaikan dengan baik. Syukur kepada Tuhan.  Biarpun sebenarnya saya amat berharap untuk tinggal lebih lama di India bagi melengkapkan kajian, saya terpaksa akur pada bajet dan tanggungjawab yang menanti di tanah air. Tambahan pula, Ummi juga terpaksa kembali semula ke pejabat menguruskan hal-ehwal syarikat milik keluarganya.

Sengaja tidak saya tuliskan kembara di Calicut kerana ia akan menjadi sebahagian dari latar dalam novel saya. Oh, kawan saya di Delhi beria-ia mengajak saya ke tempatnya. Tetapi untuk memasukkan terlalu banyak tempat dalam satu-satu novel bukanlah kerja yang mudah. Tambahan pula, novel kali ini bakal merentas tiga negara di dua benua. Banyak kerja yang perlu saya lakukan. Kajian juga masih berjalan cuma tidak selancar jika saya berada di  bumi India. Apabila terpaksa bergantung harap kepada bantuan pihak ketiga di alam maya, kajian boleh berlanjutan sehingga setahun lebih. Itulah yang terjadi kepada novel pertama. Saya mohon agar Allah murahkan rezeki kali ini supaya dapat meneruskan kerja-kerja penulisan dengan lebih baik dan berjaya. Seperti yang anda tahu, tulisan saya bukan sekadar hiburan. Ia tidak menyogokkan kisah cintan-cintun ala Mills and Boon. Biarpun statistik di pasaran membuktikan kelarisan novel bertemakan cinta yang asyik-mahsyuk menerajui carta jualan, Tuhan, tolonglah bantu saya agar tidak terus berputus asa!

Inilah perjuangan saya. Nawaitu yang saya tetapkan apabila terjun ke bidang ini. Patutkah saya mengalah dengan cabaran dan dugaan? Saya sedar, siapalah saya tanpa para pembaca di luar sana. Dan saya juga sedar, diri ini masih belum matang dengan 'sepak-terajang' dunia penulisan tanah air. Pihak penerbitan perlu akur dengan kehendak pasaran dan saya pula masih dahagakan ilmu-ilmu penulisan. Banyak yang harus saya pelajari. Adat orang berjuang, jika tidak mahu tercedera, duduk sahajalah diam-diam. 

Baiklah, setelah beberapa bulan berhenti menulis (selain berblog), saya penuhi dengan membaca. Kini, saya perlu melakukan kedua-duanya sekali. Target saya? Sebuah buku mesti siap sebelum menjelang Pesta Buku Antarabanga 2012. Mampukah diri ini? Oh, sejujurnya takut untuk saya bayangkan. Kita lihat sahaja nanti... . 

Sementara itu, saya hidangkan sebahagian daripada gambar-gambar eksklusif Kembara India saya yang lepas. Khusus sebagai santapan pengunjung Aku Dan Kafe Buku. Nikmatilah... . 















































Friday, 16 December 2011

Casino Park Restaurant

Casino Park Restaurant - Mysore

Seperti yang telah dimaklumkan melalui catatan yang lalu, di India, restoran lebih dikenali dengan panggilan 'hotel'. Mengapa? Saya sendiri pun kurang pasti. Sewaktu ditanya kepada salah seorang pekerja di hotel, mereka hanya memandang saya sambil tersengih tanpa jawapan. Tetapi di Mysore, tempat makan halal yang menjadi kegemaran kami bernama Casino Park Restaurant.

Casino Park Restaurant - Kallai Road berhampiran Mango Suites
 Sebenarnya terdapat dua cawangan Casino Park, satu di Kallai Road yang terletak tidak jauh dari hotel kami dan satu lagi di tengah-tengah Bandar Mysore. Kami tidak berpeluang jalan-jalan di bandar jadi di sini sahajalah tempat kami berdapur. Pada mulanya, kami hanya lalu sahaja di hadapan kedai makan ini memandangkan nama yang terpampang di atasnya...
CASINO PARK RESTAURANT...
"Huh, nama pun dah casino, mestilah tak halal,kan Ummi?" saya membuat telahan. Namun kami tidak temui kedai makan lain yang halal di sekitarnya. Ada sebuah restoran halal bernama Chilli Grill (jika tidak silap) tetapi sedang dalam proses pengubahsuaian. Sebuah lagi bernama Green Leaf... masuk sahaja ke dalam sudah dapat menghidu bau colok dari sebuah kuil kecil. Tuan punya kedai pun macam terkejut sahaja melihat kami masuk. Setelah bertanya, memang sah tidak halal.
Kami lalu lagi buat kali yang ketiga depan Casino Park, entah mengapa Ummi tergerak untuk masuk bertanya apabila melihat tempat memanggang kebab di luar kedai. Biasanya kebab menjadi trademark makanan orang Arab. Dan di saat itulah bermulanya perkenalan kami dengan Casino Park Restaurant. 

