Pages

Monday 29 August 2011





Doa Seorang Cinta

Subuh menjadi dingin dan membeku.
Langkah kakiku yang ternyata longlai membilang tapak ke arah Kebun Asmara. Di bawah dahan sebatang pokok Hati yang rendang, aku melihat dia sedang duduk berbuaian perlahan. 

"Sudah pulang?" dia mengangkat muka sebaik aku mendekat. Angguk sekali.

"Jadi? Bagaimana?" matanya jelas mempamerkan rasa kurang sabar.

"Cinta... ," aku memanggil namanya sepatah. Mulut ini bagaikan terkunci dan terpateri dengan canaian logam tujuh benua. Aku membutuhkan kata-kata yang tepat untuk disampaikan kepadanya. Sebolehnya, aku tidak mahu hati kecilnya terguris lagi. Namun pada masa yang sama, aku lihat harapan yang tadi terpancar cerah dari raut wajah seorang Cinta tiba-tiba pudar menjadi gerhana.

 "Aku tahu," dia menoleh ke arah yang berlawanan. Dia tahu?... Dia tahu tanpa perlu mendengar aku memberitahu kepadanya? Entah mengapa, hati kecilku sendiri yang berasa melecet kepedihan. Aku melihat dia tidak bergerak memerhatikan lenggang-lenggok goyang pohon renek yang sedang berbunga mekar dipuput bayu. Demi melihatnya bermuram, aku jatuh kasihan.

"Biarkan dia pergi, Cinta. Kau sudah terlambat," bicaraku lembut. Dia tidak memberikan sebarang tindak-balas. Wajahnya semakin lesu, kusam dan tidak lagi bercahaya. Matanya... ah, mata itu sudah terlalu banyak berbicara tanpa sedar. Hanya mereka yang berada dekat dengannya sahaja yang menyedari betapa sejak lewat kebelakangan ini, mata itu juga sudah menjadi semakin 'diam'. 

"Aku harus pergi," dia mempamitkan diri. Langsung sebelum dia bangun, aku lekas-lekas menahan. "Jangan pergi!" pintaku separuh merayu.

"Mengapa?" dia menjawab dihiasi senyuman sinis.

Aku menundukkan pandangan. Padang rumput hijau di bawah telapak kaki kini terasa semakin jauh terbenam.

"Hidup tidak selalunya indah. Kematian itu juga bukanlah mudah." Dia hampir-hampir membeliakkan mata sejurus mendengar falsafahku. Sesaat dua, aku fikir dia bakal menghamburkan tangisan. Aneh. Gadis anggun ini terus sahaja ketawa.

"Kau mengandaikan bahawa aku akan bunuh diri, begitu?" Aku pula yang terkedu mendengar telahannya yang amat tepat. "Tidak, bukan begitu... ." Aku berbohong.

"Aku tidak perlu membunuh diri, Seer," demikian dia menuturkan dalam nada yang keras. "Mahu tahu mengapa?"

Aku menggeleng.

"Kerana aku sudah lama mati!" Aku menelan liur tetapi ia tersekat seperti seketul batu yang membeku di saluran kerongkong. "Cinta!"

Dia tersenyum sinis. "Benar, Seer. Aku sudah lama mati. Jiwaku, akalku, nafsuku hatta deriaku kini sudah semakin tidak berfungsi. Aku menjadi lumpuh tetapi masih mampu bergerak. Aku masih kelaparan biar tadi sudah menjamah sedulang makanan." 

"Kau perlukan pertolongan," aku memujuk. Dia berkalih dengan renungan tajam. "Aku?"

  
Okey, ini adalah intro kepada sebuah cerpen fantasi. Mengapa saya klasifikasikan ia sebagai fantasi? Kerana latarnya... Kebun Asmara yang sebenarnya adalah hati manusia. Watak Cinta adalah nadi cerita. Cinta yang merasai sebuah pengkhianatan, sudah kehilangan rasa cinta dan kepercayaan terhadap dirinya sendiri. Pening? Janganlah...

Sebabnya begini, saya mahu cerpen ini disambung oleh sesiapa sahaja yang berkunjung ke Kafe Buku kita. Sengaja saya letakkan tajuk Doa Seorang Cinta. Mengapa? Supaya penulis yang menyambungnya nanti bisa mengarahkan penghujung ceritanya kepada pergantungan seorang makhluk kepada Tuhan. Cabarannya bukan sahaja terletak kepada latar fantasi tetapi bagaimana kreatifnya anda menjalin kisah cinta islami dalam latar yang sedemikian.

Mahu mencuba? Silakan... panjang keseluruhan cerpen ini antara 2000-2300 patah perkataan. Hadiahnya? Sesuatu yang istimewa daripada Mazny.M.R. Insya-Allah akan diposkan kepada sesiapa yang bergelar pemenang. Karya pemenang adalah hak milik Aku Dan Kafe Buku untuk disiarkan di kafe kita. Peraduan ini akan sentiasa terbuka kepada sesiapa pun selagi belum ada pemenang.

Hantarkan karya anda kepada mazny.m.r@gmail.com

Selamat berkarya!

