Monday, 31 December 2012

Puisi Disember (2012)

Daun-Daun Yang Menari



Berpuput lembut angin utara
menerjah ke halaman rumah
dan daun-daun itu pun menari
berpusing-pusing di halaman sendiri 
ditiup ke kanan, mereka mengiring
ditiup ke kiri, mereka tegak berdiri

Bertiup kencang angin timur
membawa berita bersulam sendu
seribu luka sudah terpalit
menghancurkan sebuah citra
selumat daun-daun kering
harta bukan lagi bersifat pembela
kata-kata dibuat berniaga

Berhembus perlahan angin barat
melewati ruang yang kian tandus
kering pahala, kontang jiwa
menikam segala deria ihsan
memilih tarian mengikut rasa
daun kian ligat berputar
seperti mereka yang menari kemabukan

Ada sebatang pohon yang lama
kami berhenti berehat di situ
disambut belaian bayu selatan
memerhatikan rimbunan dedaun hijau
pabila tiba masanya nanti
pasti mereka pun berguguran
anehnya, mereka tidak menari 
setiap kali musim berangin
lumrah alam, mereka tetap hancur 
menjadi baja kepada badan

Wahai daun yang ligat menari
usah meringankan jati diri
bimbang air mata itu nanti 
mungkin tidak bisa menyuburkan keinsafan

Mazny M.R.
(Puisi penutup tirai 2012)


Sarapan Terakhir 2012

Jemput makan... .

Sarapan Terakhir 2012
Menikmati sarapan pagi hari terakhir 2012. Begitu pantas masa berlalu sehingga aku tidak berkesempatan menoleh ke belakang!... .

Selamat tinggal 2012 - tahun yang penuh dengan cabaran dan dugaan. Tahun di mana proses pembelajaran berjalan dengan giat metah. Penuh pengajaran dan teladan. Syukur alhamdulillah.

Ingin kukalungkan ucapan terima kasih kepada semua pengunjung Aku dan Kafe Buku. 
Dalam khayal, dalam nyata. Dalam sedu dan gurau senda.
Maafkan segala kekurangan dan keterlanjuran bicara.
Terima kasih kerana kesudian anda berkongsi apa-apa juga di sini. 
Semoga silaturahim kita berpanjangan dalam barakah kurniaan Ilahi.

Salam manis,

Mazny M.R. 

Kembara ke Singapura - Universal Studio Singapore, Zoo Singapore & SEA Aquarium

Di sebalik Kota Singa itu... 

   Aduh, tidak terfikir oleh saya bahawa rancangan saat akhir ini benar-benar menjadi! Saya sudah hampir patah hati atas sebab-sebab tertentu. Namun Allah lebih bijak menyusunaturkan perjalanan hambaNya. Akhirnya pada tarikh 19 Disember 2012 yang lalu, saya dan keluarga berangkat menuju ke selatan sebagai memenuhi perancangan kami untuk berlibur bersama. Amat jarang kami bercuti ke luar negara seperti ini. Maklumlah, belanjanya juga bukan sedikit. 

   "Rezeki Tuhan, kita kongsikan bersama sementara emak masih hidup," demikian yang selalu dibisikkan bonda kepada kami tiga beradik. Alhamdulillah, sepertimana bonda tidak pernah sesaat pun melupakan kami, seperti itu juga kami bertiga bergilir-gilir menjaganya. Bukan kerana rezeki yang dikongsikan tetapi kerana kasih sayang nan tulus yang bonda semaikan dalam diri ini. Antara mutiara kata yang masih saya pegang, mungkin kita tidak kaya harta tetapi kita kaya kasih sayang... .

   Di sebalik Kota Singa itu, kami meneruskan kembara ke beberapa destinasi. Antaranya Pulau Sentosa, Muzium Seni Singapura, Zoo Singapura, Arab Street dan beberapa tempat lagi. Mahu dengar tentang kembara saya di Kota Singa ini? Ayuh, mari duduk di meja kafe kita. 

"Kak Maz, teh tarik sepuluh!... ." 

"Siap!... ."
      
Selamat Datang ke Kota Singa.