Duduk sahaja di meja makan, saya terpandangkan papantanda yang bertulis "STRICLY NO LIQUOR". Alhamdulillah, lega... . Tuan punya kedai makan ini sangat peramah orangnya. Namun yang terlebih peramah dengan kami ialah salah seorang pekerjanya yang saya panggil 'Seksyen 27'. Mengapa? Kerana dia pernah berkerja di Malaysia selama 6 bulan sebelum visanya tamat tempoh dan tidak dapat pekerjaan lain. Bila ditanya, kerja di mana? "Seksyen 27". Oh, memang dekat dengan tempat tinggal kami. Ummi pun terus rasa macam baru jumpa 'orang kampung'! Tambahan pula 'Seksyen 27' memang ramah melayan kerenah dua orang perempuan Malaysia ini. Seronok pula kami apabila dia juga masih ingat-ingat lupa berbahasa Melayu.
Tetapi kami amat terperanjat apabila dia menyebut perkataan 'tapau' bila Ummi hendak membungkus makanan untuk dibawa pulang ke bilik. Wah... . Di Bangalore, jika mahu 'tapau' kita kena cakap 'parcel'.
Sudahnya, setiap hari muka kami makan di situ. Ummi sangat sukakan suasana bersih dalam kedai makan tersebut. Jauh sungguh bezanya dengan sesetengah kedai makan Melayu di tanahair.
"Saya memang dah jatuh cinta dengan kedai ini!" demikian Ummi membuatkan pengakuan menyebabkan saya tergelak besar.
Bukanlah hendak menyokong tetapi saya rasa 'cinta' Ummi kepada Casino Park ada sebab. Tidak dapat dinafikan makanannya memang enak sekali. Saya paling suka South Indian Thali Set. Sedapnya! Layanannya pun sopan dan mesra. Dapurnya?... .
Bersih dan tukang masak semua tutup kepala takut rambut gugur.
Pada malam terakhir kami menjamu selera, Ummi menyatakan hasrat hatinya untuk melihat dapur Casino Park. Maka, sebagai jurucakap, terpaksalah saya memaniskan senyuman untuk memenuhi hajat Ummi tersayang. Memang kelakar kerana waktu itu, kami dipandang macam wartawan CNN yang datang ke kedai. Setelah mendapat lampu hijau daripada Bos Casino Park, saya dan Ummi pun tergelak-gelak menghampiri dapur yang dapat dilihat melalui cermin dari ruang makan. Malam itu, puas saya mengusik Ummi. "Amboi, takut rindu pada Casino Park ke, Seksyen 27?"... 
Haha, maaf zahir dan batin Ummi. Bergurau sahaja.
Dan entri kali ini saya khususkan buat Ummi supaya boleh menyimpan kenangan kita buat selama-lamanya. Tempat jatuh lagikan dikenang, kan Ummi? Inikan pula tempat...(nangis) .

Tetapi sesungguhnya saya sendiri yang rindu pada tempat itu. Di situlah saya menjamah Cili Paneer buat pertama kalinya. Sehingga hari ini masih terbayang-bayang bagaimana keenakan keju India itu digoreng bersama bawang besar, hirisan cili hijau dan cili giling. Cili Paneer di Calicut pun tidak sesedap di Casino Park. Jadi, jika anda berpeluang melancong ke Mysore, cubalah menjamu selera di salah sebuah cawangan restoran ini. Insya-Allah dijamin lazat sehingga menjilat jari!

Tapau Food! Dalam bekas putih segiempat itulah cili paneer. Siap buat sarapan!

