Pages

Friday 29 March 2013

Mersing...

Mengutip kenangan... 

Mersing, pekan nan kecil tempat tumpah darahku.


Mersing Beach - Panorama Mode
It is a small tourist town.

Terlalu banyak kenangan yang bertebaran di setiap pelusuk daerahnya. Terlalu ramai insan yang saya rindui tetapi kini sudah tiada. Guru-guru dan rakan-rakan, ramai yang sudah terputus hubungan. Betapa derasnya waktu berlari. Setahun demi setahun, tidak terbayang tiga dekad meninggalkan kami. Namun Mersing masih di situ. Menjadi penunggu setia anak watan pulang bercuti. Menyambut mesra setiap musafir yang sempat berhenti menikmati keindahan pantainya. Titik singgah para pelancong yang mahu berferi ke sebuah destinasi percutian yang masyhur, Pulau Tioman.


Country Road...take me home, to the place, I belong...


Mersing Beach is a true beauty.
Here, once lived the most beautiful maiden named Sri Mersing.
Her tragic love story was made into a famous Malay film
with the same title, Sri Mersing.

Perjalanan ke Mersing mengambil masa kira-kira empat jam tanpa henti, sekiranya anda memilih laluan Lebuhraya Utara Selatan melalui Tol Ayer Hitam dan Bandar Kluang. Laluan alternatif pula adalah melalui jalan Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Seterusnya ke Muazam Shah-Kuala Rompin dan Taman Negara Endau Rompin. Perjalanan ini mengambil masa lebih kurang lima jam kerana ia melalui jalan kampung, satu lorong. Jika anda mahu menyaksikan perkampungan yang dihiasi pelita pada malam Hari Raya Aidilfitri, bolehlah memilih laluan ini. Memang terasa kemeriahan sambutannya.

Setiap kali pulang ke Mersing, saya tidak lupa membawa keluarga bersiar-siar ke pantai. Terdapat beberapa buah pulau yang menjadi penghias panorama pantai Mersing. Antaranya Pulau Setindan dan Pulau Besar. Paling dekat dengan pantai ialah sebuah pulau lagenda yang dikenali dengan nama Pulau Batu Cawan. 


The water will be green at noon and slowly turn into dark blue by late
evening. The big island that you see in this photo is called
Pulau Setindan.


Here is a legendary island, Pulau Batu Cawan ( The Stone Cup Island)
Its legend is going to be written in my storybook soon.
I'm in the middle of writing it, in sya-Allah.

Ada banyak tempat yang menjadi kenangan saya di Mersing. Antaranya Perpustakaan Daerah Mersing. Sebelum perpustakaan daerah ini di wujudkan, saya selalu meminta emak (merenggek) membawa saya ke sebuah perpustakaan kecil di Pejabat Daerah yang sempit dan hanya menggunakan rak-rak besi pasang siap. Namun koleksi buku-bukunya amat mengujakan saya. Di sinilah saya banyak berkenalan dengan karya-karya sastera kanak-kanak seperti Enid Blyton, Nancy Drew, Hardy Boys, Cerita-cerita Rakyat Fables dan oh, tidak terbilang judulnya. Saya sangat suka membelek ensiklopedia dan meminjam buku cerita yang pastinya kumpulan cerpen dari negara-negara luar. Semasa kecil, dunia saya penuh dengan imaginasi cerita pari-pari dan 'orang jahat'. Mungkin kerana saya anak jati yang lahir di tepi pantai, cerita yang bertemakan lautan seringkali menjadi kegemaran! 


Perpustakaan Daerah Mersing - Mersing Library
(The new building. The reading area has a nice view though.
Too bad, I didn't have enough time to linger.)
Mungkin perlu saya nyatakan di sini, sepanjang berada di perpustakaan kecil ini, saya membaca dalam keadaan berdiri. Kadang kala apabila terlalu penat dan tekak terasa haus, saya akan duduk atas lantainya yang berhamparan debu dan tanah. Tetapi saya puas hati. Saya masih terbayang, kami pergi berdua sahaja dengan membonceng motor. Emak meninggalkan saya untuk beberapa jam di situ lalu pergi bermesyuarat di rumah W.I yang berdekatan. Inilah antara hiburan saya di Mersing semasa zaman kanak-kanak. 'Habuan' kerana menunggu emak bermesyuarat.