Thursday 11 August 2011

Seputar Lentera Cinta Albaicin I

Lentera Cinta Albaicin 'terbang' ke Granada...

Peta ringkas Albaicin


Granada, bumi bertuah yang pernah merakamkan sebuah sejarah tamadun Islam yang gilang-gemilang. Entah mengapa, pada suatu hari, ketika sedang menonton sebuah filem, saya yang meminati sejarah tamadun Islam jadi begitu tertarik untuk menyelidiki kisah silam ini.

Selepas beberapa bulan membaca, menonton video dan membuat rujukan silang, saya dengan beraninya mengarang sebuah e-mel ringkas kepada Pengarah Masjid Jamek Granada ketika itu, memohon keizinan untuk melakukan penyelidikan secara maya tentang budaya dan kehidupan masyarakat Islam Arab-Morocco di sana.

Alhamdulillah, permintaan saya ditunaikan oleh Nya.

Maka bermulalah pengembaraan saya secara maya dalam menyelami nasib penduduk Islam di sana. Lentera Cinta Albaicin lahir sebagai novel sulung saya. Saya tidak pernah berangan-angan ia bakal melonjak seperti novel Stanza Cinta yang kini telah pun menemui peminat di kaca TV. Namun bohong jika saya katakan, saya tidak pernah memasang sedikit angan-angan juga.

Angan-angan yang selalu saya fikirkan sewaktu menukangi karya ini, agar suatu hari nanti, paling tidak pun, akan ada seseorang yang sudi membaca naskah LCA sambil menyusuri Lembah Albaicin.

Alhamdulillah! Beberapa bulan yang lalu, saya dikunjungi e-mel seorang pembaca yang budiman. Beliau telah pun menyempurnakan hajat saya. Antara katanya,

Salam P.Mazny,

Saya telah membaca novel di atas. Tahniah kerana berjaya menerbitkan novel cinta bercorak Islamik dan berkisar di dua negara. Saya membaca novel sepanjang perjalanan ke Albaicin awal Jun 2011 dan novel itu banyak membantu saya menyelusuri sejarah kerajaan Islam di sana.

Terima kasih Tuhan atas nikmat ini. Saya juga ingin mengucapkan tahniah buat Saudara Baba dari Kota Kinabalu, Sabah kerana berjaya menjadi pembaca pertama yang berbuat demikian! Sesungguhnya anda, pembaca istimewa saya. (Patut bagi hadiah tak? Hmm... )

Saudara Baba juga bercerita, beliau telah pun merasa nasi kus-kus dan bertemu dengan Munira di sana. Sudah begitu lama saya tidak menghubungi sahabat saya yang banyak membantu sebahagian daripada kajian LCA ini. Agaknya, masih ingatkah Munira pada saya?

Sayang sekali, novel ini dalam Bahasa Melayu. Jika tidak, pasti sudah saya kirimkan ke Granada sebagai cenderamata buatnya. Semoga Allah membalas segala jasa baikmu Munira!

Berbalik kepada LCA, sebenarnya sudah beberapa orang yang bertanyakan sambungan kisah ini. Saya sendiri tidak dapat membuat keputusan. Semuanya bergantung kepada permintaan pembaca dan arahan daripada editor. Walaupun kisah Leyla-Salehuddin-Raden Nur Karmila masih terbuka luas untuk diselesaikan, saya perlu berdiri di atas landasan realiti. Realitinya? Jika jualan buku tidak mencapai target, tentu susah bagi saya hendak menunaikan hasrat mereka yang mahu mengetahui kesudahan kisah cinta dua benua ini.

Walauapapun, terima kasih atas pembaca yang sudi membeli dan membacanya. Lentera Cinta Albaicin bukan kisah cinta biasa-biasa. Sebuah kisah pengorbanan. Korban kasih seorang kawan kepada kawan. Korban kasih seorang ibu kepada anak. Korban kasih seorang abang kepada adik kesayangan. Juga pengembaraan iman seorang hamba yang mendambakan cinta Tuhan...

~Dalam berkongsi cahaya, dia diuji dengan pesona~

Milikilah novel LCA ini dan selamat mengembara ke Lembah Albaicin!

Salam hormat. Semoga ketemu lagi di kafe buku kita ini.



Tuesday 9 August 2011

SAF

Lurus
Antara rusuk ke susuk
Bersentuhan
Dalam khayal, dalam nyata

Meniti bait-bait firman
Jernih bercahaya berguguran bersama
Titisan-titisan kekesalan 
Dakapan kesyahduan 
Menghadap Maha Pencipta

Bengkok
Fitrah hati seorang manusia
Dalam sedar, dalam leka
Memilih dia
Menjadi raja tanpa tahta
Oh alangkah ruginya
Detik emas yang mengalir pergi
Meninggalkan kami dalam perselisihan
Panjang
Dalam
Hitam
Kelam
Hingga aku naik muak menunggu ia tamam!

Saf... 

