Pages

Thursday 15 November 2012

Salam Maal Hijrah 1434

Masa memang tidak pernah menunggu. 

Antara semalam, hari ini dan esok, tiada siapa yang boleh mengawalnya. Masa adalah milik hakiki Tuhan. Kerana itu, hanya Dia yang berhak bersumpah ke atasnya. Dalam Surah an-Nasr, Allah telah menggariskan empat ciri-ciri manusia yang akan berjaya dalam kehidupan mereka:

1) Manusia yang beriman.
2) Manusia yang beramal.
3) Manusia yang berpesan-pesan.
4) Manusia yang bersabar.

Begitulah indahnya Tuhan mengatur kehidupan. Dalam hayat yang sesingkat ini, sebenarnya tugas kita hanyalah satu - membuat pilihan. Pilihlah apa yang kamu mahu, warnakanlah lembaran hidupmu semahunya. Tetapi ingat, kamu akan disoal, mengapa itu, warna yang kamu pilih? 

Sempena awal Muharram 1434H, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baru 1434 Hijiriah kepada semua pengunjung Aku dan Kafe Buku. Semoga tahun ini, kita membuat pilihan yang lebih tepat. Menjadi manusia yang lebih hebat daripada semalam. Insya-Allah... . 

Diari di ambang 1434

Bacaan Yassin, zikir, doa akhir dan awal tahun serta solat secara berjemaah di Surau al-Hijrah, Kota K. Seketika, saya begitu merindui anak kesayangan yang masih belum bercuti saat ini. Dia tidak pernah  lekang dalam doa-doa saya. Selagi nafas belum terhenti. Semoga engkau membesar dalam rahmat Allah, anakku. Kekalkanlah jatidiri yang telah aku semaikan dalam-dalam di sanubarimu. Usah engkau longgarkan peganganmu. Jangan sesekali engkau kotori warna-warni yang menghiasi dirimu. Terutamanya, jika aku telah tiada kelak. Dijemput olehNya yang Maha Kekal. 

Alhamdulillah, tahun ini juga, tanpa disangka-sangka, saya menerima kehadiran adik kesayangan di daerah Kota K. Beliau dan keluarganya yang 'comel' juga bakal menjadi ahli jemaah kami. Kepada Cu Mas, kami di sini sentiasa menerima kehadiranmu (bersama-sama Isa Ivan Hoo Abdullah dan si kecil Dareez) dalam dakapan ukhuwah dan kasih sayang kami. Marilah! Mari bersama-sama kita kecapi hidup beragama yang lebih terurus dalam warna-warninya yang terindah! 

Dareez tidak mahu berenggang dari Mummy. Alah bisa tegal biasa!








Mujur ada teknologi terkini... .






Mereka datang membawa setalam besar pemanis mulut. Memulakan sebuah 'perkenalan' yang penuh mesra. Begitulah kami adik-beradik. Sudah terbiasa dididik emak supaya pandai membawa diri. Paling utama, hormatilah anggota masyarakat yang lebih tua. Hari ini, saya dapat merasakan warna-warna yang emak corakkan kepada kami, tidak semuanya 'outdated'. Saya turut merasa sebak apabila hati dijentik pertanyaan, 'Doa emak sudah makbulkah?... .' Oh, kami tiga beradik. Mungkin emak perlu berdoa lebih panjang! Hahaha... .

Dareez, belum biasa dengan keadaan di surau kami. Saat dia menangis ketakutan, saya dapat lihat reaksi ibunya yang kurang selesa. Pasti bimbang tangisan si kecil itu mengganggu konsentrasi para jemaah. Tetapi percayalah, we've heard worst than that!... We can handle it!

Teringat saya, kata-kata seorang ustaz suatu ketika dahulu. Tangisan seorang anak kecil sebenarnya adalah suara-suara zikir di sisi Allah dan para malaikat. Subhanallah! Andai benar, semua orang tidak akan marah-marah lagi apabila mendengar anak-anak melalak di surau. Seingat saya, dalam sirah nabawi juga, belum pernah saya terbaca Baginda Rasulullah (s.a.w) memarahi kanak-kanak yang menangis semasa Baginda sedang berceramah. 

Mummy bersolat, Dareez duduk main iPad, ya?

Begitulah sedikit coretan Maal Hijrah kami. Anda bagaimana? Jom kita berhijrah? Hijrah itu pengorbanan. Hijrah menuju kejayaan. Insya-Allah... .


Salam Maal Hijrah 1434 kepada semua pembaca saya. Terima kasih atas sokongan dan doa anda selama ini. Moga Allah terus memberikan saya kekuatan dan momentum penulisan bagi menghasilkan karya-karya yang memanfaatkan sedunia. Amin. 

Mazny M.R.

No comments:

Post a Comment