South Indian Thali Set kesukaan saya.
Saya tidak pasti apakah yang ada dalam Thali Set. Menurut cerita kawan saya, di Kerala, terdapat nasi Thali yang dihidangkan bersama empatbelas jenis lauk.
What? Fourteen?... Wow! I want, I want!
Apa yang jelas dalam gambar di atas, ada lima jenis lauk yang dimakan bersama nasi putih. Kemudian ada dua keping roti paratha yang... uh, lembutnya tidak terkata! Dan saya paling ingat lagi pemanis mulut di sebelah kanan sekali, rasanya macam bubur barli pun ada. Tetapi dicampur dengan herba dan tidaklah manis sangat. Sedap. Okay, ayat di bawah ini sila baca dengan nada sengau.

~Tapi, sebelum akhak buat pencuci mulut, akhak bedal bubur tu dengan nasi putih sebab ingatkan salah satu lauk!...Boleh?~

Maka terkekeh-kekehlah Si Seksyen 27 datang memberitahu. "Alo Bhaiya, kenapalah kau tak cakap awal-awal?". Benda itu sudah tinggal separuh baru nak cakap. Mujurlah Ummi tidak berapa sukakan rasa herba. Dapatlah saya menghabiskannya. 

Pada hari-hari terakhir di Mysore, saya disapa oleh seorang pemuda bernama Vikram. Dia yang bekerja di UK, pulang untuk melepaskan rindu pada kampung halaman. Rumahnya tidak jauh dari situ. Oleh kerana Vikram berpendidikan dari luar negara, dia tidak kekok menegur kami. Vikram menyuruh saya mencuba snek harian yang sangat popular di seluruh India bernama 'Maghai Pan'. Mahu tahu apa itu Maghai Pan?. Menurut khabarnya, snek ini boleh membantu kelancaran penghadaman selepas makan dan mengharumkan bau mulut.
Maghai Pan diperbuat daripada;

Sireh + gambir + tembakau + serbuk coklat dan dicampur dengan citarasa tempatan. 

Di Mysore, maghai pan dimasukkan kelopak bunga mawar yang sudah diracik dan direndam dalam air gula. Kemudian semua ini dibalut dalam daun sireh dan kertas timah yang boleh dimakan. Sebagai hiasan, dicucukkan sebutir buah ceri jeruk di atasnya. 


Inilah Maghai Pan - Saya makan tapi tak telan.


Dengan semangat seperti seorang 'Thristy Traveller', saya pun mengunyah Maghai Pan dengan disaksikan oleh para penonton sekalian. Dua saat, empat saat, enam saat... okay, cukup, naik maung satu tekak. Bau wangi kelopak mawar dan rasa gula bercampur kesemua bahan di atas betul-betul kuat sehingga saya tersedak dan terpaksa meludah ke dalam kertas tisu yang dihulurkan Vikram.
"Are you okey?... " soal Vikram agak risau.
"Eh, okey!... " balas saya sambil mengangkat ibu jari.
Balik bilik? Tidak sampai sejam perut sudah memulas-mulas. Ummi tersenyum melihat saya keluar masuk bilik air. "Itu belum telan lagi," perli Ummi. Saya sengih. Syukur ada bilik air cantik!

Sepanjang di Mysore, saya tertanya-tanya apakah kerajaan Malaysia tidak ada menghantar pelajar-pelajar kita ke sini. Bagaikan menjawab persoalan yang berlegar dalam kepala saya, Tuhan telah menemukan kami dengan Cik Onnie dan temannya sewaktu menjamu selera  buat kali terakhir di Casino Park Restoran. Alhamdulillah, kami bercerita lebih kurang dan bertukar emel. Terima kasih atas kemurahan hati Cik Onnie dan temannya melayan kami dan membelanja makan tengah hari. Tapi selepas itu, saya kena kejar dengan pelayan Casino Park Restaurant sebab disangkakan lari tanpa membayar sesudah makan!

Boleh? Eeiii, buat malu 'akhak' tau!

Sudahlah tidak faham berbahasa Inggeris. Saya terpaksa berpatah balik separuh jalan. Aduh, India, India... . Seronok betul sampai tidak rasa hendak balik. Hehe... . 

Sekian dahulu catatan kembara kami. Sejujurnya ada banyak yang tidak diceriterakan. Buat yang sudi menjadi pembaca saya, nantikan kemunculan novel cinta Islami kedua saya. Insya-Allah sedang dalam pembikinan. Doa kalian amat dihargai. 

Terima kasih.