Thursday, 23 May 2013

Perihal Ilustrasi Buku Bergambar Kanak-Kanak

Lagi Perihal BBKK...


 
Me and my life...
 

   Dalam bulan ini, setiap kali saya meneliti statistik pembacaan pengunjung kafe, entri mengenai penulisan buku bergambar kanak-kanak (bbkk) pasti akan menduduki carta tertinggi. Mengapa ya?... Adakah ini seakan memberi petunjuk awal bahawa industri penerbitan bbkk tanah air sedang berkembang dengan pesatnya?... .

    Baiklah, bagi meraikan perkembangan yang positif ini, saya berhasrat untuk menyambung sedikit perkongsian dalam pembikinan buku bergambar kanak-kanak. Walaupun saya masih baru dalam genre penulisan ini tetapi saya percaya, ramai lagi calon-calon penulis atau mungkin juga penulis-penulis lain yang sudah lama berada dalam bidang penulisan, turut berminat dan ingin tahu lebih lanjut tentang perkara-perkara teknikal dalam pembikinan bbkk. 

Ayuh, sediakan kopi panas. Tarik kerusi dan duduk bersembang bersama saya. 
Oh, jangan dirisaukan si Jelly Bean. Biarkan saja dia menjilat-jilat kek cawan di atas meja!

   Dalam entri terdahulu, telah saya nyatakan beberapa peraturan dalam penulisan bbkk. Mungkin perlu saya tekankan sekali lagi, tidak semua penceritaan bagi bbkk dapat kita luahkan menerusi prosa kata atau perkataan. Oleh sebab itu, aspek ilustrasi juga memainkan peranan yang amat penting dalam menyampaikan sesebuah penceritaan. Boleh dikatakan, peratusan pengaruh teks dan ilustrasi adalah dalam julat 50% - 50%.

    Begitu pun, ada juga bbkk yang tidak mengandungi teks langsung. Dalam hal ini, penceritaan terletak 100% pada tarikan gambar dan ilustrasi yang mana akan membantu pembaca membina imaginasi dan pemahamannya yang tersendiri terhadap karya tersebut. Buku sebegini amat sesuai untuk pembaca cilik yang masih belum tahu membaca dan sedang belajar membina kosa kata dalam perbualan seharian. Buku-buku seperti inilah yang akan membantu mereka memahirkan seni percakapan; dengan berfikir dan berucap. 

   Jika anda seorang penulis dan tidak memiliki kemahiran untuk melukis ilustrasi, adalah penting bagi anda bekerjasama dengan mana-mana ilustrator dari dalam, mahupun luar negara. Dapatkan nama-nama kumpulan ilustrator daripada teman-teman ataupun laman-laman sosial seperti Facebook dan sebagainya. Ada kala, anda perlu juga turun padang, bergaul dan melebarkan jaringan kenalan sebagai persediaan anda untuk mengenal pasti, siapakah antara mereka (ilustrator) yang boleh memahami penceritaan yang mahu anda sampaikan. Selain daripada itu, amat penting juga anda perhatikan, adakah karya-karya lukisan mereka bertepatan dengan konsep dan gaya penulisan anda sendiri. Ya, penting. Ini bukan masalah cerewet atau tidak. Apabila si penulis dan pelukis sama-sama memberikan komitmen yang tinggi dalam penghasilan karya masing-masing, tentulah matlamat terakhir mereka  mahukan bbkk tersebut berjaya menarik minat khalayak pembaca. Oleh sebab itu, keserasian itu AMATLAH penting. 

    Keserasian begitu boleh saja tercapai dengan mengadakan pertemuan demi pertemuan antara kedua belah pihak. Lebih mudah, jika penulis sudah terbiasa dengan hasil lukisan ilustrator yang menjadi pilihan hati. Pengamatan peribadi saya, memanglah setiap ilustrator yang sudah punya nama itu memiliki karya yang mantap namun, peluang harus diintai juga dari kalangan mereka yang masih baharu. Apa yang penting ialah komitmen dan keserasian untuk bekerjasama. Mulakan pencarian anda dengan membelek-belek bbkk tempatan yang kian banyak di pasaran sekarang. 'Berkenalan' dengan hasil kerja para ilustrator. Siapa tahu, anda mungkin bertuah bertemu 'jodoh' yang dicari-cari selama ini.

