Pages

Monday 3 December 2012

Perihal Buku Bergambar Kanak-Kanak

Wheeeeeeee!
Antara koleksi buku bergambar kanak-kanak saya. 

Adakah anda juga berminat untuk meluangkan masa di kedai buku membelek Buku-Buku Bergambar Kanak-Kanak? Jika jawapannya 'YA', maka anda wajib meneruskan pembacaan. Sekiranya 'TIDAK' ataupun 'ERR', maka hukum meneruskan pembacaan entri ini menjadi sunat sahaja... . Sunat pun dapat pahala, okey? Pahala dalam menambahkan ilmu penulisan. Tunggu apa lagi? Jom, tarik kerusi dan duduk di kafe kita.   

Baru-baru ini, saya telah menghadiri dua buah bengkel penulisan buku bergambar kanak-kanak. Pertama, bengkel berbayar bersama Cik Puan Faeizaratul Fazeila Binti Isa, seorang graduan lulusan dari Flinders University, Adelaide, Australia - pengkhususan dalam bidang Gifted Education. Beliau yang banyak terdedah kepada dunia penerbitan buku kanak-kanak di sana, juga merupakan anak didik kepada Dr Virginia Lowe yang pernah menjadi salah seorang panel hakim untuk Children's Book of The Year Award di Australia. Semasa entri ini ditulis, bengkel ini masih lagi ditawarkan oleh Tuan Zamri Mohammad dari  http://www.kursuspenulisan.com/ pada tarikh-tarikh yang bakal mereka tetapkan. Walaubagaimanapun, bengkel terakhir bagi tahun 2012 baru sahaja berlangsung hujung minggu lalu. Tetapi kepada sesiapa yang berhajat untuk berbengkel pada tahun 2013, bolehlah meninjau-ninjau laman web tersebut. Terima kasih kepada mereka berdua kerana berusaha sebaik mungkin untuk memandaikan kami agar menjadi penulis buku bergambar kanak-kanak bestseller! (Meminjam kata-kata Tuan Zamri tempoh hari)  

Bengkel ke dua pula adalah Bengkel Penulisan dan Ilustrasi Buku Kanak-Kanak  percuma anjuran bersama Perbadanan Kota Buku dan Gajah Gajah Gallery yang dikendalikan oleh Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN). Syabas buat mereka ini atas komitmen tinggi yang ditunjukkan. Tidak terbalas budimu, tuan! Fasilitatornya terdiri daripada Puan Mahaya Mohd. Yassin - seorang sasterawan yang tidak asing lagi dalam bidang puisi. Beliau juga merupakan kolumnis untuk ruangan puisi dalam majalah Dewan Siswa. Puan Nisah Haron - siapa yang tidak kenal penulis tersohor tanah air ini yang juga merupakan penulis buku kanak-kanak Kawan Baru Hanani. Tuan Yusof Gajah - pemilik Gajah-Gajah Gallery yang juga pemenang Hadiah Utama Noma Concours for Picture Book Illustrations (ACCU). Tuan Yusof yang amat komited dalam dunia perbukuan kanak-kanak tanah air dan antarabangsa ini juga telah mengadakan pelbagai bengkel di dalam dan luar negara. Pada hari tersebut, beliau turut dibantu oleh isterinya yang peramah dan baik hati. Kami mengenalinya dengan panggilan mesra, Mama Zakiah. Sesungguhnya kami berasa amat bertuah menjadi peserta bengkel kerana setiap input yang dicurahkan tidak ternilai dengan wang ringgit mahu pun kata-kata! Terima kasih juga kepada Puan Norhayati, orang kuat Kota Buku yang sentiasa memberikan motivasi dan perangsang buat kami sepanjang berbengkel.  

Memang terlalu banyak maklumat yang mahu saya kongsikan dengan semua pengunjung kafe tetapi memandangkan keadaan kesihatan yang kurang baik, mungkin dapatan yang ditulis dalam entri ini tidaklah sesempurna atau selengkap mana seperti mengikut kemahuan hati. Insya-Allah, saya cuba juga setakat yang terdaya. 
     
Sebenarnya, ramai juga yang masih lagi keliru dengan definasi apakah itu Buku Bergambar Kanak-Kanak. Maka eloklah saya menyenaraikan beberapa kumpulan buku yang telah dikenalpasti. Buku bergambar kanak-kanak boleh juga dikenali sebagai:

1) Picture Books - akan dipecahkan kepada empat bahagian di bawah.
2) Easy Readers - lebih memfokuskan kepada kosa kata dan bagi membantu latihan kelancaran pembacaan.
3) Transition/Chapter Books - dalam satu buku, ada pelbagai cerita. Biasanya bagi pembaca yang sudah lancar membaca. 
4) Graphic Novels - komik, buku bergambar dengan sedikit teks atau dialog. 

