Pages

Wednesday 14 December 2011

Tapak Istana Lama Tipu Sultan

Tapak Bersejarah Tipu Sultan

Seorang Lelaki dan Rumput Kering
Kembara Mysore, kami teruskan dengan menjejaki tapak bersejarah yang berkaitan di sekitar Sri Ranga Patna.
Kali ini, kami melalui sebatang jalan kampung menuju ke tempat di mana rakyat menemui sekujur tubuh Tipu Sultan yang bergelumang dengan darah. Di sinilah beliau dikatakan menemui ajalnya setelah berjuang bermati-matian mempertahankan tanah Mysore daripada dijajah. 
Kisah penggulingan Tipu Sultan ini boleh dibaca dalam sejarah Mysore. Hyder Ali dikatakan telah merampas tahta daripada  keluarga diraja Wodeyar. Bagaimana kisah ini terjadi masih dalam kajian saya. Seperti yang pernah saya katakan dahulu, pemerintahan de facto keluarga Hyder Ali sehingga anaknya Tipu Sultan masih lagi dalam perdebatan sejarawan India. Anda akan tahu nanti bagaimana perangai hasad dengki, tamak haloba dan dendam kesumat menjadi senjata yang paling berkesan untuk memulakan mana-mana permusuhan. Kejayaan pihak British membunuh Tipu Sultan adalah dengan kerjasama orang dalam yang berpaling tadah. Perkara yang sangat menyakitkan hati saya ialah apabila melihat kemusnahan sesebuah kerajaan Islam di tangan saudara seagama. Inilah penyakit umat Islam dari dulu hingga kini. Tidak ramai yang mahu ambil pusing dengan perpaduan kita yang kian rapuh. Ya, saya akui, dalam bab-bab bersuka-ria dan berpesta loka, kita selalunya akan bersatu hati dan sebulat suara melompat-lompat dan bertepuk tangan. Tetapi dalam hal perjuangan membela anak bangsa dan AGAMA, juga merapatkan perpaduan, kita selalu akan bersikap lepas tangan. Jauh di sudut hati, saya amat bimbang dengan 'keselamatan' generasi akan datang!... . 

Tapak Penemuan Jenazah Tipu Sultan
   
Setelah mengambil gambar di tapak penemuan jenazah Tipu Sultan, kami menyusuri jalan kampung untuk melihat-lihat kawasan lain pula. Antaranya ialah tapak arkeologi peninggalan  kubu dan istana Tipu Sultan. Sebelum ini, kita melawat ke Istana Musim Panans Tipu Sultan. Kali ini, kita saksikan pula bekas tapak istana di mana segala-galanya berlaku. Habis punah dan ranap. Terdapat juga kesan-kesan kebakaran biarpun rumput hijau sudah memenuhi hampir keseluruhan kawasan tersebut. Mungkinkah saya yang berimaginasi lebih-lebih sebab tiba-tiba saya seperti mendengar teriakan soldadu British menjerit, "Chaaaarge!..."
Pada saat itu juga saya terdengar bunyi tembakan meriam dan gemercing pedang yang berlaga antara satu sama lain menandakan perang sedang bermula.
Okay, okay... ayat kau pun dah macam dalam novel! Hehe. 

Tapak arkeologi istana dan kubu Tipu Sultan.


Berhampiran dengan kawasan istana, pemandu teksi kami, T menunjukkan sebuah tempat kurungan bawah tanah (dungeon) yang pernah digunakan oleh Tipu Sultan untuk menawan askar-askar British. Kami juga berpeluang menyaksikan keretapi yang datang dari Bangalore menuju ke Mysore. Menurut kata T, tempat kami berhenti itu adalah persimpangan jalan keretapi. Ke Kanan menuju ke Bangalore, ke kiri menuju ke Mysore. Ataupun terbalik, maaflah saya ingat-ingat lupa!


Sekitar kawasan istana yang telah musnah.
Setelah berjaya menghabiskan lawatan di sekitar Dariya Daulat Bagh, T memandu kami untuk menyaksikan Musical Fountain di Brindavan Garden yang terletak di tengah-tengah kawasan empangan air. Hari kian beransur gelap. Lebih kurang pukul 9 malam, kami selamat sampai di Mango Suites. Ummi yang sudah kelaparan mengajak saya ke 'hotel' kegemarannya untuk menjamu selera. Tidak dapat dinafikan, memang sepanjang menginap di Mysore, siang dan malam kami berdapurkan restoran tersebut. Ingin tahu mana tempatnya? Kembali semula ke kafe ini nanti, ya!

Dungeon

Sekawanan kambing
Persimpangan Bangalore-Mysore
Musical Fountain-Brindavan Garden

Hingga ketemu lagi... .

No comments:

Post a Comment