Pages

Thursday, 6 December 2012

Perihal Life of Pi

Siapakah Pi? 


Sudahkah anda menonton filem Ang Lee yang terbaharu, Life of Pi? Filem ini diadaptasikan daripada sebuah novel karya Yann Patel yang telah memenangi pelbagai hadiah termasuklah The Man's Booker Prize 2002. Saya sempat membaca sedikit sinopsis buku tersebut sewaktu menjengah ke kedai buku beberapa tahun lalu. Saya tahu ceritanya agak menarik lantaran isinya menceritakan perjalanan hidup seorang anak remaja yang keliru dalam pencarian Tuhan. Apa yang membuatkan cerita ini semakin menarik adalah kehadiran satu watak antagonis, Richard Parker, yang dipersembahkan melalui seekor harimau Bengal yang ganas. Agak lama juga kita tidak melihat pengarang mengangkat watak seekor binatang sebagai salah satu watak utama. Filem ini mengingatkan saya kepada sebuah filem lama yang bertajuk Free Willie. Selebihnya, kebanyakkan watak-watak binatang yang menjadi 'pelakon utama' telah pun dipersonifikasikan perwatakannya. Contoh yang dapat saya berikan seperti Ratatouille dan Stuart Little.  

Baiklah. Seperti yang anda tahu, saya bukanlah seorang pengkritik filem. Apatah lagi mahu mengkritik karya hebat milik Yann Patel. Biarpun ramai yang tahu, setiap pengkarya itu mempunyai agendanya yang tersendiri di dalam berkarya namun saya melihat filem ini (kerana saya tidak membaca keseluruhan bukunya lagi) sebagai satu kejayaan dalam membuktikan bahawa TUHAN ITU WUJUD dan menjadi fitrah manusia untuk BERGANTUNG KEPADA TUHAN. Saya melihat filem ini juga berpeluang sebagai pencalonan bagi kategori Cinematografi Terbaik untuk filem 3D di peringkat Oscar kelak.  

Tidak dapat dinafikan terdapatnya unsur-unsur pluralisme yang sangat kuat di dalam jalan ceritanya. Hinggakan di pengakhiran filem, saya tidak pasti apakah agama yang sedang dianuti oleh Pi sebenarnya. Walaupun Pi menjawab pertanyaan itu dengan mengatakan dia seorang Katholik-Hindu. Pluralisme yang berlaku dalam keluarga asalnya berulang lagi dalam keluarga baharunya! Katholik-Hindu? Alangkah kontradiknya antara dua agama ini! Apa yang jelas, dia percaya dan sangat yakin bahawa Tuhan itu wujud - sifat pertama ketuhanan yang perlu mantap dalam sistem asas akidah manusiawi. Ia mengingatkan saya kepada sifat dua puluh yang wajib bagi Allah. WUJUD adalah sifatNya yang pertama.

Oleh kerana cerita ini berkisarkan pencarian seseorang kepada 'siapakah' Tuhan, pengetahuan asas penonton dalam menafsir rukun Iman dan rukun Islam amatlah diperlukan. Penceritaan yang hebat serta hubungkait antara manusia dan alam yang terjalin dengan begitu indah sekali dalam filem ini, mungkin sahaja bisa melalaikan. Anak-anak yang bijak boleh sahaja terdetik mengapa Pi, seorang yang dilahirkan beragama Hindu, yang mempunyai jutaan Tuhan, masih tidak mengenal Tuhan? Atau mengapa Pi tidak boleh menerima sahaja Jesus (Nabi Isa) sebagai Tuhan? Dan mengapa ayahnya membiarkan sahaja Pi meniru bulat-bulat bagaimana orang Islam bersembahyang? Oleh itu, perbincangan selepas menonton menjadi wajib terutamanya kepada anda yang menontonnya bersama mereka yang berfikiran kritis. Berikut adalah sedikit perbincangan yang terjadi antara saya dan anak perempuan saya, Nadya yang berusia 15 tahun, selepas kami menonton filem Life of Pi. Sebelum itu, beliau sudah pun menonton filem ini bersama sepupu-sepupunya. Bermakna, sudah dua kali beliau 'mengembara' bersama Pi.  

"Do you know that this film is about pluralism in religion?" 

"Yes... ." 

"How do you know?" 

"Well, obviously Pi's dad who doesn't believe in God is married to his mom, who is a Hindu and then there is Pi, who get confused most of the time. And I don't really know what Ravi is... ." 

Sampai di sini, saya sudah tersenggih sambil memandu dan bersyukur. Alhamdulillah, anak saya telah menonton filem ini dengan mata hati. Maka pemikirannya menjadi lebih terbuka dan bersifat agak kritis (yang bersesuaian dengan usianya itu). Maka perbincangan kami diteruskan sebagai usaha mahu memahami mengapakah watak ini begini dan mengapakah watak itu begitu.

