Pages

Tuesday 22 November 2011

Mysore - Hari Pertama

Perkara pertama yang saya lakukan sebaik sahaja masuk ke dalam bilik ialah mencari ruang untuk mencari ilham. Apa yang menariknya, bilik kami di Mango Suites memang benar-benar selesa. Jika anda melancong ke India dan mahukan budget hotel, pilihlah sekurang-kurangnya yang berstatus tiga bintang. Rata-rata, hotel begini mempunyai kadar bayaran sebanyak MYR150 atau kurang untuk satu malam (double occupancy). Biasanya termasuk sarapan pagi percuma dan kelengkapan membuat kopi dan teh. Hotel sebegini selalunya bersih dan mempunyai lokasi yang strategik. Apa yang menjadikan saya memilih Mango Suites? Sebenarnya saya mahukan sebuah 'business hotel'. Mengapa? Kerana konsep mereka lebih terbuka-mereka tahu apa yang saya perlu. Selalunya lokasi hotel sebegini terletak di tengah-tengah bandar. Paling tidak pun, berdekatan dengan tempat-tempat lawatan. Paling penting, tidak perlu risau fasal talian internet (nyawa saya) dan di Mango Suites, kami telah dilayan bagaikan bintang filem!

Okay, saya main-main saja! Tetapi hakikatnya, keramahan dan layanan yang kami terima di sini adalah antara yang terbaik di sepanjang lawatan kami. Memang boleh mencari tempat yang lebih murah seperti Youth Centre tetapi saya kurang yakin dengan kebersihan, keselesaan dan keselamatan di India. Pasti tidak adil untuk membandingkan Youth Centre di negara yang lebih maju seperti di UK dan USA. Tambahan pula, saya membawa Ummi. Bersolat dan mengaji adalah kebiasaannya setiap pagi dan sebelum tidur. Mana mungkin kami selesa melakukan hal sedemikian jika harus berkongsi bilik dengan orang asing?
Bilik yang sentiasa dilap dan kelengkapan sentiasa dipenuhi
Hotel ini berdekatan dengan sebuah pusat membeli-belah yang letaknya hanya bersebelahan. Dan setiap kali saya menyelak langsir bilik, saya disapa mesra dengan pemandangan sebuah perkampungan moden di Mysore. Tuan-tuan, siapa kata orang-orang di sini miskin-miskin belaka? Di sepanjang jalan-jalan di sekitar Mango Suites ini, kami lihat berceratuk banglo-banglo besar dengan pelbagai kemasan dinding dan hiasan laman yang sungguh terjaga. Siapa kata India sangat kotor? Mungkin di bandar-bandar besar, ada kebenarannya. Saya difahamkan di Mumbai dan Delhi ataupun Chennai, jurang perbezaan ekonominya sangat ketara. Jika anda masih ingat, di sanalah tempat tinggal 'Mr.Slumdog Millionaire'. 
Pagi pertama di Mysore, saya dan Ummi menjamu diri dengan sekeping dosa yang sangat besar. Terkejut saya melihat saiz dosa ini. "For two?..." soal saya kepada pelayan hotel. "No madam, only for you!" Aaaa?... .
Masala Dosa Mysore
Selesai menghabiskan sepinggan dosa, saya tiba-tiba rasa berdosa! "Mengapa?... " soal Ummi melihat saya yang serba-salah.
"Sejak datang ke India, kita asyik makan, makan, makan. Dah lama saya tak masuk gym. Minta-minta di Calicut nanti, gym di hotel berfungsi dengan baik," kata saya penuh mengharap. Memang saya telah memilih hotel yang dilengkapi dengan sebuah gymnasium kecil di sana. Tetapi manalah tahu, kan? Menurut emel pengurusnya, gym mereka lengkap dan masih boleh digunakan.  
Tanpa berlengah, saya menuju ke kaunter penyambut tetamu dan berbual-bual dengan petugas pada pagi itu. Saya nyatakan tempat-tempat yang mahu dilawati di Mysore. Saya rasa bertuah kerana Cik Anjum yang peramah sudi membantu saya merangka sesi lawatan yang bersesuaian dengan masa kami di Mysore. Dia memanggil sebuah auto dan merundingkan harga untuk kami. Kami akan di bawa ke Chamundi Hill untuk mengambil gambar dan seterusnya ke Mysore Palace, salah satu tempat yang menjadi impian saya di India.
Pemandu auto kami bernama Naveen. Orangnya tampan dan suka tersenyum. Naveen tidak pandai berbahasa Inggeris tetapi fasih dalam Hindi dan Kannada. Saya?... Bolehlah faham sikit-sikit. Cuma hendak bercakap yang belum boleh. Ada antara perkataan Hindi yang dipinjam dari bahasa Inggeris dan Arab. Jadinya, tidaklah sesusah mana. 
Pemandangan Mysore dari Chamundi Hill









