Pages

Wednesday 6 February 2013

Perihal Teknik Penulisan (Entri I)

Sekadar perkongsian peribadi...

    Masih terbayang dalam ingatan, bagaimana saya mula terjun dalam bidang penulisan ini. Ada sesuatu dalam diri saya yang sentiasa 'bersuara'. Semakin hari semakin kuat dan menakutkan. Hal ini membuatkan saya kerap termenung dan menangis tanpa sebab yang jelas. Kehairanan, saya mencari jalan dengan mencontengkan apa sahaja suara yang saya dengar itu dalam bentuk prosa-prosa kata. Langsung ia menjadi beberapa ayat. Kemudian ayat-ayat menjadi perenggan. Lalu perenggan-perenggan menjadi sebuah cerita. Anehnya proses tersebut membuatkan 'suara' itu semakin lunak berbicara dengan saya. Dan saya sudah kurang menangis. Lalu saya mengambil keputusan untuk berkenalan dengan 'suara' itu. 

1) Nawaitu 

Suara itu adalah nawaitu  saya, mengapa saya harus menulis. Ya, penulisan itu harus. Tidak wajib. Tetapi dalam 'keterharusan', perlu ada niat yang kukuh yang membezakan penulisan kita - adakah ia menjadi ibadah ataupun lagho (sia-sia) belaka. 

Mengapa hal ini menjadi topik pertama yang saya sentuh? Jawapannya mudah. Niat inilah yang akan menjadi tunggak sesebuah penulisan. Menjadi penyebab kelahiran sesebuah karya. Memastikan keberlangsungan hayat kepengarangan seseorang. Membuatkan si penulis cekal meneruskan kerjayanya  ataupun... berhenti sahaja menulis!
Mengapa anda harus menulis? - kerana royalti? 
                                                                - mencari populariti?  
                                                                - mahukan pengiktirafan? 
                                                                - kerana semua orang menulis, aku pun ingin menulis juga? Ah, pelbagai alasan boleh tercipta. Saya boleh katakan saya menulis kerana 'mahu menyampaikan kebaikan kepada masyarakat'. Nah, ini juga satu nawaitu, bukan? Pendek kata, apa sahaja niat anda itu, hanya anda dan Tuhan saja yang tahu. Tetapi betapa pentingnya nawaitu itu saya sebutkan di sini kerana saya ingin berpesan:

"GENGGAMLAH nawaitu anda sekuat-kuatnya kerana ia bakal menjadi bintang yang terang. Memandu anda dalam pelayaran yang gelap apabila bulan jadi gerhana dan mentari langsung tidak kelihatan. Anda mungkin akan kebasahan dalam musim hujan yang penuh dengan kekecewaan. Seandainya nanti manuskrip anda tertolak atau anda belum menemui penerbit yang serasi dengan karya-karya anda atau buku-buku anda tidak laku keras, perkara paling penting bagi seorang penulis ialah TERUSKAN MENULIS!"

Dunia penulisan tidak semuanya menjanjikan keindahan. Terkadang anda akan dipuji dan diuji. Selebihnya dihakimi. Kritikan adalah rencah yang mematangkan diri. Membolehkan seseorang penulis sedar akan kelemahannya dan seharusnya menjadi suntikan ubat agar beliau terus menghasilkan karya yang lebih baik daripada sebelumnya. Kritikan yang tepat dan jujur seharusnya tidak menjatuhkan maruah dan semangat penulisan orang lain. Menjadi penulis juga membuatkan saya memiliki hati yang lebih waja. Hidup saya lebih terarah dan berwawasan. Tiba-tiba daripada seorang yang pendiam dan tidak bercita-cita tinggi, saya menjadi seorang pemberani. Penulis tidak boleh menganggap apa yang ditulisnya itu 100% betul dan tiada cacat cela. Ingatlah, ilmu Allah maha luas. Lebih luas daripada tujuh lautan yang digabungkan dan ditambahi lagi dengan tujuh lautan yang sebanding. Manakala ilmu manusia hanya setitik cuma. Namun seorang penulis yang berjiwa besar pasti mahu hasil tulisannya memberikan impak positif kepada sesiapa saja yang membaca karyanya kelak. Semasa hayatnya apatah lagi setelah dia tiada. 