Ayah Pi - seorang yang berpenyakit polio dan menemui kesembuhan melalui sains. Maka beliau percaya bahawa yang menyembuhkannya adalah ikhtiar manusia. Tanpa bantuan Tuhan. Tuhan itu mungkin ada, mungkin tiada baginya. Kesimpulannya bagi saya, ayah Pi seorang yang beriktiqad dengan fahaman Qadariah - mempercayai bahawa manusia hidup dengan hasil usaha kadar mereka sendiri tanpa perlu adanya campur tangan kuasa Tuhan. Lama-kelamaan, ayah Pi merasakan Tuhan itu mungkin tidak wujud pula. Akhirnya dia seorang ateis tanpa sedar. 

Ibu Pi - beragama Hindu. Tetapi agama baginya adalah sesuatu yang diwarisi daripada sebuah keluarga. Faktor yang masih mengikat kenangannya bersama mendiang ibunya. Oleh itu, dia mendidik Pi dengan cara yang sama seperti dia dibesarkan. Tuhan diperkenalkan kepada Pi dalam bentuk cerita-cerita epik. Pada waktu ini, Pi sudah mula terfikirkan perihal pentadbiran alam dengan Tuhan yang sebegitu ramai. Namun dia masih menurut agama yang dianuti oleh ibunya kerana masih keliru dalam pencarian. 

Ravi - anak yang mendengar kata ini tidak menunjukkan pemikiran kritis seperti adiknya. Watak Ravi seolah-olah mengikut sahaja apa yang menjadi pegangan ibu dan ayahnya tanpa banyak soal. Tidak seperti Pi yang memiliki sifat ingin tahu yang sangat tinggi. Mungkin juga sifat inilah yang menyelamatkannya sewaktu terdampar di tengah-tengah Lautan Pasifik bersama-sama seekor harimau Bengal. 

Perbincangan kami berlarutan apabila saya menerangkan tiga fahaman utama dalam asas akidah iaitu;

a)Iktikad Qadariah - manusia akan mendapat rezeki setakat apa yang dia usahakan (dengan kadar tenaga/usahanya) sendiri. Tuhan tidak ada kuasa atau tidak mahu campur tangan atas kehidupan manusia. Fahaman sebegini tidak dapat diterima dalam Islam lantaran ia menidakkan kekuasaan Tuhan. Maha Suci Tuhan daripada bersifat dengan segala sifat kekurangan! 

b)Iktikad Jabariah - menyerahkan nasib bulat-bulat kepada qada dan kadar Tuhan. Manusia seolah-olah tidak berdaya berusaha untuk memajukan diri dan mengubah nasib mereka. Iktikad ini juga menyimpang daripada ajaran Islam yang sebenar di mana Allah mewajibkan kita rajin berusaha untuk memperbaiki kehidupan di dunia dan membawa bekalan ke akhirat. 

c) Iktikad Ahli Sunnah wal Jamaah - fahaman yang mengakui bahawa Allah itu Tuhan yang berkuasa ke atas setiap sesuatu. Namun sifat pemurahNya terhadap sekalian makhluk, membenarkan kita mendapat apa yang kita usahakan dengan bersungguh-sungguh di dunia ini, atas izinNya jua. Manusia juga perlu berusaha dan meminta kepada Tuhan agar usahanya berhasil. Itulah konsep berdoa dalam Islam. Dan Allah akan berasa 'malu' apabila tidak mengabulkan doa orang-orang yang berdoa. Lantaran itu, Allah berfirman, "Berdoalah kepadaKu, nescaya, Aku perkenankan!"

Seterusnya, kami berbincang mengenai sikap watak-watak dalam cerita ini. Juga mengapa Pi mengambil tindakkan yang sedemikian. Kami juga berbincang, saat manakah di dalam pengembaraan Pi bersama Si Richard Parker ini, dia seolah-olah 'bertemu' dengan Tuhannya?

Jawab Nadya: Semasa dia mendongak ke langit dan kilat menyambar lalu Tuhan turunkan hujan (rezeki) untuknya minum. Dia rasa ada Tuhan yang mendengar keluhannya di tengah-tengah laut yang terbentang luas itu.

Jawab saya: Semasa dia terdampar di 'pulau terapung' yang tidak pernah ditemui oleh sesiapa pun! Perkara ajaib dan indah selalunya terjadi dengan izin Tuhan. Dan Pi sendiri mengakui hakikat ini bila dia berbicara dalam dirinya, "Aku tahu, Tuhan sentiasa memerhatikan aku. Menjaga aku, hingga Dia biar aku terdampar di pulau ini." 

(Semasa hujan turun, saya rasa Pi 'menerima' kehadiran Tuhan dalam nada tidak ikhlas. Mungkin juga marah. Mungkin  juga menyindir?)

