Pages

Thursday 6 October 2011

Sastera Remaja dan Kanak-Kanak

Sastera Remaja & Kanak-Kanak


Amaran: Ini bukan lukisan kanak-kanak!


Pentingkah kita mengambil berat dalam perkembangan cerita remaja dan kanak-kanak?

Apa yang ada dalam cerita remaja dan kanak-kanak?

Lazimnya golongan ini boleh dipecahkan kepada beberapa peringkat. Kanak-kanak yang telah melangkah ke alam persekolahan sudah memiliki potensi sebagai seorang pembaca buku kita.Fokus sembang-sembang kita pada kali ini lebih menjurus kepada kumpulan pembaca awal remaja iaitu yang berumur antara tujuh hingga tigabelas tahun.

Sebenarnya saya sendiri pun sangat suka membaca buku cerita remaja dan kanak-kanak. Jika dulu, pilihan saya mestilah kepada buku-buku dari luar negara. Ceritanya bukan sahaja sedap dan unik, kulit buku pun tebal boleh membuatkan kita terpaku dan leka membeleknya.  Sekarang, industri buku remaja dan kanak-kanak sedang berkembang dengan begitu pesat sekali. Semakin ramai penerbit menerbitkan cerita bersiri dalam kategori ini dengan kulit buku yang canggih-canggih. Jika ke kedai buku, anda boleh lihat bagaimana mereka sedang 'meniru' dan bersaing sesama sendiri!

Siapa kata "Don't judge the book by it's cover?"... dari segi pemasaran, saya kira kata-kata itu tidak boleh diambil pakai menjadi pegangan. 

Buku yang macam mana yang seharusnya anak-anak kita beli? Jika soalan ini ditujukan kepada ibu bapa, saya kira tentulah jawapannya begini;

1) Yang cantik.
2) Yang sesuai dengan umur.
3) Yang kena pada harga.
4) Yang mempunyai unsur-unsur tarbiah & nilai-nilai murni.

Lalu bagaimana dengan...

4) Yang mengajar gaya bahasa yang betul.
5) Yang memperlihatkan kesopanan.
6) Yang tidak mempromosikan cinta seawal usia.
7) Yang memupuk persahabatan.
8) Yang mengekalkan keunikan budaya timur.

Hmm, mana nak cari buku yang lengkap dari nombor satu sampai lapan' kan? Paling penting... mahukah anak-anak kita membaca buku-buku yang sedemikian?

Jika dilihat pada perkembangan remaja kala ini, mereka begitu asyik dengan siri-siri cinta dan tahyul. Tidak perlu saya senarai panjangkan. Berlambak di rak-rak buku. Perlukah kita memanjakan permintaan sebegini semata-mata kerana mahu memenuhi kehendak pasaran? Bahayanya siri-siri popular seperti ini, sama ada disedari ataupun tidak - berjaya membawa masuk bersama kebudayaan dan norma-norma kehidupan asing dalam karya-karya yang dibaca. Secara tidak langsung, hal ini mempengaruhi jiwa dan gaya hidup anak-anak dalam diam!

Perlukah yang cool dan yang awesome itu meniru bulat-bulat semua perlakuan yang tidak berakar umbi daripada agama, budaya dan bangsa kita? 

Sebenarnya, saya sedang dalam proses penulisan satu siri awal remaja bertajuk 'Oh wow... ' (tajuk belum finalised). Manuskrip pertama baru sahaja dipersembahkan kepada tuan editor. Siri ini mengisahkan empat sekawan iaitu Mia, Yaya, Ezzatul dan Luna. Selain belajar di dalam satu kelas, pelajar-pelajar perempuan ini juga ada menubuhkan sebuah kumpulan muzik yang diberi nama The 4-On. Di sekolah yang sama, ada tiga orang pengawas sekolah yang selalu memberikan saingan kepada mereka baik dari segi pelajaran mahupun aktiviti-aktiviti yang lain. Kumpulan pengawas ini diberi nama jolokan Miss Everything Perfect. Mengapa? Hah, yang itu kena baca ceritanya. Hehehe... .

Mungkin ramai yang terdetik - adakah siri ini sama dengan kisah-kisah kumpulan Diva Ini vs Diva Itu? Atau Si Puteri Ini menjadi peminat rahsia Si Putera Itu?... Hmm, apa yang boleh saya katakan, siri ini masih lagi mengupas isu-isu sosial dalam perkembangan kehidupan awal remaja. Namun seperti yang anda tahu, saya memang suka membuat percubaan untuk tampil lain dari yang lain. Perkara penting yang ingin saya ketengahkan dalam siri ini ialah interaksi dan toleransi antara pelbagai bangsa. Selain daripada mempromosi kehidupan sebagai seorang muslim, saya juga ingin mengetengahkan cara hidup kita di Malaysia... tanahair kita. Kira-kira siri ini, novel awal remaja Satu Malaysia kononnya... (insya-Allah).

Sekiranya kita melihat kepada pasaran, memang agak sukar untuk memancing minat remaja kepada buku-buku terbitan sendiri. Ramai yang lebih suka membaca kisah hidup orang luar terutamanya dari barat, Korea atau Jepun. (Apabila menulis tentang hal ini, saya tidak hanya mensasarkan kepada golongan awal remaja Melayu sahaja). Oleh kerana itulah, watak-watak utama dalam siri 'Oh wow... ' mewakili tiga kaum  majoriti di Malaysia. Resepi dalam siri ini, saya adun daripada kisah-kisah dan pengalaman-pengalaman unik mereka yang dekat dengan saya. Ehem, saya pun pernah jadi 'kanak-kanak Ribena' suatu ketika dahulu!

Apa-apa pun, mohon doakan agar saya diberi kekuatan untuk meneruskan kerja-kerja penulisan yang semakin mencabar kala ini. Saudara, bukan senang hendak menurunkan 'aras bahasa' dan pemikiran orang dewasa kepada budak-budak. Silap-silap boleh melahirkan penciptaan bahasa dan budaya rojak!

Sekian dahulu untuk kali ini. Salam sayang!

Makluman tambahan: Novel awal remaja yang saya maksudkan di atas sudah pun diterbitkan pada bulan Oktober 2012. Para pengunjung boleh membaca mengenai novel ini dalam entri yang bertajuk 'Wow, Coklat Fondu Mia!'. 

p.s : Gambar di atas dilukis khusus untuk entri ini. Hehe, bukan pro... prosak! (profesional + rosak)
         Saya memang susah nak fokus pada details  =(



    

No comments:

Post a Comment