Pages

Saturday 24 November 2012

Perihal Kafe dan McCafe

McCafe pertama di Shah Alam - Kota K

Mungkin ini bukanlah masa yang sesuai untuk saya menulis perihal McCafe? Dalam kekeruhan peperangan yang sengit di Gaza, dalam usaha memboikot produk-produk keluaran Israel, saya terpanggil untuk menulis sedikit perkongsian rasa.

Sebagai seorang penulis, saya tidak betah hanya berkurung dalam satu ruang kerja yang litup dan kaku. Hal ini bisa sahaja membantutkan proses pengaliran idea dari kotak minda ke paparan skrin atau helaian buku. Saya suka 'bergaul' dengan alam sekeliling. Termasuklah duduk minum-minum di kafe-kafe tertentu, walaupun keseorangan kerana ada masanya, berseorangan itu adalah lebih baik.

Saya akan cepat leka memerhatikan pelbagai jenis aktiviti alam sekeliling. Ada juga ketikanya, saya menyumbatkan telinga dengan lagu-lagu pilihan supaya tidak terlalu dipengaruhi oleh suasana persekitaran waktu itu. Tetapi, saya tetap bahagia! Bahagia berada dalam dunia saya sendiri. Mungkin inilah yang tidak difahami oleh masyarakat di luar kelompok kami. Bahawa, ada saat, ada hari, ada bulannya, kami memang mahu dibiarkan bersendirian dalam dunia kami. Dunia aksara tanpa noktah. Dunia imaginasi tanpa sempadan. Dunia di mana kami bebas berimaginasi mencecah awan.

Suatu ketika dahulu, terdapat sebuah kafe kecil yang comel lagi selesa di Kota K. Letaknya betul-betul menghadap ke tasik rekreasi taman perumahan kami. Boleh dikatakan di kafe inilah,  saya menyudahkan karya-karya saya seperti Lentera Cinta Albaicin dan Wow, Coklat Fondu Mia!. Di sini juga, saya menulis sekumpulan puisi-puisi saya. Sebahagian besarnya hanyalah untuk koleksi peribadi. Selebihnya, saya merangka beberapa manuskrip awal untuk beberapa buah novel termasuklah 'novel India' yang dinanti-nantikan oleh ramai pembaca itu.

My writer's corner - my second office. Sadly, now no more!

Di kafe ini, saya mempunyai 'MOU' dengan pemiliknya. Mereka sudah tahu, sebuah meja kecil di tepi dinding kaca ini, khusus buat si penulis. Kami memanggilnya 'writer's corner' kerana ia terletak di hujung tiang. Apa yang saya kesalkan, sebaik sahaja Ramadan 2012 berakhir, kafe ini telah ditutup. Tiada lagi Writer's Corner atau My Cafe by The Lake! Hampir sebulan, saya dilanda kesedihan. Tempat ini bukan sahaja cukup serasi dengan saya, malah pemiliknya ada menyediakan surau di bahagian belakang. Terdapat sambungan wi-fi percuma. Pilihan makanan dan kopi yang menyegarkan. Jika saya rasa terlalu lama melekat di situ, saya akan berjalan-jalan ke tasik yang terletak hanya di seberang jalan. Kemudian, kembali semula ke meja ini dan menulis lagi. Ah, begitu manisnya kenangan saya bersama kafe ini sehinggakan saya mengambil keputusan untuk mengabadikannya di dalam salah sebuah novel saya kelak! Hanya itu yang mampu menghidupkan nostalgia kami selama beberapa tahun bersama. Sehingga kini, saya masih lagi berduka atas sebuah kehilangan.

Begitulah sifat alam, tidak ada yang hadir dalam bentuk kekal. Hidup perlu diteruskan, cerita perlu disambung agar perjuangan tidak terhenti setakat itu. Oleh kerana itulah, saya menyambut baik kehadiran McCafe di Kota K. Selain mempunyai pelbagai pilihan dari segi kek dan pai epal, ia hadir dengan sajian berjenis-jenis kopi yang menjadi kegemaran saya. Latte, mocha, cappucino, frappe, semuanya ada. Disediakan juga talian wi-fi percuma. Faktor ini amatlah penting bagi saya untuk kemudahan bekerja di luar rumah. Akan tetapi...