Tetapi Pi akhirnya sedar, pulau tersebut bukanlah tempat kehidupan yang sesuai buatnya dan Richard Parker. Tuhan sedang 'berbicara' dengannya supaya dia memenuhi perahunya dengan bekalan dan ya... meneruskan perjalanan sehingga mereka berjumpa daratan (diselamatkan). Tambahan pula menurut kata anak saya, jika anda perasan, di dalam filem ini, sewaktu babak pulau terapung itu diambil dari atas (pandangan mata burung), penonton boleh melihat bentuk pulau terapung itu seperti 'seseorang yang sedang berbaring mengiring'. Hmm, agak-agaknya, boleh teka siapa? Saya kurang pasti akan hal ini. Mungkin saya perlu menontonnya sekali lagi! Mahu membawa bonda pula. Katanya tempoh hari, mahu menonton 'cerita rimau'! 

Sungguh, jika anda menonton cerita ini sebagai hiburan bersama keluarga, tidak salah untuk mengakumi teknik penceritaan dan arahan Ang Lee yang memang ternyata sangat cantik! Saya sukakan babak di mana ribuan obor-obor menerangi kegelapan lautan dalam itu dan tiba-tiba berenanglah seekor ikan paus yang amat besar lalu menujah keluar dari permukaan air dan melompat melepasi Pi! Subhanallah, peristiwa ini sebenarnya tidaklah mustahil untuk terjadi. 

Selain daripada itu, karya Yann Patel ini juga mengajak kita berfikir apakah erti agama yang sebenar. Adakah agama itu terletak pada perbuatan, warisan atau kepercayaan (iman)? Sesuatu yang masih berlegar dalam kepala saya sehingga ke hari ini, mengapakah ibu bapa Pi membiarkan sahaja anaknya meniru segala perlakuan penganut agama lain? Begitu pudarnya garisan sempadan antara agama di India. 

Apabila disentuh babak Pi meniru orang-orang Islam yang bersolat, tidak terfikirkah oleh kita, betapa ramai lagi orang Islam yang lahir seperti Pi di luar sana? Berdiri, rukuk dan sujud dengan hanya mengikut sahaja perbuatan imam di hadapan? Tanpa ada kesedaran fungsinya sebagai makmum. Setiap makmum di dalam saf melambangkan satu kekuatan dalam jemaah.

Mereka bersembahyang tetapi masih lagi bermaksiat. Mereka menyembah Allah tetapi masih kekok hendak mengangkat Islam seratus-peratus sebagai 'the way of life'. Mungkin benarlah kita seperti Pi, kerana kadang-kala kita bersolat tetapi masih tidak faham-faham falsafah di sebalik ibadat tersebut! Berdiri, rukuk dan sujud dengan hanya mengikut sahaja imam di hadapan. Tanpa ada kesedaran fungsinya sebagai makmum. Mungkin kerana itu juga, masyarakat sekarang tidak mengendahkan kerapatan saf dalam jemaah. Saf kian berjarak dan perpaduan kian longgar. Musuh datang berbondong-bondong melemahkan ukhuwah kita. Nauzubillah... .  

Bagi diri saya, ini satu tamparan yang hebat untuk direnungkan. Usah sibuk memikirkan pengaruh pluralisme dalam beragama yang menjadi temanya. Ia tidak mungkin berbekas andai asas akidah yang saya sentuh di atas sudah mantap dalam diri. Persiapan akidah kita adalah tanggungjawab kita bukan salah orang lain! Cuba kita 'petik' yang mana perlu dan bermanfaat buat kita secara keseluruhan. Mudah-mudahan, wang yang dilaburkan untuk menonton filem Life of Pi tidak akan tersia-sia begitu sahaja. Wallahua'lam.    

Sekian dahulu. Maaf kerana kelewatan memenuhi janji di sini. Entri baharu akan menyusul dalam beberapa hari lagi. Insya-Allah.

    
Salam manis,

Mazny M.R.
     

Monday, 3 December 2012

Perihal Buku Bergambar Kanak-Kanak

Wheeeeeeee!
Antara koleksi buku bergambar kanak-kanak saya. 

Adakah anda juga berminat untuk meluangkan masa di kedai buku membelek Buku-Buku Bergambar Kanak-Kanak? Jika jawapannya 'YA', maka anda wajib meneruskan pembacaan. Sekiranya 'TIDAK' ataupun 'ERR', maka hukum meneruskan pembacaan entri ini menjadi sunat sahaja... . Sunat pun dapat pahala, okey? Pahala dalam menambahkan ilmu penulisan. Tunggu apa lagi? Jom, tarik kerusi dan duduk di kafe kita.   

