Pages

Monday 14 November 2011

12 Oktober 2011

Hari kedua, kami berkemas-kemas untuk check-in ke hotel Mel's Regency yang terletak di Domlur Layout, 1st Main Road. 
Ia sebenarnya merupakan sebuah 'service apartment'. Biliknya selesa dan bersih. Paling saya suka di sini, perkhidmatan 'room servicenya'. Angkat sahaja telefon, semuanya bisa diatur! Cuma satu sahaja... kami tidak pernah berjumpa dengan orang perempuan lain yang menginap di hotel ini! Semuanya lelaki. Sudahlah badan tinggi-tinggi dan besar-besar. Masa inilah baru teringat kalaulah ada tali pinggang hitam ke, karate ke, muay thai ke, tidaklah kecut perut sangat. 

Bercerita tentang hal ini, saya teringatkan 'bell boy' yang membantu kami. Oleh kerana saya terlupa nama sebenarnya, kita namakan dia B sahaja. Apa yang saya tahu, dia beragama Islam. Umurnya baru mencecah 17 tahun. Anak sulung daripada tiga orang adik beradik. Orangnya kurus, tinggi lampai dan berambut kerinting. Menariknya B ini sangat peramah. Okay saya ulangi... terlebih peramah! Pernah sekali, saya yang hanya berbaju tidur dan menyarung hijab ringkas membuka pintu. Saya tahu B yang datang kerana saya memesan seterika dan papannya. Saya hulurkan tangan untuk mengambil barang-barang tersebut namun B dengan pantas menolak pintu bilik kami dan menerjah masuk. Apa lagi, hampir melompatlah Ummi yang sedang seronok berbaring di atas katil. Saya amat terkejut sehingga tidak terkata apa-apa. Tambahan pula bahasa Inggeris B hanya setakat 'Yes, No, Okey' ... saya diamkan dahulu perbuatannya pada hari itu.
Dua hari di Mel, inilah sarapan kami-Dosa dan telur rebus bersama chai

Kali kedua, apabila dia datang tengah-tengah malam buta kerana mahu mengambil pesanan untuk sarapan pagi kami. Waktu itu, saya sedang leka membuat kerja. 'Eh, tak boleh tunggu pagi-pagi besok ?' hati saya membentak.
'Why don't you just ask me over the phone?' suara saya agak keras apabila melihat kepalanya menonjol di sebalik daun pintu. Kali ini saya pandai sedikit, sebelah kaki sudah disengkangkan untuk menghalang dia masuk.
'No madam... bla bla bla bla bla bla,' dia membebel dalam bahasa Kannada. Saya berkerut. B menunding ke arah meja tulis. Sebaik saya menoleh, dia mengambil kesempatan menolak pintu dan menerpa masuk! Ya Allah... lagi sekali darah saya berderau dibuatnya. Tetapi apabila difikir-fikirkan balik, tidak boleh hendak salahkan B seratus-peratus. Dia berkomunikasi dengan saya seperti lembu bercakap dengan ayam dan itik. Patutlah dia hendak masuk kerana apabila di tunjuk pada menu sarapan, barulah dia faham apa yang kami minta. Hmm, pengurusnya pun satu - boleh berbahasa Inggeris dengan baik tetapi tidak pula mahu mengambil pesanan kami. Saya berpendapat, dia fikir itu bukan kerja dia! Itu kerja 'bell boy'. Apa-apalah Labu, jangan sampai akak bukak silat pengantin nanti, baru padan muka kamu! 

Sebenarnya, saya rasa B hanya mahukan sedikit tips daripada kami. Oleh kerana itu, dia bersungguh-sungguh hendak melayan. Saya faham, dalam usianya yang baru mencecah 17 tahun dan menjadi anak sulung kepada keluarga, tentu banyak tanggungjawab yang tergalas di bahunya. Tanpa mahu bersangka buruk, kami selalunya menghulurkan Rs10 kepadanya. Banyak sangatkah? Mungkin buat kita di Malaysia tidak, tetapi bagi B?... dan saya perasan, dia berkerja siang dan malam. Tanpa ada shif. Ah, mungkin saya yang cepat rasa kasihan dengan orang! 

