Tuesday, 1 November 2011

10 Oktober 2011... Kisah bermula...


Alangkah seronoknya andai dapat bergelumang dalam awan-gemawan!


Sepanjang perjalanan ke lapangan terbang, saya diingatkan supaya sentiasa berhati-hati semasa di India nanti.

"Sama-sama jaga diri, okay? Jaga makan, jaga keselamatan, jaga barang-barang... ."
"Jangan berangan-angan pula. Seorang nak jadi Kajol, seorang lagi nak jadi Aishwarya!...Mesti selalu berwaspada!"

Itulah antara pesanan yang dititipkan oleh anak perempuan dan menantu lelaki Ummi.
Kami berdua hanya tergelak mendengarkan nasihatnya itu. Wah, dalam juga maksudnya! Nak berangan macam Kajol dan Aishwarya?... Eeiii tak layak rasanya!

Ummi adalah salah seorang sahabat kepercayaan saya. Saya menganggapnya lebih daripada seorang kawan. Banyak kali Ummi berperanan seperti bonda saya. Umur mereka pun lebih kurang sama. Sepatutnya saya membawa bonda saya buat peneman ke India. Tetapi saya tahu kesihatan beliau tidak akan mengizinkan beliau berlasak dalam kembara India yang mencabar seperti ini. Saya tidak akan memperjudikan kesihatan dan keselamatannya semata-mata kerana kerja. Insya-Allah, lain kali sudah sampai rezeki, akan saya bawa. Bukan untuk berkerja... mungkin untuk berlibur dan menyambung silaturrahim. Dalam hal ini, saya rasa sangat bersyukur kerana Ummi sudi menemani saya.  

Bersama debaran yang kuat memukul dada, saya memberanikan diri. Saya belum pernah ke luar negara seorang diri begini. Mujur ada Ummi. Dan saya tahu, Tuhan akan selalu bersama kami. 


Bumi India - I wish i could take a clearer picture =( Sebenarnya itu kabus..


Pesawat Ak 211 mencecah ke landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Bangalore sewaktu hari sudah pun hampir gelap. Selesai mengambil bagasi, kami bergerak perlahan-lahan menuju ke ruang legar di luar lapangan terbang. Wah, begitu ramai sekali manusia yang menanti kepulangan sanak saudara, sahabat-handai, majikan dan sebagainya. Apa yang pasti, kami lihat ramai juga 'ulat-ulat' kereta sewa yang bersidai di situ. Sebenarnya, di luar lapangan terbang ini anda boleh mendapatkan kereta sewa yang dipantau oleh pihak Lapangan Terbang Antarabangsa Bangalore dengan selamat. Kesemuanya menggunakan meter. Letaknya di sebelah kiri, bersebelahan dengan kedai menjual jus. Anda akan lihat teksi berbaris dan orang ramai beratur panjang. Jangan malu bertanya. Ada petugas yang memakai kot dan tag nama di situ. Jangan ambil teksi yang ditawarkan dari kaunter di dalam atau luar lapangan terbang, pastinya lebih mahal. 

Tiba-tiba saya mendapat panggilan telefon daripada Kak Sally mengatakan anaknya sudah pun dalam perjalanan untuk menjemput kami. Alhamdulillah, setelah menunggu buat seketika, susuk tubuh kecil molek Doktor A.N muncul dengan senyum simpulnya. Lega kami! Tidak selesa sungguh rasanya apabila diperhatikan oleh 'ulat-ulat' kereta sewa. Agaknya muka kami nampak sangat macam orang jakun yang baru pertama kali sampai ke India! 

Kami dibawa menyusuri lebuhraya Bangalore menuju ke Gokula, tempat di mana ramai pelajar dari Malaysian Science University (MSU) dalam jurusan perubatan dan dentistri tinggal. Cantik apartmennya. Ada kolam renang comel lagi. Ya, jangan marah, saya boleh terlupa nak ambil gambar. Penat dalam kelaparan! 

Pintu dibuka dan kami disambut dengan ramah sekali oleh Cupcake, Princess Yaya dan Mew Mew... siapa mereka ini? Hah, cuba tengok gambar di bawah, geram tak?


Cuba teka, yang mana satu Cupcake, P.Yaya & Mew-Mew?


