Friday, 9 November 2012

Seputar Lentera Cinta Albaicin II

Assalamualaikum kepada semua pengunjung Aku dan Kafe Buku. Salam Satu Malaysia.

Terima kasih kerana masih sudi melawat blog yang sudah hampir setahun terbiar sepi ini. Saya memohon maaf tidak aktif berblog kerana tuntutan kerja dan tanggungjawab lain yang terpaksa saya dahulukan. Alhamdulillah, kini setelah beberapa bulan mengumpul bahan-bahan penulisan, saya mahu kembali aktif mengisi kafe ini dengan 'hidangan' yang bersifat lebih informatif. Tidak ketinggalan juga yang santai. Iya, bukankah kita sudah berjanji, kafe ini adalah tempat kita bersembang mengenai apa sahaja seputar dunia penulisan, makanan, muzik, lukisan, keluarga dan sebagainya. Saya tidak meletakkan satu fungsi khusus. Asalkan kalian boleh berbincang secara berhemah dan terbuka, nah, silakan. Mari, mari tarik kerusi dan duduk di meja. Sebentar lagi saya hidangkan sepotong cerita ringkas perihal Lentera Cinta Albaicin (LCA).

Dalam berkongsi cahaya, dia diuji dengan pesona... .

Masih ingatkah novel ini? Inilah novel pertama saya. Terbitan Galeri Ilmu Sdn. Bhd pada tahun 2011. Harganya tidak mahal, cuma RM22 sahaja. Ceritanya? Berkisah tentang Salehuddin yang diminta oleh Abdul Hakeem, rakannya dari Granada untuk datang menguruskan pembukaan sebuah tadika Islam pertama di Albaicin. Sekiranya anda meminati genre novel kembara, LCA adalah pilihan yang tepat. Mengapa saya memilih latar Granada, tidak Shah Alam atau Kota K, tempat saya bermastautin? Jawapannya mudah. Persoalan yang telah saya lakarkan dalam kepala sebenarnya adalah satu isu global yang bermula daripada insiden-insiden lokal. Sekarang ini pun, ia sedang berlaku di mana-mana. Memilih Albaicin di kaki Bukit Sabika yang berhadapan dengan Alhambra memberikan saya kelebihan untuk mengangkat zaman kegemilangan Islam suatu ketika dahulu. Garapannya tidaklah terlalu serius (pada pendapat saya selaku penulis) kerana cerita ini juga melibatkan watak kanak-kanak seramai sembilan orang, jadi perjalanan cerita bersifat lebih santai.

Dalam beberapa bahagian, Salehuddin mengajak pembaca berdiskusi hal-hal yang agak sensitif tetapi tidak secara mendalam. Mungkin ada yang tidak setuju dengan cara saya menangani pelbagai isu dalam satu karya. Mereka merasakan seperti sedang 'menjamah rojak'. Persoalannya adakah rojak yang menjadi hidangan utama?... Saya fikir, jika anda benar-benar menghadam LCA, tentu anda dapat merasai sendiri, apakah hidangan utamanya.

Watak Salehuddin ibarat lentera di Albaicin. Dia menghidupkan lampu bagi menerangi hati yang penuh dengan gelap prasangka, dengki, sombong, keliru dan sebagainya. Dalam bahasa yang lebih mudah, Salehuddin menjadi lampu yang menyalakan KEIMANAN dan PERPADUAN. Inilah inti pati LCA yang sebenar.

Seringkali saya mendapat maklum balas pembaca yang mahukan kisah cinta segi tiga Layla - Salehuddin - Karmila disambungkan. Mengapa ada pergelutan cinta tiga watak ini?... Saya masih tertunggu-tunggu, siapakah antara pembaca LCA yang dapat 'melihat' apakah yang tersirat dalam rencah yang satu ini. Jika anda penggemar makanan ringan, mungkin anda hanya dapat merasai gula dan pewarnanya sahaja. Sedangkan ia berkait rapat dengan dua hal yang saya nyatakan di atas. Tidak seronoklah jika penulis membentangkan atau mengupas karyanya sendiri, kan? Saya menerima apa-apa juga kritikan. Namun biarlah secara berhemah. Sejujurnya, semua penulis berbesar hati dengan kritikan yang dapat membantu mereka memperbaiki karya-karya mereka pada masa akan datang.

Tidak lama dahulu, saya terjumpa dua atau tiga blog yang menulis komen tentang LCA. Huraiannya tidaklah panjang, hanya seperenggan. Namun saya gembira kerana di penghujung perenggan tersebut, mereka memahami apakah inti pati LCA yang sebenar. Mereka tidak pula menonjolkan keterujaan kepada emosi percintaan dalam watak utamanya, Salehuddin. Terima kasih kepada kalian. Moga Allah mengurniakan manfaat daripada pembacaan novel tersebut.

Seperkara lagi yang membuatkan saya terharu adalah apabila menerima sebuah e-mel daripada Tuan Baba dari Sabah. Beliau membeli LCA sebelum berangkat ke Granada. Membacanya semasa perjalanannya di sana. Mengembara dan berjumpa tempat-tempat bersejarah yang saya nukilkan dalam karya tersebut! Alhamdulillah, walaupun diri ini belum lagi menjejakkan kaki ke kawasan perbukitan berbatu cooble itu, LCA terlebih dahulu dapat menghirup udaranya. Ucapan tahniah yang saya terima daripada Tuan Baba, saya pulangkan semula kepada beliau. Tahniah buatnya dan setinggi-tinggi pujian bagi Allah. Biarpun hal ini kecil bagi orang lain tetapi buat seorang penulis, ia seperti satu suntikan penguat semangat agar terus berkarya.

Bagi anda yang masih belum membaca, segera dapatkan Lentera Cinta Albaicin. (Boleh layari www.galeriilmu.com.my) Semoga dalam lenggok penceritaannya yang puitis, anda bisa ketemu sejalur cahaya. Tinggalkan komen atau kritikan anda di sini. Insya-Allah, saya akan siarkan kesemuanya.

Hingga kita ketemu lagi, salam Jumaat yang penuh barakah.

        

2 comments:

  1. Akhirnya... hidup kembali blog ini :-)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ya...masih bernafas, Uncle Oldstock! ;) Insya-Allah, entri lain bakal menyusul tengah malam nanti.

      Delete