Baru-baru ini, saya telah menghadiri dua buah bengkel penulisan buku bergambar kanak-kanak. Pertama, bengkel berbayar bersama Cik Puan Faeizaratul Fazeila Binti Isa, seorang graduan lulusan dari Flinders University, Adelaide, Australia - pengkhususan dalam bidang Gifted Education. Beliau yang banyak terdedah kepada dunia penerbitan buku kanak-kanak di sana, juga merupakan anak didik kepada Dr Virginia Lowe yang pernah menjadi salah seorang panel hakim untuk Children's Book of The Year Award di Australia. Semasa entri ini ditulis, bengkel ini masih lagi ditawarkan oleh Tuan Zamri Mohammad dari  http://www.kursuspenulisan.com/ pada tarikh-tarikh yang bakal mereka tetapkan. Walaubagaimanapun, bengkel terakhir bagi tahun 2012 baru sahaja berlangsung hujung minggu lalu. Tetapi kepada sesiapa yang berhajat untuk berbengkel pada tahun 2013, bolehlah meninjau-ninjau laman web tersebut. Terima kasih kepada mereka berdua kerana berusaha sebaik mungkin untuk memandaikan kami agar menjadi penulis buku bergambar kanak-kanak bestseller! (Meminjam kata-kata Tuan Zamri tempoh hari)  

Bengkel ke dua pula adalah Bengkel Penulisan dan Ilustrasi Buku Kanak-Kanak  percuma anjuran bersama Perbadanan Kota Buku dan Gajah Gajah Gallery yang dikendalikan oleh Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN). Syabas buat mereka ini atas komitmen tinggi yang ditunjukkan. Tidak terbalas budimu, tuan! Fasilitatornya terdiri daripada Puan Mahaya Mohd. Yassin - seorang sasterawan yang tidak asing lagi dalam bidang puisi. Beliau juga merupakan kolumnis untuk ruangan puisi dalam majalah Dewan Siswa. Puan Nisah Haron - siapa yang tidak kenal penulis tersohor tanah air ini yang juga merupakan penulis buku kanak-kanak Kawan Baru Hanani. Tuan Yusof Gajah - pemilik Gajah-Gajah Gallery yang juga pemenang Hadiah Utama Noma Concours for Picture Book Illustrations (ACCU). Tuan Yusof yang amat komited dalam dunia perbukuan kanak-kanak tanah air dan antarabangsa ini juga telah mengadakan pelbagai bengkel di dalam dan luar negara. Pada hari tersebut, beliau turut dibantu oleh isterinya yang peramah dan baik hati. Kami mengenalinya dengan panggilan mesra, Mama Zakiah. Sesungguhnya kami berasa amat bertuah menjadi peserta bengkel kerana setiap input yang dicurahkan tidak ternilai dengan wang ringgit mahu pun kata-kata! Terima kasih juga kepada Puan Norhayati, orang kuat Kota Buku yang sentiasa memberikan motivasi dan perangsang buat kami sepanjang berbengkel.  

Memang terlalu banyak maklumat yang mahu saya kongsikan dengan semua pengunjung kafe tetapi memandangkan keadaan kesihatan yang kurang baik, mungkin dapatan yang ditulis dalam entri ini tidaklah sesempurna atau selengkap mana seperti mengikut kemahuan hati. Insya-Allah, saya cuba juga setakat yang terdaya. 
     
Sebenarnya, ramai juga yang masih lagi keliru dengan definasi apakah itu Buku Bergambar Kanak-Kanak. Maka eloklah saya menyenaraikan beberapa kumpulan buku yang telah dikenalpasti. Buku bergambar kanak-kanak boleh juga dikenali sebagai:

1) Picture Books - akan dipecahkan kepada empat bahagian di bawah.
2) Easy Readers - lebih memfokuskan kepada kosa kata dan bagi membantu latihan kelancaran pembacaan.
3) Transition/Chapter Books - dalam satu buku, ada pelbagai cerita. Biasanya bagi pembaca yang sudah lancar membaca. 
4) Graphic Novels - komik, buku bergambar dengan sedikit teks atau dialog. 

Buku bergambar atau Picture Book (PC) ini, kita boleh pecahkan lagi kepada beberapa katogeri:

a) Toy Books - pop-up, bermuzikal, mempunyai material untuk sentuhan dan sebagainya. 
b) Concept Books - lebih bercorak pembelajaran seperti pengenalan untuk mengenal warna, nombor dan abjad.
c) Story Picture Books - selalunya mempunyai lebih kurang 8/24/32 mukasurat.
d) Wordless Picture Books - bersifat multi-bahasa, pembaca boleh mereka-reka cerita sendiri dan mendapat kosa kata baharu setiap kali mengulang pembacaan.

Dalam pasaran PC, ia juga dikenali sebagai 'Theme Book' kerana selalunya ia mengangkat pelbagai tema seperti kekeluargaan, persahabatan, alam sekitar, kasih sayang dan sebagainya. Kadangkala dalam sesebuah buku, ceritanya juga  mempunyai pelbagai tema. Penulisan PC mengambil kira tiga elemen utama. CERITA, ILUSTRASI dan FAKTOR X. 

