Pages

Thursday 22 December 2011

India Dalam Kenangan

India Dalam Kenangan
Kembara saya di bumi India telah lama berakhir. Namun segala kenangan pahit dan manis yang kami lalui tetap segar dalam ingatan. Paling penting, beberapa urusan saya di sana telah dapat diselesaikan dengan baik. Syukur kepada Tuhan.  Biarpun sebenarnya saya amat berharap untuk tinggal lebih lama di India bagi melengkapkan kajian, saya terpaksa akur pada bajet dan tanggungjawab yang menanti di tanah air. Tambahan pula, Ummi juga terpaksa kembali semula ke pejabat menguruskan hal-ehwal syarikat milik keluarganya.

Sengaja tidak saya tuliskan kembara di Calicut kerana ia akan menjadi sebahagian dari latar dalam novel saya. Oh, kawan saya di Delhi beria-ia mengajak saya ke tempatnya. Tetapi untuk memasukkan terlalu banyak tempat dalam satu-satu novel bukanlah kerja yang mudah. Tambahan pula, novel kali ini bakal merentas tiga negara di dua benua. Banyak kerja yang perlu saya lakukan. Kajian juga masih berjalan cuma tidak selancar jika saya berada di  bumi India. Apabila terpaksa bergantung harap kepada bantuan pihak ketiga di alam maya, kajian boleh berlanjutan sehingga setahun lebih. Itulah yang terjadi kepada novel pertama. Saya mohon agar Allah murahkan rezeki kali ini supaya dapat meneruskan kerja-kerja penulisan dengan lebih baik dan berjaya. Seperti yang anda tahu, tulisan saya bukan sekadar hiburan. Ia tidak menyogokkan kisah cintan-cintun ala Mills and Boon. Biarpun statistik di pasaran membuktikan kelarisan novel bertemakan cinta yang asyik-mahsyuk menerajui carta jualan, Tuhan, tolonglah bantu saya agar tidak terus berputus asa!

Inilah perjuangan saya. Nawaitu yang saya tetapkan apabila terjun ke bidang ini. Patutkah saya mengalah dengan cabaran dan dugaan? Saya sedar, siapalah saya tanpa para pembaca di luar sana. Dan saya juga sedar, diri ini masih belum matang dengan 'sepak-terajang' dunia penulisan tanah air. Pihak penerbitan perlu akur dengan kehendak pasaran dan saya pula masih dahagakan ilmu-ilmu penulisan. Banyak yang harus saya pelajari. Adat orang berjuang, jika tidak mahu tercedera, duduk sahajalah diam-diam. 

Baiklah, setelah beberapa bulan berhenti menulis (selain berblog), saya penuhi dengan membaca. Kini, saya perlu melakukan kedua-duanya sekali. Target saya? Sebuah buku mesti siap sebelum menjelang Pesta Buku Antarabanga 2012. Mampukah diri ini? Oh, sejujurnya takut untuk saya bayangkan. Kita lihat sahaja nanti... . 

Sementara itu, saya hidangkan sebahagian daripada gambar-gambar eksklusif Kembara India saya yang lepas. Khusus sebagai santapan pengunjung Aku Dan Kafe Buku. Nikmatilah... . 















































No comments:

Post a Comment