Jadi, sebelum anda mulai menulis, berhenti sejenak. Tanyakan diri sendiri apakah nawaitu anda. Pegangan anda. Pedoman anda. Bintang anda. Jawapan yang paling jujur hanya anda dan Tuhan yang lebih mengetahui. Ingatlah, kita semua akan dipertanggungjawabkan dengan apa yang kita hasilkan kelak. Sudah mantapkah nawaitu anda saat ini? Jika sudah, mari teruskan membaca perkongsian saya.

2) Mazhab Penulisan 

Sebagaimana hal-hal lain di dunia ini, bidang penulisan juga mempunyai mazhab (aliran, pemikiran, pegangan) yang tersendiri. Perkara ini mungkin saja boleh diketepikan tetapi selaku penulis yang mempunyai wawasan, saya fikir perkara ini perlu disentuh dalam perkongsian saya. Perhatian penting, pembahagian mazhab yang ingin saya tulis di sini adalah berdasarkan pengamatan dan pengalaman peribadi. Saya kurang pasti jika ada pihak lain di luar sana yang telah menulis secara terperinci dan memperkatakan tentang ini kerana ternyata kepada sesetengah penulis, ini adalah hal sensitif, remeh-temeh dan tidak patut diperbincangkan. Maaf, pada perkiraan saya, menjadi seorang penulis perlu tahu hala tujuan kerja penulisannya. Dan sebelum anda boleh jujur kepada pembaca, anda perlu jujur kepada diri sendiri terlebih dahulu. 

Sewaktu saya sedang menyiapkan novel pertama, saya mengalami kesukaran yang hampir-hampir melumpuhkan terus dunia penulisan saya! Perkara ini terjadi kerana saya berada di dua persimpangan. Mahu hablum minallah atau hablum minannas? Walhal, kedua-dua perkara ini iaitu perhubungan dengan Allah dan manusia wajib kita jaga dalam karya-karya kita. Manusia (pembaca), fitrahnya hanya ingin yang seronok sahaja. Yang seronok itu selalunya lebih cenderung kepada yang makruh jika tidak haram. Yang seronok itu selalunya lebih menyerlahkan perasaan daripada pemikiran. Lantas bagaimana pula dengan Allah? Sukakah Allah apa yang kita tulis? Redakah Dia?

Maka di sini, kebijaksanaan penulis dalam menggaulkan dua faktor utama ini menjadi prioriti yang menekan saya. Di kala saya tersepit hendak memenuhi tuntutan khalayak ramai yang mahukan kisah 'begitu begini', saya juga tersepit dengan kemahuan nawaitu sendiri untuk menulis sesuatu yang tidak klise. Melahirkan karya nan indah tetapi unik dan bermanfaat kepada semua sebenarnya tidaklah sesusah mana tetapi masih 'sukar'. Persoalan paling penting bagi saya ialah apakah pembaca saya kelak memperolehi sebarang kemanfaatan? Sempurnakah karya saya ini untuk mencetuskan impak yang besar dalam kerohanian pembaca? Adakah orang yang sudi membaca buku saya? Perkara sebeginilah yang menjadikan saya terus 'diam' dari menulis. Langsung Allah 'memujuk' dan mempertemukan saya dengan seorang penulis tersohor yang telah menjentik hati saya dengan kata-katanya;

"Abang rasa, awak kena masuk dunia penulisan ini dari pintu kesufian. Cuba baca dan belajar pendekatan sufisme. Insya-Allah, boleh... . Kita tunggu kelahiran buku pertama awak itu!" 

Saya pulang dan menggali semula apa yang perlu untuk menambahkan kefahaman atas apa yang kurang. Saya akhirnya sedar, dunia ini (dan segala isinya) tidak mungkin mencapai tahap kesempurnaan. Dalam pada itu, dapat saya simpulkan mazhab penulisan kepada tiga kategori penting.

