Sunday, 20 October 2013

Perihal Buku Cerita Bergambar Kanak-Kanak (2)

Pinggan Putih Nenek (A Plate of Surprise)

Apa khabar para pengunjung Aku dan Kafe Buku yang dikasihi? 
Diharapkan kehidupan kalian padat dengan aktiviti-aktiviti yang mendatangkan faedah 'di sini' dan juga 'di sana'. 

Salah satu ilustrasi hasil air tangan saya. Bagaimana, okey tak?... 


Saya?... Saya baru sahaja selesai menyiapkan sebuah proposal novel dan dua buah buku cerita bergambar kanak-kanak (BCBKK). Yang menjadi impian saya tahun ini hanyalah menerbitkan sebuah. Alhamdulillah, dikurniakan dua. Nikmat Tuhan yang manakah yang mahu saya dustakan? Allahuakbar!... .

BCBKK saya yang bakal terbit adalah sebuah buku puisi kanak-kanak berjudul Menjadi Bintang (telah diceritakan sebelum ini) dan sebuah buku cerita dwibahasa yang diberi tajuk Pinggan Putih Nenek (A Plate of Surprise). Dalam sembang-sembang kita kali ini, saya mahu berkongsi rahsia di sebalik penulisan Pinggan Putih Nenek (PPN). Jom, kita bancuh secangkir kopi panas. Tarik kerusi, duduk sebentar di kafe ini. 

Apabila diminta menulis tentang dunia kanak-kanak dengan memasukkan rencah Malaysiana di dalam cerita, saya selalu terfikir tentang betapa meriahnya tradisi masyarakat Malaysia. Tradisi mulia yang diamalkan, lama kelamaan pasti akan bercambah mencipta kebudayaan. Amalan ini menjadi ikutan dari generasi ke generasi. Di Malaysia, kita meraikan kepelbagaian kebudayaan yang lahir daripada sebuah masyarakat majmuk. Beruntungnya kita.   

Memang sudah menjadi 'trademark' saya, apabila berkarya pasti akan menaburkan serba sedikit elemen-elemen Islami dan ciri-ciri ukhuwah menurut acuan Islam. Kali ini, saya bawakan pula tradisi berbahagi kuih semasa berbuka puasa di bulan Ramadan. 

Berlatih membuat ilustrasi sendiri.


Percaya atau tidak, zaman sekarang, tradisi ini sudah dianggap remeh malah mungkin membebankan. Mana tidaknya, kebanyakkan wanita sekarang tidak lagi menjadi suri rumahtangga dan terperuk di rumah. Ramai yang sudah keluar bekerja. Jika duduk di rumah pun, pasti sibuk menguruskan hal anak-anak dan aktiviti keluarga. Keluar masuk menghantar anak-anak ke sekolah. Sebelah petangnya bergegas ke sekolah agama ataupun pusat tuisyen. Jika memasak pula, skalanya hanyalah cukup-cukup makan untuk keperluan keluarga masing-masing. Begitu' kan?

Saya masih terbayangkan situasi kawasan perumahan yang saya diami semasa kecil. Itulah rumah pertama yang mampu dibeli oleh ibu bapa saya. Kawasan perumahan itu terdiri daripada dua deret rumah setingkat dengan dua bilik kecil. Keluasannya kecil amat ibarat sebuah pangsapuri dua bilik kos rendah. Bezanya, kami berpeluang memijak tanah. Jiran-jiran kami terdiri daripada keluarga berbilang bangsa. Tidak semuanya fasih berbahasa Melayu tetapi kami tetap mesra. Mengapa?... 

Kami masih hidup dalam suasana tradisi yang begitu melekat. Orang Melayu dengan pantang larangnya. Orang India dengan kepercayaannya dan Orang Cina dengan sikap suka memelihara amalan nenek moyang. Namun dalam pada itu, terselit sikap hormat menghormati dan saling berkompromi. Kami masih percaya, melakukan aktiviti bersama seperti bermain galah panjang, lempar tin dan congkak setiap petang adalah amalan yang dapat merapatkan hubungan dalam komuniti kecil tersebut. 

Ibu saya, walau sibuk mengajar tetap akan meluangkan masa memasak. Baik untuk bersahur mahupun berbuka. Selagi terdaya, beliau akan menghidangkan apa-apa saja menu yang termampu olehnya. 

Paling seronok berpuasa pada zaman ini kerana tradisi berbahagi kuih masih lagi menjadi amalan yang kuat. Bayangkan, rumah saya dikelilingi dengan mak cik-mak cik yang tidak bekerja. Separuh hari mereka akan bercerita tentang masakan!... Menjelang tengah hari sahaja, saya sudah tahu apakah juadah untuk berbuka. Ini juga merupakan salah satu motivasi untuk saya belajar berpuasa ketika masih anak-anak. 

Selalunya, ibu saya akan memasak nasi dan lauk-pauk sejenis dua. Kuih-muih sepanjang bulan Ramadan adalah berkat sumbangan jiran tetangga. Setiap jenis kuih yang disebutkan dalam kisah PPN kebanyakkannya mempunyai sejarah yang tersendiri. Contohnya, kuih keria. 

