Pages

Monday, 31 December 2012

Kembara ke Singapura - Universal Studio Singapore, Zoo Singapore & SEA Aquarium

Di sebalik Kota Singa itu... 

   Aduh, tidak terfikir oleh saya bahawa rancangan saat akhir ini benar-benar menjadi! Saya sudah hampir patah hati atas sebab-sebab tertentu. Namun Allah lebih bijak menyusunaturkan perjalanan hambaNya. Akhirnya pada tarikh 19 Disember 2012 yang lalu, saya dan keluarga berangkat menuju ke selatan sebagai memenuhi perancangan kami untuk berlibur bersama. Amat jarang kami bercuti ke luar negara seperti ini. Maklumlah, belanjanya juga bukan sedikit. 

   "Rezeki Tuhan, kita kongsikan bersama sementara emak masih hidup," demikian yang selalu dibisikkan bonda kepada kami tiga beradik. Alhamdulillah, sepertimana bonda tidak pernah sesaat pun melupakan kami, seperti itu juga kami bertiga bergilir-gilir menjaganya. Bukan kerana rezeki yang dikongsikan tetapi kerana kasih sayang nan tulus yang bonda semaikan dalam diri ini. Antara mutiara kata yang masih saya pegang, mungkin kita tidak kaya harta tetapi kita kaya kasih sayang... .

   Di sebalik Kota Singa itu, kami meneruskan kembara ke beberapa destinasi. Antaranya Pulau Sentosa, Muzium Seni Singapura, Zoo Singapura, Arab Street dan beberapa tempat lagi. Mahu dengar tentang kembara saya di Kota Singa ini? Ayuh, mari duduk di meja kafe kita. 

"Kak Maz, teh tarik sepuluh!... ." 

"Siap!... ."
      
Selamat Datang ke Kota Singa.

   Perjalanan mungkin bertambah lancar sekiranya kami sudah bersiap sedia mengisi borang kemasukan ke negara itu. Borang tersebut perlu diisi dan diserahkan bersama pasport Malaysia di kaunter serahan tingkap semasa memasuki Singapura. Selain daripada itu, urusan imigresen tidak mendatangkan sebarang masalah. 

   Kami terus menuju ke tempat penginapan yang sudah ditempah. Menempah di saat akhir, terpaksalah membayar harga yang setimpal dengan kelewatan tersebut. Hard Rock Hotel di Sentosa Resort menyambut kami sekeluarga dengan 'ramah sekali'. 

   Saya puji pemuda yang menguruskan pendaftaran masuk kami. Beliau begitu perihatin - bukan sahaja menunjukkan arah kiblat dan memberitahu tentang tempat-tempat halal yang boleh kami kunjungi sepanjang penginapan tanpa dipinta. Tetapi sempat bertanyakan tentang aktiviti kami dan menunjuk arah perjalanan. Terima kasih atas khidmat dan layanan yang baik. Alhamdulillah, kami bertemu rakyat negara sendiri rupanya. Hubungan dua hala antara Malaysia - Singapura memudahkan proses pencarian rezeki di kalangan rakyat dua negara ini sejak dahulu lagi. Semasa menunggu giliran untuk menyeberangi tambak, kami sempat melihat ribuan penunggang motosikal yang berdedai menyorong kenderaan masing-masing untuk diperiksa melepasi imigresen. Bayangkan pengorbanan mereka ini yang terpaksa menempuh situasi yang sama, dua kali sehari, pada setiap hari bekerja? Dua kali tabik buat mereka!

Antara tempat-tempat yang menjadi singgahan kami.

Universal Studio 


Selamat datang ke Universal Studio Singapore
Brosur percuma USS - wajib ambil.


   Tidak lengkap kunjungan anda ke Singapura andai tidak menjejakkan kaki ke taman tema antarabangsa ini. Universal Studio Singapura (USS) terletak di dalam kawasan Sentosa Resort, Pulau Sentosa. Antara tips yang boleh saya kongsikan kepada anda yang mungkin bercadang hendak ke sini bersama keluarga atau teman-teman;




1) Pastikan anda memperuntukkan masa sehari suntuk di sini. Anda boleh mendapatkan tiket dan brosur Studio Guide di kaunter masuk. Seandainya waktu anda melawat USS ini termasuk dalam waktu musim puncak (peak season), lebih berbaloi membeli Universal Express Pass. Boleh menjimatkan masa beratur untuk menaiki mana-mana permainan. 

Ready to rumble? - Bumblebee!
Terdapat lebih kurang enam jenis permainan (rides) yang sesuai untuk semua peringkat usia. Asalkan tiada masalah kesihatan yang melibatkan tekanan darah dan jantung, silakan mencabar diri. Transformers Ride merupakan permainan yang paling menyeronokkan buat kami! Walaupun tidak berkesempatan mencuba kesemua permainan yang ada, kami berasa puas berjalan. Membeli cenderamata adalah suatu kemestian. Pilihlah yang mana bersesuaian dengan bajet masing-masing. 