Pertama: Mazhab Sastera - menurut guru penulisan saya yang pertama, Dr. Mohd. Faizal bin Musa atau lebih dikenali sebagai Faisal Tehrani, sesiapa yang ingin karyanya dipandang serius sebagai karya sastera harus menyentuh tentang tiga subjek ini  
               a) Agama
               b) Sejarah
               c) Politik

Apabila mencanai tiga subjek ini dalam karya, tidak semestinya ia perlu bernada serius, bosan dan jumud. Karya sastera adalah kunyahan orang bijak pandai, yang mahu menggunakan pemikirannya untuk menambah kecerdikan. Bagi saya tiada istilah orang bodoh dalam dunia ini. Yang ada hanyalah orang RAJIN dan orang MALAS. Sementara elemen percintaan manusiawi boleh sahaja diselitkan sebagai pemanis. Asalkan plot (sebab dan akibat) percintaan itu masih bertunjangkan kepada agama, sejarah dan politik. Apabila kemelut percintaan dan perasaan cinta manusia yang meluap-luap dibumbukan kepada pembaca dan terlalu mendominasi kekuatan sesebuah karya, ia akan jatuh kepada mazhab yang lain pula. Jadi, berhati-hatilah.

Dalam satu sesi bersama Sasterawan Negara Dr Anwar Ridhwan, beliau berpesan kepada kami kurang lebihnya begini;

"Sesungguhnya novel sastera itu perlu ada pemikiran. Perlu ada falsafah di dalamnya. Menyerlahkan nilai-nilai estetika dan mutu Bahasa Melayu yang tinggi. Karya itu perlu ada nilai ilmu dan bersifat intelektual. Boleh memberikan impak positif kepada para pembaca khususnya golongan masyarakat. Maka ia akan terus kekal relevan merentas zaman."

Ambillah kata-kata tersebut sebagai renungan.

Kedua: Mazhab Pertengahan - karya yang tidak menepati kritiria sesebuah karya sastera tetapi masih ada unsur-unsur kebaikan. Setelah membacanya, kita memperolehi ilmu-ilmu bantu yang baharu. Pencerahan tentang sesuatu topik dan paling penting bahasa yang digunakan adalah bahasa yang bermutu tinggi, jernih dan tidak merosakkan.  

Ketiga: Mazhab Picisan - mengikut Kamus Dewan, picisan bermaksud rendah mutunya. Apakah yang menyebabkan sesebuah karya itu menjadi tidak bermutu? Takrifan karya-karya picisan ini adalah pelbagai. Saya pernah terbaca beberapa tulisan yang mengkritik karya-karya picisan. Mungkin kritiria yang diguna pakai untuk mendefinasikan maksud picisan itu sendiri yang membawa kepada kepelbagaian klasifikasi. Secara jujur, saya melihat kepada dua faktor sahaja sebagai kayu pengukur yang melabelkan sesuatu karya itu sebagai picisan. Pertama, setelah selesai membacanya, tiada isi yang boleh memberi nilai tambah dalam keimanan, keperibadian dan memperkasakan kehidupan pembaca. Kedua, mutu bahasa yang digunakan. 