Buku bergambar atau Picture Book (PC) ini, kita boleh pecahkan lagi kepada beberapa katogeri:

a) Toy Books - pop-up, bermuzikal, mempunyai material untuk sentuhan dan sebagainya. 
b) Concept Books - lebih bercorak pembelajaran seperti pengenalan untuk mengenal warna, nombor dan abjad.
c) Story Picture Books - selalunya mempunyai lebih kurang 8/24/32 mukasurat.
d) Wordless Picture Books - bersifat multi-bahasa, pembaca boleh mereka-reka cerita sendiri dan mendapat kosa kata baharu setiap kali mengulang pembacaan.

Dalam pasaran PC, ia juga dikenali sebagai 'Theme Book' kerana selalunya ia mengangkat pelbagai tema seperti kekeluargaan, persahabatan, alam sekitar, kasih sayang dan sebagainya. Kadangkala dalam sesebuah buku, ceritanya juga  mempunyai pelbagai tema. Penulisan PC mengambil kira tiga elemen utama. CERITA, ILUSTRASI dan FAKTOR X

Agak sukar juga bagi saya menerangkan keseluruhan pembikinan buku bergambar kanak-kanak ini. Namun apa yang boleh saya kongsikan di sini mungkin dapat diperjelaskan dengan lebih baik melalui TIGA contoh bahan rujukan yang saya gunakan secara peribadi. 

1) WHERE THE WILD THINGS ARE

Buku karya dan ilustrasi Maurice Sendak ini sebenarnya sudah berusia melebihi 40 tahun namun ia telah dijadikan kayu pengukur dalam penerbitan buku bergambar kanak-kanak. Diterbitkan pada tahun 1963 dan mendapat kritikan hebat daripada para pengkritik buku sastera kanak-kanak serta ibu bapa. Anehnya, buku ini menjadi sangat popular di kalangan pengunjung perpustakaan kanak-kanak. Hasil kajian mendapati buku ini mempunyai tiga faktor utama yang saya sebutkan di atas. Ceritanya ringkas tetapi menarik dan jika diamat-amati mempunyai mesej yang kuat - hidup ini tidak hanya dalam alam fantasi, akhirnya kita perlu menerima peraturan dan kembali kepada realiti kehidupan. Ilustrasinya juga istimewa dan menarik minat pembaca kerana memaparkan sekumpulan gergasi yang tidak masuk akal. Apa yang paling penting sekali, ia mempunyai faktor X. Apakah faktor X dalam cerita ini?... Ia terlalu subjektif untuk dikongsikan kerana X itu mungkin sahaja berubah antara satu pembaca kepada pembaca yang lain. Untuk itu, saya kongsikan dengan pengunjung kafe melalui tayangan video di bawah. Sebelum itu, sediakan secangkir kopi panas bersama sepiring kek coklat! Our date today might be longer than expected! 

  
Buku Where The Wild Things Are ini merupakan Pemenang Utama Anugerah Caldecott 1964, sebuah anugerah berprestij di Amerika Syarikat. 

2) Selain daripada itu, saya juga menggunakan beberapa buku lain sebagai rujukan. Antaranya, 1001 Children's Books You Must Read Before You Grow Up. Harganya sekitar RM50 sahaja jika anda adalah pemegang kad ahli Kedai Buku Popular. Saya kurang pasti di tempat lain. Buku ini menyajikan 1001 judul buku berserta sinopsis dan resensi yang menarik untuk buku bergambar kanak-kanak yang telah memenangi pelbagai anugerah dan juga yang tercalon untuknya. Wajib beli jika anda mahu menjadi seorang penulis buku bergambar kanak-kanak yang tegar! 



Buku tebal ini adalah suatu pelaburan yang berbaloi!


3) Saya juga menggunakan buku karya Nancy Loewen yang diterjemahkan oleh Institut Terjemahan Buku Malaysia dengan berjudul Tunjukkan Saya Suatu Cerita - Tulis Buku Cerita Bergambar Kamu Sendiri. Harganya cuma RM15 dan sangat praktikal. Buku ini menunjukkan kita langkah demi langkah bagaimana cerita bergambar kanak-kanak dibangunkan. Ia mengajar kita tentang watak, latar masa dan tempat, masalah, klimaks, permulaan, pengakhiran dan permintaan dalam sesebuah cerita bergambar. Hal ini tidak jauh bezanya dengan garapan penghasilan karya lain seperti novel atau cerpen tetapi oleh kerana buku bergambar memerlukan ilustrasi, maka jumlah mukasurat 8/24/32 yang dinyatakan di atas memainkan peranannya yang tersendiri dalam penceritaan. 



Buku karya Nancy Loewen menunjukkan langkah demi langkah dengan jelas. 

Teknik menyatukan teks dan ilustrasi dalam pembikinan buku bergambar kanak-kanak ini memerlukan kita menggunakan sekeping kertas A3 sebagai draf untuk 'storyboard'. Kertas tersebut boleh dilipat-lipat seperti dalam gambar di bawah. Setiap kotak mewakili mukasurat dan penulis boleh menulis ringkasan cerita atau points yang mereka mahukan dalam setiap kotak. Lakaran secara ringkas juga perlu dimasukkan pada peringkat ini. Setelah anda berpuas hati dengan keseluruhan draf, kerja-kerja melukis ilustrasi yang sebenar bolehlah giat dijalankan. Amalan yang selalunya terjadi dalam dunia buku kanak-kanak memerlukan gabungan penulis dan pelukis bagi sesebuah buku yang dihasilkan. Namun kuasa Allah tiada siapa yang tahu, mungkin dalam diam, anda juga berbakat melukis cerita anda itu? "Belum cuba, belum tahu, kan?"


