Monday, 6 February 2012

- 2012 -

Selamat Tinggal 2010 - Selamat Berjuang 2012

Ya, betul... memang sudah terlewat untuk saya menyapa kalian dengan ucapan Selamat Tahun Baharu. Baik Masehi mahupun Hijrah.

Mungkin saya sudah terbiasa dibiasakan dengan perangai 'Tidak Apalah... ", "Biar Lambat Asal Selamat... ", "Biarlah Apa Orang Nak Kata... ", "Cukuplah Apa Yang Ada... " "Nanti dululah... ", "Biarlah... " dan oh banyak lagi kata-kata azimat yang tersemat dalam kehidupan saya sebelum ini.

Secara lahiriahnya, kita merasakan kehidupan yang kita lalui sudah cukup berbekalkan kata-kata tersebut. Ia membuatkan kita tenang. Ia membuatkan kita bersederhana. Ia juga mengajar kita erti syukur. Apa yang hendak dihairankan kalau orang lain melaram dengan Mercedes Brabus ataupun BMW 7 Series? Atau berpindah ke rumah yang lebih selesa? Atau berlibur ke luar negara dengan kaum keluarga?... Biarlah, ukurlah baju pada badan sendiri. Cukuplah aku dapat pandu kereta tempatan berjenama Perodua. Bergerak juga. Sampai juga. Antara lambat dengan cepat saja. Betul atau tidak?

Betul.

Sampai suatu ketika, apabila kita sudah jauh berjalan menyusuri pelbagai lorong kehidupan, saya percaya ada antara kita yang pernah tersepak batu. Batu besar, batu kecil tidak kiralah. Asalkan batu, ia tetap keras... dan menyakitkan! 

Ada masanya kita balut luka kita. Ada masanya kita biarkan sahaja ia sembuh dengan sendiri. Ada masa... kita memerlukan bantuan orang dalam mempercepatkan proses penyembuhan. Berjumpa doktor misalannya? 

Tetapi percayalah, tidak semua luka itu akan sembuh dengan sempurna. Tidak semuanya akan kembali licin dan halus. Ada antaranya meninggalkan parut. Berbekas walaupun sudah tidak sakit lagi. Ia akan mencacatkan hidup kita. Walaupun kata-kata maaf itu sudah meluncur berulang kali  macam air sungai yang mengalir deras. Tenang dan damai. 

Hakikatnya? Kemaafan hanyalah salah satu bahagian daripada proses penyembuhan. Itupun jikalau anda benar-benar IKHLAS. Dan siapakah yang paling layak mengukur darjah keihklasan setiap insan? Melainkan DIA jua... .

Apakah kita akan terus hidup berbekalkan kata-kata azimat tadi? Cukupkah nilai-nilai murni itu untuk memacu kita maju dalam hidup yang serba pantas dan menolong memperbaiki diri? Dalam hal ini, saya tabik kepada orang Melayu kerana jiwa mereka yang sangat akrab dengan sifat merendah diri. Ada bagusnya. Tetapi bagaimana pula jika saya katakan lama-kelamaan sifat ini nanti bakal melemahkan keimanan? Hah, tersentap sekejap? 

Allah telah mengingatkan kita supaya menuntut kekayaan yang telah dikurniakan di dunia ini supaya kita dapat menggunakannya mencari pahala dan membeli kebahagiaan di akhirat kelak. Tetapi ingat, Allah juga mengingatkan kita supaya jangan leka dengan urusan dunia dan kemewahan yang melampau-lampau sehingga melalaikan urusan ibadat.   

Kita disuruh berusaha untuk keluar daripada masalah hidup. Bukan 'bertahan' selama-lamanya. Sampai bila si fakir miskin hendak hidup berbekalkan ihsan orang ramai?... Tidak terfikirkah kita jika kita meninggal kelak, apa yang kita wariskan kepada anak-anak hanyalah kemiskinan?

Sampai bila orang yang sakit mahu bertahan dengan alasan sakit itu kan menghapuskan dosa? Tidak terfikirkah kita jika penyakit itu memberi beban kepada diri sendiri untuk beribadat. Belum lagi halnya dengan orang yang bersusah-payah menjaga? Bukankah antara sebaik-baik manusia itu yang paling banyak memberikan manfaat kepada orang lain?

Sampai bila orang yang hutangnya bertepek mahu duduk termenung dan mengeluh... "Hai, banyaknya hutang... hutang rumah, hutang kereta, hutang mak mertua, hutang orang itu, hutang orang ini... bilalah hendak habis nih?" Kemudian mulalah dia menyalahkan sipolan. Menunding sebatang jari telunjuk ke arah orang lain sedangkan tiga batang jari lagi mencecah tapak tangan sendiri! Sedarlah, buat apa hendak bermewah-mewah? Ukurlah baju di badan sendiri. Masalahnya, badan kau sepuluh tahun dahulu masih samakah saiznya dengan masa kini?... JAWAB! 

Jika anda terus-terusan menggunakan kata-kata azimat tadi sebagai pegangan, lama-kelamaan, Melayu yang terkenal dengan azimat "Tidak Apa" dan "Biarlah" hanya akan tinggal nama! Dan apabila Melayu sudah hilang di dunia, Islam akan duduk di mana?... JAWAB!

Ramai orang menanam azam tahun baharu. Dengan harapan untuk menuainya di tahun hadapan. Ya, saya juga tidak terkecuali. Namun apabila saya fikir-fikirkan, sebelum diri ini beria-ia menulis senarai azam yang panjang berjela-jela dan perkara-perkara yang hendak dicapai sepanjang tahun 2012 ini, eloklah terlebih dahulu saya duduk memuhasabahkan diri. 

 Aku wajib membuang semua sifat-sifat mazmumah yang asyik-asyik mahu menempel terutamanya sifat malas.
Aku tidak akan menoleh ke belakang dan meratapi kesalan demi kesalan yang ternyata hanya melemahkan jasad dan fikiran dan menghalang kejayaan.
Cukuplah ia kujadikan sebagai tugu peringatan!
Aku mahu berbaik sangka dengan Allah dan semua makhluk.
Kecuali iblis, jin dan syaitan... yang itu, aku declare perang habis-habisan.
Aku mahu Allah sayangkan aku. Oleh itu, aku mesti berusaha. 
Gotta do what I gotta do and never regret. 
And the rest... insya-Allah will follow.

Sudah selesai. Harap-harap coretan kali ini dapat membekalkan baja positif kepada azam yang kalian tanam pada BULAN lepas. Hehe, Selamat Berjuang 2012! 
   

No comments:

Post a Comment