Penulis yang mahu karyanya mendidik pembaca bukan hanya menitikberatkan jalan cerita tetapi penggunaan bahasa yang sopan, mulia dan 'tidak mengikut trend'. Dalam menaratifkan cerita, bahasa perlu jernih dan melambangkan budi pekerti/kebudayaan/kesantunan si pencerita. Di sinilah perlunya ilmu tatabahasa, nahu dan sebagainya. Jangan risau, anda mahu menjadi seorang penulis bukannya guru bahasa. Namun tanggungjawab anda sebagai penulis menuntut anda untuk memiliki sedikit sebanyak pengetahuan mengenai ilmu bahasa yang menjadi medium penulisan anda kelak. Bukankah bahasa itu jiwa bangsa? Manakala dalam dialog pula, ada beberapa kelonggaran seperti penggunaan kata kontot 'kan', 'tak', 'tu' dan sebagainya. Ini tidaklah bermakna kita boleh menulis dialog sesuka hati dengan menggunakan 'bahasa rojak'. Mari kita elak penggunaan kata-kata kesat, tidak senonoh dan perkataan 'trendy' yang tidak ketahuan dasar bahasanya! Anda mungkin fikir ia sesuatu yang 'catchy' dan menyeronokkan tetapi fikirkan kesannya terhadap pembaca khususnya golongan remaja. Melainkan perkataan itu perlu ditulis kerana sudah tiada cara lain lagi untuk menterjemahkan situasi ataupun perkara yang hendak disampaikan. Begitu pun, saya kira sebagai insan kreatif, kita dianugerahi dengan kebolehan yang mungkin tidak ada dalam diri pembaca. Oleh sebab itulah kita bergelar penulis. 

Setiap penulis itu adalah pembaca dan tidak semua pembaca itu adalah penulis. 

Nah, mazhab manakah yang menjadi pegangan anda sewaktu menulis? Jawapannya terpulanglah kepada diri anda sendiri. Di sini, tugas saya hanya memberi pencerahan dan keputusan berada di hujung jari-jemari anda. Tidak ada sesiapa pun yang boleh memaksa kerana masing-masing akan dipertanggungjawabkan atas karya masing-masing. Ingin saya jelaskan juga, bagi saya, karya yang termasuk dalam mazhab pertama itu selalunya telah dinilai oleh mereka yang berkelayakan. Sementara mazhab kedua dan ketiga lebih kepada penilaian peribadi. Wallahua'lam.

3) Teknik Mengarang

Sedarkah anda terdapat pelbagai teknik penulisan yang boleh kita temui di luar sana? Baik konvensional mahupun kontemporari. Antaranya teknik linear, KJ Method, teknik penulisan Surah Yusuf dan sebagainya. 

Teknik linear - proses penulisan konvensional yang boleh diibaratkan seperti satu garisan lurus. Pengarang memulakan penulisan dari bab pertama, kedua, ketiga dan seterusnya sehinggalah bab terakhir. Kebaikan teknik ini, pengarang dapat memantau perkembangan ceritanya dari awal hingga akhir mengikut kronologi yang telah dilakarkan dalam draf. Keburukannya apabila pengarang tersekat di salah satu bab, maka penulisannya terhenti. 'Writer's block' atau lebih parah lagi, ia langsung terbengkalai. 

KJ Method - ramai yang tahu teknik ini diasaskan oleh seorang usahawan Jepun, Kawakita Jiro. Dalam bidang penulisan, teknik ini dikatakan dapat membantu penulis menulis dengan lebih lancar kerana kaedah yang digunakan dapat meningkat daya kreativiti seseorang. Penulis tidak terikat untuk menulis dari awal bab hingga ke akhir. Boleh sahaja kita menulis untuk mana-mana bab atau idea yang timbul dalam kepala. Penulisan boleh dicatatkan dalam buku nota, di atas kertas napkin sewaktu sedang minum petang di kafe ataupun dalam telefon bimbit. Asalkan idea atau babak yang terlintas itu segera ditulis. Idea itu kemudiannya akan dikumpulkan, dicantum dan disusun mengikut jalan cerita yang terdapat dalam draf awal. Ah, saya tidak bercadang hendak mengajar teknik penulisan KJ Method di sini. Anda boleh saja mencari buku atau posting atas talian yang berkaitan dengan teknik penulisan tersebut. Apa yang mahu saya nyatakan, khabarnya teknik ini membolehkan penulis menulis dua tiga buah buku sekali gus. Dalam erti kata lain, ia meningkatkan produktiviti berkarya.  

Teknik Surah Yusuf - teknik ini dipelopori oleh Sifu Puan Ainon Mohd. Sesiapa yang tidak kenal Puan Ainon, mesti tidak pernah membaca buku-buku PTS. Saya pernah mengikuti sebahagian kelas teknik penulisan beliau (Teknik Surah Yusuf) beberapa tahun nan lalu. Kini, segala ilmunya telah terangkum di dalam sebuah buku penulisan khas keluaran PTS, judulnya Panduan Menulis Novel Teknik Surah Yusuf. 