Pilihan 'complimentary breakfast' di sini tidak banyak. Saya memilih apa yang boleh ditelan dalam masa yang terhad. Lagi pun, selalunya kami akan keluar awal dan balik selepas masuknya waktu Zohor. Hendak berjalan tanpa jurupandu terasa membazir waktu pula. Bangalore adalah syurga untuk membeli-belah dan tumpuan kajian saya adalah di Mysore dan Kerala. Mungkin kerana itulah saya kurang berminat hendak merayap kecuali saya tahu di mana letaknya kedai-kedai buku lama. Sedih sekali... .
   
Alhamdulillah, bukan nak memuji pula, tetapi talian internet di hotel ini memang boleh diharap. Adalah beberapa kali saya mengalami masalah. Saya melakukan analisa automatik dan mendapati server hotel tidak berfungsi. Lalu saya menelefon pengurusnya yang bertugas (waktu itu jam sudah menunjukkan angka 2 pagi!)... saya menyuruhnya memeriksa talian router hotel. Pada mulanya dia agak keberatan; mungkin dia sedang enak diulit mimpi indah, saya pula tidak berhenti-henti mengacau. Alah, bukannya susah bhaiya, kau pergilah periksa sekejap. Restart the router, itu sahaja. Lagi pun, apa gunanya saya memilih business hotel yang ada talian internet jika tidak boleh buat kerja?

Satu perkara yang saya perasan sejak di lapangan terbang lagi, mereka selalu menyangka saya adalah seorang pelajar kolej yang datang hendak menyambung belajar di India! Jika di Malaysia, orang akan mengaitkan saya dengan kerjaya perguruan tetapi di sini, orang memanggil saya doktor! Haha... okay, berbalik kepada cerita tadi, saya berkeras juga mahukan talian internet dipulihkan supaya saya boleh menyambung kembali kerja yang tergendala. Pengurusnya sanggup naik ke bilik untuk melihat sendiri saya sedang bergelumang dengan kertas, buku, pencil warna, pen dan sebagainya! Barulah dia percaya yang saya bukanlah seorang pelajar perubatan... saya memang sedang bekerja! Sejak dari malam itu, dia begitu menghormati saya dan selalu bertanya 'Internet service okey, madam?'... 

Dan sejak itu saya tidak lagi mengalami apa-apa masalah. ~senyum panjang!~
Saat itu, saya telah belajar sesuatu yang begitu bermakna dalam hidup. Saya mulai sedar bahawa selama ini, saya selalu mengalah kepada keadaan dan mengambil sikap 'tidak mengapalah...terimalah seadanya '. Tetapi di India, saya amat bersyukur kepada Tuhan, kembara ini telah menemukan saya dengan 'sesuatu' yang telah lama hilang dari dalam diri ini. 
Hati-hati Bhaiyaaaa! - Jerit dalam hati saja!
  
Hari kedua, kami berjalan buat pertama kalinya tanpa dipandu oleh Doktor A.N. Saya mengambil keputusan untuk membawa Ummi melawat Bangalore Palace. Dalam banyak-banyak tempat di Bangalore, saya kira inilah yang paling berbaloi untuk dilawati. Saya menahan auto di hadapan hotel. Saya menyuruhnya membawa kami ke sana. Pemandu auto itu kelihatan agak keliru lalu saya yang tidak mahu membuang masa terus sahaja menelefon seorang kawan di Bangalore. Di hujung talian, saya mendengar suara Bhavana menerangkan sesuatu kepada pemandu tersebut melalui telefon bimbit saya. Setelah faham dan mendapat kepastian dia akan menggunakan meter, kami pun melompat masuk. Dalam perjalanan, saya bertanya lagi, bolehkah kami melawat ke dalam bangunan istana, mengambil gambar dan sebagainya? Pemandu yang bercakap menggunakan bahasa Kannada itu menggeleng-gelengkan kepala. Jika anda hendak tahu, inilah yang membuatkan kami sering pening sedikit. Di India, jika jawapannya tidak, mereka akan geleng - jika ya pun, mereka geleng juga! Aduh... .