Pilihan saya? Pen Universal Studio yang beraneka bentuk dan warna. Paling murah dan sangat berguna.  

Awan mendung membawa hujan dan kami kebasahan. Maka belilah poncho!

2) Jika anda berlibur bersama orang tua, sila ambil kira keluasan tempat ini. Saya mencadangkan anda tidur di sini dalam semalam bagi memudahkan mereka. Jika mereka tidak larat menunggu anak-pinak, cucu-cicit bermain, mereka boleh pulang ke bilik untuk berehat. Memang mahal sedikit tetapi jika pandai merancang jadual perjalanan, pasti tidak membebankan. Tambahan pula dengan setiap tempahan bilik, anda akan diberikan dua tiket masuk ke USS secara percuma. Bagi yang memerlukan kerusi roda, ia boleh didapati di bahagian tepi kaunter masuk. Tanyakan sahaja kepada para petugas. Mereka tidak keberatan membantu. 

Bertemu dinosaur di sini.

3) Tidak perlu risau jika tidak mahu keluar ataupun tidak mempunyai bilik di resort ini. Anda masih boleh menunaikan solat di sebuah surau yang terdapat di dalam USS. Tempatnya terletak bersebelahan dengan kota Firaun yang menempatkan Mummy Ride. Sebuah tempat permainan yang meniru replika kota purba Mesir. Tidak ada alasan mengapa kita harus cuai dalam menunaikan kewajipan tersebut!

Surau USS - usah leka bermain sahaja ya?


Mencari Gloria di Madagascar.

4) Apabila kita bermusafir, pilihlah makanan yang dijamin halal terlebih dahulu sebelum anda mempraktikkan konsep 'rule of thumb'. Alhamdulillah, terdapat sebuah restoran Arab-India yang menjual makanan India seperti nasi baryani dan sebagainya. Ia terletak berhampiran kawasan kota Firaun tadi. Saya perhatikan terdapat logo halal di situ. Bertawakkal kepada Allah. Sekurang-kurangnya kita sudah berusaha dan bukti ini sudah jelas. Tidak perlu berasa was-was. Manakala tempat-tempat lain memang tidak ada logo tersebut. Pernah saya tergerak hendak membeli churro, sejenis snek Sepanyol yang diperbuat daripada tepung dan coklat. Tetapi sebaik terpandangkan botol arak yang dijual bersama, langsung saya membatalkan niat. Sudahlah tiada logo halal, bimbang pula jika bersubahat. Nah, ini juga bukti yang jelas, bukan? Sama seperti logo tadi. (Maaf, saya terlupa mengambil gambar restoran ini)

Namun hati rasa terkilan apabila terserempak dengan beberapa saudara seagama yang tidak memperdulikan hal sepenting ini. Berhati-hatilah kita. Jangan kita menyuapkan api neraka ke dalam mulut ahli keluarga. Biarlah bersusah atau berlapar seketika. Setakat empat hari di Kota Singa ini, alhamdulillah, saya sentiasa berkeras memastikan kami memilih tempat makan yang sepatutnya. Keluarga juga tidak pernah merungut dengan perangai saya yang agak 'cerewet' dalam soal makan. (Tidak tahulah jika mereka merungut dalam hati, hehehe... )

'Candelier' di istana Shrek.
Selain daripada bermain, anda juga boleh bersantai di tepian jalan sambil memerhatikan gelagat manusia yang pelbagai watak dan warna. Inilah antara kegemaran seorang penulis. Being an observant. Jika anda memiliki brosur yang saya anjurkan tadi, sila semak aktiviti yang ditawarkan di sekitar USS ini bagi memudahkan anda merancang masa. Sebelum saya terlupa, bagi yang ingin berjumpa dengan maskot-maskot kegemaran seperti Shrek, Puss in Boots, Poo dari Kungfu Panda, juga watak-watak dari Madagascar dan sebagainya, sila berada di tempat-tempat yang disebutkan dalam brosur berkenaan. Jangan terlewat kerana mereka hanya muncul selama 10 minit sahaja untuk bertemu dan bergambar!

Bijaklah rancang aktiviti dan waktu solat anda!


Big Bird!

Snack cart
Churro cart

Suasana di dalam USS

Mencari Batman di Gotham City.
Battlestar Galactica Ride - ada berani?

Sekian dahulu kisah perjalanan kami yang dapat saya kongsikan pada hari ini. Insya-Allah, akan saya tulis kembara selanjutnya pada sela masa yang terluang. Destinasi seterusnya, Zoo Singapura. Selamat berehat di hujung minggu. Mohon berkunjung lagi ke kafe kita ini.

Selamat malam!


No comments:

Post a Comment