Menariknya teknik ini dikatakan bersifat 'syariah compliance'. Dalam penulisan 'babak-babak mungkar', pendekatan diambil melalui penceritaan godaan Zulaikha, isteri pembesar Mesir terhadap Nabi Yusuf a.s. Zulaikha menggoda nabi yang tampan itu melalui pengucapan (Berdasarkan petikan Surah Yusuf, ayat 23). Maka teknik ini 'membenarkan babak-babak mungkar' dalam sesebuah novel itu digambarkan dalam bentuk dialog sahaja. Tidak sebagai naratif. Demikianlah yang Allah ajarkan kepada kita, perihal penceritaan dalam al-Quran. Seperti firmanNya di permulaan surah pada ayat yang ketiga;

"Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) seindah-indah kisah dengan jalan Kami wahyukan kepadamu al-Quran ini... ."

Jika anda rajin membaca, anda akan dapati Surah Yusuf adalah kisah yang paling indah dalam al-Quran lantaran plot ceritanya. Ingin tahu lebih lanjut tentang teknik penulisan ini? Anda boleh dapatkan buku tersebut, kaji ia dan bertanya kepada mereka yang pernah mengamalkannya. Pesanan Puan Ainon kepada sesiapa yang berminat mahu menerbitkan buku dengan pihak PTS diwajibkan untuk mengamalkan teknik ini. 

Saya sekadar mampu menyebut tiga daripada puluhan teknik penulisan yang ada di luar sana. Jika anda mahu lebih, rajinkan diri mencari. Kadangkala, proses kepengarangan seseorang juga boleh terlihat sebagai salah satu teknik penulisan yang unik. Bacalah buku-buku yang berkaitan dengan hal ini. Di bawah, saya sempat menyenaraikan beberapa buah buku yang terlintas dalam fikiran:

- Karya Nan Indah (Faisal Tehrani)
- I Want To Write (Ummu Hani Abu Hassan)
- Teknik Penulisan Surah Yusuf (Ainon Mohd.)
- Tip Menjadi Penulis Bestseller (Zamri Mohamad)
- Mendekati Seni Penulisan Kreatif (Prof. Madya Dr. Lim Swee Tim)
- Bagaimana Saya Menulis (Dr. Mawar Safei dan Puan Nisah Hj. Haron)
- Chicken Soup for The Writer's Soul
- dan pelbagai judul buku lagi dalam bahasa Inggeris yang tidak teringat dek minda saya kala menulis entri ini. (Harap maaf)

Selain daripada buku-buku penerbitan, anda juga boleh menimba ilmu penulisan dengan menghadiri bengkel-bengkel penulisan ataupun atas talian (online). Salah seorang guru penulisan saya, Yang Dikasihi Puan Azman Nordin (Pemenang S.E.A Writer Award) telah bermurah hati dan bersungguh-sungguh mendedikasikan dirinya mengendalikan kelas bimbingan secara 'online' di blognya, SASTERA. Secara ringkas bolehlah saya katakan, blog tersebut merupakan lubuk kepada sesiapa saja yang dahagakan bimbingan penulisan SECARA SERIUS. Beliau mengajar kami menulis dengan sistem penceritaan 3/4, 1/4, 2/4 dan 4/4. Mahu tahu apakah rahsia di sebalik nombor pecahan ini? Silakan berkunjung ke blog Sifu Azmah tersebut. Kursus penulisan juga ada dikendalikan oleh ramai penulis mapan seperti Tuan Zamri Mohamad, Tuan Ramlee Awang Murshid (Abang RAM), Tuan Nordin (Eyman Hykal), Cikpuan Salina Ibrahim, Puan Nisah Haron (novel dan cerpen), Puan Mahaya Mohd. Yasin (puisi), Bengkel Penulisan AVA dan banyak lagi yang tidak tersebutkan. Teringat pesanan seorang ustaz kepada saya, salah satu adab dalam mencari ilmu yang digariskan oleh Imam al-Ghazali adalah perlunya berguru. Belajar mesti ada gurunya. Sekurang-kurangnya yang diketahui sanadnya. Dikhuatiri belajar seorang diri itu lebih menuntut dengan hawa nafsu atau syaitan. Apabila diminta untuk menulis perkongsian ilmu penulisan ini, saya bersungguh-sungguh memenuhi permintaan anda. Kini terpulanglah kepada anda untuk memulakan langkah seterusnya. Itupun, jika anda serius mahu jadi seorang penulis.

