Pages

Wednesday 30 November 2011

Istana Mysore
Tahta Maharaja Mysore

 Masya-Allah, belum pernah saya saksikan sebuah istana yang terbina dengan kesenian yang begitu halus dan kemegahan yang begitu mengasyikkan.
Melangkah ke dalam dewan istana yang luas membuatkan kami seperti dikembalikan ke alam beberapa ratus tahun yang lampau. Terdapat beberapa buah dewan di dalam istana ini. Antaranya ialah Marriage Pavilion, Durbar Hall, Diwani Aam, Diwani Khas, Peacock Pavilion dan sebagainya. Perhatian, di sini, 'w' kebiasaannya disebut sebagai 'v'. Kebetulan dalam bulan Oktober, Mysore menyambut pesta Dasara secara besar-besaran selama sepuluh hari. Pada waktu inilah kesemua gajah diraja akan dibawa keluar, dihias dengan kain tenun dan payung kebesaran. Sebuah perarakan diraja berlangsung dari Istana Mysore melalui beberapa jalan utama di Bandar Mysore menuju ke taman Banni Mantap. Sayang sekali, saya terpaksa 'melepaskan' pesta Dasara atas beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan. Sewaktu saya sampai di Mysore, Pesta Dasara telah pun berakhir lebih kurang seminggu yang lalu.

Ambavilasa-Diwani Khas
 Istana Mysore pernah mengalami kerosakan yang teruk akibat dipanah petir dan terbakar. Ia juga pernah berpindah tempat atas arahan Hyder Ali yang mahu mendirikan sebuah kota baharu - Nazarbad. Akibatnya istana ini terbiar dan tidak berjaga dengan baik. Istana ini sekali lagi mengalami kebakaran sewaktu temasya perkahwinan Puteri Jayalakshmimamanniyavaru yang melibatkan sebahagian besar bangunan kayunya musnah. Bagi mengekalkan keindahan dan kemahsyuran istana ini, Maharani Vanivilasa Sannidhana telah memerintahkan agar sebuah istana baru dibina atas tapak istana lama berpandukan rekabentuk istana Mysore yang asal.
Seperti istana lama yang lain di India, ia juga dibina berkonsepkan halaman yang terbuka luas dengan hanya berbumbungkan langit. Halaman sebegini dipanggil Thotti. Kami memasuki dan melalui Elephant Gate seterusnya dan ke bahagian yang mengumpulkan lukisan dan hasil kerja seni - Kalyana Mantapa ataupun The Marriage Pavillion.
Kalyana Mantapa
Di tengah-tengah Kalyana Mantapa terdapat sebuah kubah kaca berbentuk oktagonal. Kubah ini dihiasi dengan motif bulu burung merak, sepadan dengan jubin marmar pada lantai di bawahnya. Oleh kerana itu, ia juga dikenali dengan nama The Peacock Pavilion. Menariknya, di sekeliling Kalyana Mantapa ini, terdapat lebih kurang 26 lukisan mural pada dindingnya yang merakamkan kisah temasya Dasara yang gilang-gemilang. Projek melukis secara besar-besaran ini telah dijalankan di bawah seliaan Maharaja Krishnaraja Wodeyar IV. Ia merupakan hasil kerjatangan pelukis-pelukis tempatan dari Mysore sendiri. Jika boleh, saya mahu meramkan kesemua 26 buah lukisan mural tersebut melalui lensa telefon bimbit. Memanglah ia mengambil masa yang lama kerana kehadiran orang ramai yang bertali-arus dan sama-sama teruja seperti saya untuk mengambil gambar di setiap ceruk istana tersebut. Tambahan pula Ummi sudah jauh meninggalkan saya. Rasanya dia sudah khatam mendengar penerangan dari audio itu berkali-kali. Saya masih berdiri di tempat yang sama. Haha, kasihan Ummi. Ada sesiapa tak yang mahu ikut saya ke Mysore semula?... Banyak lagi tempat yang saya belum lawat di sini dek kerana mahu berkejar ke Calicut pula. Patutlah kebanyakan mat saleh sanggup tinggal dua tiga bulan di India. So much to see and experience here!

Hmm, sudah hampir setengah jam saya cuba download gambar-gambar mural di sini. Ada banyak tetapi saya hanya memilih beberapa keping sahaja. Pencahayaan yang terlalu terang dan kadang-kala terlalu gelap menyebabkan saya sukar mendapat imej yang terbaik. Saya tidak pasti mengapa mereka tidak membenarkan pengunjung membawa masuk kamera. Adakah flash kamera boleh merosakkan ketahanan dan memendekkan usia barang-barang lama ini? Apa yang pasti, saya berasa tidak puas.

Perarakan Diraja










Perarakan berkuda
Sukarnya hendak menangkap gambar dari sisi yang terbaik!
Peacock Dome-Hasil sentuhan Walter Macfarlane Saracen Foundry dari Glasgow
Baiklah, niat di hati hendak menulis langsung keseluruhan penjelajahan Istana Mysore tetapi sudah banyak masa saya terbuang kerana cuba memasukkan gambar. Ada tugasan lain yang lebih utama untuk saya sudahkan. Mohon maaf dan terima kasih atas kesabaran anda. Insya-Allah, ceritera ini akan disambung sedikit masa lagi. Sila berkunjung kembali!


 

No comments:

Post a Comment