   Perjalanan mungkin bertambah lancar sekiranya kami sudah bersiap sedia mengisi borang kemasukan ke negara itu. Borang tersebut perlu diisi dan diserahkan bersama pasport Malaysia di kaunter serahan tingkap semasa memasuki Singapura. Selain daripada itu, urusan imigresen tidak mendatangkan sebarang masalah. 

   Kami terus menuju ke tempat penginapan yang sudah ditempah. Menempah di saat akhir, terpaksalah membayar harga yang setimpal dengan kelewatan tersebut. Hard Rock Hotel di Sentosa Resort menyambut kami sekeluarga dengan 'ramah sekali'. 

   Saya puji pemuda yang menguruskan pendaftaran masuk kami. Beliau begitu perihatin - bukan sahaja menunjukkan arah kiblat dan memberitahu tentang tempat-tempat halal yang boleh kami kunjungi sepanjang penginapan tanpa dipinta. Tetapi sempat bertanyakan tentang aktiviti kami dan menunjuk arah perjalanan. Terima kasih atas khidmat dan layanan yang baik. Alhamdulillah, kami bertemu rakyat negara sendiri rupanya. Hubungan dua hala antara Malaysia - Singapura memudahkan proses pencarian rezeki di kalangan rakyat dua negara ini sejak dahulu lagi. Semasa menunggu giliran untuk menyeberangi tambak, kami sempat melihat ribuan penunggang motosikal yang berdedai menyorong kenderaan masing-masing untuk diperiksa melepasi imigresen. Bayangkan pengorbanan mereka ini yang terpaksa menempuh situasi yang sama, dua kali sehari, pada setiap hari bekerja? Dua kali tabik buat mereka!

Antara tempat-tempat yang menjadi singgahan kami.

Universal Studio 


Selamat datang ke Universal Studio Singapore
Brosur percuma USS - wajib ambil.


   Tidak lengkap kunjungan anda ke Singapura andai tidak menjejakkan kaki ke taman tema antarabangsa ini. Universal Studio Singapura (USS) terletak di dalam kawasan Sentosa Resort, Pulau Sentosa. Antara tips yang boleh saya kongsikan kepada anda yang mungkin bercadang hendak ke sini bersama keluarga atau teman-teman;




1) Pastikan anda memperuntukkan masa sehari suntuk di sini. Anda boleh mendapatkan tiket dan brosur Studio Guide di kaunter masuk. Seandainya waktu anda melawat USS ini termasuk dalam waktu musim puncak (peak season), lebih berbaloi membeli Universal Express Pass. Boleh menjimatkan masa beratur untuk menaiki mana-mana permainan. 

Ready to rumble? - Bumblebee!
Terdapat lebih kurang enam jenis permainan (rides) yang sesuai untuk semua peringkat usia. Asalkan tiada masalah kesihatan yang melibatkan tekanan darah dan jantung, silakan mencabar diri. Transformers Ride merupakan permainan yang paling menyeronokkan buat kami! Walaupun tidak berkesempatan mencuba kesemua permainan yang ada, kami berasa puas berjalan. Membeli cenderamata adalah suatu kemestian. Pilihlah yang mana bersesuaian dengan bajet masing-masing. 

Pilihan saya? Pen Universal Studio yang beraneka bentuk dan warna. Paling murah dan sangat berguna.  

Awan mendung membawa hujan dan kami kebasahan. Maka belilah poncho!

2) Jika anda berlibur bersama orang tua, sila ambil kira keluasan tempat ini. Saya mencadangkan anda tidur di sini dalam semalam bagi memudahkan mereka. Jika mereka tidak larat menunggu anak-pinak, cucu-cicit bermain, mereka boleh pulang ke bilik untuk berehat. Memang mahal sedikit tetapi jika pandai merancang jadual perjalanan, pasti tidak membebankan. Tambahan pula dengan setiap tempahan bilik, anda akan diberikan dua tiket masuk ke USS secara percuma. Bagi yang memerlukan kerusi roda, ia boleh didapati di bahagian tepi kaunter masuk. Tanyakan sahaja kepada para petugas. Mereka tidak keberatan membantu. 

Bertemu dinosaur di sini.

