Pages

Thursday 21 February 2013

Perihal Tahun Baharu Cina 2013

Wow Coklat Fondu Mia & 'Ang Pau'


   Ah, betapa sambutan Tahun Baharu Cina sudah semakin ke penghujungnya. Namun sahutan bunyi mercun dan bunga api masih lagi rancak dan meriah kedengaran. Di tempat tinggal saya, anak-anak masih lagi bermain mercun sehingga lewat tengah malam. Tidak tidurkah mereka? Bukankah mereka harus bangun pagi pada keesokan hari? Sesekali apabila bunyi mercun yang kedengaran berdentum kuat dan lebih lama dari kebiasaan, saya akan menyelak langsir tingkap bagi memastikan yang sedang bermain itu adalah anak-anak, bukannya ibu bapa mereka! 

   Ya, tidak salah orang tua bermain mercun tetapi andai sampai melebihi pukul satu pagi, mengalahkan anak-anak pula. Sepatutnya mereka lebih matang berfikir daripada budak-budak. Saya tidak akan memarahi anak-anak kerana adatlah, sesekali beraya mahu bermain puas-puas. Ada kalanya 'terbabas'. Tetapi itu fikiran budak-budak. Hanya tahu keseronokan tanpa berfikir panjang, apakah keseronokan itu mengganggu waktu tidur jiran-jirannya. Ataupun keadaan bingit laksana tinggal dalam zon perang itu bisa sahaja 'membunuh mood' seorang pengarang!... .

   Budak-budak, tidak mengapalah. Akal masih muda tetapi orang tua? Haih, sendiri mau fikirlah, wahai tuan!

  Membesar di daerah Mersing yang agak jauh terpencil jika hendak dibandingkan dengan sembilan daerah lain di Johor, musim perayaan adalah suatu bentuk hiburan yang dinanti-nantikan. Saya masih ingat lagi setiap kali tiba Tahun Baharu Cina, emak akan bertungkus-lumus (tentulah dibantu oleh anaknya yang sulung ini) memasak pelbagai juadah seperti hendak menyambut Hari Raya Puasa lagaknya. 

"Buat apa susah payah memasak semua ni, emak? Bukan kita yang nak beraya!" Saya pernah bersungut akibat terlalu keletihan membantu emak di dapur. Adik-adik yang lain masih kecil dan tidak tahu membantu. Mereka hendak bermain sahaja kerjanya. 

Peliknya, emak tidak pernah menjawab begini, "Buat sajalah apa yang emak suruh. Bukankah menolong itu dapat pahala?"

Sebaliknya emak memberikan jawapan ini, "Bila lagi nak kenal mengenal dengan jiran? Nama saja duduk berjiran tapi tak pernah beramah-mesra. Lagi pun, siapa yang tolong emak masak, nanti dapat ang pau, dia punya!" 

Walaupun kurang bersetuju dengan idea emak, saya masih membantunya saban tahun. Saya tahu selalunya ang pau yang kami dapat, emak akan bahagikan kepada kami tiga beradik. Emak memasak bukan sahaja untuk Tahun Baharu Cina, malah musim Deepavali pun begitu. Cuma sejak berpindah ke rumah yang lebih dekat dengan bandar, jiran kami yang berbangsa India cumalah Pak Cik Sri seorang. Itu pun, beliau jarang bergaul dengan kami. Tidak seperti beberapa orang jiran berbangsa Cina emak yang lain. 

Seperkara lagi yang masih saya ingat pada waktu itu, musim Tahun Baharu Cina sahajalah kami dapat merasa bekalan buah limau mandarin yang besar dan manis. Buah-buahan selain pisang, tembikai dan epal adalah antara komoditi mewah zaman itu. Ini kerana kedudukan kami yang jauh dan 'seringkali dianaktirikan' berbanding daerah-daerah lain di Johor. Pada waktu itu, ramai penjual buah (dan penjual barangan lain) 'tidak berani' hendak memasuki pasaran Mersing kerana takut barangan mereka tidak laku. Saya berani menulis begini di sini bukanlah kerana ini blog saya. Saya lahir dan membesar di Mersing. Saya anak jati Mersing dan ini adalah sebuah hakikat. Dalam banyak segi, Mersing... masih tersisih.

