Pages

Wednesday 23 November 2011

Mysore - Hari Kedua

Istana Mysore - paling cantik dari sisi ini
Menurut kepercayaan masyarakat tempatan, sejarah Mysore atau nama asalnya, Mahisur bermula dari atas Bukit Chamundi itu sendiri. Di situlah Dewi Durga menewaskan seekor syaitan lembu bernama Mahishasura. Setelah itu, Sang Dewi mengambil keputusan untuk menetap di atas bukit dan orang ramai pun membina sebuah kuil untuk menyembahnya. Tidak jauh dari situ, terdapat juga sebuah kuil kecil yang terletak di Doddakere. Ahli sejarah India menulis bahawa pada tahun 1399 A.D, dua beradik yang dikenali sebagai Yaduraya dan Krishnaraya telah mengembara dari Dwaraka di Gujarat untuk menyembah Dewa Narayana di kuil tersebut.Dua beradik ini kemudiannya telah jatuh hati dengan keindahan perkampungan Mysore lalu memilih untuk menetap di situ. 

Mengapa saya menulis tentang cerita ini? Jika mahu tahu, ikutilah kisah selanjutnya... .

Pada suatu malam, mereka mendapat alamat dalam mimpi supaya bermalam di sebuah lagi kuil yang berhampiran di Kodibhairava. Menjelang subuh, mereka berdua terdengar berita mengenai seorang puteri dari kerajaan kecil Mysore yang dipaksa berkahwin dengan Maranayaka - Dalavoy (perdana menteri) dari Karugahalli. Maharani Chamaraja yang baru sahaja kehilangan suaminya telah diugut oleh perdana menteri tersebut supaya menyerahkan puterinya bagi melayakkan Maranayaka ditabalkan menjadi Maharaja Mysore yang baharu. 

Maharani Chamaraja pula, mendapat arahan daripada kaum kerabatnya (dalam mimpi juga) supaya membawa puteri dan seorang sami diraja untuk melangsungkan perkahwinan di kuil Kodibhairava tadi. Sampai di sana, sami diraja pun menceritakan tragedi yang menimpa keluarga diraja Mysore. Lalu dengan pertolongan Yaduraya dan Krishnaraya, mereka berjaya menbunuh dan mengalahkan Maranayaka bersama pengikut-pengikutnya. Puteri tersebut pun dikahwinkan dengan Yaduraya yang akhirnya menjadi tunggak kepada kewujudan dinasti Wodeyar Mysore pada hari ini.

Istana Mysore-Mood Panorama
Inilah pemandangan indah Istana Mysore yang terakam dalam kamera kompak Sony saya. Untuk mendapat imej yang lengang tiada berorang memanglah sukar. Ada sahaja keluarga yang datang ke depan untuk bergambar. Jadi, sebelum saya dan Ummi hangus terbakar di bawah terik mentari Mysore, ada baiknya saya cepat-cepat merakamkan apa-apa yang patut. Alhamdulillah, cuaca cerah dengan langit biru berhias tompokan awan-gemawan menjadikan gmabar ini laksana sekeping poskad.

Okay, di dalam istana, pengunaan kamera adalah dilarang kecuali kamera dari telefon bimbit. Beg akan diimbas dan kamera perlu diserahkan kepada petugas yang akan menyimpannya di dalam loker khas. Kaunter tempat menyimpan kamera ini terletak betul-betul di sebelah kanan pintu masuk ke kawasan istana. Janganlah memandai-mandai hendak selit di sana-sini kerana nanti tidak fasal-fasal terpaksa menapak jauh dari istana berpatah balik ke pintu masuk untuk menyerahkan kamera anda. Tiket masuk istana berharga Rs200 bagi pelancong asing dan hanya Rs20 bagi pelancong tempatan. Hmmm, itu pun mereka suka berebut-rebut di kaunter. Jangan haraplah hendak beratur. Ummi pun naik rimas melihat orang ramai memintas saya. Padahal, saya seorang sahaja perempuan yang membeli di kaunter. Mungkin sudah budaya mereka memandang perempuan sebagai golongan kelas kedua. Tetapi bila nampak perempuan mat saleh... ~tutup mulut sebab takut mengumpat!~

Jayamartanda Gate
  
Kawasan istana dikelilingi oleh tembok dan kubu yang panjang. Terdapat lima buah pintu masuk namun yang paling besar dan menonjol sekali ialah Jayamartanda Gate di sebelah timur. Kesemuanya dibina dengan senibina Indo-Sarcenic. Pada hari ini, semua pelawat yang berkunjung ke mari menggunakan pintu di sebelah selatan yang dikenali sebagai Varaha Gate. 
Sebenarnya, sebelum saya masuk ke dalam istana dan membeli sebuah buku kecil bersama sekeping cd dan satu set poskad, tidak banyak yang saya ketahui mengenai Istana Mysore. Saya hanya tahu bahawa dalam beberapa tahun pemerintahan kerajaan Mysore, ia telah diambil alih oleh seorang komander diraja Krishnaraja Wodeyar II bernama Hyder Ali yang berasal dari Hyderabad. Beliau disifatkan sebagai de facto ruler of Mysore. Kerajaan Mysore berada di bawah pemerintahan Hyder Ali dari tahun 1761 sehinggalah anaknya, Tipu Sultan digulingkan oleh pihak British pada tahun 1799. Nanti saya bawa anda melawat ke tapak arkeologi Tipu Sultan di Mysore. Sekarang, mari kita simpan kasut di tempat letak kasut istana kerana dalam istana tidak dibenarkan memakai kasut. (Tempat simpan kasut ini percuma saja tapi hari itu, saya telah diminta untuk membayar Rs10. Tips katanya... pada hal sudah terang-terang bertulis - FREE SERVICE) 
Nahi... Me paisa nahi doonga!
Okay, setelah siap memakai alat audio seperti di Bangalore Palace, mari kita menjelajahi Mysore Palace of India.

Kawasan pameran peralatan diraja










Macam pernah nampak?
Singgahsana Diraja
   

















 
Kotak cenderamata daripada kayu sandalwood
Kawasan dalam istana
Banyak lukisan mural di sini




















Kubah istana dengan hiasan seni gelas dan juraian lampu
 Insya-Allah, saya akan sambung lagi lawatan kita dalam Istana Mysore yang sangat luas ini. Sekian dahulu, selamat malam! Terima kasih kerana berkunjung ke Aku Dan Kafe Buku.

No comments:

Post a Comment