3) Tidak perlu risau jika tidak mahu keluar ataupun tidak mempunyai bilik di resort ini. Anda masih boleh menunaikan solat di sebuah surau yang terdapat di dalam USS. Tempatnya terletak bersebelahan dengan kota Firaun yang menempatkan Mummy Ride. Sebuah tempat permainan yang meniru replika kota purba Mesir. Tidak ada alasan mengapa kita harus cuai dalam menunaikan kewajipan tersebut!

Surau USS - usah leka bermain sahaja ya?


Mencari Gloria di Madagascar.

4) Apabila kita bermusafir, pilihlah makanan yang dijamin halal terlebih dahulu sebelum anda mempraktikkan konsep 'rule of thumb'. Alhamdulillah, terdapat sebuah restoran Arab-India yang menjual makanan India seperti nasi baryani dan sebagainya. Ia terletak berhampiran kawasan kota Firaun tadi. Saya perhatikan terdapat logo halal di situ. Bertawakkal kepada Allah. Sekurang-kurangnya kita sudah berusaha dan bukti ini sudah jelas. Tidak perlu berasa was-was. Manakala tempat-tempat lain memang tidak ada logo tersebut. Pernah saya tergerak hendak membeli churro, sejenis snek Sepanyol yang diperbuat daripada tepung dan coklat. Tetapi sebaik terpandangkan botol arak yang dijual bersama, langsung saya membatalkan niat. Sudahlah tiada logo halal, bimbang pula jika bersubahat. Nah, ini juga bukti yang jelas, bukan? Sama seperti logo tadi. (Maaf, saya terlupa mengambil gambar restoran ini)

Namun hati rasa terkilan apabila terserempak dengan beberapa saudara seagama yang tidak memperdulikan hal sepenting ini. Berhati-hatilah kita. Jangan kita menyuapkan api neraka ke dalam mulut ahli keluarga. Biarlah bersusah atau berlapar seketika. Setakat empat hari di Kota Singa ini, alhamdulillah, saya sentiasa berkeras memastikan kami memilih tempat makan yang sepatutnya. Keluarga juga tidak pernah merungut dengan perangai saya yang agak 'cerewet' dalam soal makan. (Tidak tahulah jika mereka merungut dalam hati, hehehe... )

'Candelier' di istana Shrek.
Selain daripada bermain, anda juga boleh bersantai di tepian jalan sambil memerhatikan gelagat manusia yang pelbagai watak dan warna. Inilah antara kegemaran seorang penulis. Being an observant. Jika anda memiliki brosur yang saya anjurkan tadi, sila semak aktiviti yang ditawarkan di sekitar USS ini bagi memudahkan anda merancang masa. Sebelum saya terlupa, bagi yang ingin berjumpa dengan maskot-maskot kegemaran seperti Shrek, Puss in Boots, Poo dari Kungfu Panda, juga watak-watak dari Madagascar dan sebagainya, sila berada di tempat-tempat yang disebutkan dalam brosur berkenaan. Jangan terlewat kerana mereka hanya muncul selama 10 minit sahaja untuk bertemu dan bergambar!

Bijaklah rancang aktiviti dan waktu solat anda!


Big Bird!

Snack cart
Churro cart

Suasana di dalam USS

Mencari Batman di Gotham City.
Battlestar Galactica Ride - ada berani?

Sekian dahulu kisah perjalanan kami yang dapat saya kongsikan pada hari ini. Insya-Allah, akan saya tulis kembara selanjutnya pada sela masa yang terluang. Destinasi seterusnya, Zoo Singapura. Selamat berehat di hujung minggu. Mohon berkunjung lagi ke kafe kita ini.

Selamat malam!


Thursday, 27 December 2012

Perihal Si Kucing Parsi

Jelly Bean Oh Jelly Bean

Ia bukan sejenis makanan.
Ia juga bukan sejenis tumbuh-tumbuhan.
Ia adalah seekor kucing.
Yang putih gebu lagi comel.