Sekali lagi saya terpaksa meminta bantuan Bhavana sebagai jurubahasa. Saya tidak mahulah membuang masa melawat bangunan dari luar. Adat bertandang ke rumah orang, sekurang-kurangnya ingin juga melangkah satu kaki ke dalam! Menurut Bhavana, kawan-kawan di pejabatnya memaklumkan memang boleh masuk dan mengambil gambar di dalam istana lama itu dengan sedikit bayaran. Tetapi bhaiya auto ini pula beria-ia menidakkan. Tanpa mempedulikannya, saya teruskan juga niat hendak membawa Ummi melawat ke sana. 

Dipertengahan jalan, bhaiya auto ini sibuk bercerita tentang tempat-tempat menarik di Bangalore. Kami dapat rasa, dia mahu kami menyewa kenderaannya untuk ke semua tempat. Sebenarnya, saya teringin benar hendak menjejaki kedai-kedai buku lama di sini. Namun saya berasa musykil dia tahu apa yang saya mahu. Biarpun pepatah ada menyebut, malu bertanya, sesat di jalanan. Tetapi saya pula keberatan hendak menyusahkan Bhavana untuk menjadi penterjemah lagi. Tambahan pula dia sedang bekerja saat itu. 
Kasihan Ummi, kena dera dengan saya berjalan jauh-jauh.

Akhirnya kami tiba juga di kawasan Bangalore Palace yang dikelilingi tembok. Rupa-rupanya tidaklah jauh sangat dan ia memang terletak di tengah-tengah bandar. Ada dua orang pengawal yang sedang berjaga di situ. Pemandu auto menyuruh kami turun. Saya memanjangkan leher. Eh, mana istananya?... Tak nampak bayang pun? Di hadapan kami hanya terbentang sebatang jalan berturap yang panjang dan lengang.

"Go, go!... " dia seolah-olah menghalau kami. Sebelum Ummi dan saya turun, dia sempat meminta tambang sebanyak Rs100. Saya menjeling sekilas ke arah meter, uh, belum pun mencecah Rs80! Dalam tersengih, dia berkata... "Extra, ma'am"... Boleh?

"Ah, apa-apalah bhaiya!... " Tanpa membuat sebarang komen, saya terus membayar. Memang saya jenis yang malas hendak bertekak. Tambahan pula, di tempat orang. Nama baik negara dan risiko keselamatan diri perlu di jaga juga. Apa sangatlah Rs20 itu? Lebih kurang seringgit empat puluh sen sahaja. Anggaplah sebagai sedekah. Sedekah itu, kan penghapus dosa? ~senyum kelat sambil bayar~

Setelah berjalan kaki kira-kira hampir satu kilometer dari pintu pagar tembok, kami nampak sebuah bangunan berwarna putih gading dari jauh. Pada dindingnya, tumbuh melata pokok renek hijau yang menjalar, memberikan suasana seperti berada di negara Eropah pula. Ya, di atas tanah merah yang masih berdebu, sebuah istana lama tersergam indah. Sebagai makluman, reka bentuk Istana Bangalore sebenarnya telah mengambil inspirasi keunikan Istana Diraja Windsor, England. Istana ini telah dibina oleh pengetua pertama Central High School, Bangalore (kini dikenali sebagai Central College) - mendiang Rev. Garret pada tahun 1862. Istana ini siap sepenuhnya pada tahun 1944 dan telah dibeli pula oleh seorang Maharaja dari Mysore bernama Maharaja Chamaraja Wodeyar. Sehingga kini, masih terdapat kerja-kerja pengubahsuaian dan pemuliharaan yang sedang giat dijalankan. Kesemuanya ditanggung oleh kerabat Diraja Wodeyar yang masih hidup. Sewaktu kami sedang melawat istana ini, tiba-tiba dari jauh, kelihatan beberapa kenderaan pacuan empat roda meluncur masuk mengiringi sebuah kereta mewah. Rupa-rupanya istana ini sedang dipersiapkan sebagai tempat pameran barang-barang kemas yang terkenal dari India. Sayang sekali, kami akan bertolak ke Mysore. Saya bukanlah peminat barang kemas. (But for some good and exotic photos, why not?)
 Kini, mengertilah saya apa yang dimaksudkan oleh pemandu auto tadi. Rupa-rupanya autorickshaw tidak dibenarkan masuk melalui jalan berturap ini. Itulah sebabnya kami disuruh turun di hadapan pintu pagar pengawal. Itu jugalah yang dia maksudkan dengan gelengan kepalanya. Bukanlah bermakna kami tidak boleh melawat ke dalam dan mengambil gambar. Oh... . 