Selesai menjamu selera ala kadar, kami bersiap-siap untuk keluar semula. Wah, baru sahaja sampai sudah hendak merayap?
Eh, bukan... entah macam mana dugaan pertama kami di tanah India ini adalah untuk membuka beg baju Ummi. Saya masih ingat lagi betapa kami bertiga berhempas-pulas cuba hendak mematahkan mangga kecil yang mengunci beg besar itu. Haha, saya pun tidak perasan bila agaknya Ummi sedar kunci begnya sudah hilang! Cerita kami bercakap dalam bahasa ayam-itik di kedai memang susah hendak digambarkan disini. Dipendekkan cerita, akhirnya pekedai (yang sabar melayan kami itu) berjaya juga menunjukkan pemutar skrew yang kami cari-cari. Balik ke rumah, Doktor A.N pun berusaha sekali lagi. Alhamdulillah, kali ini, beliau berjaya mematahkan mangga besi tersebut. Apa lagi, bersoraklah semua orang! Letih... dan selepas mandi dan solat, saya terus mengadap laptop. 

Terkejut disergah emel daripada tuan editor! Apa boleh buat, saya perlu mencari sesuap nasi dari kerjaya ini. Amanah mesti dijalankan dengan tanggungjawab dan dedikasi. Selesai menyelesaikan urusan, saya berbaring di luar sementara Ummi di dalam bersama Doktor A.N. Entahlah, saya lebih suka berbaring di luar sambil melayan kucing-kucing bertiga itu keluar-masuk dari dalam bilik tidur ke ruang tamu. Mungkin mereka lebih teruja menerima kami berdua daripada kami yang tidak sabar-sabar hendak memulakan kembara di benua India keesokan harinya. 

Ah, rupa-rupanya malam itu, ada insan di dalam bilik yang tidak boleh hendak melelapkan mata!

11 Oktober 2011...

Hari pertama di Bangalore, kami belajar bagaimana hendak menggunakan perkhidmatan autorickshaw a.k.a tut-tut. Panggilan ringkasnya 'auto' sahaja. Jika anda mahu menggunakan kenderaan ini, haruslah tahu bagaimana hendak melakukan tawar-menawar. Seperti yang dijangka, apabila melihat orang luar seperti kami, mereka dengan mengada-ngadanya tidak mahu menggunakan meter. Main letak harga sesuka hati dan sesedap rasa. Mujur kami ada seorang guru yang cekap mengajar. Siapa lagi kalau bukan Doktor A.N? Badan sahaja kecil molek tetapi garang juga melayan abang-abang auto di sini! Yalah, jika tidak, mereka akan 'ketuk' kita.

Hari itu, buat pertama kalinya kami menghirup sendiri udara bercampur habuk-habuk dan merasai hiruk-pikuk suasana sibuk di Bandar Bangalore. Di sini (juga di mana-mana di India) pemandu kenderaan akan sentiasa membunyikan hon. Berselisih dengan kenderaan lain - hon. Berada di belakang kenderaan lain - hon. Asal nampak sahaja kenderaan lain berada di jalan yang sama - hon! Aduh, naik bingit telinga dibuatnya. Tetapi apa yang peliknya menurut Doktor A.N, kadar kemalangan di bandar ini boleh dikatakan tidak melebihi 1% ! Pelik bukan? 

Di Malaysia, pemandunya jarang sekali menggunakan hon. Jika adapun, akan dipandang semacam atau dilayangkan penumbuk! Huh, lihatlah betapa bersopannya orang kita di jalanraya. Mereka rasa terhina apabila dibunyikan hon. Mereka tak mainlah bunyi hon-hon ini, itu yang main langgar saja! 

Sedangkan matlamat membunyikan hon di India adalah untuk memaklumkan kehadiran kita kepada pengguna jalanraya yang lain termasuklah pejalan kaki. Ini membuatkan semua orang berwaspada dengan keselamatan diri sendiri dan juga orang lain. Jadi, jangan bersangka buruk dengan tabiat pemanduan di India, okay?

Perkara pertama yang ingin saya lakukan di Bangalore ialah mencari kedai buku.
Doktor A.N membawa kami ke Mantri Square kerana di sana terdapat sebuah kedai buku besar seperti MPH. Namanya Reliance TimeOut. Ia sebenarnya adalah salah satu anak syarikat yang bernaung di bawah jenama Reliance seperti Reliance Digital, Reliance Footprint, Reliance Jewels, Reliance Living... dan oh banyak lagi. Kiranya Reliance ini tycoon perniagaan di seluruh India! Di sini, saya memborong buku fiksyen India tulisan penulis bestsellernya iaitu Chetan Bhagat. Jika di Malaysia dia mungkin akan dikategorikan sebagai seorang penulis novel-novel pop. Namun di India, dia dilihat sebagai seorang icon generasi muda dalam memupuk minat untuk membaca dan menggerakkan minda mereka kepada generasi India yang lebih berwawasan. Kebanyakan novel Chatan Bhagat telahpun diadaptasikan kepada filem-filem Bollywood. Buku-buku beliau memang susah hendak didapati di Malaysia. Tambahan pula di India, harga buku jauh lebih murah. Saya membeli novelnya dengan harga Rs95 sebuah. Itu baharu Myr6.65. Tahu tidak, saya memesan novel yang sama di Borders dengan harga Myr20! Sooooo apa lagi, borong! Bak kata salah seorang guru penulisan saya, jika ingin menyelami budaya sesuatu kaum, bacalah dahulu hasil penulisannya. 