Pastikan jumlah mukasurat yang anda mahu - 8/24/32
  

Berikut pula adalah beberapa tips ringkas bagaimana anda boleh memulakan projek penulisan buku bergambar kanak-kanak anda yang pertama:

- Usah kedekut mengeluarkan modal membeli buku bergambar kanak-kanak dari luar negara terutamanya yang sudah memenangi anugerah. Baca dan buatlah sedikit kajian tentang gaya penceritaan, ilustrasi-ilustrasi yang digunakan. Jika tidak pun, layari laman web yang menyediakan pembacaan terbuka secara percuma. Saya pula lebih suka 'berkampung' di kedai-kedai buku yang mempunyai seleksi besar dalam judul buku bergambar kanak-kanak ini. Jika anda ke luar negara, jangan lupa menjengah kedai buku di sana. (You don't like to buy books? Eh, I don't mind to get it as a souveniour!)... hehehe. 
  
- Ketahuilah peraturan menulis buku bergambar kanak-kanak. Bagi menulis kesemua peraturan di sini, tidaklah termampu dek saya. Mungkin pada masa yang lain atau anda boleh sahaja menjemput saya memberikan bengkel. (Amboi, berangan menjadi fasilitator pula saya!)

- Tulis idea yang timbul dalam buku nota kemudian, buatlah 'storyboard'. Jika anda tahu melukis, itu adalah satu kelebihan yang nyata! 

- Setelah semuanya jelas terbentang di ruang mata, mulalah menulis cerita anda yang lengkap.

- Lakukan kaedah ini; baca cerita anda dengan kuat, rakamkan dalam bentuk audio atau video dan dapatkan penonton anda sendiri. Tugas penonton mungkin untuk membantu dalam penambahbaikan jalan cerita tetapi usah berkecil hati jika anda dikritik. Ini memang asam garam dalam dunia penulisan. Pengkritik yang baik dapat membantu anda mengenalpasti kekuatan dan kekurangan karya anda.  

- Setelah mengambil kesemua langkah di atas, bolehlah diperbaiki yang mana terlebih atau terkurang. Pastikan juga ilustrasi memainkan peranannya kerana tidak semua kisah itu dapat diceritakan dalam bentuk teks dan tidak semua ilustrasi itu dapat memberikan gambaran yang tepat. Ingat, ada tiga elemen utama yang saya sebutkan di atas tadi. 

Sekian dahulu sembang-sembang kita di Aku dan Kafe Buku pada hari ini. Semoga perkongsian ini memberikan manfaat kepada sesiapa yang berminat mencuba penulisan buku bergambar kanak-kanak. Insya-Allah, kita bertemu kembali dalam waktu yang terdekat. Apa yang penting, silalah berkunjung lagi sekerap yang boleh!  

Salam semanis secangkir coklat - Mazny M.R.   


6 comments:

  1. Salam pnmazny,saya begitu teruja membaca artikel ini. Saya teringin untuk menjadi penulis terutama buku untuk kanak kanak.Namun,masih banyak yang perlu dipelajari.MInat saya bertambah apabila menjadi ibu.Teringin juga untuk pergi ke kursus penulisan.insyaallah

    ReplyDelete
  2. Selamat datang ke kafe kita!

    'The Nunu', Malaysia masih kekurangan bahan bacaan sastera kanak-kanak terutamanya, buku bergambar. Sebagai langkah pertama, cubalah ikuti mana-mana bengkel yang saya nyatakan di atas. Insya-Allah, pasti ada hasilnya.

    ReplyDelete
  3. Salam Cik Puan Mazny,

    Bila lagi agaknya kursus penulisan oleh Cik Puan Faeizaratul Fazeila Binti Isa? Saya cuba cari di internet tapi tak jumpa. Terima kasih atas responsenya.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Assalam Cik Puan Siti,

      Cik Puan Fazeila mengendalikan kursus tersebut melalui Tuan Zamri Mohammad dari team 'kursus penulisan dot com'. Mungkin cik puan boleh klik pada url www.kursuspenulisan.com seperti yang saya pautkan dalam entri di atas? Kemudian, semak senarai kursus yang mereka tawarkan. Insya-Allah , ia ada di situ. Sekiranya ingin penjelasan yang lebih lanjut, boleh menghantarkan emel kepada Tuan Zamri sendiri. Emel id nya boleh dirujuk dari laman web yang sama.

      Semoga berjaya! Jangan lupa kembali lagi 'minum-minum' di sini... :)

      Terima kasih.

      Delete
  4. Assalamualaikum wbt, terima kasih atas perkongsian yang sangat bermanfaat.. saya baru nak belajar.. :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Salam kenal Alif & Balqis,

      Semoga bermanfaat. :)

      Delete