Part of the Mersing Town as seen from the top of Timbalan Hill
(where the big mosque is).


Same photo, slightly different angle.
That is my school's field where we had our sports day
and watching football or rugby. I was told, this is one of the historical
place in Mersing.
Maka tempat kedua yang gemar saya kunjungi tentulah pantai Mersing. Saya suka naik ke atas bukit Masjid Jamek Mersing dan menadah muka memandang air Laut China Selatan yang kehijauan diselar matahari tengah hari. Air laut itu akan bertukar menjadi kebiru-biruan apabila hari hampir petang. Saya boleh duduk berjam-jam lamanya di tepi pantai. Melihat orang meranduk kepah atau lala. Memerhatikan anak-anak kecil bermain ombak dan layang-layang. Sesekali akan lalu kapal-kapal nelayan atau feri membawa pelancong ke Pulau Tioman. Persisiran pantai ini pernah menjadi trek saya 'berjogging' setiap kali cuti panjang dari pengajian. Kawan-kawan saya tidak suka beriadah. Jadi, saya hanya keseorangan. Khabarnya kini, keadaan keselamatan tidak lagi terjamin seperti dahulu. Hal ini agak menyedihkan saya.


My secondary school on the left. I finished my Islamic studies
at the famous Bukit Timbalan Islamic School. Next to it, is the Mersing Library.
Can you see how strategic it is? I would rather sit in the library than coming straight home!
Oh, dont forget to check out the mosque on top of the hill. There was a small jungle track to go
up the hill from my school. That's the way, 'we' - the adventurous used. Sadly, there isn't
anymore. I hardly see the good old memories preserved here! 

Sekolah saya, Sekolah Menengah Sri Mersing terletak betul-betul di hadapan sebuah sekolah rendah kebangsaan cina. Di sebelahnya pula, Hospital Daerah Mersing. Selang beberapa meter sahaja, berdiri sebuah sekolah agama tempat emak pernah berbakti selama puluhan tahun. Sebenarnya, Sekolah Agama Bukit Timbalan ini berada di kaki sebuah bukit - Bukit Timbalan, yang mana menempatkan Masjid Jamek Mersing. Masjid inilah yang mencetuskan idea saya mengarang novel Lentera Cinta Albaicin (LCA) dan 'masjid kembarnya' yang berhadapan dengan Bukit Sabika, di Granada. Sesiapa yang pernah membaca LCA, tentu  mudah sahaja membayangkan gambaran ini.


Enjoying the favourite of 'Mersingers' - Keropok Lekor
(Delicious fish dough, fried in a hot cooking oil)
To enjoy the authentic taste, only choose the right stall.
Luckily we had grandma for this!
Crunchy on the outside, soft on the inside.
When Granada has churros, Mersing has its very own keropok lekor!
Viva Mersingia! Hehe.


The famous keropok entreprise, Haji Puteh.


Haji Puteh sells almost all the seafood products.
Most importantly, they are in good quality.


This is how and where they made it. Since my mother is a regular,
so I got the access to this area. It's an open cottage factory industry concept.
I bet the tourist must be enjoying this privilege too.

Sebagai anak Mersing, saya suka makan keropok lekor. Keropok lekor dan nasi dagang adalah dua 'trademark' yang cukup serasi dengan identiti Mersing. Tidak perlu pergi jauh hingga ke Terengganu untuk merasai keropok lekor dan nasi dagang asli. Di sini, anda boleh membeli nasi dagang daun pisang di Pasar Besar Mersing dan keropok lekor di Kedai Haji Puteh (kedai ini adalah pilihan emak saya).


Nasi Dagang in an antique basin.


The traditional Nasi Dagang should be wrapped in banana leaf like this.


I can finish two of this. Yummmmmmmy!
Bagi ahli keluarga saya, pulang ke Mersing tidak akan jadi sempurna andai tidak menjamah sebungkus nasi dagang dalam daun pisang. 