Agak sukar juga bagi saya menerangkan keseluruhan pembikinan buku bergambar kanak-kanak ini. Namun apa yang boleh saya kongsikan di sini mungkin dapat diperjelaskan dengan lebih baik melalui TIGA contoh bahan rujukan yang saya gunakan secara peribadi. 

1) WHERE THE WILD THINGS ARE

Buku karya dan ilustrasi Maurice Sendak ini sebenarnya sudah berusia melebihi 40 tahun namun ia telah dijadikan kayu pengukur dalam penerbitan buku bergambar kanak-kanak. Diterbitkan pada tahun 1963 dan mendapat kritikan hebat daripada para pengkritik buku sastera kanak-kanak serta ibu bapa. Anehnya, buku ini menjadi sangat popular di kalangan pengunjung perpustakaan kanak-kanak. Hasil kajian mendapati buku ini mempunyai tiga faktor utama yang saya sebutkan di atas. Ceritanya ringkas tetapi menarik dan jika diamat-amati mempunyai mesej yang kuat - hidup ini tidak hanya dalam alam fantasi, akhirnya kita perlu menerima peraturan dan kembali kepada realiti kehidupan. Ilustrasinya juga istimewa dan menarik minat pembaca kerana memaparkan sekumpulan gergasi yang tidak masuk akal. Apa yang paling penting sekali, ia mempunyai faktor X. Apakah faktor X dalam cerita ini?... Ia terlalu subjektif untuk dikongsikan kerana X itu mungkin sahaja berubah antara satu pembaca kepada pembaca yang lain. Untuk itu, saya kongsikan dengan pengunjung kafe melalui tayangan video di bawah. Sebelum itu, sediakan secangkir kopi panas bersama sepiring kek coklat! Our date today might be longer than expected! 

  
Buku Where The Wild Things Are ini merupakan Pemenang Utama Anugerah Caldecott 1964, sebuah anugerah berprestij di Amerika Syarikat. 

2) Selain daripada itu, saya juga menggunakan beberapa buku lain sebagai rujukan. Antaranya, 1001 Children's Books You Must Read Before You Grow Up. Harganya sekitar RM50 sahaja jika anda adalah pemegang kad ahli Kedai Buku Popular. Saya kurang pasti di tempat lain. Buku ini menyajikan 1001 judul buku berserta sinopsis dan resensi yang menarik untuk buku bergambar kanak-kanak yang telah memenangi pelbagai anugerah dan juga yang tercalon untuknya. Wajib beli jika anda mahu menjadi seorang penulis buku bergambar kanak-kanak yang tegar! 



Buku tebal ini adalah suatu pelaburan yang berbaloi!


3) Saya juga menggunakan buku karya Nancy Loewen yang diterjemahkan oleh Institut Terjemahan Buku Malaysia dengan berjudul Tunjukkan Saya Suatu Cerita - Tulis Buku Cerita Bergambar Kamu Sendiri. Harganya cuma RM15 dan sangat praktikal. Buku ini menunjukkan kita langkah demi langkah bagaimana cerita bergambar kanak-kanak dibangunkan. Ia mengajar kita tentang watak, latar masa dan tempat, masalah, klimaks, permulaan, pengakhiran dan permintaan dalam sesebuah cerita bergambar. Hal ini tidak jauh bezanya dengan garapan penghasilan karya lain seperti novel atau cerpen tetapi oleh kerana buku bergambar memerlukan ilustrasi, maka jumlah mukasurat 8/24/32 yang dinyatakan di atas memainkan peranannya yang tersendiri dalam penceritaan. 



Buku karya Nancy Loewen menunjukkan langkah demi langkah dengan jelas. 

Teknik menyatukan teks dan ilustrasi dalam pembikinan buku bergambar kanak-kanak ini memerlukan kita menggunakan sekeping kertas A3 sebagai draf untuk 'storyboard'. Kertas tersebut boleh dilipat-lipat seperti dalam gambar di bawah. Setiap kotak mewakili mukasurat dan penulis boleh menulis ringkasan cerita atau points yang mereka mahukan dalam setiap kotak. Lakaran secara ringkas juga perlu dimasukkan pada peringkat ini. Setelah anda berpuas hati dengan keseluruhan draf, kerja-kerja melukis ilustrasi yang sebenar bolehlah giat dijalankan. Amalan yang selalunya terjadi dalam dunia buku kanak-kanak memerlukan gabungan penulis dan pelukis bagi sesebuah buku yang dihasilkan. Namun kuasa Allah tiada siapa yang tahu, mungkin dalam diam, anda juga berbakat melukis cerita anda itu? "Belum cuba, belum tahu, kan?"