Sebelum saya terlupa, suka juga saya ingatkan kepada penulis dan calon penulis yang membaca perkongsian ini supaya memiliki buku Karya Kita Hak Kita tulisan Puan Nisah Hj. Haron. Buku ini memperkatakan undang-undang hak cipta setiap karya penulisan, percetakan, penyiaran dan sebagainya. Selain ilmu penulisan, kita juga perlu celik minda dalam isu sebegini. Sudah tentu kita tidak mahu melihat 'insiden karya P.Ramlee' berulang sekali lagi.

4) Warna Suara Pengarang

'Warna suara pengarang' adalah gaya penulisan seseorang. Cara pemilihan diksi dan penyusunan kata-kata yang unik dan ada kalanya bersifat peribadi. Apa yang penting dalam mengenali suara pengarang ialah ketulenanannya. Tidak terikut-ikut dengan idola atau penulis kegemaran. Keunikan ini nanti yang akan menentukan apakah warna suara penulisan anda. Bagi mendapatkan warna pada suara itu, penulis perlu banyak menulis. Tulislah mengenai apa-apa saja asalkan jangan berhenti. Lama kelamaan, warna itu akan terbit dengan sendirinya. Latihan menyebabkan kita lebih peka dengan suara sendiri. Hal ini lebih jelas apabila kita sudah banyak menulis. Tidak kiralah di mana. Jika kita membaca semula hasil tulisan kita yang terdahulu, kita akan dapat 'mendengar' suara tersebut dengan lebih kuat. Kita sudah boleh menyenaraikan apakah kelaziman yang ada dalam setiap karya kita. Apakah tema penulisan kita, apakah sudut pandang kegemaran kita, apakah pengakhiran cerita kita, sedih atau bahagia? Tidak ada warna suara penulisan yang sama dalam berkarya melainkan dibuat oleh seorang peniru. Namun seorang penulis bisa saja mengubah warna suara pengarangnya bila dirasakan perlu.

Jika kita selalu membaca karya-karya penulisan orang lain, kita akan cepat mengenali gaya penulisan mereka. Misalnya, Dr. Faisal Tehrani memiliki gaya penulisan yang segar, berani, terkadang rumit untuk difahami, sarat dengan pemikiran teologinya dan yang pasti, ia akan 'menjentik' akal si pembaca. Sasterawan Negara Datuk A.Samad Said pula mempunyai lenggok bahasa yang tajam, tepat dan rinci dalam berkarya. Jika membaca puisi pula, saya senang mendengar suara pengarang Puan Siti Zaleha Mohd. Hashim dan Bonda Mahaya Mohd. Yasin. Lembut, manis, feminin dan begitu akrab dengan alam semulajadi. Di sini saya hanya sekadar menyebut beberapa contoh penulisan. Ada ramai lagi yang tidak mampu saya sebutkan satu persatu. Anda mungkin punyai penulis kegemaran sendiri dan tentunya anda boleh melihat dan mengkaji gaya penulisan penulis kesayangan anda itu. Perlukah semua ini? Jika anda mahu membakar roti yang enak, bergurulah dengan si pembuat roti. Jangan belajar dengan si penjual air melainkan anda mahu menghidangkan air.