Ummi di hadapan Bangalore Palace - cantik!

Harga tiket bagi pelancong luar adalah Rs200 untuk dewasa dan Rs50 untuk kanak-kanak. Pelancong tempatan hanya perlu membayar Rs100 sahaja. Jika anda perlukan perkhidmatan audio, boleh bayar di meja yang berasingan. Sebuah peralatan audio lengkap dengan terjemahan dalam pelbagai bahasa seperti Inggeris, Hindi, French dan sebagainya akan diberikan bersama alat pendengar. Untuk mengambil gambar? Sila bayar Rs600 bagi setiap kamera... kompak atau dslr. Ya, Rs600 okay! Oleh kerana itulah saya hanya menggunakan kamera dari telefon bimbit sahaja. Itupun harus membayar Rs100. Kelakarnya, saya tidak perasan Ummi pun mahu mengambil gambar dari telefon bimbit. Sewaktu di hujung-hujung lawatan, Pak Guard datang periksa tiket saya. "Madam, only one camera allowed!" dia menunjukkan kepada tiket saya. "Oh, sorry!... " kata saya sambil tersengih. Kemudian Ummi dan saya ketawa sambil berlalu. Mungkin tak sampai hatilah pula dia nak suruh kami padam semua gambar yang dah diambil,kan?... Masa inilah kena praktis macam mana nak senyum manis macam Aishwarya!

Ok, banyak cerita tentang Bangalore Palace ini. Anda boleh google untuk membaca mengenainya. Nanti saya cerita benda yang sama, bosan pula. Apa yang saya paparkan di sini ialah sebahagian pengalaman dan perjalanan kami di bumi India. Dan seperti yang telah dijanjikan, nikmatilah gambar-gambar terpilih dari Bangalore Palace, Bangalore.
Disambut oleh Maharaja Wodeyar

Di pintu masuk bersebelahan dengan tangga, kami disambut oleh Chamaraja Wodeyar dan kolam bunga mawar merah dan mawar putih.
Itulah, siapa suruh mengganas?

Inilah kepala seekor gajah yang telah mengganas dan membunuh ramai penduduk kampung. Maharaja telah memerintahkan pemburu-pemburu membunuh gajah ini demi mengelakkan lebih ramai yang menjadi korban. Mungkin atas sebab kesukaran yang terpaksa mereka lalui, kepala gajah ini telah diawetkan dan dibuat sebagai perhiasan tangga istana. Amaran untuk adik-beradik gajah yang lain. Hah, puas hati?

Gading gajah, kaki gajah dan belalai gajah, semuanya ada dalam istana ini. Insya-Allah, saya akan siarkan dalam entri akan datang. Kawasan luaran istana agak panas terik, hendak berjemur lama-lama mengambil gambar pun boleh sakit kepala dibuatnya. Saya tidak kisah tetapi kasihan Ummi, terpaksa menapak dalam panas mentari Bangalore kerana auto tidak boleh masuk ke dalam kawasan istana ini. Okay, anda semua nak tahu apa yang ada dalam istana lama ini, kan?

Jangan lupa berkunjung ke Aku Dan Kafe Buku kita. Entri terbaharu sedang dalam proses. Maaf atas kelewatan... saya kurang sihat sejak hari raya kelmarin. Now, I'm back to work. So, see you soon!... I meant really soon!      

No comments:

Post a Comment