Pastikan jumlah mukasurat yang anda mahu - 8/24/32
  

Berikut pula adalah beberapa tips ringkas bagaimana anda boleh memulakan projek penulisan buku bergambar kanak-kanak anda yang pertama:

- Usah kedekut mengeluarkan modal membeli buku bergambar kanak-kanak dari luar negara terutamanya yang sudah memenangi anugerah. Baca dan buatlah sedikit kajian tentang gaya penceritaan, ilustrasi-ilustrasi yang digunakan. Jika tidak pun, layari laman web yang menyediakan pembacaan terbuka secara percuma. Saya pula lebih suka 'berkampung' di kedai-kedai buku yang mempunyai seleksi besar dalam judul buku bergambar kanak-kanak ini. Jika anda ke luar negara, jangan lupa menjengah kedai buku di sana. (You don't like to buy books? Eh, I don't mind to get it as a souveniour!)... hehehe. 
  
- Ketahuilah peraturan menulis buku bergambar kanak-kanak. Bagi menulis kesemua peraturan di sini, tidaklah termampu dek saya. Mungkin pada masa yang lain atau anda boleh sahaja menjemput saya memberikan bengkel. (Amboi, berangan menjadi fasilitator pula saya!)

- Tulis idea yang timbul dalam buku nota kemudian, buatlah 'storyboard'. Jika anda tahu melukis, itu adalah satu kelebihan yang nyata! 

- Setelah semuanya jelas terbentang di ruang mata, mulalah menulis cerita anda yang lengkap.

- Lakukan kaedah ini; baca cerita anda dengan kuat, rakamkan dalam bentuk audio atau video dan dapatkan penonton anda sendiri. Tugas penonton mungkin untuk membantu dalam penambahbaikan jalan cerita tetapi usah berkecil hati jika anda dikritik. Ini memang asam garam dalam dunia penulisan. Pengkritik yang baik dapat membantu anda mengenalpasti kekuatan dan kekurangan karya anda.  

- Setelah mengambil kesemua langkah di atas, bolehlah diperbaiki yang mana terlebih atau terkurang. Pastikan juga ilustrasi memainkan peranannya kerana tidak semua kisah itu dapat diceritakan dalam bentuk teks dan tidak semua ilustrasi itu dapat memberikan gambaran yang tepat. Ingat, ada tiga elemen utama yang saya sebutkan di atas tadi. 

Sekian dahulu sembang-sembang kita di Aku dan Kafe Buku pada hari ini. Semoga perkongsian ini memberikan manfaat kepada sesiapa yang berminat mencuba penulisan buku bergambar kanak-kanak. Insya-Allah, kita bertemu kembali dalam waktu yang terdekat. Apa yang penting, silalah berkunjung lagi sekerap yang boleh!  

Salam semanis secangkir coklat - Mazny M.R.   


Saturday, 24 November 2012

Perihal Kafe dan McCafe

McCafe pertama di Shah Alam - Kota K

Mungkin ini bukanlah masa yang sesuai untuk saya menulis perihal McCafe? Dalam kekeruhan peperangan yang sengit di Gaza, dalam usaha memboikot produk-produk keluaran Israel, saya terpanggil untuk menulis sedikit perkongsian rasa.

Sebagai seorang penulis, saya tidak betah hanya berkurung dalam satu ruang kerja yang litup dan kaku. Hal ini bisa sahaja membantutkan proses pengaliran idea dari kotak minda ke paparan skrin atau helaian buku. Saya suka 'bergaul' dengan alam sekeliling. Termasuklah duduk minum-minum di kafe-kafe tertentu, walaupun keseorangan kerana ada masanya, berseorangan itu adalah lebih baik.

Saya akan cepat leka memerhatikan pelbagai jenis aktiviti alam sekeliling. Ada juga ketikanya, saya menyumbatkan telinga dengan lagu-lagu pilihan supaya tidak terlalu dipengaruhi oleh suasana persekitaran waktu itu. Tetapi, saya tetap bahagia! Bahagia berada dalam dunia saya sendiri. Mungkin inilah yang tidak difahami oleh masyarakat di luar kelompok kami. Bahawa, ada saat, ada hari, ada bulannya, kami memang mahu dibiarkan bersendirian dalam dunia kami. Dunia aksara tanpa noktah. Dunia imaginasi tanpa sempadan. Dunia di mana kami bebas berimaginasi mencecah awan.

Suatu ketika dahulu, terdapat sebuah kafe kecil yang comel lagi selesa di Kota K. Letaknya betul-betul menghadap ke tasik rekreasi taman perumahan kami. Boleh dikatakan di kafe inilah,  saya menyudahkan karya-karya saya seperti Lentera Cinta Albaicin dan Wow, Coklat Fondu Mia!. Di sini juga, saya menulis sekumpulan puisi-puisi saya. Sebahagian besarnya hanyalah untuk koleksi peribadi. Selebihnya, saya merangka beberapa manuskrip awal untuk beberapa buah novel termasuklah 'novel India' yang dinanti-nantikan oleh ramai pembaca itu.

My writer's corner - my second office. Sadly, now no more!