Benar, kita mungkin tidak dapat melihat warna suara pengarang dalam waktu yang terdekat kerana kita masih kurang berkarya. In sya-Allah warna itu akan muncul juga. Warna suara kita itu nanti akan memperlihatkan kekuatan dan kelemahan karya kita. Supaya kita boleh belajar dan memperbaiki gaya penulisan sendiri. Demi mempastikan warna itu nanti punyai keunikan, kekuatan dan kecantikan yang tulen maka penting bagi kita mempersiapkan diri dengan pelbagai cabang ilmu. Apa yang sempat saya coretkan di sini hanyalah sekelumit. Jika anda temui ilmu-ilmu lain yang lebih daripada ini pada masa hadapan, berkongsilah dengan saya pula.

5) Perihal Puisi

Sudah dua orang guru penulisan saya begitu menitikberatkan betapa pentingnya seseorang penulis itu membaca dan menghayati puisi. Mengapa ya? 

Puisi adalah karya kreatif yang sangat istimewa. Ia tidak panjang seperti cerpen atau novel. Tetapi masih terkandung cerita di dalamnya. Ia juga mempunyai watak, perwatakan dan penceritaan. Bahasa yang digunakan dalam membentuk puisi selalunya tentulah yang lebih puitis dan manis. Tidak perlu meleret-leret tetapi tepat dan padat makna. Dr. Lim Swee Tim menulis begini pada kaver buku yang ditandatangani buat saya:

"Puisi suatu pengembaraan yang indah dan menakjubkan!" 

Jujur saya akui, saya masih begitu jauh ketinggalan dalam menghayati puisi. Ada masanya, saya merasakan genre puisi memerlukan daya penaakulan yang amat tinggi. Pada mulanya saya selalu 'keletihan'. Namun lama kelamaan, saya belajar melihat puisi. Mendengar ia bercerita. Merasai kegembiraan dan kedukaannya. Apabila saya sudah agak mahir, saya melihat puisi sebagai satu bentuk karya yang sangat luar biasa.

(Saya menyenangi puisi-puisi yang berbentuk kesufian. Hamzah Fansuri dan Jalaluddin Rumi adalah antara nama yang ingin saya sebutkan. Menyelusuri cabang sufism bermaksud anda bakal menyelongkari dunia tasawuf. Mohon maaf, saya terpaksa menyampaikan pesanan dengan jujur. Sebelum seseorang itu berhasrat menyelami cabang dunia tawasuf ini, beliau wajib mendalami bidang ilmu Tauhid (mengenali Tuhan dan memantapkan akidahnya) terlebih dahulu. Agak sukar bagi saya menjelaskan dengan panjang lebar dalam entri sekecil ini kerana keterbatasan waktu dan ia memerlukan saya menggali semula nota-nota dan buku-buku rujukan. Namun cukuplah untuk saya katakan, tanpa ilmu Tauhid yang mantap, seseorang itu bisa hanyut dalam fantasi kesufian. Wallahu'alam.) 

Apabila membaca puisi kita akan didedahkan dengan pemilihan diksi kata yang ringkas, tepat dan padat. Kemahiran ini penting dalam membantu kita menulis ayat yang tidak melewah. Terlalu mendayu-dayu. Mengelakkan berlakunya pengulangan yang tidak perlu kerana ini membazirkan masa penulis dan pembaca. Berharapan cerah pula untuk 'dicantas' dengan gembiranya oleh sang editor. Atau istilah yang selalu diguna pakai ialah 'to kill my darlings'. Pastilah untuk mendapatkan kemahiran penulisan sebegini memerlukan masa dan latihan yang berterusan. Maka kerana itulah membaca puisi dapat melatih kita menjadi bijak dalam memilih ayat yang bersesuaian untuk menyampaikan maksud. Nanti olahan penceritaan juga akan bertambah kemas dan lancar.






............bakal bersambung pada entri akan datang. 
  
  

2 comments:

  1. Penerangan yang jelas dan padat. Terima kasih.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Alhamdulillah. Semoga bermanfaat buat tuan.
      Terima kasih kerana datang dan selamat bekunjung kembali.

      Delete