Di situlah benih pertama yang tersemai
Menjadi senjata di celah-celah rebung keikhlasan 
Menjadi bilah-bilah pertahanan sebuah ukhuwah
Perasaan
Perjuangan
Pelestarian
Pembelaan
Mujahid-mujahid
Di lorong-lorong nafsunya dunia
Yang ternyata masih penuh dengan tipu muslihat sang durjana
Mampukah anak-cucu kita?

Saf... luruskanlah!


Mazny M.R.
Ramadan 2011
Bangku Usang, Masjid Negeri Shah Alam
~Mengapa Saya Buka Blog Aku & Kafe Buku~





  Para pembaca yang budiman, pasti anda tertanya-tanya mengapa Mazny M.R. menulis di dalam blog pula. Tidak puaskah menulis buku-buku sahaja? Ataupun soalan yang paling senang ialah 'Mengapa namakan blog ini, Aku & Kafe Buku?'


  Jawapannya mudah. Blog ini hanyalah sebagai salah satu medium untuk saya menulis.

  Jika anda hendak tahu, saya juga menulis dalam jurnal peribadi. Jurnal peribadi pula, saya khususkan untuk  menulis sajak atau puisi. Kata orang, puisi adalah jendela hati seseorang penulis. Apa yang dia nampak, rasa, alami, hadam... segala-galanya akan terakam di situ. Dalam jurnal saya, bukan setakat ada sajak dan puisi sahaja. Selain dari menulis, saya juga suka melukis. Biarpun saya tidak datang dari aliran seni atau bahasa. Ini adalah sesuatu yang sudah sedia mengalir dalam darah saya.


  Blog ini juga menjadi jambatan silaturrahim antara saya dengan para pembaca yang saya hormati. Tidak kiralah sama ada anda SUDAH membaca buku saya ataupun BELUM. Anda mungkin hanya membaca blog sahaja. Saya tidak kisah. Di kafe buku saya ini, kita boleh membincangkan apa sahaja topik. Bercerita tentang dunia penulisan ataupun dunia realiti, tidak menjadi masalah bagi saya. Cerita yang anda kongsikan mungkin menjadi ilham buat saya. Mungkin juga buat orang lain. Ilham yang saya maksudkan di sini ialah dalam bentuk penulisan kreatif. Cuma janganlah pula kita gembar-gemburkan kisah yang tidak sepatutnya. Simpanlah ia sebagai riwayat peribadi kerana tempatnya bukan di sini.


  Blog ini dinamakan sedemikian kerana saya menganggapnya sebagai tempat bersantai dan beramah-mesra. Kerana itu, jika anda perasan, bahasa yang saya gunakan juga lebih santai. Namun tidaklah bermakna saya merelakan anda berinteraksi dengan gaya bahasa 'budak-budak'. Be casual yet professional okay? =)


  Saya bukanlah orang yang layak menjadi guru penulisan walaupun seringkali ditanya itu dan ini. Saya menganggap diri saya masih lagi seorang pelajar dalam dunia penulisan yang saya kira sudah mencecah usia ratusan tahun. Betul, saya banyak mengikuti bengkel-bengkel penulisan dan membaca blog-blog penulis hebat yang lain (dalam dan luar negara). Dari situ, saya kutip, cedok, analisis dan membuat kesimpulan tentang banyak perkara. Tahukah anda, kami sanggup menghabiskan beratus-ratus ringgit (juga ribuan) semata-mata untuk mengikuti satu-satu bengkel penulisan? ... Sanggupkah anda yang berada di luar sana membuat pelaburan seperti kami? Hah, tentu ada yang berfikir dua tiga kali, bukan?

  Zaman sekarang zaman duit. Melangkah setapak pun kena tabur duit. Duit tol, duit minyak, duit parkir, duit makan... dan bermacam-macam lagi. 


  Oleh kerana itulah, saya terpanggil untuk berkongsi apa-apa juga pengetahuan yang saya kutip dan catat bersama-sama anda di sini... di kafe buku kita ini ! Anda juga mungkin sangat berminat hendak menjadi seorang penulis. Tambahan pula...


  Ilmu yang menjadi amal jariah ialah ilmu yang boleh dimanfaatkan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan, boleh emailkan kepada saya. Boleh juga jeritkan di Kotak Sembang. Boleh juga tulis sebagai komen. Insya-Allah, selagi termampu, saya akan cuba jawab. Anda dialu-alukan untuk mengutip dan berkongsi ilmu di sini.  Sekiranya anda teringin mengambil apa-apa dari kafe ini, janganlah lokek memberikan kredit dan link'kan ke blog saya.


  Sekian dahulu entri pada kali ini. Saya berazam mahu menulis sekerap yang mungkin di kafe ini. Saya juga mahu anda datang selalu ke mari. Bersama secangkir kopi kampung yang panas, cappucino, latte atau frappe, datanglah melepaskan lelah barang seminit-dua. Mungkin ada sesuatu yang boleh kita kongsikan bersama. Bagi saya, anda tetap pelanggan istimewa!


  Okey, kita jumpa lagi ya!

NOTA: GAMBAR SEBAHAGIAN DARIPADA KOLEKSI JURNAL SAYA YANG BERMACAM BENTUK DAN WARNA. DI DALAMNYA ADA BERMACAM-MACAM JENDELA! =)