Jika anda sudah membaca catatan kembara saya di India pada bulan Oktober 2011, anda tentu pernah melihat gambar beberapa ekor kucing di rumah teman saya, Cik N. Mereka adalah Cupcake, Princess Yaya dan Miu Miu. Ketiga-tiga ekor kucing kesayangan milik Cik N ini amat manja dan lincah sekali. Mereka suka melompat dan menerkam ke sana dan ke mari sehinggakan habis berbulu-bulu beg baju Ummi, kawan seperjalanan yang menemani saya membuat kajian di India waktu itu. 

Dalam catatan tersebut juga, saya ada menulis hasrat hati hendak memiliki seekor kucing parsi yang putih bersih tanpa secalit warna lain dan gebu persis Princess Yaya. Malah, semasa menempah lakaran 'blog header' daripada seorang teman, saya minta beliau memasukkan sekali watak seekor kucing putih. Cuba anda perhatikan lagi 'blog header' saya di atas.  Pada mulanya, ia dilukis sebagai kucing biasa tanpa bulu yang menggebu. Tetapi saya mohon pelukisnya membuat pembetulan kerana saya memang bersungguh mahukan seekor kucing parsi yang begitu.

Alhamdulillah, sekitar bulan April tahun lalu, kami menerima kehadiran empat ekor anak kucing parsi yang putih bersih dan berbulu lebat, hasil perkahwinan Cupcake dan Princess Yaya. Empat ekor anak kucing mongel ini diterbangkan khas dari Bangalore menaiki pesawat MAS dalam kotak masing-masing. Mereka membawa buku pasport setiap seekor dengan nama; Kit Kat, Peanut, Jelly Bean dan Kapas. Hari ini, Kit Kat dan Peanut adalah milik teman saya, ibu kepada Cik N. Kapas pula menjadi milik kakak iparnya yang tinggal berdekatan. Sementara Jelly Bean, si anak kucing parsi idaman, menjadi milik saya! Subhanallah, bagai tidak percaya hasrat hati setahun nan lalu menjadi kenyataan pada hari ini! Alhamdulillah. 

Semasa bermain-main dengan Princess Yaya, saya membisikkan kepada Cik N, jika anak yang lahir nanti mirip dengan ibunya, berbulu putih dan gebu, saya 'cop' seekor! 

Nah, inilah gambar-gambar mereka semasa kecil. 

Ibu kucing yang ternyata garang!

Kapas-Peanut-Kit Kat-Jelly Bean di Bangalore
Si comel Jelly Bean semasa tinggal di Bangalore, India.


Menunggu untuk dibawa pulang ke rumah.
Sebetulnya, saya hanya sempat membela Jelly Bean selama dua minggu sahaja. Selepas itu, anak saya mengalami alahan terhadap bulu kucing. Malah berada dengan seekor kucing pada jarak yang tertentu juga sudah menyebabkan alahan teruk kepadanya. Bersin, hidung berair dan yang paling teruk, bengkak-bengkak di lengan. Dalam keadaan ini, saya harus membuat pilihan. Akhirnya, dengan rasa berat hati, saya terpaksa menyerahkan Jelly Bean yang masih mahu bermanja itu kepada keluarga angkatnya, pemilik Kapas. Mujur mereka tinggal berdekatan. Hampir setiap kali pulang dari surau kami, saya sempat menjengah Jelly Bean di rumah keluarga angkatnya itu. Kadang-kala, Jelly Bean berperangai seperti tidak kenalkan saya! Sungguh menyedihkan... . Saya faham, kami tidak meluangkan begitu banyak masa bersama. 'Bau saya sudah menjadi asing kepadanya'. 

Namun saya tidak berputus harap. Insya-Allah, suatu hari nanti, Jelly Bean pasti akan pulang ke rumah juga. Itu doa saya apabila kerinduan terhadap anak kucing ini datang menggebu-gebu - seperti pada malam ini. Perasaan itu hadir sesekali terutamanya ketika saya menatap gambar-gambar lama semasa ia masih kecil di atas pangkuan saya. Menonton tv, menaip di komputer riba, berbaring sambil memeluk lengan saya malah ketika hendak bersolat pun, Jelly Bean tetap mengekori saya. Baru-baru ini, saya telah menerima beberapa keping lakaran ilustrasi Jelly Bean kiriman seorang teman baik di Germany. Teman saya ini memang gemar (dan pandai) melukis. Insya-Allah, kisah mengenainya akan saya siarkan dalam sebuah entri khusus akan datang. 

