Pages

Friday 9 December 2011

Istana Musim Panas Tipu Sultan

Istana Musim Panas Tipu Sultan
Replika Kubu & Istana Tipu Sultan
Dia digelar sebagai Harimau Mysore.
Lahir pada tahun 1750 di sebuah tempat bernama Devanahalli.
Anak kepada seorang panglima perang bernama Hyder Ali dan isterinya, Fatima ataupun Fakhr-un-Nissa. Tipu Sultan juga dikenali dengan nama Sultan Fateh Ali Khan Shahab atau Tipu Saheb ataupun Fateh Ali Khan Tipu Sultan Bahadur. Beliau bukan sahaja menjadi pemerintah Mysore tetapi juga seorang yang berpendidikan tinggi, juga seorang pahlawan dan penyajak yang sangat terkenal di zamannya. Seorang yang fasih dalam pelbagai bahasa, Tipu Sultan merupakan seorang penganut agama Islam yang taat biarpun hampir majoriti rakyatnya beragama Hindu. Seperti Salahuddin al-Ayubi, Tipu Sultan sangat bertolak ansur dalam menangani isu-isu agama di Mysore. Atas permintaan pihak Perancis waktu itu, Tipu Sultan telah membina gereja yang pertama di Mysore. Beliau juga sangat menitik-beratkan hubungan dua-hala dengan kerajaan-kerajaan lain di luar India seperti menghantar utusannya ke Perancis dan menemui pemerintah Empayar Othmaniah. Dalam sejarah peperangan Mysore, Tipu Sultan dan pengikutnya adalah penentang utama kepada perluasan empayar kerajaan British di Selatan India. 
Walaubagaimanapun, isu kekerasan pemerintahan Tipu Sultan pada zamannya masih lagi menjadi perdebatan di India sehingga ke hari ini. Namun begitu, jasa beliau dalam memajukan bidang ketenteraan dan usahanya memperluaskan penggunaan bahasa Parsi dan Urdu di selatan India tidak dapat disangkal oleh sesiapa. 
Pada tahun 1799, dalam peperangan Anglo-Mysore yang keempat, Tipu Sultan telah dibunuh dengan kejam sewaktu mempertahankan kubunya daripada dirampas oleh satu pakatan besar-besaran antara pihak British East India Company dan Sultan Nizam dari Hyderabad.
 -Sumber dari Wikipedia-

Selepas bergegas membeli tiket bas ke Calicut pada waktu pagi, Anjum, Deepika dan Bheemaiah sekali lagi membantu saya mendapatkan sebuah teksi untuk menjelajahi kawasan bersejarah yang berkaitan dengan Tipu Sultan. Daria Daulat Bagh, Jumma Masjid, Old Masjid dan Istana Musim Panas adalah antara tempat-tempat lawatan yang terletak di Sri Ranga Patna. Pada mulanya, saya dan Ummi berhajat hendak menggunakan perkhidmatan Naveen untuk ke sana tetapi dinasihatkan oleh pengurus teknikal hotel Mango Suites, Nazim, supaya menyewa teksi sahaja. "More safe, madam!" katanya bersungguh. Tiada pilihan lain, saya terpaksa mengikut kata mereka yang lebih arif. Sebuah teksi di sewa dengan rundingan harga Rs1200 untuk membawa kami kesemua tempat-tempat yang ingin saya tuju. Sebenarnya, pada malam sebelumnya, Naveen telah datang menghulurkan saya sekeping pamplet yang mengandungi peta perlancongan Mysore. Malam itu, Naveen datang membawa kami ke kedai buku dan mengambil gambar gereja Saint Philomena. Sayang kami tidak sempat berjalan-jalan di bandar Mysore kerana hari sudah lewat. Tambahan pula, ada beberapa kerja yang perlu saya selesaikan. Buat pengetahuan anda, Mysore sangat terkenal dengan kain sari sutera yang sangat bermutu tinggi. Hajat dihati ingin juga merasa betapa lembut dan licinnya sutera Mysore... semuanya tinggal angan-angan!

Peta Dariya Daulat Bagh
Saya terlupa pula nama pemandu teksi kami pada hari itu. Jadi kita namakan dia sebagai T sahaja. Menurut T, perjalanan ke Sri Ranga Patna mengambil masa kira-kira satu jam. Wah, jauh juga. Sepanjang perjalanan, kami tidak putus idea berbual dengan T. Biarpun perbualan agak tidak lancar kerana kadang-kala kami 'sesat dalam terjemahan'. Haha... . Begitulah seronoknya bila berbual-bual dengan orang tempatan di sana. Saya lebih suka berbual dengan orang 'biasa' daripada berbual dengan mereka yang berkasta 'tinggi'. Ada juga antaranya yang boleh berbahasa Inggeris dengan baik. Melalui mereka, kita boleh mengutip berbagai cerita kehidupan sebenar dalam masyarakat setempat dan selalunya saya akan berasa lebih dihormati.
Pintu Masuk Dariya Daulat Bagh
Barisan Batas Bunga Dariya Daulat Bagh
Pokok Besar Beratus Tahun
 Dariya Daulat Bagh adalah sebuah kawasan besar yang merangkumi taman bunga, kubu dan istana musim panas Tipu Sultan. Ramai yang tidak perasan sebenarnya, Dariya Daulat Bagh terletak di atas sebuah pulau di seberang Sungai Kaveri. Berhampiran dengannya terdapat tempat-tempat bersejarah yang lain seperti Gumbaz, Masjid Jumma, tapak pembunuhan Tipu Sultan dan sebagainya. Sepanjang berada di sini, kami melihat ramai orang bersantai di atas padang rumputnya yang luas bersama keluarga masing-masing.  
Sebuah lagi pokok besar
Kami terpaksa meminta bantuan sekumpulan pemuda untuk bergambar berdua. Peliknya selepas itu, mereka meminta kami pula mengambil gambar mereka. Saya hulurkan tangan untuk mengambil kamera.
"No madam, use your camera," kata salah seorang daripada mereka.
"Eh, why?" soal saya hairan. "Bring back our photo to your country!" 
Oh... haha, kelakar betul budak-budak ini. Apa-apalah Labu... Setelah mengambil gambar mereka, saya pun berpaling untuk memadam imej tersebut. Terkejut bukan kepalang apabila tiba-tiba disergah dari belakang!
"Delete nahi, madam! Delete nahi!... "
Oh... okay, hmmm. Saya lihat Ummi sudah ketawa terkekeh-kekeh di hadapan.  




Ummi bersama meriam dan peluru batu

Ummi berdiri di hadapan pintu masuk istana musim panas Tipu Sultan. Di situ, diletakkan dua buah meriam yang pernah digunakan dalam peperangan menentang kerajaan British. Menariknya masih wujud lagi beberapa butir peluru meriam yang diperbuat daripada batu. Saya teringin benar hendak mengangkat sebiji buat bergambar. Tetapi takut pula kena jerit dengan pengawal istana yang tidak pandai langsung hendak melemparkan senyuman!
Cuba lihat di sekeliling istana ini, mereka tutup dengan penghadang cahaya matahari sebagai langkah pemeliharaan kesan sejarah yang tidak ternilai ini.

Kisah bersambung... selepas ini, kita ziarah masuk istana Tipu Sultan pula. Jangan lupa kembali ke kafe kita okay? 

    

No comments:

Post a Comment