Begitu pun, musim perayaan di Mersing banyak mengajar saya erti nilai hidup bermasyarakat. Paling tidak boleh saya lupakan ialah pesanan emak sebelum saya berlepas menghantarkan bakul makanan ke rumah jiran.

"Cakap pada nyonya, emak saya pesan, nyonya jangan basuh bekas ini. Biarkan saya cuci sendiri."

Nyonya pula menyoal, "Haiya, kenapa? Orang sudah susah-susah masak, saya kena pulang kasi bersih!"

"Eh, tak mengapa, nyonya. Emak saya kata kalau basuh nanti kasih sayang tak panjang. Sudah hilang!" 

Entahkan percaya entahkan tidak. Tugas saya hanya menyampaikan amanah emak. Akal saya semasa kecil menyatakan tentulah emak mempunyai sebabnya yang tersendiri dengan muslihat yang sedemikian.

Sehingga kini, amalan emak masih saya teruskan. Jika dahulu, saya rajin memasak dan membungkus makanan untuk jiran-jiran, kini aktiviti masak-memasak itu 'diringankan' dengan budaya bertukar-tukar beg kertas sahaja. Yang penting tradisi itu harus berkekalan. 


Beg Kertas Penyambung Tradisi

Saya tidak menyangka amalan ini turut diperhatikan anak saya, Nadya. Baru-baru ini, beliau menegur saya kerana sangkanya, kami sudah melupakan  tradisi tersebut.

Katanya, "Lama tak nampak mama dan jiran-jiran bertukar-tukar barang. Selalunya setiap musim perayaan mesti ada macam-macam."

Saya katakan, "Ada. Cuma Nadya yang tidak ada di rumah. Tiga tahun duduk asrama. Cuba tengok atas meja. Bukan mama yang beli semua tu. Ang pau pun ada. Ambil dan simpan untuk beli buku."

Demikianlah saya cuba hendak melestarikan sebuah amalan zaman anak-anak. Apabila sudah berusia begini, saya dapat kaitkan perbuatan ini dengan sunah Rasulullah s.a.w. Baginda pernah bersabda, bahawa kita hendaklah berbuat baik sesama jiran tetangga. Tanpa mengira apakah usia, bangsa dan agamanya. 

Natijahnya, hal sekecil ini boleh memberikan impak yang sungguh besar. Semangat kejiranan lekas terbentuk. Sikap hormat-menghormati boleh dipupuk. Perpaduan dapat dilaksanakan dengan mudah. 

Ternyata ajaran emak selama ini rupa-rupanya masih berpaksikan tatacara kehidupan Islam. Niat adalah perkara mustahak yang memisahkan sesuatu amalan. 

Hari ini, saya meneruskan tradisi itu dengan niat mahu berjihad. Jihad menegakkan sunah dan agama. Moga-moga dengan akhlak yang mulia, kita bisa memperlihatkan keindahan Islam kepada mereka. Bukankah Nabi Muhammad s.a.w itu diutuskan bagi menyempurnakan akhlak manusia? 

Maka, keperibadian Baginda wajib menjadi idola kita!

Tahun ini, ada sesuatu yang istimewa saya letakkan dalam beg kertas untuk jiran-jiran. Novel Wow, Coklat Fondu Mia! sebagai hadiah di celah-celah bungkusan biskut, coklat, makanan ringan dan ang pau. Novel itu saya tandatangani dengan kata-kata begini...

'Buat jiran kami, keluarga XXOOXX,

Semoga persahabatan kita akan terus berpanjangan dan kekal manis, semanis coklat fondu!'


Sekian, selamat meraikan Jumaat dan berhujung minggu. Jangan lupa mampir kembali ke sini lagi.

Salam sayang,

Mazny M.R.    


   

No comments:

Post a Comment