Menunggu mama untuk tidur bersama-sama. 

Tertidur jua akhirnya. Mama sentiasa sibuk!

Jelly Bean sudah besar - foto kredit En. Mustafa Aziz, bapa angkat JB

Apakah kemesraan kami bakal berulang lagi? Hanya Allah yang lebih mengetahui. 

Jelly Bean, I really miss you. Truely. Please come back?... .

xxxoooxxx - <3 Mama  

(Kepada semua pengunjung kafe, jika anda berminat untuk mengetahui perkembangan si Jelly Bean, jangan lupa  'like' facebook ini - http://www.facebook.com/jellybeanthespycat?fref=ts )

Terima kasih!

  

Monday, 24 December 2012

Perihal Comic Fiesta 2012

Anda peminat Comic Fiesta?



Pernahkah anda mendengar acara Comic Fiesta yang diadakan saban tahun di Malaysia? Menurut sejarahnya, acara ini sudah pun menginjaki tahun ke 12 pada 22 Disember 2012 yang lalu. Pesta ini berlangsung selama dua hari sahaja. Mahu tahu apa itu Comic Fiesta? Tunggu apa lagi? Mari tarik kerusi dan duduk bersama saya di kafe ini. 

Comic Fiesta di Malaysia sebenarnya bermula pada tahun 2002 di Dewan Perniagaan China Kuala Lumpur sebagai sebuah pameran kecil sahaja. Tahun demi tahun, populariti pameran tersebut kian meningkat lantaran bertambahnya peminat komik dan manga di Malaysia terutamanya di kalangan Generasi Y. Ia diselenggarakan oleh beberapa orang individu yang sememangnya peminat tegar dalam bidang animasi, komik dan permainan video di negara ini. Sejak akhir-akhir ini, jumlah penyertaan untuk pameran dan penajaan daripada syarikat-syarikat besar turut bertambah. Ia menjadikan Comic Fiesta sebagai satu acara tahunan paling gempar untuk meraikan peminat-peminat komik dan manga di seluruh Malaysia! 

Apa yang menjadikan ia lebih meriah, pesta yang ditungu-tunggu oleh sekalian peminat komik ini bukan sahaja mendapat mendapat sambutan hangat dari dalam negara. Malah, kami sempat bertembung dengan beberapa orang artis, pekomik dan peminat yang datang dari Singapura, Thailand, Jepun dan juga beberapa buah negara lain. Baiklah, mari kita lihat apa yang ada di dalam dewan besar Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) ini.  


Setiap pengunjung yang mahu merasai kemeriahan pesta ini, perlulah membeli tiket masuk terlebih dahulu. Adalah dinasihatkan agar berada lebih awal untuk mendapatkan tiket yang dijual pada hari pesta berlangsung kerana kebiasaannya, barisan menuju ke meja penjualan adalah sangat panjang. Ataupun, anda boleh juga membuat pembelian awal, 'early bird tickets' dengan harga yang lebih murah. Pembelian sebegini ternyata lebih bijak kerana boleh menjimatkan masa dan kos. Begitulah pengalaman saya selama tiga tahun menyertai pesta ini. 

Di dalam dewan, ia selalunya dibahagikan kepada tiga fokus utama.

Bahagian pertama - terdiri daripada gerai-gerai penaja dan peserta pameran yang mengambil bahagian termasuklah beberapa kolej seperti Saito College dan KDU. Pada tahun lepas, saya menemukan Universiti Limkokwing di sini. Tahun ini, saya melihat kehadiran Hot Link, WACOM, IAHGames dan beberapa nama lagi yang tidak terlekat dalam ingatan. Di sini juga berjalannya transaksi pertukaran kad/permainan Vanguard. Para pemain perlu membayar yuran sebanyak RM5 untuk menyertai permainan /pertandingan ini. 

Ruang legar dewan pameran.

Baju T berinovasi. Sayangnya pembeli perlu ada tablet atau smartphone.

Baju T Naruto berharga RM70! Mujur dikirim kawan. 



Pekomik dari Indonesia.