   Mengenai ilustrasi, terdapat pelbagai bentuk atau jenis yang perlu diberi perhatian. Antaranya, bentuk catan, lukisan akrilik, digital, kolaj, media campuran dan sebagainya. Terlalu panjang untuk saya ulas dan menulis secara panjang lebar bagi setiap satu. Saya kira, selaku penulis, anda tentu sudah mahir dalam melakukan kajian terhadap projek-projek anda. Iya' kan?... 

    Oh, alangkah bertuahnya pula selain daripada boleh menulis, anda juga dianugerahi bakat untuk melukis!... Hal ini saya temukan dalam diri beberapa orang teman penulis. Mungkin suatu hari, saya akan menulis tentang mereka pula. Tentu anda ingin tahu siapakah insan-insan istimewa ini! He...he...he, harap bersabar... . Yang penting, selalu-selalulah kembali menjengah kafe kita ini.

   Sebenarnya, bakat itu boleh digilap. Sepertimana halnya dengan bidang-bidang yang lain seperti memasak, menyanyi, bermain muzik, bersukan dan menulis, saya percaya melukis juga memerlukan kesungguhan untuk berjaya. Terdapat pelbagai jenis buku yang ada di pasaran mengenai teknik-teknik melukis. Malah jika anda rajin, dalam laman Youtube juga tidak terkira banyaknya. Rajinkan diri mencari. Buat diri saya, ia bukanlah suatu hal yang membuang masa seperti apa yang pernah dibebelkan oleh mereka yang tidak mengerti. Meluangkan masa melayari internet kerana mencari bahan bukanlah membuang masa. Melainkan anda terbawa-bawa dan menyimpang daripada tujuan asal. Jika terjadi hal yang sedemikian, segera hentikan. Tutup komputer riba anda dan pergilah melakukan aktiviti-aktiviti lain sebelum kembali menyambung proses tersebut. 

Ya, bukan senang hendak bergelar penulis atau pelukis. Sebelum memulakan karya, pelbagai dugaan dan halangan yang terpaksa kita tempohi. Kekuatan itu akan datang apabila kita selalu berada dalam kelompok yang betul iaitu orang-orang yang memahami dan berkecimpung dalam bidang yang sama. 

    Sebenarnya, ada banyak lagi yang mahu saya kongsikan dengan para pengunjung Aku dan Kafe Buku ini. Sekiranya saya teruskan menulis di sini, tentu akan mengambil masa yang agak lama dan menyebabkan jadual kerja beberapa projek lain terganggu atau terabai. Maafkanlah saya. Masa bukanlah musuh sebenarnya. Tetapi keinginan melakukan sesuatu dengan baik dan bersungguh-sungguh itulah yang mungkin menyebabkan saya selalu lambat dan kesuntukan masa. Ah, tidak mengapa, sedikit-sedikit, lama-lama pasti akan membukit. Begitulah resamnya orang berusaha. Ayuh, sama-sama kita menuju ke arah kejayaan dengan berbuat baik dan bantu-membantu antara satu sama lain. Saya percaya, orang yang memberi, akan lebih diberkati daripada yang menerima. Insya-Allah. 

Sekian dahulu coretan kali ini. Pastinya saya merancang untuk menulis lebih banyak lagi info tentang pembikinan bbkk ini. Oh, sebelum terlupa, pada 24 sehingga 30 Mei 2013 ini, saya akan menyertai delegasi Malaysia ke Asian Festival of Children's Content di Singapura. Apa?... Anda mahu turut serta? Alahai, boleh, apa salahnya! Jika tidak berpeluang pun, nantikan saja kepulangan saya. Tentu ada saja cerita-cerita menarik yang bakal saya kongsikan dengan para pengunjung setia. Insya-Allah, doakan keselamatan dan keberkatan perjalanan kami, ya? Terima kasih! 

Saya tinggalkan anda bersama kafe kita dengan sebuah catan hasil karya saya. Ia mungkin tidak seberapa namun ia adalah suatu permulaan bagi saya. Tinggalkan komen-komen anda. Akan saya keluarkan sekembalinya saya dari Kota Singa itu. Apa juga yang anda lakukan di kafe ini, amat saya hargai. Yeah, hingga ketemu lagi... doa dan manis buat semua!



Catan Jelly Bean ini belum siap sepenuhnya.
Bagaimana, bolehkah?... 



Mazny M.R.

     

No comments:

Post a Comment