Di kafe ini, saya mempunyai 'MOU' dengan pemiliknya. Mereka sudah tahu, sebuah meja kecil di tepi dinding kaca ini, khusus buat si penulis. Kami memanggilnya 'writer's corner' kerana ia terletak di hujung tiang. Apa yang saya kesalkan, sebaik sahaja Ramadan 2012 berakhir, kafe ini telah ditutup. Tiada lagi Writer's Corner atau My Cafe by The Lake! Hampir sebulan, saya dilanda kesedihan. Tempat ini bukan sahaja cukup serasi dengan saya, malah pemiliknya ada menyediakan surau di bahagian belakang. Terdapat sambungan wi-fi percuma. Pilihan makanan dan kopi yang menyegarkan. Jika saya rasa terlalu lama melekat di situ, saya akan berjalan-jalan ke tasik yang terletak hanya di seberang jalan. Kemudian, kembali semula ke meja ini dan menulis lagi. Ah, begitu manisnya kenangan saya bersama kafe ini sehinggakan saya mengambil keputusan untuk mengabadikannya di dalam salah sebuah novel saya kelak! Hanya itu yang mampu menghidupkan nostalgia kami selama beberapa tahun bersama. Sehingga kini, saya masih lagi berduka atas sebuah kehilangan.

Begitulah sifat alam, tidak ada yang hadir dalam bentuk kekal. Hidup perlu diteruskan, cerita perlu disambung agar perjuangan tidak terhenti setakat itu. Oleh kerana itulah, saya menyambut baik kehadiran McCafe di Kota K. Selain mempunyai pelbagai pilihan dari segi kek dan pai epal, ia hadir dengan sajian berjenis-jenis kopi yang menjadi kegemaran saya. Latte, mocha, cappucino, frappe, semuanya ada. Disediakan juga talian wi-fi percuma. Faktor ini amatlah penting bagi saya untuk kemudahan bekerja di luar rumah. Akan tetapi...

Sungguh, dalam situasi umat Islam yang sedang bersatu untuk memboikot apa-apa sahaja agensi atau perniagaan yang berkaitan secara langsung (atau tidak)  dengan tentera Zionis laknatullah, pendirian perlu dibuat. Tidak ada yang memaksa. Ini hanya satu bentuk muhajadah yang sekecil kuman. Bagi yang tidak mahu mengambil bahagian dalam usaha pemboikotan ini, terpulang kepada kalian. Juga tidak ada yang memaksa, bukan?

Benar, ada banyak lagi cara lain untuk menolong saudara kita di Palestine. Cuma saya memikirkan bagaimanakah agaknya pendirian mereka yang bekerja di McCafe ini? Mahu berhenti, apakah ada kesediaan masyarakat Islam setempat untuk membantu mendapatkan peluang pekerjaan lain? Tidakkah kita terfikir betapa mereka ini juga sedang berada dalam dilema?

Usah cepat menghukum. Mengucapkan kata-kata dan melontarkan pandangan memang senang dibuat orang. Mereka juga punya keluarga untuk disara. Perbelanjaan yang perlu dilunaskan. Namun pandangan peribadi saya pula, jika kerjaya itu lebih banyak buruk daripada baiknya (SEPERTI TIDAK ADA RUANG UNTUK MENUNAIKAN SEMBAHYANG), eloklah berhenti sahaja. Mungkin berhijrah itu, akan lebih meluaskan rezeki buat kita! Kepada yang berkemampuan untuk menghulurkan derma, silakanlah. Jika yang berkesempatan menjengah kekalutan di Gaza, lakukanlah. Kepada yang rajin mengirimkan bingkisan doa kepada para pejuang, jangan berhenti setakat hari ini, okey? Teruskanlah.

Perasaan kasih sayang sesama saudara seislam, keprihatinan dan kebertanggungjawaban itu lebih penting untuk disematkan dalam diri masing-masing. Mudah-mudah Islam tidak lagi dianggap lemah dan diambil mudah oleh penghuni-penghuni dunia yang lain.

Salam petang Sabtu.


Monday, 19 November 2012

Tip Penulisan Satu

   Sebelum bertolak ke India pada Oktober tahun lalu, saya sudah pun menyiapkan manuskrip Wow, Coklat Fondu Mia!. Awal-awal lagi, saya sudah menetapkan matlamat, naskah itu perlu diserahkan kepada tuan editor sebelum kembara bermula supaya fikiran saya dapat difokuskan kepada pencarian dan pengembaraan selama dua minggu di bumi kelahiran Mahatma Ghandi itu. I was so commited to make sure this novel get published! Even my editor was shocked... .