Antara gerai yang menarik minat saya di bahagian ini ialah sebuah meja yang membenarkan kami melukis apa-apa sahaja watak animasi kegemaran di atas lembaran kertas putih yang panjang berjela-jela. Tahun lepas, sempat saya melukis sesuatu. Tahun ini, tidak sempat kerana saya tidak meluangkan masa yang panjang di dalam dewan. Sebaliknya, lebih lama berada di Kinokuniya yang berdekatan.

Sebuah lagi gerai yang menjadi tumpuan ramai ialah gerai permainan video. Di sini, berlangsungnya  pertandingan permainan video yang ditayangkan secara 'live' antara para peserta yang datang dari beberapa negara luar bertemu dengan pemain-pemain dari negara kita dalam beberapa siri perlawanan sepanjang dua hari tersebut.  



Bahagian ke dua - selalunya terdiri daripada meja-meja jualan yang disewakan kepada para peniaga dan pekomik-pekomik persendirian. Mereka menjual pelbagai produk seperti lukisan ilustrasi, 'button badges', figura, poskad, penanda buku atau kalendar mini dengan watak-watak animasi yang popular seperti Naruto, Bleach, One Piece, Kuroshitsuji (The Black Butler), Death Note, Final Fantasy dan sebagainya. Ada juga yang mencetak komik mereka sendiri lalu dijual sebagai edisi khas pada setiap kali Comic Fiesta berlangsung dengan harga RM10-RM20 sebuah. Beberapa pekomik yang saya temui sejak beberapa tahun lepas, sudah pun memiliki siri bagi karya mereka. Kepada sesiapa yang mahu mendapatkan barangan animasi seperti 'head dress', topi, topeng muka, cincin Akatsuki, baju T dengan watak-watak animasi popular, bolehlah berkunjung ke bahagian ini. Sekadar mengingatkan, harganya memang boleh melucutkan jantung anda! Tetapi bagi peminat-peminat tegar, mereka sanggup berhabisan wang saku kerana kebanyakan produk ini adalah eksklusif dan dijual pada dua hari pesta berlangsung sahaja. Selain daripada waktu ini, mereka terpaksa mencari di tempat-tempat tertentu di sekitar Kuala Lumpur.    

The Joker

Team HALO?


Zabuza-Orochimaru-Kakashi

Tiga tahun, beliau memakai pakaian yang sama (Cosplaying as myself)


Peminat manga Death Note pasti kenal siapakah watak ini.
Akatsuki dari siri animasi Naruto
Watak Ceil dan Sebastian dari Kuroshitsuji

You go, girl!

Gandalf the Grey
Bahagian ke tiga pula lebih tertumpu kepada acara pentas. Di sini, beberapa buah kumpulan muzik membuat persembahan dengan memainkan lagu-lagu tema daripada siri animasi kartun Jepun yang diminati ramai. Di atas pentas kecil ini juga berlangsungnya satu acara yang sememangnya menjadi tarikan utama Comic Fiesta -   Pertandingan 'Cosplay' ( Costume play). Peserta yang mengambil bahagian akan menyarungkan pakaian mengikut watak animasi pilihan mereka dan melakonkan perwatakan tersebut untuk memenangi hadiah lumayan yang ditawarkan. Pertandingan ini dibuka kepada dua kategori; individu dan berkumpulan. Sungguh menarik berada di tengah-tengah peminat-peminat tegar komik dan animasi ini atau gelaran yang diberikan kepada mereka ialah OTAKU. 

Pentas utama

Acara yang meraikan para peminat animasi, komik dan permainan video ini, ( Animasi, Comics and Games - ACG) sebenarnya turut diadakan di beberapa buah negara lain seperti Jepun, Singapura dan India. Di India, ia dinamakan Comic Con (Comic Convention). Biarpun baru memasuki tahun ke tiga, Comic Con di India tidak kurang kalahnya dengan Comic Fiesta di sini. Saya pernah bertemu dengan 'Alien' di sini. Di India, mereka ber cosplay sebagai Iron Man pula. Tahun ini, saya juga melihat beberapa orang cosplayer muslimah yang bergaya dengan pakaian watak animasi kegemaran mereka tanpa perlu membuka aurat ataupun menanggalkan hijab di kepala. Tahniah, sayang! Tambah mengagumkan, apabila saya turut terserempak dengan mereka di surau pusat membeli belah KLCC bagi menunaikan tanggungjawab sebagai orang Islam. Alhamdulillah... . Biar apa pun minat kita, jangan sesekali lalai dan lupa akan jati diri kita. Biar apa pun yang kita kejarkan, agama tetap menjadi landasan. Begitulah hendaknya... .

