Pages

Monday 26 September 2011

Alhamdulillah...

Saya selamat pulang dari menyempurnakan undangan kedai buku MPH Taman Universiti, Skudai, Johor.

Bagi penulis-penulis tersohor, undangan kecil sebegini mungkin tidak memberikan apa-apa erti tetapi buat seorang penulis baru seperti saya, ia amat BESAR maknanya.

Saya bukan sahaja berpeluang 'memperkenalkan' diri tetapi bertuah kerana dapat mengenali Kak Siti, DJ radio yang sangat sporting dan juga merupakan salah seorang penulis senior. Saya juga dapat berkenalan dengan dua orang penulis terkenal dari Alaf 21. Bagusnya mereka berdua sangat peramah dan tidak lokek berkongsi pengalaman dengan saya.

To both of you... we really had a good time, right?

Semasa di sana, saya rasa amat bersyukur kerana diizinkan membaca sedikit daripada petikan LCA. Wah, Miss Nadya bukan main mengkritik lagi. Tidak mengapa, beliau memang pengkritik nombor satu saya! Ya, sebenarnya saya tidak bersedia kerana malam sebelumnya beraya sakan!... (Itulah, kan mak dah pesan, raya sehari saja tapi kau nak jugak raya sebulan!)

Apa-apa pun, ribuan terima kasih kepada GISB dan team MPH Taman U terutamanya Cik Rohaiza kerana membuatkan kami tidak berasa kekurangan sepanjang  sesi tersebut berlangsung. Cuma, bahang cuaca pada hari itu benar-benar terasa sehingga ke hari ini. Malam semalam, saya menggigil macam nak demam pun ada. Mungkin juga salah satu faktor mengapa tidak ramai peminat novel yang datang ke khemah kami. Alhamdulillah, tetap bersyukur... .

Sedikit ole-ole dari Pesta Konvo UTM Skudai buat pelanggan Aku dan Kafe Buku;


DJ Kak Siti & Me



My 1st Book Reading Ever =)




Poster LCA sumbangan MPH... aww, tq!





Me-Mar-Kak Ani seronok berkongsi pengalaman


Sunday 25 September 2011

Penulis Perlu Proaktif?


Puan Ain Maisarah & Suaminya


Apa pendapat anda?

Setelah berbulan-bulan berhempas-pulas menghasilkan sebuah buku dan melihatnya terpamer di atas rak-rak kedai buku, seorang penulis sudah boleh tersenyum lebar... . Setakat itu sahajakah kerja dan tanggungjawab seorang penulis? Biar dalam genre apa sekali pun hasil kerja beliau itu dikatogerikan.

Secara jujurnya, saya merasakan tanggungjawab seorang penulis melangkau jauh daripada itu semua. Buku yang kita ada, adalah harta intelek kita. Sesuatu yang kita hasilkan dengan sepenuh hati dan harapan menggunung tinggi agar ia boleh dimanfaatkan oleh ramai orang. Bukan tersadai dalam stor dan gudang penerbitan!

Jikalau buku-buku kita tersadai sebegitu bukan penerbit sahaja yang akan rugi, penulis juga akan kerugian dalam banyak perkara. Antara kerugian besar yang dapat saya lihat;

1) Penulis telah membazirkan masa yang panjang dalam membuat kajiannya untuk menghasilkan tulisan yang bermutu. Padahal, beliau boleh sahaja menggunakan masa tersebut untuk tujuan lain yang lebih bermakna dalam hidupnya.

2) Penulis akan merasa 'patah-hati' kerana matlamatnya hendak memandaikan bangsa boleh terkubur dalam stor atau gudang penerbitan. (Tanah perkuburan tidak rasmi bagi banyak buku yang bermutu tanpa nisan!)

3) Harta intelek yang sepatutnya menjadi amal-jariah sesudah penulis kembali kepadaNya akan menjadi berhabuk dan terbiar begitu sahaja. 

4) Penulis yang pada asalnya bercita-cita hendak menaikkan semangat bangsa dan memperjuangkan kemuliaan agama akhirnya terpaksa akur dan beralih arah kepada penulisan yang lebih santai dan popular. (Saya tidak menyalahkan pembaca 100% apabila mereka lebih memilih pembacaan sebegini. Ada banyak sebab mengapa hal ini terjadi dan gabungan penerbit dan penulislah yang sebenarnya memainkan teraju utama dalam penciptaan trend sedemikian!) 

5) Penulis tidak mendapat semangat baharu untuk meneruskan perjuangannya dalam bidang penulisan. Beliau mungkin hanya berjaya menghasilkan sebuah buku sahaja seumur hidupnya. (Mudah-mudahan ini tidak terjadi kepada saya!... Na'uzubillah! Masih banyak lagi yang ingin saya ceriterakan kepada kalian!) =)

6) Penulis yang berbakat tetapi karyanya tidak 'sampai' kepada pembaca akan cepat kehilangan kreativitinya. Beliau akan menyalurkan bakat tersebut kepada sesuatu yang lain. Ya, menulis juga suatu kerja seni yang memerlukan faktor-faktor penyumbang kepada inspirasi dan aspirasi diri. 

Okey,

Cukuplah saya membebel. Saya kira masih banyak lagi kerugian yang tidak ternampak oleh orang luar. Namun perkara yang ingin saya tekankan di sini ialah, apakah penting seorang penulis itu menjadi proaktif dalam memasarkan karyanya? 

Patutkah kita berdiam diri dan menunggu nasib menyebelahi diri... ? Dalam hal ini, saya sebulat hati mengatakan... TIDAK! 

Anda kenal Ain Maisarah? Sesiapa yang mempunyai anak remaja pasti akan mengangguk. Sesiapa yang tidak mempunyai anak remaja pun, saya dapat rasa akan terangguk-angguk juga! 

Dalam ramai penulis buku di Malaysia, saya kira Puan Ain Maisarah adalah sangat beruntung. Beliau memiliki satu tag-team yang ampuh lagi berkesan. Beliau dan suaminya bukan sahaja sanggup turun padang memasarkan produk-produk mereka tetapi sangat bijak menggunakan perkembangan teknologi semasa sebagai senjata pemasarannya yang amat berkesan. Pernah melawat ke sekolah maya ciptaannya? Silakan, anda pasti akan kagum.

Idea ini sama sahaja seperti J.K.Rowling yang mencipta sekolah Hogwart di alam siber dan pengarang-pengarang The 39 Clues yang mencipta sebuah permainan maya berdasarkan novel dari tajuk yang sama. (Dalam hal ini, kredit kepada Nadya kerana selalu memberi informasi terkini kepada saya). Saya pula tidak suka simpan ilmu. Kafe ini tempat saya kongsikan semuanya... insya-Allah. Anda lihat? Bagaimana satu karya menghasilkan satu karya yang lain dan hasilnya?... keuntungan.

Tidak ramai penulis Malaysia yang sanggup mengambil langkah proaktif seperti ini. Saya pernah duduk dalam seminar penulisan dan pemasaran Ain Maisarah (dan suaminya). Saya kira beliau adalah antara penulis (di Malaysia) yang bersikap jujur dalam menurunkan ilmu. Banyak perkara yang saya pelajari walaupun sesetengahnya saya sudah tahu tetapi... tidak bersemangat hendak merealisasikan! =(

Saudara,

Ada berapa ramai penuliskah yang bernaung di bawah sesebuah syarikat penerbitan? Saya kira jika ia sebuah penerbitan aktif yang bagus, sudah tentu hampir mencecah angka seratus. Mungkin juga lebih.

Adakah kita selaku penulis perlu menunggu dan berpeluk tubuh sahaja? Kita tidak boleh menunggu untuk diri ini dimanjakan. Namun penting juga saya sebutkan di sini, tag-team antara penulis-penerbit akan lebih berkesan dalam meningkatkan angka jualan! Two heads are better than one.  

Jika di barat, masyarakatnya begitu supportive sekali dalam mengangkat usaha penulis. Pantang ada book-signing, pasti mereka akan teruja. Paling tidak pun, mereka akan duduk dan mendengar sedikit pengenalan yang dibuat oleh penulis. Beli atau tidak, belakang kira. Jangan ditanya dari mana saya tahu semua ini.

Saya ingin sekali melihat keadaan ini berlaku di persada tanah air kita. Benar, ada beberapa media yang sedang memainkan peranan sedemikian. Namun peluangnya hanya terhad kepada segelintir penulis sahaja! They can't cover every writers in Malaysia, you know! 

Oleh kerana itu, dalam hal ini, penulis PERLU bersikap proaktif. Lebih-lebih lagi seorang penulis seperti saya; yang menulis sesuatu yang lain dari yang lain. Oh maaf. Mungkin anda tidak nampak lagi akan hal itu. Tidak mengapa. Tidak ada sesiapa pun yang boleh menilai kita berdasarkan sebuah buku. Perjuangan saya masih baru. Mudah-mudahan dengan izin Tuhan, suatu hari nanti saya menemui 'diri' saya dalam bidang penulisan ini. 

The question is... "How to succeed when you're the only one like you?"

Waktu kian menginjak dinihari. Udara semakin sejuk di luar sana. Mata juga sudah terasa berat. Saya baru pulang beraya dari rumah seorang kawan. Beliau bertanyakan dunia penulisan saya. Walaupun berasa segan, saya hulurkan juga sekeping kad mempromosi kafe maya kita ini. Saya katakan kepadanya, kafe ini masih baharu usianya. Tidaklah secanggih blog orang lain. Perbualan kami berkisar tentang dunia anak-anak dan buku-buku. Mungkin dalam kesempatan lain, saya akan tulis mengenai perbincangan kami. (Setiap perbincangan adalah wacana ilmu bagi saya). 

Esok pagi, saya akan bertolak ke UTM Skudai; mempromosi novel LCA. Bersama-sama saya nanti tentulah sebarisan penulis lain yang sudah ada nama. Seperti biasa, saya akan merasa kecil membandingkan diri dengan orang lain. Mampukah saya menjadi seorang penulis proaktif seperti yang saya hajatkan? 

Nantikan jawapannya dalam entri akan datang. Selamat malam semua. Berdoalah semoga kalian  bermimpi yang indah-indah.
  

Tuesday 20 September 2011

Penulisan Itu Pada Bakat Atau Usaha?

Pernahkah anda terfikir, adakah bakat yang menentukan kerjaya seseorang penulis ataupun kesungguhan dan dedikasi yang dimilikinya?...

Suatu ketika dahulu, saya selalu berfikir, setiap orang perlu ada bakat menulis yang hebat barulah boleh berjaya menjadi seorang penulis. Saya selalu membayangkan bahawa seorang penulis hidupnya pasti akan sunyi kerana seperti seorang pelukis, dia memerlukan suasana dan masa yang terpencil dari khalayak. Penulis amat memerlukan 'mood' yang selari dengan apa yang sedang dihasilkannya. Mengapa?

So that they can create a masterpiece! Maybe... .

Sewaktu proses penulisan novel LCA ( yang bukanlah sebuah mahakarya), saya memang jadi begitu. Saya jadi sibuk dengan membuat kajian online. Saya menghabiskan masa malam hari dengan bersengkang mata untuk membaca dan membuat rujukan silang. Saya sanggup berkampung di kedai buku semata-mata mahu membaca rujukan yang tidak mampu saya beli kerana harganya yang terlalu mahal (buat saya). Dalam bilik saya, terdapat satu ruang kerja yang menjadi pejabat saya di rumah. Di situlah saya makan, minum, melukis, membaca, mengaji, merapu, menangis, ketawa dan sebagainya. Kadang-kala di situlah juga saya tidur!

Tak... saya bukan tertidur atas meja. Tapi atas katil yang hanya beberapa langkah jauhnya.

Saya tidak pernah percaya kepada kejayaan tanpa usaha. Dalam hidup ini, manusia diajar supaya berusaha untuk mendapatkan sesuatu. Yang pipih takkan datang melayang, yang bulat takkan datang bergolek! Oleh itu, saya lebih percaya bahawa bidang penulisan memerlukan sejumlah besar usaha berbanding bakat. Mungkin dalam sembang-sembang selepas ini, anda dapat memahami dengan lebih jelas lagi apa yang saya maksudkan.

Saya pernah membaca edisi Dewan Sastera yang mengupas fokus 'Sejauh Mana Bengkel Penulisan Sastera Melahirkan Penulis?'  Kemudian saya gagahi diri membaca dua buah buku ini secara beransur-ansur;

1) Chicken Soup For The Writer's Soul
2) Bagaimana Saya Menulis-Proses Penciptaan Cerpen

Saya lakukan ini kerana saya ingin belajar dan melihat daripada pengalaman orang lain. Di kafe buku ini, saya ingin berkongsi sedikit pengajaran yang sempat saya kutip daripada pembacaan tersebut. Saya begitu tertarik membaca pengalaman demi pengalaman yang tertulis di dalamnya. Memang benarlah kata sifu-sifu penulisan saya. Sebahagian besar kejayaan seseorang untuk bergelar penulis itu bukanlah datang dari bakatnya tetapi usaha.

Antara proses penulisan yang menarik perhatian saya ialah seperti yang dirakamkan oleh Maskiah Hj. Masrom yang menghasilkan 'Nyanyi Sunyi'. Saya jadi kagum dengan kesungguhan beliau dalam menukangi karya tersebut. Beliau mengambil masa mencari bahan-bahan dan mengaulnya dengan kisah benar. Saya juga memiliki novel beliau dengan tajuk yang sama dan saya bagaikan tenggelam dalam keindahan bahasa di dalamnya. Tidak berserabut otak hendak mentafsirkan. Sungguh manis dan puitis. Apa yang penting, tidak pula melunturkan kualiti dan mutu bahasa yang SEPATUTNYA ada dalam novel-novel percintaan di Malaysia. Saya juga perasan, ada beberapa kesamaan dalam proses penulisan beliau dengan apa yang saya tempohi. Mungkinkah persamaan itu yang membuatkan jiwa saya begitu dekat dengan karya-karya beliau? Mungkin... .

Hal yang sama saya temui dalam novel Puan Nor Zailina Nordin - Arjuna Hati. Saya kagum dengan gaya bahasa yang mewarnai jalan cerita novel ini. Melalui penghayatan saya, bukan sedikit kajian yang beliau jalankan. Bayangkan ceritanya sahaja merentas beberapa zaman dan generasi. Ya, saya bukan seperti sesetengah orang, takut hendak memuji karya orang lain kerana takut buku sendiri tidak laku! Mengapa kita perlu ada sikap begitu?

Dalam buku Chicken Soup For The Writer's Soul pula, Ethel Bangert menulis pengalaman beliau menghasilkan sebuah buku mengenai kekejaman tentera Hitler. Beliau telah membaca bagaimana pihak Nazi menyeksa tawanan mereka dengan menyarungkan kepala tawanan itu dengan baldi yang diperbuat daripada besi lalu memukulnya kuat-kuat dengan kayu berulang-ulang kali supaya tawanan itu berada dalam kesakitan. Bagi mempercayainya, beliau sanggup melakukan eksperimen yang sama ke atas diri sendiri! Bayangkan? Akhirnya berdasarkan pengalaman peribadi, beliau berjaya 'menulis' kesakitan tersebut.

Lihat? Betapa gigih (gilanya) usaha seorang penulis dalam penghasilan karya mereka? Minda saya selalu menerawang - sejauh manakah keberanian saya untuk menulis sesuatu yang saya tahu ia ada (wujud) dan sangat perlu diambil perhatian? Ya, kadang-kala kita perlu merasai untuk menjiwai. Dalam hal ini, saya langsung teringatkan ayat ketiga dalam Surah Yusof. 

"Kami ceritakan kepadamu wahai Muhammad, seindah-indah kisah dengan jalan Kami wahyukan Al-Quran ini, padahal sebenarnya engkau sebelum datangnya wahyu itu, adalah dari orang-orang yang tidak pernah menyedari akan halnya." 

Tuan-tuan, 

Kisah Nabi Yusof adalah kisah yang indah. Kisah yang indah itu; kisah yang benar-benar terjadi. Tidak semestinya cerita yang kita tulis nanti merupakan pengalaman sendiri. Mungkin sahaja liku-liku kehidupan seseorang. Pengajarannya di sini, jika anda mahu menulis sesuatu yang memberikan kesan, pastikan anda tahu 'merasai' apa yang anda nukilkan. Barulah pembaca dapat merasa apa yang anda rasa. Saya tidak dapat menafikan, pembaca di Malaysia lebih senang disentuh perasaannya dengan kisah-kisah cinta. Mungkin kerana cinta itu ada di mana-mana? Namun sekali-sekala kita juga perlu berusaha untuk 'mempelbagaikan cinta'! Secara tidak langsung pemikiran pembaca pasti akan berkembang. Itu lebih penting daripada cinta yang pusing-pusing tang tu juga, betul tak?  

Berbalik kepada bidang penulisan, saya kira bakat hanya menyumbang kepada beberapa peratus sahaja dalam bidang ini dan bakat memang boleh digilap. Tetapi usaha yang membentuk bakat kepengarangan seseorang?... memang payah!

Nah, terpulanglah kepada anda.
Jika memang benar anda mahu menjadi seorang penulis, lakukanlah yang terbaik semampunya. Cerita yang dijual perlu juga mengikut arus permintaan namun janganlah sampai kita sanggup menggadaikan perjuangan (mengapa anda mahu menulis?). Memang tidak mudah hendak memenuhi selera para peminat buku. Pada saya, bidang ini adalah satu medan perjuangan yang getir. Setiap penulis mempunyai misi dan tanggungjawabnya yang tersendiri - bergantung kepada apa yang mahu diperjuangkan. Saya rasa semua orang menyedari akan hal ini. Saya juga rasa, setiap penulis pasti akan diuji dengan apa yang beliau karyakan!

Oh, saya perlu akhiri entri ini sekarang. Perlu berkejar ke gym! Sedar tak sedar, sudah sebulan tidak menjenguk kafe sendiri. Hehe... maafkan saya. Saya pinta kepada sesiapa yang pernah singgah di sini, tinggalkanlah 'jejak' di mana-mana. Dalam chat box, ruang komen atau sekurang-kurangnya tandakan pada kotak 'reactions' di bawah setiap entri saya. Kepada yang terlebih rajin, bolehlah menyambung cerpen 'Doa Seorang Cinta' dan menghantar e-mel. Terima kasih! Nanti saya poskan hadiahnya. Novel? Bukan... novel LCA, anda kena beli sendiri! Hadiah dari saya berbentuk eksklusif. ;)

Mulai hari ini, saya juga berazam mahu menulis paling tidak pun tiga kali seminggu. Itupun... dengan izin Tuhan! =)