Demikianlah sedikit sebanyak yang dapat saya kongsikan mengenai pekan Mersing, tempat kelahiran saya. Saya anak kampung. Walaupun rumah saya berdekatan dengan kawasan bandar, berumah batu dan berpagar. Saya masih senang dengan bau garam laut dan pasir pantai. Memijak karang-karangan seperti siput laut dan tapak sulaiman. Sayang, kini keindahan pantai kami sudah semakin tercemar. Pudar ditelan pembangunan. Hilang dek kecuaian tangan penduduknya sendiri... . 


The palm trees replantation. It totally changed the landscape.

Sebelum pulang ke Selangor, saya termenung panjang di atas perkarangan Masjid Jamek Mersing sambil membuang pandang jauh ke tengah laut. Sebagai seorang penulis, apakah yang dapat saya sumbangkan kepada pekan kecil kelahiran saya ini? Apakah yang masih sempat saya 'selamatkan?'

Ada genang air mata yang bertakung menunggu tumpah. Namun saya telan perlahan-lahan. Hidup kian singkat, terlalu banyak yang ingin dikotakan. Ada kala, kita tidak mampu untuk berbuat semua! Tuhan, pinjamkan daku kekuatan dan permudahkan segala usahaku. Demi melestarikan pesanan amar makruf wa nahi mungkar. Amin Ya Rab.
  
My Mersing at dusk.
On a clear sky night, we could see the constellations,
smilling and sparkling like saying 'Hi!'. 

Tuan-tuan, terima kasih kerana masih berkunjung ke kafe ini. Sehingga kita ketemu lagi, salam Jumaat yang barakah buat kalian. 

Have a nice day. Drink your favourite coffee and keep on writing!

Mazny M.R.

(Note: Captions are written in English as it would be easier for my non Malay speaking readers)

Sunday 17 March 2013

Penulis Masa vs Penulis Rasa

Apa ada dengan Masa?

   Masih ingatkah anda, saya pernah menulis perihal si Penulis Masa dan si Penulis Rasa tidak lama dahulu? 

   Beberapa waktu kebelakangan ini, isu yang sama hadir semula mengetuk pintu hati saya. Tenggelam timbul dalam alunan rentak kerja. Berirama mengikut lenggok cerita dan perkhabaran yang saya terima. Wah, bila Mazny M.R. kembali menulis dalam bahasanya yang manis dan puitis, tentu ada perkara besar yang sedang membikin jiwanya kacau! Gelisah, buncah, ribut!

   Jom baca luahan hati saya bersama secawan kopi panas dan hidangan minum petang anda. Tentunya sembang-sembang kita, biar membicarakan perkara serius akan terlaksana dalam suasana santai. Begitu 'kan janji kita pabila bertemu di laman Aku dan Kafe Buku ini.

   Sejak mula lagi, saya selalu bertanyakan diri sendiri, "Apakah aku ini penulis masa atau penulis rasa ya?"... 

Seorang penulis masa akan selalu bergelut dengan masanya. Berkejar ke hulu ke hilir untuk menepati tarikh akhir sesebuah penulisan. Bersengkang mata membuat itu dan ini. Rujukan, pembacaan, perbandingan dan sebagainya. 
Yang paling penting, penulis masa harus berada di hadapan masa orang lain. Dia akan memastikan bukunya terletak di senarai teratas dalam giliran percetakan. Lantas di tangga teratas carta kepopularan. Penulis masa harus mengejar jumlah judul yang terhasil dalam setahun. Lebih banyak lebih bagus kerana itulah yang menjadi skala ukuran dunia penulisannya. 

Ah, nampak ruwet yang amat kerjaya seorang penulis ini! Apakah dapat bertahan? Kerana kita sedia maklum, menjadi penulis di Malaysia, hanya yang 'ngetop' sahaja yang mampu menyuapkan nasi ke mulut. Hanya yang glamor dan menulis mengikut pasaran sahaja yang boleh kekal lama. Tidak seperti di 'ranah sana'. Bilangan pembacanya jauh lebih tinggi. Walaupun bukunya kelihatan seperti tidak laku atau tidak pernah didengari orang, peratus penjualan jika hendak dibandingkan di sini, AMAT laku keras. 