Sungguh, dalam situasi umat Islam yang sedang bersatu untuk memboikot apa-apa sahaja agensi atau perniagaan yang berkaitan secara langsung (atau tidak)  dengan tentera Zionis laknatullah, pendirian perlu dibuat. Tidak ada yang memaksa. Ini hanya satu bentuk muhajadah yang sekecil kuman. Bagi yang tidak mahu mengambil bahagian dalam usaha pemboikotan ini, terpulang kepada kalian. Juga tidak ada yang memaksa, bukan?

Benar, ada banyak lagi cara lain untuk menolong saudara kita di Palestine. Cuma saya memikirkan bagaimanakah agaknya pendirian mereka yang bekerja di McCafe ini? Mahu berhenti, apakah ada kesediaan masyarakat Islam setempat untuk membantu mendapatkan peluang pekerjaan lain? Tidakkah kita terfikir betapa mereka ini juga sedang berada dalam dilema?

Usah cepat menghukum. Mengucapkan kata-kata dan melontarkan pandangan memang senang dibuat orang. Mereka juga punya keluarga untuk disara. Perbelanjaan yang perlu dilunaskan. Namun pandangan peribadi saya pula, jika kerjaya itu lebih banyak buruk daripada baiknya (SEPERTI TIDAK ADA RUANG UNTUK MENUNAIKAN SEMBAHYANG), eloklah berhenti sahaja. Mungkin berhijrah itu, akan lebih meluaskan rezeki buat kita! Kepada yang berkemampuan untuk menghulurkan derma, silakanlah. Jika yang berkesempatan menjengah kekalutan di Gaza, lakukanlah. Kepada yang rajin mengirimkan bingkisan doa kepada para pejuang, jangan berhenti setakat hari ini, okey? Teruskanlah.

Perasaan kasih sayang sesama saudara seislam, keprihatinan dan kebertanggungjawaban itu lebih penting untuk disematkan dalam diri masing-masing. Mudah-mudah Islam tidak lagi dianggap lemah dan diambil mudah oleh penghuni-penghuni dunia yang lain.

Salam petang Sabtu.


6 comments:

  1. McCafe ni adik beradik McDee ke? Saya memang dah berzaman tak makan kat McDee. Memang dah boikot lama... sebab tak sedap, hehe...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Yes, they open a small counter inside selected 'McDee'. Nice brewed coffee and the price is reasonable. They offer three sizes of serving, small-medium-large cup. Tapi itulah,nak kena kuat semangat memboikot. Uncle, memang tak sedap pun tapi sebab ada free wi-fi and glass window saja saya ke sini. Satu faktor lagi, McDee Kota K pun berhadapan dengan tasik.

      Delete
    2. Apa kata kita team-up bukak satu writer's cafe... taknyah nak depend kat orang lain.

      Tapi kena set up in JB laa... hehe..

      Delete
  2. Woooohooo! That would be a dream comes true, uncle! :)

    I met the cafe owner last week. I asked, "Laa, kenapa tutup? Sedihnya," He replied, "Tulaaa, awak lama tak datang!"

    Hahaha, it seems like we need each other to survive! But I know he has handful of other cafes or businesses to go on.

    ReplyDelete
  3. Sayq tak pernh tahu ada mccafe..ohoho.dulu sebelum kahwin,saya memang gilakan mcdee.selepas kawin,saya stop makan sebab suami saya tak makan.DAlam erti kata lain,boikot.Tidaklah dia menheret saya sekali.Pada suami saya,nak makan makanlah.Agaknya,bila dah makin rua ni dah tak teringin nak makan fast food kot.hi hi

    ReplyDelete
  4. 'The Nunu', ini adalah produk baharu. Tidak semua cawangan McDee yang ada kafe ini. Kebetulan, restoran di kawasan perumahan saya menjadi pilihan sebagai McCafe pertama di Shah Alam. Ya, saya juga berpendapat, keputusan untuk memboikot adalah hak individu. Yang tidak mahu memboikot pula mungkin beralasan ramai pekerja di rangkaian restoran segera ini terdiri daripada orang Melayu. Melayu itu, agamanya Islam. Jadi mereka berbelanja di sini sebagai 'membayar gaji' pekerja-pekerja Melayu tadi buat menyara keluarga mereka. Wallahua'lam... .

    ReplyDelete