Suatu hari, jiran sebelah rumah kami memberikan sepiring kuih keria kira-kira sejam sebelum waktu berbuka. Waktu itu, ibu saya sedang mengandungkan adik yang bongsu. Keadaan kesihatannya tidak menentu, jadi beliau tidak selalu memasak seperti kebiasaan. Fikirnya, lapan ketul kuih keria tentu cukup untuk mengalas perut kami berempat sebelum keluar membeli roti canai atau sebagainya. Dua untuk saya, dua untuk adik lelaki saya dan empat lagi untuk mereka. Tanpa pengetahuan kami, adik lelaki saya memanjat meja makan dan menghabiskan kesemua kuih keria yang disimpan bawah tudung saji. Apabila sampai waktu berbuka...    

"Mengapa dimakan semua kuih keria ini?" Marah ibu saya.

"Nak buat macam mana? Sedap sangat," jawab adik saya tanpa rasa bersalah. 

Saya pula menangis terisak-isak. "Sudahlah tak puasa, makan pula kuih keria orang!"   

Terpaksalah ibu saya menebalkan muka meminta sedikit lagi kuih keria buat saya berbuka! Berbekalkan sepiring kuih keria, jiran kami sempat berkongsi kemesraan dan kasih sayang. Bukankah itu salah satu daripada dua kegembiraan bagi orang-orang yang berpuasa?

Lalu dalam PPN ini, saya terapkan beberapa pengajaran penting secara tidak langsung;


  • Ramadan bukan sahaja bulan untuk melakukan ibadah berpuasa, ia juga bulan untuk bersabar dan memperbanyakkan kebajikan.
  • Rasulullah SAW telah bersabda, sesiapa yang menyediakan (memberi) makanan kepada orang yang berpuasa, maka diberi ganjaran pahala sama seperti orang yang berpuasa itu tanpa mengurangkan pahalanya barang sedikit pun. 
  • Menurut Baginda lagi, saat berbuka adalah waktu yang menggembirakan mereka yang berpuasa. Ya' kan? Tak percaya cuba tanya budak-budak. (Kegembiraan yang kedua ialah apabila berhadapan dengan Tuhan kelak) 
  • Berkongsi juadah berbuka juga dapat melatih diri supaya bersedekah. Kita sedia maklum bahawa pahala bersedekah di bulan Ramadan dilipatgandakan ibarat setangkai gandum yang bercabang tujuh dan daripada setiap cabang itu bercambah lagi tujuh dan setiap cabang yang kedua juga bercambah lagi tujuh dan lagi dan lagi dan lagi. begitu hebatnya ganjaran orang yang melakukan kebajikan dalam bulan Ramadan. Watak Nani bukan sahaja terpaksa menahan lapar dan dahaga tetapi menolong neneknya menghantar kuih ke rumah jiran-jiran mereka. 
  • Setiap perbuatan baik pasti mendapat balasan baik. Dalam kisah PPN, watak Nani yang takut kehabisan kuih buah melaka kegemarannya akhirnya mengerti, tradisi menghantar juadah ke rumah jiran, keluarga dan rakan-rakan tidak menyebabkan kerugian sebaliknya mengundang rezeki yang lebih.  

      Tentu ramai yang berkata, "Ah, itu pun kalau jiran kita mahu membalas pemberian kita. Jika tidak, pulang pinggan kosong sajalah!" 

Percayalah, apabila kita menghulur rezeki di bulan Ramadan, pasti Tuhan akan menggantikan rezeki itu kepada kita. Tidak hari ini, esok lusa pasti ada. Bagi menghidupkan kembali tradisi berkongsi juadah dan sunah memberi makanan di bulan tersebut, maka saya garapkan kisah Nani dalam Pinggan Putih Nenek yang pasti akan menghiburkan. Ia juga hadir dalam teks bahasa Inggerisnya, A Plate of Surprise. 

Selaku penulis, saya mengharapkan agar kisah ini kekal segar menjadi bahan bacaan kanak-kanak sepanjang zaman. Janganlah kita biarkan tradisi berkongsi juadah ini pupus dalam kemeriahan bazar-bazar Ramadan yang menyajikan pesta makanan namun mencairkan kemesraan! Ayuh, hidupkan kembali semangat berkongsi. 

Sebagai makluman tambahan, buku ini juga menampilkan saya sebagai penulis dan pelukis ilustrasi. Proses melakukan ilustrasi ini tidaklah semudah yang disangka. Penuh dengan cabarannya yang tersendiri. Nantilah, jika ada kelapangan, pasti akan saya kongsikan dengan kalian yang berminat.  

Sekian dahulu. Hingga ketemu lagi dan oh, saya mengambil peluang untuk 'bercuti' sebentar setelah memerah tenaga dalam projek BCBKK ini. Alhamdulillah, misi 2013 untuk menghasilkan BCBKK telah tercapai. 

Terima kasih Tuhan. 

Terima kasih kepada semua yang sudi memberi tunjuk ajar dan mendoakan. 

Permisi dahulu... .

Mazny M.R.