Di Malaysia, jika jualan buku anda sudah mencecah ke 3000 buah, itu sudah dikira 'laku keras'. Sedangkan angka jualan yang sama di 'ranah sana' dianggap perkara biasa sahaja. Ini tentunya terhasil akibat jumlah pembeli yang lebih ramai. Ditambah pula dengan peranan agen penulisan (literary agent) yang bersifat proaktif dalam mempromosi buku-buku. 

Di Malaysia, jika anda mahu hidup senang hasil kutipan royalti penulisan, anda perlu menjadi seorang Penulis Masa. Noktah. Teori pemasaran dan penerbitan mencanangkan bahawa semakin banyak buku yang anda tulis, maka semakin tinggi rekod penjualan buku anda kerana pembeli di sini memilih buku berdasarkan populariti penulisan. Bukan kualiti hasil tulisan. Semakin banyak judul yang anda keluarkan, semakin senang untuk anda 'diketengahkan' oleh syarikat penerbitan. Ternyata ini sesuatu yang amat menyedihkan saya.

Selama ini, kita dimomokkan dengan tabiat malas membaca. Orang Malaysia? Mahu jadi penulis? Si pemalas membaca itu?... ~Gelak Gelak Gelak~

Sekarang, dengan pengukuhan pesta-pesta buku di seluruh negara, apakah orang Malaysia masih dikategorikan sebagai malas membaca? 

Terserah... saya rasa kita sudah berada disatu tahap yang boleh menepis segala gelaran yang tidak bermaruah itu. Pokok persoalannya sekarang pula ialah APAKAH yang kita baca? Jawapannya harus ada dalam koleksi buku yang anda miliki. Anda, selaku seorang pembaca, secara tidak langsung berperanan besar dalam menghalatujukan kualiti penulisan penulis-penulis di Malaysia.

Seorang penulis masa akan mempertaruhkan kerjaya penulisannya untuk memenuhi kuota pasaran. Saya kurang gemar mempertaruhkan nawaitu saya, kompas penulisan dan mazhab penulisan saya ke arah itu. Ya, buat masa ini, saya belum lagi hidup bermewah dengan hasil bayaran royalti kerana mungkin dengan segala usaha sekarang, belum melayakkan saya berada di tahap yang tersebut. In sya Allah, saya sedang cuba melangkah lebih jauh dengan memberikan yang terbaik selagi ada daya. Biarpun sedang bergelut dengan masalah kesihatan yang pasang surut. Saya tetap gagah menulis kerana inilah satu-satunya kecintaan saya sedari kecil.

Jujur saya akui, saya sebenarnya masih lagi seorang Penulis Rasa. Menulis dengan falsafah seperti memasak. Setiap rempah dan rencah, saya pastikan yang asli. Bukan sekadar bersadurkan pemanis tiruan. Ditumis dengan penuh kasih dan sayang. 

Adapun kisah cinta yang menjadi ketagihan para pembaca Melayu di Malaysia, saya hidangkan dalam bentuk hiasan masakan sahaja. Ia menjadi perisa tambahan. Seperti kerangupan bawang goreng asli atau hirisan cili merah dan cili hijau yang menaburi di celah-celah makanan. Begitulah seadanya kisah cinta dalam karya saya. 

Agaknya, bagaimana pula dengan nama-nama hebat dalam bidang penulisan, ya? 

Disenaraipendekkan dalam The Man Booker Prize 2012

Baru-baru ini, kita dikejutkan dengan kemenangan seorang penulis kelahiran Pulau Pinang, Tuan Tan Twan Eng, 41 tahun, yang menjadi kemegahan negara kerana menjadi penulis Malaysia pertama yang memenangi hadiah Man Asian Literary Prize (2012). Penyampaian hadiah tersebut bertempat di sebuah majlis yang eksklusif di Hong Kong. Kemenangan beliau telah mengalahkan nama-nama besar dalam dunia penulisan peringkat antarabangsa seperti Orphan Pamuk (pemenang Hadiah Nobel Kesusasteraan 2006) dari Turki, Jeet Thayil (pemenang Hadiah DSC for South Asian Literature 2013) dari India dan Hiromi Kawakami, seorang penulis wanita yang telah memenangi pelbagai hadiah penulisan seperti Woman Writer's Prize dan hadiah berprestij Tanizaki Prize dari Jepun.