   Setelah beberapa kali manuskrip ini 'terbang' berulang alik antara Kota K dan Kota D, akhirnya satu persetujuan telah dibuat antara penulis dan pihak tim buku GISB. Watak utamanya seorang pelajar Cina bernama Mia harus 'diislamkan' bagi memenuhi syarat-syarat dan polisi penerbitan syarikat. Sebagai penulis, tentulah saya berasa kurang setuju. Saya mempunyai sebab musabab yang tersendiri mengapa saya mencipta watak itu. Tetapi akhirnya, saya harus akur. Namun saya tidak mahu memberi gambaran bahawa saya seorang penulis yang lemah dan boleh diperkotak-katikkan pendiriannya. Tidak semudah itu, tuan-tuan. Walaupun saya kelihatan lebih banyak mengalah, sebenarnya WCFM telah melalui beberapa proses. Sebelum kami membuat keputusan tersebut, saya terpaksa 'bertarung' dan membentangkan hujah-hujah pembelaan terhadap watak ciptaan saya ini! 

  Bagaimana saya berjuang dalam proses pengislaman Mia Mei Ling kepada Mia Zara, biarlah ia kekal di dalam kotak emel kami. Cuma saya mahu menerangkan, pada mulanya novel ini mahu mengangkat watak Mia, Yaya, Ezzatul dan Luna dalam rencah persahabatan satu Malaysia. Pencerahan dan penyelesaian konflik persahabatan yang terjadi diperlihatkan mengikut rentak cara hidup Islami, tetapi disampaikan dari sudut pandang Mia Mei Ling, seorang pelajar Cina. Pemilihan ini mendapat tentangan pihak tim buku atas hujah, biarlah pencerahan itu datang sendiri daripada seorang pelajar Melayu berbanding Cina kerana Melayu itu lebih mengenali atau sinonim dengan agama mereka. Sudah tentu kami juga berbalas-balas hujah atas beberapa perkara penting yang lain. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar dan dipermudahkan akhirnya. Hasilnya, seperti yang telah saya tulis dalam entri ini: http://maznymr.blogspot.com/2012/11/wow-coklat-fondu-mia.html

  Sepanjang perjalanan saya sebagai seorang penulis, saya banyak bergaul dengan ramai teman-teman sealiran. Seronoknya tidak terucap kerana kami seolah-olah berada dalam dunia kami sendiri! Saat kami berpisah, pasti ada sahaja kesedihan yang melambai sama. Dalam pada itu, ada juga yang berkongsi cerita pengalaman masing-masing. Apa yang baik kita jadikan teladan, mana yang tidak, buatlah sebagai sempadan. Kita tidak perlu menjadi seorang hakim dan menghukum orang lain. Bermuhasabah adalah jalan paling selamat. 

  Cuma di sini, saya mahu berkongsi atau lebih tepat lagi ikhlas berpesan kepada sesiapa sahaja (termasuk diri sendiri) yang mahu melangkah ke bidang penulisan. Bidang ini tidak sama dengan dunia realiti. Anda akan acapkali melayang keluar dari kotak kebiasaan dan kadang kala berfikir di bawah sedar. Berhati-hati, jangan sampai kita merobohkan jambatan silaturrahim terutamanya dengan para editor. Salah seorang guru penulisan saya menulis begini apabila beliau menurunkan tandatangannya pada buku yang saya beli: 

Buat Baik Dengan Editor! 

 Saya agak terkejut. Tentunya saya mahu beliau menitipkan kata-kata perangsang yang hebat-hebat supaya dapat saya selak halaman itu setiap kali semangat kerja saya merudum. Saya jadi keliru. Apabila pulang ke rumah, lama saya duduk memikirkan kata-kata tersebut. Pesanan itu kelihatan terlalu ringkas dan klise. Tetapi apabila saya amat-amati, barulah saya tersedar. Ah, terlalu dalam maknanya! Ketika saya menemui saat-saat sukar dalam proses kepengarangan saya, pesanan ini antara prinsip yang saya jadikan amalan. Berbuat baik dengan editor bukanlah bermakna, kita harus mengampu seseorang dan menghilangkan identiti kepengarangan itu sendiri. Bukankah ia juga salah satu ajaran sunnah Rasulullah? Sebenarnya tidak sesusah mana hendak berbuat baik sesama manusia. Semuanya terletak pada hati. 

Menulis bertemankan secangkir mocha!

Jagalah hati. Walaupun keputusan dibuat menggunakan pertimbangan akal, hati adalah raja kepada badan! - Lentera Cinta Albaicin. 

 Hujung minggu lalu, saya begitu sibuk menadah ilmu baharu bersama-sama teman sealiran. Kepulangan kami semalam, membawa bersama satu misi dan amanah yang telah dipertanggungjawabkan. Lucunya, pelbagai ganjaran yang diumpan kepada kami agar memastikan misi tersebut dapat direalisasikan! Namun bagi diri ini, saya mempunyai misi peribadi yang ternyata lebih jauh daripada itu. Ganjaran yang saya dambakan tidak mungkin dapat ditawarkan oleh sesiapa pun.  Moga Allah terus merahmati kami. Moga Allah terus mengurniakan saya hidayah dan ilham terindah bagi menukangi karya-karya seterusnya. Amin. 
  


Selamat berkarya wahai teman-teman!