Dua orang otaku yang sehati sejiwa.

Harga secawan teh tarik dan sekotak sandwic - RM8.30!




Picnic in the garden.
Vanguard players












Selain daripada kemudahan surau KLCC yang besar, terdapat ruang rekreasi yang luas seperti di taman bersebelahan dewan pameran tersebut. Para 'cosplayer' juga merasakan tempat ini amat sesuai untuk dijadikan latar kepada gambar atau video yang mereka rakamkan. Usah dirisaukan soal makan kerana pusat membeli belah Suria KLCC menyediakan pelbagai pilihan yang halal. Anda cuma perlu pandai membuat pilihan dan oh, harganya tentulah tidak seperti di kedai mamak. Jika rajin, boleh sahaja sediakan bekalan dari rumah dan berkelah bersama keluarga di taman yang cantik itu. 


Tidak sah jika bercerita tentang Comic Fiesta, jika tidak menyentuh sedikit tentang seorang individu yang bernama Danny Choo. Siapakah Danny Choo ini? Beliau lahir di kota London kira-kira 40 tahun yang lalu. Pernah bekerja sebagai seorang pereka kasut namun minatnya terhadap budaya Jepun membuatkan beliau menukar bidang. Bermula dengan minat yang mendalam, dari sebuah laman blog dan youtube, beliau kini memiliki sebuah syarikat yang bernama Mirai Inc. yang berperanan mengetengahkan budaya Jepun melalui rancangan popularnya Culture Japan. Rancangan ini juga termasuk dalam siaran Astro Animax di Malaysia. Ya, beliau ialah anak kepada seorang jutawan kasut yang amat terkenal, Datuk Jimmy Choo dari Malaysia. 

Usaha Danny ini sedikit sebanyak telah mempengaruhi perkembangan dan populariti Comic Fiesta. Maka kehadiran beliau di Comic Fiesta pada tahun ini telah menyemarakkan lagi kemeriahan acara tahunan yang menjadi kegilaan para otaku di Malaysia. 
Danny Choo


Memandangkan perkembangan yang begitu menggalakkan dalam bidang animasi, komik dan permainan video di Malaysia, saya kira sudah sampai masanya kita maju setapak lagi dengan memperkenalkan produk ACG yang berkonsepkan Islami. Ah, apabila menyebut perkataan 'Islami' sahaja ada yang sudah berkerut kerana segera terbayangkan tema yang klise, kesukaran dan pantang larang yang membantutkan kreativiti (kononnya!). Usah begitu, kawan! Bukan sedikit tema agama yang mereka masukkan ke dalam karya animasi mereka. Apakah kita sedar akan hal ini? Jadi mengapa harus ada was-was atau bimbang untuk memperjuangkan tema yang bertunjangkan agama sendiri? Ayuh, hidup perlu maju, bukan mundur. 

Come on! Creativity is not always about a straight line or a curve or black and white. The creative power among human is surprisingly superb. It brings us Aliens & Predators, Avengers, Superheroes and what not. I believe Malaysia has many talented writers, scriptwriters and illustrators in this field. We need more animators too. Nothing is impossible. So please don't give me reasons. Obviously we don't want our future generation to be outdated but at the same time, we also want them to preserve our own culture. Our identity. That is what making us special in the eyes of the foreigners. This is our challenge. Be brave. Be creative. Be uniquely us. I would love to see some Malaysian contents (as well as Islamic) animations at par with this Japanese's in the future. 

So, are you game? 

This is my head dress - I'm the Black Cat!


Mazny M.R.

(Untuk mengetahui lebih lanjut tentang Comic Fiesta di Malaysia, sila klik pada pautan ini: