Pages

Wednesday 14 November 2012

Wow, Coklat Fondu Mia!

Coklat? Siapa yang tidak suka coklat? Hitam, pekat, lemak, manis, berkacang, berkismis, berinti apa sekali pun, MEMANG SEDAP!

Sepatutnya entri ini sudah lama tersiar. Mungkin saya yang bertangguh, mencari-cari masa yang sesuai. Tunggu punya tunggu, inilah jadinya. Walaubagaimanapun, alhamdulillah saya ucapkan kerana setelah setahun menunggu kemunculan buku ini, akhirnya ia terbit juga! Terima kasih kepada tuan editor dan tim buku GISB kerana sama-sama berusaha memastikan novel pertama dalam kisah The 4-On berjaya menemui pembaca sebelum tahun 2012 (dan tahun 1433 Hijiriah) melabuhkan tirainya.

Jangan bermusuh, kita bersaudara... .
Kelahiran novel tarbiah awal remaja di bawah jenama 'Jom Jadi Baik' ini telah melebarkan satu lagi sayap baharu dalam kerjaya penulisan saya. Bermula dengan sebuah novel tarbiah dewasa, LCA, kini saya sudah  melangkah setapak lagi dengan menyelami kisah dunia awal remaja yang penuh 'kontroversi'. Mengimbau kembali kenangan-kenangan zaman persekolahan membuatkan saya sering ketawa seorang. Diadunkan pula dengan cerita yang dikongsikan oleh anak sendiri serta pengalaman bertukar-tukar cerita dengan teman-teman baiknya menghasilkan beberapa manuskrip yang saya rasa sangat menarik! Sebagai makluman, karya ini adalah hasil gabungan kerjasama yang pertama bersama anak saya, Nadya Nabila binti Nazlee. Tanpa melengahkan masa, mari kita ikuti sedikit sinopsis Wow, Coklat Fondu Mia! (WCFM)

Mia Zara memang tidak pernah sebulu dengan Siti Sabrina Shasha. Ada-ada sahaja perlakuan Shasha yang menyakitkan hatinya. Tambahan pula dengan insiden kuah mi rebus di kantin sekolah yang berlaku pada awal tahun, menyebabkan tercetusnya perang saudara antara dua kumpulan berpengaruh di Sekolah Rendah Kebangsaan Sri Tanjung. The 4-On vs Miss Everything Perfect. Klise? Mari kita baca lagi... .

Rakan-rakan sekelas, tidak mudah percaya dengan keenakan coklat fondu Mia. Melainkan, mereka dijamu terlebih dahulu. Selepas itu, barulah mereka berani memberi kata putus. Sama ada mahu meneruskan idea menjual coklat fondu atau memilih barangan lain untuk dijual semasa pesta sukan sekolah. Matlamat utama mereka - mengumpul duit untuk lawatan ke Melaka. Mengapa Melaka? Mengapa tidak negeri lain? Ini kerana Melaka adalah sebuah negeri yang sangat kaya dengan bahan bersejarah dan tempat-tempat menarik. Ia merupakan tempat lawatan yang sangat penting bagi mengenali jati diri. Lawatan mereka termasuklah menaiki bot pelancongan, menyusuri Sungai Melaka yang menyimpan pelbagai cerita sejak zaman Hang Tuah itu. 

Sayang seribu kali sayang, idea yang dirasakan begitu canggih dan mantap, telah ditiru orang! Bagi Mia, istilah yang lebih tepat adalah - DICURI! Aaarggh, siapa pula yang berani mencuri buah fikirannya itu? Kejutan pertama berlaku ketika mereka menemui Cikgu Saleha di bilik kaunseling. Tambah mengejutkan lagi apabila 'ketua pencuri' mencabar Mia dan kumpulannya untuk menjadi juara dalam penjualan coklat fondu sekolah. Apakah yang bakal terjadi seandainya Mia kalah?... 

Dapatkan WCFM untuk mengetahui apakah hukuman yang terpaksa dihadapi oleh Mia Zara. Adakah Mia Zara dan Geng Zuhal berjaya dalam cabaran tersebut? Paling penting, bagaimanakah mereka menghadapi dugaan yang datang bertimpa-timpa? Tidak cukup dengan idea mereka dicuri, mereka turut dilanda krisis dalaman yang hampir-hampir merosakkan aura persahabatan Geng Zuhal. 

Bermula dengan sepinggan mi rebus, berlarutan menjadi dendam yang berpanjangan. Dapatkah Cikgu Saleha memulihkan kembali hubungan Mia Zara dan Siti Sabrina Shasha menjadi semanis coklat fondu? Hayati bagaimana Cikgu Zaleha menggunakan sirah Rasulullah dalam memberi penyelesaian kepada Mia Zara meleraikan kelemut persahabatannya dengan seseorang yang terlalu sukar hendak memaafkan.


Nikmatilah gelagat watak-watak menarik dalam kisah ini disamping ilustrasi-ilustrasi yang cantik. Namun di sebalik setiap peristiwa yang mereka lalui, terselit pengajaran yang berguna buat remaja. Novel ini ditujukan khusus untuk pembaca awal remaja (7-13 tahun) yang masih bergelut dalam menangani isu persahabatan. Isu yang disangka remeh ini memang selalu kita selaku orang-orang dewasa terlepas pandang. Perasaan iri hati dan dendam mendendami sudah menjadi mainan anak-anak sekolah. Selaku ibu bapa, usah diketepikan mentah-mentah. Ia mungkin enteng kepada kita tetapi masalah besar bagi golongan awal remaja. Sangat sesuai menjadi koleksi bahan bacaan anak-anak atau dihadiahkan saja kepada seseorang. 



Jom dapatkan 'Wow, Coklat Fondu Mia!' Sekarang!

Pembelian secara online boleh dibuat melalui laman web Galeri Ilmu di bawah:

 http://www.galeriilmu.com.my/index.php

No comments:

Post a Comment