Perkampungan kecil di kaki bukit Chamundi
Kedai dalam lorong sempit
















Kuil Chamundi
Untuk sampai ke Chamundi Hill ini, mengambil masa lebih kurang empatpuluhlima minit. Rupa-rupanya tinggi juga Chamundi Hill ini, macam sebuah gunung kecil pula. Dari atas Chamundi Hill, kita boleh nampak pemandangan seluruh Mysore. Memang saujana mata memandang. Tidak termuat dalam kamera kompak saya. Saya ada mengambil gambar dalam mood panorama. Nanti saya cuma masukkan di sini. Selepas memakir auto, Ummi menggesa Naveen mengikut kami ke kawasan kuil. Maklumlah, kami berdua saja yang bertudungnya pun. Sudahlah hari itu, hari Jumaat - hari kuil paling penuh dengan pengunjung yang datang membawa bermacam-macam hajat! Naveen yang pada mulanya agak keberatan akhirnya terpaksa beralah dengan pujukan dua orang perempuan Melayu ini. Melalui lorong sempit yang penuh dengan kedai-kedai menjual cenderamata, kami mengekori Naveen menuju ke tempat pemujaan. Eh, jangan risau, Ummi dan saya tidak berniat langsung hendak masuk biarpun dipelawa oleh Naveen. Kami cuma mahu mengambil gambar di sekitarnya dan menyaksikan sendiri keluasan kerajaan Mysore dari atas puncak bukit.


Beratur untuk dapatkan makanan percuma dari kuil















Bhaiya Si Penjual Kekacang
Naveen banyak bercerita kepada kami perihal Chamundi Hill ini. Ia dibina sebagai penghormatan untuk menyembah Dewi Durga. Dalam kepercayaan mereka, Durga ini sangat berkuasa sekali kerana memiliki pelbagai kesaktian kerana telah diciptakan sebagai The Warrior Goddess.
Membeli Sangkar Burung - cit cit cit
Dengan pertolongan Naveen, Ummi membeli sebuah sangkar burung perhiasan. Di dalamnya bertenggek seekor burung comel yang boleh berbunyi. Anak perempuan Ummi gemarkan benda-benda seperti ini. Kemudian, kami bertiga berhenti meneguk air kelapa Mysore. Saya berkongsi dengan Ummi.
"Tak sabar nak rasa air kelapa Calicut!" kata saya. Kerala memang dipenuhi dengan ladang pokok kelapa. Entah bagaimanalah rasa air kelapanya, ya?
Ummi dan Naveen memilih kelapa
Setelah menghilangkan haus dengan air kelapa muda Mysore, kami pun menuruni bukit Chamundi. Tiba di satu selekoh, saya terpandangkan seorang pemuda yang sedang terbongkok-bongkok meneropong ke arah kawasan Bandar Mysore dari tebing bukit. "Stop Naveen!" jerit saya. Auto yang dipandu Naveen berhenti betul-betul di sebelah pemuda tersebut.
"You want to see Mysore?... Rs10 each, madam!" kata pemuda itu. Saya menoleh kepada Ummi. Ummi mengangguk. Saya pun membayar dan membiarkan Ummi mengambil giliran dahulu.Melalui lensa teropong, kami dapat melihat beberapa tempat tarikan pelancong seperti Dasara Exibition Ground, trak lumba kuda, Lalitha Mahal Palace, Mysore Palace, Jagmohan Palace, Gereja Saint Philomena dan padang sasar Akademi Police Mysore. Kebetulan, kami mendengar bunyi tembakan dan berpeluang melihat pasukan polis Mysore berlatih menerusi teropong Rs10 tersebut.
Akhirnya ssya meminta Naveen membawa kami ke Mysore Palace. Hah, inilah tempat yang paling ditunggu-tunggu di sepanjang kembara India kami. Ummi pun bagai tidak sabar hendak masuk ke dalam. Melihatnya dari kejauhan pun sudah menambat hati!

Mysore di sebalik ranting kayu





No comments:

Post a Comment