Keluar dari Mantri Square, kami yang kelaparan dibawa menjamu selera di sebuah restoran makan halal yang bernama Empire Hotel. Menariknya, hampir semua kedai makan di sini dipanggil hotel. Kenapa? Saya pun tidak sempat bertanya. Apa yang saya tahu, makanan di sini memang halal dan sedap. Jika anda berpeluang ke sini, cubalah air 'mosambi'nya. Segar lagi menyegarkan!     

Singgahan ketiga kami adalah ke Commercial Street (CM).
Di sini syurga bagi mereka yang gemar membeli-belah. Sesiapa yang berminat hendak mendapatkan fabrik kapas India yang elok mutunya, singgahlah ke FAZAL atau sebuah lagi kedai yang terletak berdekatan dengannya iaitu FAB INDIA. Bezanya, Fazal menjual kain kapas bermeter manakala Fab India menawarkan himpunan baju-baju yang sudah siap. Ala-ala British India. Memang cantik sekali. Saya yang pada mulanya tidak mahu 'bershopping' terikut-ikut apabila melihat Ummi sibuk memilih untuk kenalan dari Malaysia yang berpesan.

Di sini juga terdapat banyak kedai menjual barangan kraftangan. Daripada golok kecil India (yang entah apa namanya) kepada ukiran patung sehinggalah kepada kotak kayu yang dihiasi gambar-gambar menggunakan serbuk batu permata. Saya berniat hendak membeli kotak tersebut pada hari-hari terakhir sebelum berangkat pulang ke Malaysia... sayang sekali terlupa! Di sini juga terdapat banyak kedai-kedai baju yang beraneka fesyen. Sari, lehenga, kurta, kurti, set salwar kameez yang lengkap dengan dupata... semuanya ada di sini. Saya memang berangan-angan hendak mendapatkan sepasang salwar kameez namun di Bangalore, tiada satu pun yang berkenan di hati. 

Menyusur jalan keluar dari CM, saya terpandang deretan kedai yang menjual barangan perhiasan perempuan. BANGLES!!!!!!!!!!!!!!!! Hati bagaikan ditarik-tarik untuk melangkah masuk. Gelang tangan adalah salah satu ciri-ciri kewanitaan di India. Pelbagai rupa, corak dan warna yang ditawarkan sehinggakan kami jadi rambang mata hendak memilihnya. Err, sebenarnya saya seorang sahaja yang menyukai 'Indian Bangles' ini. Kasihan Ummi dan Doktor A.N kerana terpaksa menunggu saya hampir setengah jam. Bukan apa, saya yang tidak pandai tawar-menawar ini... terkial-kial hendak meminta diskaun. Sampai satu tahap, Ummi yang bertindak sebagai orang tengah. 

Ratusan Indian Bangles di kedai Huda Collection


 "Give her special price lah... we want to go home. Hurry for solat, you know solat?" kata Ummi. Pemuda yang melayan saya pantas menjawab "I am also a muslim, madam!" 
Saya melihat jam tangan. Sungguh waktu maghrib telah masuk. Di sini pukul 6 petang sudah masuk waktu maghrib. Saya kembali menatap wajah pemuda tersebut dengan padangan yang penuh bermakna. "Please?... " 
"Okay, okay... we all want to pray. Special price for you!" 
Dua set lengkap Indian Bangles menjadi milik saya dengan harga Rs1300 (Myr91) Mahalkah? Mungkin mahal juga. Tetapi saya kira saya tidak akan dapat gelang lengkap secantik itu dua pasang jika membeli di Jalan Masjid India. (Pernah survey sebelum ini).
Puas dengan apa yang diperolehi, kami bertiga pun menahan auto untuk pulang. Berakhir sudah kembara hari pertama. Apabila saya fikir-fikirkan kembali, jika tidak kerana masing-masing mahu bersolat, tentu saya masih bersidai di kedai gelang tersebut.
Natijahnya di sini, jika kita selalu mengingati Tuhan, nescaya Tuhan akan mengingati kita. Dalam apa keadaan sekalipun, hanya dengan mengingatiNya pasti akan memudahkan segala urusan! Ya, saya yang kerdil ini telah belajar sesuatu yang penting di sebuah kedai Indian Bangles di Bangalore.














 

2 comments:

  1. Puan Mazny,

    Bila nak pakai blog header baru?

    ReplyDelete
  2. Ohoho...

    Insya-Allah tidak lama lagi*wink*

    ReplyDelete