Tidakkah ini sesuatu keterujaan yang tidak tergambarkan? Mungkinkah sebelum ini, para pembaca peringkat antarabangsa tidak pernah terfikir pun bahawa orang Malaysia boleh menulis sejauh itu. Saya sendiri tidak dapat membayangkan apakah bentuk perjalanan yang ditempuhi Tuan Tan bagi menembusi pintu penerbitan antarabangsa. Saya benar-benar ingin tahu! Saya amat percaya dan yakin, MALAYSIA memiliki RAMAI penulis yang hebat dan berbakat seperti Tuan Tan tetapi di manakah kesilapan kita setakat ini? Apakah cukup dengan menyandang kejuaraan di gelanggang sendiri? 

Walaupun saya tidak pernah memenangi apa-apa sayembara atau pertandingan penulisan (malah tidak pernah cuba menghantarkan karya pun), saya tetap mahu melihat rakan-rakan penulis terutamanya yang Melayu dan sudah jauh bertapak kukuh itu, melebarkan sayap mereka ke peringkat antarabangsa. Mengapa? Kerana dengan ini sahaja, kita boleh memperjuangkan falsafah kita. Jati diri kita dan membetulkan segala tanggapan negatif tentang 'orang-orang Melayu - orang coklat yang bodoh dan pemalas dan kuat mengamuk!'. Tanggapan yang keterlaluan? Maaf, itulah hakikatnya.

Seperkara yang saya pelajari daripada Tuan Tan, beliau memberitahu bahawa bagi novel pertamanya, The Gift of Rain (yang tercalon untuk senarai panjang Man Booker Prize tahun 2007), tempoh penulisan yang diambil diibaratkan seperti 20 tahun pengalaman hidup yang dikutip sebagai rencah karya tersebut. Cemburu saya, apabila mengetahui novel ini telah diterjemahkan ke dalam beberapa bahasa antaranya, Itali, Sepanyol, Serbia dan Perancis. 

Bagi novel kemenangannya, The Garden of Evening Mist (yang juga tercalon  untuk senarai pendek Man Booker Prize 2012), beliau menghabiskan masa selama tiga tahun membuat penyelidikan, perancang dan menulis. Oleh sebab itu, beliau tidak boleh saya kategorikan sebagai penulis masa. Beliau tidak tergesa-gesa mengejar masa tetapi menghargai masanya dengan memberikan rasa yang mendalam dalam tumpahan idea atau karyanya itu. 

Nah, inilah yang membezakan penulis masa dan penulis rasa. 

Penulis masa mungkin mengecapi kemewahan segera. Cepat naik, cepat turunnya. Sementara penulis rasa, benar-benar menjalankan tanggungjawab bakat penulisan itu lewat rasa kecintaannya atas apa yang dia kerjakan.  Ganjarannya? Bukan sahaja wang kemenangan RM93 000 yang memenuhi akaun bank tetapi sebuah gelaran yang pastinya akan membawa Tuan Tan melakar karya di gelanggang para elit dalam kerjaya penulisannya di peringkat antarabangsa. Falsafah pemikirannya akan tersebar seantero dunia. Mungkin khalayak pembaca antarabangsa akan lebih mengenali kita melalui pemikiran Tuan Tan?

Wallahua'lam. Apa-apa pun, sebagai seorang penulis, saya berbangga dan mengucapkan tahniah kepada Tuan Tan Twan Eng. Beliau kini sudah bergelar penulis sepenuh masa (agaknya supaya tidak terkejar-kejar mencuri masa) dan menetap di Cape Town, Afrika Selatan. Tahniah tuan. 


Maaf, saya agak kurang sihat sejak akhir-akhir ini. Stamina sudah jauh menjunam. Makanya bukan sahaja kesihatan malah kerja-kerja penulisan pun terganggu. Termasuklah memuatkan entri baharu. Para pengunjung yang dikasihi, doakan agar saya diberi kekuatan untuk terus menulis ya? Terima kasih atas doanya. Doa yang sama malah lebih manis saya titipkan buat anda semua. Ameen Ya Allah. 

Salam petang Ahad,

Mazny M.R.