Pages

Monday 12 December 2011

Gumbaz dan Masjid e-Ala

Gumbaz, Mysore
Jalan masuk ke Gumbaz
  Tidak jauh dari tapak istana Tipu Sultan, kami menuju ke arah makam keluarga diraja yang terletak di Gumbaz. Gumbaz dalam bahasa Kannada bermaksud kubah. Di Sri Ranga Patna ini, Gumbaz yang kami lawati adalah tanah perkuburan yang menempatkan hampir keseluruhan keluarga diraja Tipu Sultan bermula daripada bapanya, Hyder Ali, ibunya Fatima sehinggalah dirinya sendiri yang turut dimakamkan di sini.
Sebahagian makam di luar Gumbaz

Selain daripada kubah besar yang menjadi makam Tipu Sultan dan ayahbondanya, sebuah masjid besar turut di dirikan bersebelahan kubah tersebut. Seperti di istana musim panasnya, kawasan ini juga dikelilingi dengan padang rumput yang menghijau dan pokok-pokok besar yang merimbun. Agak pelik bagi saya apabila menyaksikan dua panorama yang berbeza di sini. Gumbaz terletak di dalam kawasan perkampungan yang agak kurang membangun. Jika dalam perjalanan ke istana Tipu Sultan, kami disajikan dengan pemandangan sawah padi yang luas terbentang, di kampung ini tiada apa-apapun melainkan rumah-rumah penduduk dan warung-warung kecil di kiri-kanan jalan yang menjual minuman dalam botol dan snek. Di luar Gumbaz, terdapat sederetan kedai yang menjual pelbagai cenderamata. Kami yang kesuntukan masa tidak langsung berpeluang menjengah. Saya cuma sempat memetik beberapa keping gambar sahaja. Saya lihat, salah seorang 'partner in crime' saya yang sama-sama bersubahat mengambil gambar di istana Tipu Sultan tadi, bukan main beria-ia sekali menunggang kuda sewa di luar Gumbaz! Haha, kami berpandangan lalu tergelak sesama sendiri.
Makam dan Masjid di Gumbaz

Jom minum 'Cool Water'!
Kedai-kedai yang beraneka rupa

Masjid e-Ala
  Berlaku sedikit kekeliruan sewaktu saya meminta T membawa kami ke sini. Naveen, memandu auto terdahulu pernah memberitahu kami, masjid ini dikenali dengan nama Masjid e-Ala. Tetapi T memberitahu kami, hanya terdapat sebuah masjid sahaja di kawasan Daria Daulat Bagh dan ia dikenali dengan nama Jumma Masjid. Jenuh jugalah kami hendak memastikan kesahihan nama masjid tersebut. Bukan apa, saya bimbang sekiranya kami dibawa ke tempat yang salah dan jauh dari situ, tentunya membuang masa kerana selepas ini kami harus berkejar ke Brindavan Garden pula. Tiba-tiba, bila sampai di sana, Ummi menunjuk kepada saya, nama masjid yang tertera pada papan tanda ialah Jamia Masjid! Pulak!. Aduh, lagi sekali kami bertanya kepada T, apakah betul tempat ini. Dalam ketawa, dia meyakinkan kami lalu menyuruh kami pergi ke dalam dan berjumpa dengan penjaga masjid berkenaan.

E-Ala, Jumma, Jamia-Satu masjid, tiga nama.

Sebaik sahaja melangkah keluar dari teksi, berpuluh pasang mata memandang ke arah kami. Mungkin kerana keramahan kami yang bertanyakan itu dan ini. Mungkin juga kerana pakaian kami yang lain daripada orang lain. Agak jarang melihat perempuan yang beragama Islam memakai seluar. Lebih-lebih lagi bercargo-pants seperti saya. Kebiasaannya mereka dilihat mengenakan salwar kameez yang beraneka warna ataupun berjubah hitam dan berpurdah.
Kami telah disapa dengan baik oleh seorang lelaki berkupiah lusuh di pintu masuk masjid. Saya meminta izin untuk menziarah. "Please, come in madam. Come in!" dengan ramah dia menjemput kami. Lelaki ini sebenarnya berhajat untuk memberi penerangan kepada kami. Beliau bertanyakan asal kami dan tujuan kami ke mari dan begitu gembira apabila mendapat tahu saya berminat dengan sejarah Islam di India. Tanpa dipinta, kami dibawa mengelilingi kawasan tersebut. 
Masjid e-Ala dari luar.
 Menurut lelaki ini, menara masjid yang dibina bukan sahaja menjadi tempat muazin melaungkan azan tetapi menjadi tempat tinggal sekawanan burung merpati. Pada masa zaman pemerintahan Tipu Sultan, merpati-merpati inilah yang digunakan untuk mengirimkan berita kepada panglima-panglima  perang diperbatasan. Satu perkhidmatan yang boleh dipercayai, cekap dan pantas (kiranya, macam kiriman udaralah pada masa dahulu). Sangat berkesan melainkan burung yang membawa pesanan itu menemui ajal akibat ditembak ataupun dipanah sebelum sampai ke destinasinya. Kasihan... .


Masjid e-Ala dari dalam.
 Menurut cerita penjaga masjid tadi, terdapat lebih kurang 126 anak tangga di dalam setiap menara ini. Jika anda dapat melihat lubang-lubang kecil di sekeliling menara, itulah rumah-rumah burung merpati yang beliau maksudkan. Masjid e-Ala ini masih lagi digunakan sebagai sekolah agama. Sewaktu kami melawat, kami sempat bertemu dengan salah seorang ustaz yang mengelolakan sekolah tersebut. Saya juga disapa oleh sekumpulan pelajarnya yang berjubah putih seperti anak-anak tahfiz di Malaysia. Seperkara yang menarik perhatian saya ialah pelajar-pelajar ini agak fasih berbahasa Inggeris. Amat berbeza jika dibandingkan dengan sekolah-sekolah pondok di tempat kita yang mana matapelajaran lain selain daripada agama masih dianggap sebagai pengaruh negatif dan sekular. Apatah lagi mahu berbahasa Inggeris. Buat pengetahuan, mereka juga fasih berbahasa Arab. Namun kami tidak sempat mengadakan temuramah kerana hari sudah menginjak petang dan waktu maghrib bakal memjelma sedikit waktu sahaja lagi. Saya lihat pelajar-pelajar senior sudah mula bersiap-siap entah hendak ke mana. Sebelum pulang, kami sempat menjengah ke sebuah takungan air yang pernah digunakan sebagai tempat berwuduk, membasuh dan segala jenis aktiviti keperluan hidup di sini. Penjaga masjid juga menunjukkan kami beberapa buah makam ahli keluarga  Tipu Sultan. Makam yang berbentuk piramid membezakan penghuni di dalamnya adalah lelaki sementara yang bersimen rata adalah milik perempuan.

Takungan air bersejarah

Makam dalam Masjid e-Ala
Sekian dahulu kembara kami pada kali ini. Insya-Allah akan bersambung sedikit masa lagi.

No comments:

Post a Comment